Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

ZIKIR SAMBIL ‘GOYANG BADAN’ TIDAK DILARANG

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK), Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin berkata secara asasnya tiada larangan terhadap perbuatan melakukan zikir sambil ‘menggoyangkan badan’.

Menurutnya, untuk mengatakan perbuatan ini haram atas dasar Rasulullah tidak pernah melakukannya, ia adalah tidak tepat kerana pada asasnya perkara harus kekal harus melainkan ia bertentangan dengan prinsip dan semangat al-Quran dan Sunnah.

“Sesuatu yang tidak dibuat oleh Nabi tidak semestinya haram berdasarkan kaedah tarku al-shay’ la yaqtadi tahrimuhu iaitu sekiranya (Rasulullah) meninggalkan sesuatu tidak semestinya bererti membawa hukum pengharamannya’. Juga berdasarkan kaedah fiqh al-umur bi maqasidiha (setiap perkara adalah berdasarkan matlamatnya).

“Walaubagaimanapun perbuatan zikir yang dilakukan haruslah tidak keterlaluan sehingga menghilangkan matlamat zikir itu sendiri iaitu untuk mengingati ALLAH. Ia juga hendaklah tidak melibatkan perkara-perkara yang haram dan maksiat seperti percampuran bebas lelaki dan wanita, pembukaan aurat, iringan nyanyian dan muzik yang keterlaluan sehingga merosakkan amalan zikir tersebut dan lari dari batas syariah Islam,” katanya ketika sidang media khas Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan di Ibu Pejabat Jakim Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Shukor berkata, perkara penting yang harus diambil perhatian dalam isu ini ialah perkara yang dilakukan tidak seharusnya melampaui batas.

“Apa sahaja dalam agama yang bersifat melampaui batas adalah ditolak. Oleh yang demikian kita melihat ramai ulama yang membezakan pergerakan dalam zikir antara yang bersifat fitrah dengan sesuatu yang dibuat-buat atau secara berlebihan.

“Sesuatu yang dibuat-buat atau berlebih-lebihan adalah tertolak kerana ia bertentangan dengan semangat zikir iaitu untuk mengingati ALLAH,” katanya.

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Sumber : Sinar Harian 20 April 2015

16/07/2019 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab), wahabi | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: