Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

AQIDAH DAN KEHIDUPAN

Seseorang Muslim itu tidak akan meninggalkan sama sekali hal yg berkaitan dgn aqidah kerana inilah tunjang kehidupannya..

Awal kewajipan bagi agama itu adalah ma’rifatullah..bagaimana mungkin seseorang itu hendak mencapai ma’rifatullah jika ia mengabaikan aspek aqidah..

Aqidah juga akan mendorong seseorang itu utk ikhlas dlm melakukan ibadah..bagaimana mungkin ibadahnya akan diterima di sisi Allah jika ia tidak ikhlas..aqidah dan keikhlasan itu kedua-duanya sgt berkait rapat antara satu sama lain kerana melibatkan amalan hati..

Org mukmin tidak pernah mengasingkan aspek aqidah dlm kehidupannya kerana ia tahu, di sana nanti akan ada soal dosa dan pahala..Allah sentiasa menggandingkan antara iman dan amal soleh menerusi al-Quran al-Karim menunjukkan iman tidak boleh dipisahkan daripada amal buat seseorang insan mukmin.. seseorang mukmin hendak melakukan apa sahaja sama ada belajar, mengurus, berniaga, mentadbir negara, berpolitik dsb kesemuanya akan dikaitkan dgn iman kerana inilah pegangan muslim dalam kehidupan..

Kini org ramai sentiasa membicarakan mengenai politik..iman juga tidak boleh dipisahkan daripada politik kerana banyak amal soleh yg boleh dilaksanakan menerusi politik..khidmat kpd rakyat adalah amalan soleh..memudahkan urusan org ramai adalah amal soleh..menguruskan ekonomi negara adalah amal soleh..menjaga keselamatan dan keamanan negara adalah amal soleh..jika ahli politik tidak menitik beratkan iman dan amal soleh, maka ia akan terjebak dgn amal toleh (amalan tidak baik) seperti rasuah, pecah amanah dan sebagainya..

Sebab itulah setiap kali umat Islam selesai solat secara berjemaah, imam akan membaca doa berikut yg diaminkan oleh jamaah solat iaitu:
اللهم أحينا بالإيمان وأمتنا بالإيمان وأدخلنا الجنة مع الإيمان برحمة يا أرحم الراحمين
Maksudnya: “Ya Allah, hidupkan kami dalam keadaan iman, matikan kami dlm keadaan iman dan masukkan kami ke dalam syurga beserta iman, dengan rahmatMu ya Allah”

Doa yg dibacakan ini menunjukkan amat pentingnya iman dalam kehidupan dan kerja buat kita..

Semoga kita sentiasa berada di atas landasan yg tepat utk melayari hidup ini dgn berpandukan kpd aqidah yg teguh dan mantap..

Wallahua’lam..

(FB Ustaz Mohd Murshidi Mohd Noor)

22/07/2019 Posted by | Aqidah, Uncategorized | , | Leave a comment

Apabila hukum dalam kitab Fiqh bercanggah dengan Hadith.

SOALAN

Kalau sesuatu hukum itu ada disebut dalam kitab feqh, namun becanggah dengan hadith , mana yang patut diutamakan ?. Mohon penjelasan yang terperinci dari al-fadhil ustaz.

JAWAPAN

1. Perlu kita tahu bahawa hukum hakam yang disebut didalam KITAB FEQH MUKTABAR adalah hukum hakam yang diambil daripada AL-QURAN dan AS-SUNNAH menurut penelitian dan kefahaman ulama muktabar.
.
1.1. Sebab itulah satu fitnah besar terhadap ulama muktabar apabila ada golongan yang tidar sedar diri, yang jumud, mengajak manusia supaya menolak feqh imam Syafii dan seumpamanya atas slogan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.
.
1.2. Tanpa disedari golongan ini telah menyesatkan imam Syafei dan ulama yang seumpamanya, kerana dengan slogan tersebut seolah-olah feqh imam Syafii menyalahi al-Quran dan as-Sunnah.
.
1.3. Dari mana datangnya feqh imam Syafii dan feqh ulama yang seumpamanya klu tidak dari al-Quran dan as-Sunnah. insaflah wahai orang yang beraqal.
.
.
2. Berselisih pandangan didalam memahami nas-nas syara’ yang bersifat ZONNIY DILALAH adalah perkara biasa, akan tetapi syaratnya adalah perselisihan tersebut datang dari ahlinya. Bukan datang dari golongan yang ilmu tata bahasa arabnya pun masih gagal.
.
.
3. Maka dengan penjelasan ringkas diatas dapat kita faham bahawasanya pada hakikatnya hukum hakam yang disebut didalam kitab feqh muktabar sebenarnya ia di ambil dan difahami daripada al-Quran dan Hadith nabi saw melalui penelitian dan kefahaman ulama muktabar.
.
.
4. Nas-nas syara’ daripada al-Quran dan Hadith ada yang nasikh ( menghilangkan hukum yang sebelumnya ), ada yang mansukh ( dihilangkan hukumnya ), ada yang bersifat umum, ada yang bersifat khusus, ada yang bersifat mutlak, ada yang bersifat mukayyad, yang mana hal-hal ini bukanlah semua manusia dapat memahaminya dan mengetahuinya. Hanya ahlinya sahaja yang dapat memahami hal ini, iaitu orang yang telah melalui disiplin ilmu.
.
.
5. Kerana itulah kita sebagai orang awam apabila kita terjumpa ayat al-Quran atau terbaca satu hadith, kita tidak boleh terus mengambil hukum daripadanya jika kita bukan ahlinya.
.
5.1. mengambil hukum terus daripada hadith oleh bukan ahlinya akan membawa kepada kesesatan.

Kata imam Sufyan bin ‘Uyainah Rahimahullah :

الْحَدِيثُ مَضَلَّةٌ إلَّا لِلْفُقَهَاءِ

Terjemahan : “Hadith adalah tempat sesat melainkan bagi ulama fiqh.”

Kata imam Abdullah bin Wahb salah seorang murid imam malik Rahimahuma Allah :

الحديث مضلة إلا للعلماء

Terjemahan : ” Hadith adalah tempat sesat melainkan bagi ulama’.”
.
5.2. Hal ini dari kerana, untuk mengambil hukum-hakam dari nas-nas syara’ perlu melalui kaedah-kaedahnya.
.
5.3. Sebab itulah ulama usul dalam kitab usul feqh menyebut definisi usul feqh :

معرفَة دَلَائِل الْفِقْه إِجْمَالا، وَكَيْفِيَّة الاستفادة مِنْهَا، وَحَال المستفيد.

Terjemahan : ” Mengetahui dalil-dalil fiqh secara ijmal, cara memanfaatkan dalil tersebut, dan keadaan orang yang memanfaatkan dalil.”

[ نهاية السول 1/10 ]

(1) Tahu dalil-dalil fiqh secarab ijmal.
(2) Cara berdalil dengannya.
(3) Keadaan orang yang memanfaatkan dalil.
.
5.4. Tahu dalil-dalil sahaja masih lagi belum mencukupi, bahkan perlu pula tahu cara memahami dalil dan cara memanfaatkannya. Dalam hadith Abi Umamah nabi saw bersabda :

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َأَنَّهُ قَال َ: خُذُوا الْعِلْمَ قَبْلَ أَنْ يَذْهَبَ . قَالُوا: وَكَيْفَ يَذْهَبُ الْعِلْمُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ، وَفِينَا كِتَابُ اللَّهِ؟ قَالَ: فَغَضِبَ، ثُمَّ قَالَ: ثَكِلَتْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ أَوَلَمْ تَكُنِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنْجِيلُ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ، فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمْ شَيْئًا ؟. إِنَّ ذَهَابَ الْعِلْمِ أَنْ يَذْهَبَ حَمَلَتُهُ، إِنَّ ذَهَاب
َ الْعِلْمِ أَنْ يَذْهَبَ حَمَلَتُهُ.

Terjemahan : ” Daripada Abi Umamah, daripada Rasulullah saw, bahawasanya baginda saw bersabda : Ambillah ilmu itu sebelum ia hilang. Para sahabat bertanya, Ya Rasulullah!, bagaimana hilangnya ilmu itu, sementara al-Quran masih lagi ada bersama kami?. kata abu Umamah : Rasulullah saw marah, lalu Rasulullah saw bersabda : semoga ibu kamu kehilangan kamu, Bukankah telah adanya kitab Taurat dan Injil di tangan Bani Israil, akan tetapi kedua kitab itu tidak dapat memberi manfaat kepada mereka sedikit pun?. Sesungguhnya hilangnya ilmu itu adalah disebabkan hilangnya para ahli ilmu (ulama). Sesungguhnya hilangnya ilmu itu adalah dengan cara hilangnya para ulama.”

[ HR ad-Darimi no.246 ( hadith hasan dengan syawahidnya) ]
.
5.5. Hadith diatas memberi maksud ada al-Quran masih lagi belum mencukupi, bahkan perlu ada ulama yang yang tahu cara mengambil hukum daripada al-Quran itu sendiri .

ALLAH Taala berfirman :,

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ .

Terjemahan : ” Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

( An-Nahl: 43 )
.
.
6. Apabila kita jumpa satu hadith yang menyebut satu hukum, tiba-tiba kita dapati dalam kitab fiqh mazhab Syafii sebgai contoh hukumnya bercanggah pada zahirnya dengan apa yang disebut dalam hadith tersebut, maka dalam situasi ini kita perlu rujuk kepada ahlinya untuk kita tahu bagaimana untuk memahami hadith tersebut menurut pandangan Mazhab Syafii. jangan sekali-kali kita mengguna kejahilan kita lalu secara melulu kita menghukum apa yang disebut dalam kitab fiqh mazhab Syafii itu salah dan sesat.
.
6.1. Sebagai contoh : Dalam kitab feqh mazhab Syafii, Maliki dan Hanafi ada menyebut tentang berbekam tidak membatalkan puasa, sedangkan ada hadith menyebut :

أفطر الحاجم والمحجوم.

Terjemahan : ” batal puasa tukang bekam dan orang yang berbekam.”

[ HR Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah ]
.
6.2. Apabila dirujuk kepada Ulama-ulama mazhab Syafii, Maliki dan Hanafi ternyata bukan mereka tidak mengetahui tentang hadith diatas. bagaimana boleh mereka tidak mengetahui hadis di atas sedangkan didalam setiap mazhab itu ada Ratusan ulama-ulama hadith. akan tetapi mereka melihat kepada hadith-hadith lain, antaranya :

َعَنِ اِبْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ اَلنَّبِيَّ – صلى الله عليه وسلم : احْتَجَمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ, وَاحْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ.

Terjemahan : ” Dari Ibni Abbas r.anhuma bahawasanya Nabi saw berbekam semasa ihram dan Nabi saw berbekam semasa baginda saw berpuasa.”

[ HR Al-Bukhari dalam sahihnya ]

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : رخَّص رسول الله صلى الله عليه وسلم في القُبلة للصائم والحجامة.

Terjemahan :” Dari abi sa’id Al-khudriy r.a. beliau berkata : Rasulullah saw membenarkan cium (isteri) dan berbekam bagi orang yang berpuasa”.

[ HR Ad-Darqutni 2/183, dan beliau berkata : ” Perawinya semuanya thiqah”. ]
.
6.3. Bermaknanya, ulama-ulama diatas berpendapat Hadith yang menyebut batal puasa dengan berbekam dinasakhkan hukumnya oleh hadith Ibni Abbas dan Abi Sa’id Al-khudriy dengan alasan-alasan mereka tersendiri.

Berkata Imam ibnu Abdil Barr Rahimahullah didalam kitab الاستذكار juz.10 hlm.125 :

والقول عندي في هذه الأحاديث أن حديث ابن عباس : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم احتجم صائماً محرماً، ناسخ لقوله : أفطر الحاجم والمحجوم …

Terjemahan : ” Pandangan aku berkenaan hadith-hadith ini bahawasanya hadith Ibni Abbas (rasulullah saw berbekam sedangkan baginda sedang berpuasa dan sedang ihram) ia menasakhkan sabda nabi saw : ( tukang bekam dan orang yang dibekam batal puasanya)”.
.
.
KESIMPULAN
.
.
Sekiranya ada sesuatu hukum itu disebut dalam kitab muktabar berbeza dengan apa yang disebut didalam hadith nabi saw maka kita sebagai orang awam jangan terlalu cepat menyalahkan dan menyesatkan kitab fiqh muktabar tersebut.

Langkah yang sepatutnya diambil oleh orang awam adalah medahulukan hukum yang disebut didalam kitab fiqh muktabar melalui huraian guru, berbanding dengan hadith yang hanya difahami dengan otak sendiri yang di ambil dari terjemahannya sahaja. Hal ini bukan bermakna kita menolak hadith, tetapi ia memberi maksud kita menyerahkan huraian hadith tersebut kepada ahlinya.

Untuk meyakinkan lagi bagaimana cara huraian sebenar untuk hadith tersebut adalah berjumpa dan bertanyakan ulama muktabar yang pernah melalui disiplin ilmu yang mempunyai sanad yang bersambung kepada ulama ulama mazhab Syafii sebagai contoh.

Jangan kita bertanya kepada golongan yang tidak pernah melalui disiplin ilmu feqh, disiplin ilmu usul feqh, dan golongan yang tidak melalui pengajian ilmu hadith secara dirayah daripada ulama muktabar yang mempunyai sanad yang bersambung sampai kepada Rasulullah saw.

Ini kerana golongan yang tidak duduk bertalaqi dari ulama yang mempunyai sanad yang bersambung sampai kepada ulama-ulama muktabar sehingga kepada Rasulullah saw ia tidak mempunyai nasab ilmu, sebab itulah dalam hati mereka tidak mempunyai perasaan sifat belas kasihan dan sentiasa berburuk sangak terhadap nenek moyang pada sudut ilmu, maka tidak hairanlah akhlak mereka buruk dan tidak beradab terhadap ulama-ulama muktabar dahulu.
.
.
والله أعلم بالصواب

وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات

أبو أسامة محمد حنفية بن الحاج حسين

مدير مركز الدراسات الإسلامية ببوكيت كيجغ كماسيك ترنجانو.

(Dari FB Ustaz Yunan A Samad)

22/07/2019 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Hadis, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: