Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

HATI HATI DGN ASATIZAH YG MENGUPAS MASALAH FIQH HANYA DGN MERUJUK HADITH

Tempat yang betul untuk mengambil hukum hakam dalam masalah fiqh ialah daripada kitab-kitab fiqh, bukan hanya memadai daripada kitab-kitab syarahan hadis. Ini kerana dalam kitab syarah hadis biasanya tidak diterangkan sesuatu permasalahan dengan terperinci dan tidak diberitahu adakah hukum itu muktamad/rajih dalam mazhab atau tidak muktamad/marjuh.

Bahkan seringkali juga berlaku ketidak tepatan nukilan sesuatu permasalahan daripada mazhab tertentu dalam kitab syarah hadis disebabkan pengarangnya bukan bermazhab dengan mazhab tersebut, bukan kerana pengarangnya tidak jujur. Perkara ini jelas bagi sesiapa yang biasa menelaah kitab-kitab syarah hadis.

Justeru masalah fiqh mazhab Syafii hendaklah dirujuk kitab fiqh Syafii, mazhab Hanafi daripada kitab fiqh Hanafi, dan begitulah seterusnya.

Pengalaman ketika belajar di Pakistan dahulu, para ustaz akan menerangkan ikhtilaf mazhab dalam hadis yang berkaitan masalah fiqh. Setelah diterangkan ikhtilaf antara para imam mazhab, mereka akan mentarjihkan mazhab Hanafi dengan mendatangkan dalil-dalilnya, disebabkan mereka bermazhab Hanafi. Namun mereka tetap menghormati mazhab-mazhab lain.

Seringkali berlaku apabila mereka menukilkan pendapat mazhab Syafii kemudian dimarjuhkan, dinukilkan pendapat yang tidak muktamad. Kadang-kadang qaul qadim pun dinukilkan, sedangkan kita yang bermazhab Syafii pun tak pernah pegang pendapat tu, bahkan tak pernah dengar pun diamalkan. Ini berpunca daripada hanya memadai melihat nukilan sesuatu mazhab daripada kitab syarah hadis.

Di sini ada beberapa faedah dapat diambil,

1. Rujuk masalah fiqh daripada kitab fiqh mazhab

2. Rujukan mazhab tertentu daripada ulama mazhab tersebut صاحب البيت أدرى بما فيه

3. Dinasihatkan sebaik-baiknya sesiapa yang nak pergi belajar di negara luar terutamanya negara yang mengamalkan mazhab lain supaya belajarlah dahulu ilmu-ilmu alat, fiqh dan usul fiqh daripada para ulama’ tempatan. Selepas dah kuasai dengan baik, pergilah ke mana pun, supaya dia tidak gopoh menyalahkan ulama tempatan bila pulang nanti.

4. Para ulama India dan Pakistan secara umumnya bermazhab Hanafi, dan mereka juga belajar kitab-kitab hadis, kutub sittah dan lain-lain. Namun mereka tidak pun meninggalkan mazhab mereka atau menyalahkan mazhab mereka, walaupun belajar tinggi dalam bidang hadis. Sebabnya ialah mereka belajar dari bawah ke atas, pengajian kutub sittah dipelajari pada tahun Daurah Hadis iaitu tahun akhir. Bukan terus lompat ke atas tanpa melalui anak-anak tangga bawah. Peliknya ada orang bila belajar kitab hadis, terus tak nak bermazhab dan menyalahkan imam-imam mazhab.

والله أعلم، وبالله التوفيق

(Ustaz Abdullah Amir)

08/07/2019 Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | | 1 Comment

   

%d bloggers like this: