Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

PENJELASAN JAKIM BERKENAAN FATWA TERHADAP AIR JAMPI SECARA KOMERSIAL

Foto Hiasan

1) Pada asasnya, Islam mengharuskan untuk mengambil upah atas jampi dan rawatan yang dilakukan. Ini kerana perbuatan sedemikian adalah dibenarkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim yang berbunyi, “Seorang sahabat merawat seorang Arab yang lain dengan membacakan surah al-Fatihah, lalu disembuhkan oleh Allah dan diambil upah dengannya, kemudian dia memberitahu kepada Nabi tentangnya, dan Nabi tidak mengingkarinya…”

2) Tambahan pula, mereka yang mengusahakan produk-produk air jampi sudah tentu memerlukan kos tertentu untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian tidak salah untuk mereka meletakkan harga pada produk yang dijual sambil mengambil keuntungan yang berpatutan.

3) Walau bagaimanapun, apa yang menjadi kemusykilan apabila terdapat sesetengah pengusaha yang teramat melampau dalam mengkomersialkan produk-produk mereka. Sebagai contoh, mereka mempromosikan produk-produk tersebut sambil menunjukkan pelbagai testimoni sebagai bukti kemujaraban. Tidak diketahui secara pasti sama ada testimoni tersebut benar-benar terjadi atau sekadar taktik perniagaan.

4) Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Quran. Lalu, dengan berbekalkan hujah-hujah agama, produk-produk tersebut dijual secara berleluasa sambil menyebut khasiat-khasiatnya yang tertentu seperti mempercepatkan jodoh, mengeratkan hubungan suami isteri, membenteng diri daripada gangguan sihir, menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat lagi.

5) Dalam hal ini, bekas Syeikh al-Azhar Mahmud Syaltut pernah menyatakan kebimbangan terhadap apa yang berlaku. Kerana itu, beliau sendiri tidak mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat al-Quran pada kertas atau bekas-bekas tertentu, kemudian dibasuh dan diminum. Pada pandangannya perbuatan tersebut telah disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk mengumpulkan wang ringgit dengan cara yang tidak diterima oleh Islam.

6) Fatwa ini mungkin bercanggah dengan pandangan para ulama yang membenarkan kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penegasan beliau adalah pada unsur-unsur yang mengeksploitasikan dan memanipulasikan ayat-ayat suci al-Quran. Sukar untuk dinafikan, apabila kaedah rawatan seperti ini dijadikan perniagaan komersial, unsur-unsur memperdagangkan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW tetap ada kerana sasaran utama setiap perniagaan komersial adalah untuk meraih keuntungan duniawi.

7) Apatah lagi apabila perniagaan berorientasikan air jampi semakin mendapat sambutan masyarakat. Pengusaha-pengusaha produk menjadi semakin ghairah untuk saling bersaing antara satu sama lain bagi mempamerkan produk mereka lebih mujarab, lebih Sunnah bahkan lebih mustajab bacaan al-Quran dan doanya berbanding produk lain.

8 ) Antara contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musoffa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk telah menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk mengatakan jika Air Musoffa direnjiskan ke atas kenderaan, ia akan mengelakkan daripada ditimpa bala bencana.

9) Dalam segmen tajaan itu juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberikan testimoni terbaik. Apa yang dikhuatiri, terdapat beberapa testimoni yang diberikan menjurus kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama. Malah, perbuatan menjadikan testimoni sebagai alat pelarisan boleh membuka ruang kepada penipuan dan pembohongan.

10) Selain itu, kaedah-kaedah rawatan yang didakwa bersumberkan Islam ini, kadang-kadang menjadi penyebab segelintir orang mensekularkan perubatan moden. Sesetengah pengusaha produk sebegini giat berkempen mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, makanya masyarakat perlu melanggan produk-produk mereka.

11) Padahal mereka terlupa, tokoh-tokoh awal perubatan moden itu sendiri dipelopori oleh para ulama Islam tersohor seperti Ibnu Sina, al-Zahrawi, Ibnu al-Haytham, al-Razi, Ibnu Rusyd dan lain-lain yang sekaligus membuktikan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam.

12) Kesimpulannya, tiada siapa yang menafikan bahawa al-Quran memiliki kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin Allah SWT. Namun untuk mempergunakan al-Quran bagi tujuan melariskan produk atau bagi menjustifikasikan produknya sebagai yang terbaik daripada yang lain, maka ia termasuk dalam perbuatan yang memperdagangkan al-Quran dengan harga yang murah. Firman Allah SWT: “Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang lain) dari agama Allah; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan”. (Surah al-Taubah: 9)

SUMBER: Panel Aqidah, JAKIM

07/08/2019 - Posted by | Fatwa, Informasi, Q & A (Soal Jawab) |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: