Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

WAHHABI DAN SIFAT 20

(Olih: Ustaz Mohd Al Amin Daud Al Azhari)

1. Wahhabi mengatakan pada zaman Nabi tidak ada akidah sifat 20 yang telah disusun secara sistematik oleh Imam Abu Hassan al-Asya’ari dan Imam Abu Mansur Al-Maaturidi رضي الله عنهما.

2. Saya jawab. Jika itu alasan Wahhabi untuk menolak penyusunan sifat 20 maka wahhabi perlu juga menolak penyusunan ilmu usul fiqh dan ulum Al-Hadith kerana Imam Syafie adalah orang yang pertama menyusun keduanya. Wahhabi juga perlu menolak ulum Al-Quran, ilmu nahu, ilmu soraf, ilmu balaghah dan segala macam ilmu yang tidak pernah ada pada zaman Nabi.

3. Bahkan Wahhabi juga perlu menolak kitab-kitab hadith kerana ia disusun oleh ulama dan ia tidak ada pada zaman Nabi. Kitab sahih Bukhari disusun oleh Imam Bukhari dan beliau adalah ulama’. Penyusunan hadith Bukhari berdasarkan ijtihad beliau di dalam memilih hadith-hadith Nabi untuk dijadikan hujjah.

4. Jika Wahhabi mengatakan ilmu sifat 20 berdasarkan ilmu kalam maka saya jawab kepada mereka bahawa segala ilmu qawaid di dalam Islam termasuk ulum dan mustolah hadith juga disusun berdasarkan kepada thoriq al-Mutakallimin.

5. Mengapa Wahhabi sangat membenci pengajian sifat 20? Jawapannya kerana sesiapa yang mendalami dan menguasainya pasti akan menolak akidah mujassimah dan musyabbihah yang mereka cuba sebarkan kepada masyarakat seperti Allah mempunyai anggota tangan, kaki, dua mata, betis. Allah bertempat di langit, di arash, kedua kaki Allah di atas kursi, naik turun Allah ke langit dunia, Allah ketawa dan sebagainya daripada akidah yang tidak mentanzihkan (menyucikan) dan mentauhidkan (mengEsakan) Allah daripada sebarang penyerupaan dengan makhluk.

6. Kita perlu faham segala ilmu itu telah ada pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم namun penyusunan (تدوين العلم) berlaku kemudian selepas kurun para sahabat. Tidak ada di dalam kitab tidak bermakna ilmu itu tidak wujud kerana peringkat awal ilmu diambil daripada dada ke dada dan mulut ke mulut. Maka sebab inilah pentingnya sanad ilmu yang muttasil (berhubung) sehingga kepada Nabi صلى الله عليه وسلم.

7. Teringat ketikamana guru kami Syeikh Dr Usamah as-Sayyid Al-Azhari mengsyarahkan berkaitan dengan ilmu mantiq. Kata beliau ilmu mantiq bukan wujud pada zaman Aristotle (ارسطو) tetapi ia telah wujud semenjak wujudnya manusia. Kerana manusia berfikir. Tinggal lagi Aristotle hanya menyusun secara sistematik dan menulisnya.

8. Benarlah pemikiran Wahhabi akan menghancurkan Islam kerana sedikit demi sedikit mereka cuba menghapuskan peradaban ilmu yang telah dimiliki oleh Islam.

Inilah jarum Yahudi yang berusaha menghancurkan Islam daripada dalam kerana mereka sedar tamadun Islam terbina di atas ilmu dan para ulamanya.

14/06/2019 Posted by | Bicara Ulama, wahabi | Leave a comment

Matikan Telefon Bimbit Ketika Solat

1. Tidak mengapa seseorang itu mematikan telefonnya ketika solat dengan syarat dia menjaga pergerakkannya. Ini kerana ringtone telefon amat mengganggu jemaah lain untuk khusyuk.

Rasulullah pernah menegur sahabat yang membaca al-Quran di dalam masjid dengan suara yang kuat kerana dikhuatiri mengganggu jemaah lain. Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Daud yang menyebutkan:

اعتكف رسول الله صلى الله عليه وسلم في المسجد فسمعهم يجهرون بالقراءة فكشف الستر وقال : ألا إن كلكم مناج ربه فلا يؤذين بعضكم بعضا ولا يرفع بعضكم على بعض في القراءة – أو قال في الصلاة

“Suatu hari Rasulullah beriktikaf di dalam masjid dan Baginda mendengar ada sahabat yeng menguatkan bacaan (al-Quran) mereka. Rasulullah lalu menyelak tabir Baginda dan berkata:

Bukankah kamu semua sedang bermunajat kepada Allah? Janganlah ada sebahagian kamu menyakiti (mengganggu) yang lain. Jangan pula kamu tinggikan suara kamu di dalam bacaan (al-Quran kamu) (sebahagian riwayat menyatakan meninggikan suara ketika solat kamu).” (HR Abu Daud).

2. Bayangkan, andai sekiranya perbuatan meninggikan suara ketika membaca al-Quran pun dilarang oleh Rasulullah kerana mengganggu ibadah jemaah yang lain, apatah lagi ringtone dengan lagu yang merosakkan tumpuan orang lain dalam solat mereka.

3. Bagaimana pula pergerakan yang diharuskan ketika dalam solat untuk mematikan telefon? Seseorang itu diharuskan untuk melakukan pergerakan kecil atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak. Beberapa hadith menunjukkan Rasulullah melakukan pergerakan kecil dalam solat atas keperluan yang diharuskan oleh syarak.

4. Sebagai contoh Baginda pernah mendokong cucu Baginda yang bernama Umamah ketika Nabi sedang solat. Perkara ini direkodkan di dalam Sahih al-Bukhari yang menyebutkan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا

“Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mendirikan solat sambil mendokong cucu Baginda bernama Umamah binti Zainab. Ketika Baginda ingin sujud, Baginda meletakkan Zainab dan ketika Baginda bangun, Baginda mengambil dan mendokongnya semula.” (HR al-Bukhari)

5. Rasulullah juga dilihat pernah memindahkan orang di dalam solat. Perkara ini diceritakan oleh Abdullah ibn Abbas yang menyebutkan:

قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي، فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ

“Rasulullah pernah mendirikan solat pada satu malam lalu aku solat bersamanya. Aku berdiri disebelah kiri Rasulullah. Rasulullah lalu memegang kepalaku dan menarikku ke sebelah kanan Baginda.” (HR al-Bukhari)

6. Rasulullah pernah membuka pintu ketika mendirikan solat sunat. Perkara ini diceritakan oleh Aisyah yang menyebutkan:

اسْتَفْتَحْتُ الْبَابَ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي تَطَوُّعًا وَالْبَابُ عَلَى الْقِبْلَةِ فَمَشَى عَنْ يَمِينِهِ أَوْ عَنْ يَسَارِهِ، فَفَتَحَ الْبَابَ ثُمَّ رَجَعَ إِلَى مُصَلَّاهُ

“Aku cuba membuka pintu ketika Rasulullah sedang mendirikan solat sunat. Dan ketika itu pintu tersebut berada di arah Kiblat. Maka Rasulullah bergerak ke kanan atau ke kiri, lalu Baginda membuka pintu tersebut. Kemudian kembali ke tempat solatnya lalu meneruskan solat Baginda.” (HR al-Nasa’i)

7. Jika diperhatikan hadith di atas, pergerakan yang dilakukan oleh Rasulullah ketika solat tidak membatalkan solat Baginda. Menurut Mazhab Syafie, terdapat beberapa syarat yang mesti dijaga oleh seseorang bagi mengelakkan solatnya terbatal. Antaranya adalah tidak melakukan pergerakan yang banyak dan berturut-turut. Dan pergerakan tersebut diharuskan oleh syarak.

Sekiranya seseorang itu boleh menjaga segala keperluan ini, maka pergerakan kecilnya untuk mematikan telefon adalah sesuatu yang harus. Membiarkan telefon berbunyi sehingga mengganggu jemaah lain adalah lebih dilarang.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

Masuk Neraka Kerana Kucing
==============
1. Dahulu lagi Rasulullah berpesan, ada seorang wanita yang masuk ke neraka kerana menyeksa kucing. Hari ini kita menyaksikan sendiri bagaimana perlakuan tersebut dirakamkan. Tindakan seorang lelaki yang menjerut dan menggantung kucing tersebut sehingga mati adalah insiden yang sangat sadis.

2. Hadith tersebut disampaikan kepada kita melalui bentuk penceritaan. Sabda Rasulullah:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا ، فَلَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا ، وَلَا هِيَ أَرْسَلَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ ، حَتَّى مَاتَتْ هَزْلً

“Seorang wanita masuk ke neraka kerana seekor kucing yang diikatnya, dia tidak memberinya makan, tidak juga dia membebaskan kucing tersebut untuk mencari makan dibumi ini, sehinggalah kucing tersebut mati kelaparan.

3. Hadith ini mengingatkan kepada kita bagaimana satu perkara yang dianggap remeh oleh seseorang boleh mengheret dirinya ke neraka. Dengan sebab itu kita digesa untuk menjauhi segala kezaliman sekalipun dengan yang haiwan.

4. Hadith ini turut menggambarkan kepada kita manusia boleh menjadi lebih kejam dari binatang. Rasulullah menggunakan contoh seorang perempuan yang sifat semulajadinya sepatutnya lembut dan penyayang. Namun, ia boleh jadi keras dan zalim sekiranya tidak dipandu dengan syarak.

Moga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

14/06/2019 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Bahaya Mendedahkan Dosa Sendiri

1. Rasulullah mencela mereka yang suka mendedahkan dosa mereka sendiri sedangkan Allah sudah menyembunyikan keaiban maksiat yang mereka lakukan. Sabda Rasulullah:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

“Setiap umatku akan diampunkan dosa mereka melainkan golongan mujahirin (iaitu mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri). Yang dimaksudkan dengan ‘mujaharah’ itu ialah seorang lelaki yang melakukan satu perbuatan (maksiat) pada waktu malam sedangkan Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada malam tersebut.

Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan (dosa) ini dan perbuatan (dosa) itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang dia lakukan pada malam hari, namun dia bangun pada waktu pagi lalu mendedahkan sendiri apa yang Allah telah sembunyikan aibnya.” (HR al-Bukhari)

2. Hari ini umat ditimpa penyakit. Mereka merasa bangga dengan dosa. Bahkan mereka menayangkan pula gambar-gambar tidak menutup aurat, atau merakamkan pula pengakuan maksiat yang dilakukan di media sosial. Sedangkan seorang mukmin itu sepatutnya tidak merasa selesa dengan dosanya. Sabda Rasulullah:

“إِذَا سَرَّتكَ حَسَنَتُكَ وَسَاءَتكَ سَيِّئَتُكَ فَأَنتَ مُؤمِنٌ”

“Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal kebaikan dan merasa tidak selesa dengan kejahatan yang engkau lakukan, maka engkau adalah orang yang beriman.” (HR Ahmad)

3. Bahkan seorang mukmin itu amat malu dan takut dengan dosanya. Mukmin menganggap dosa mereka seperti gunung yang akan menimpanya. Sabda Rasulullah:

إِنَّ المُؤمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَن يَقَعَ عَلَيهِ، وَإِنَّ الفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنفِهِ

“Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti dia sedang duduk di bawah bukit dan bimbang bukit (dosa) itu itu akan menimpanya sedangkan orang yang fajir (fasiq) itu melihat dosanya hanya seperti lalat di atas hidungnya.” (HR al-Bukhari).

4. Hadith ini jelas menunjukkan bahawa seorang mukmin itu sepatutnya sangat malu untuk menayangkan perlakuan dosa mereka. Sabda Rasulullah:

والإثم ما حاك في نفسك وكرهت أن يطلع عليه الناس

“Dosa itu adalah apa yang tidak enak dihatimu dan engkau benci untuk menayangkannya di hadapan manusia.” (HR Muslim).

5. Hari ini sifat itu telah semakin pupus. Sehinggakan seorang muslim itu sudah tidak merasa malu lagi untuk berkongsi perlakuan dosa, malah menjadikannya atas kepentingan yang menghairankan.

Moga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

14/06/2019 Posted by | Bicara Ulama, Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: