Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

TALQIN MENURUT HADITH DAN ULAMA’ 4 MAZHAB:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=636347206823569&id=100013448867314&sfnsn=mo

Keharusan Hukum Membaca Talkin Keatas Orang Yang Telah Meninggal Dunia (Bersandarkan Kepada Hadith Nabi SAW dan Ulama’ 4 Mazhab).

Sesungguhnya hukum mentalqinkan mayat dengan kalimat tauhid “La ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah” ataupun dengan perkataan suci yang lain adalah harus hukumnya dari segi syarak dan bersesuaian dengan ajaran agama Nabi Muhammad SAW.

Sememangnya tidak ada dalil dari nas Al-Qur’an mahupun nas Al-Hadith yang mengharamkan amalan talqin kecuali mereka (yakni Wahabi) yang mengharamkannya hanya bersandarkan ianya suatu Bid’ah yang tidak dilakukan oleh Rasul SAW. Malangnya nas-nas hadith Nabi SAW jelas bercanggah dengan apa yang mereka dakwa.

Mari kita kupaskan secara ilmiah melalui Hadith Nabi SAW yang Mengharuskan Talqin:

Apa yang didakwa mengenai pengharaman hukum talqin oleh Wahabi dan kuncu-kuncu mereka yang kerap membuat kacaubilau dalam masyarakat umat islam adalah tidak berasas. Bahkan ianya bertujuan memperlaga-lagakan umat islam yang melakukan amalan tersebut.

Kononnya ianya adalah satu Bid’ah yang Nabi SAW tidak pernah buat dan tidak pernah suruh orang lain buat dan bagi Wahabi siapa buat amalan talqin maka ia sudah membuat perkara Bid’ah dan akan masuk api neraka jahannam.

Benarkah dakwaan Wahabi itu..???

Mari kita singkap Hadith Nabi Muhammad SAW sendiri menyuruh amalan talqin yang diriwayatkan oleh Imam At-Tobarony dalam Mu’jam Soghir dan Mu’jam Kabir daripada Abi Umamah Al-Bahily berkata:

[إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نصنع بموتانا، أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: إذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب على قبره فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل: يا فلان ابن فلانة فإنه يسمعه ولا يجيب، ثم يقول: يا فلان ابن فلانة فإنه يستوي قاعداً، ثم يقول: يا فلان ابن فلانة فإنه يقول أرشدنا يرحمك الله ولكن لا تشعرون، فليقل: اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمداً عبده ورسوله وأنك رضيت بالله رباً وبالإسلام ديناً وبمحمد نبياً وبالقرءان إماماً فإن منكراً ونكيراً يأخذ كل واحد منهما بيد صاحبه ويقول: انطلق بنا ما يقعدنا عند من لُقّن حجته، قال [أي أبو أمامة]: فقال رجل: يا رسول الله فإن لم يُعرف أمه، قال: ينسبه إلى أمه حواء، يا فلان ابن حواء” .

Yang bermaksud: “Apabila aku mati nanti, lakukan padaku sepertimana yang disuruh oleh Rasulullah SAW agar dilakukan kepada mayat, Rasulullah SAW telah memerintah kita dengan sabda baginda: “ Apabila matinya seorang daripada kalanganmu, maka tanam dan berdirilah seorang dikalangan kamu pada bahagian kepala dikuburnya kemudian katakan Wahai si fulan anak si fulanah, orang itu mendengarnya tetapi dia tidak akan menjawab, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia duduk, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia berkata semoga Allah SWT merahmati kamu tetapi kamu semua tidak merasai (apa yang telah berlaku pada si mayat), maka hendaklah dikatakan: Ingatlah apa yang telah menyebabkan kamu dilahirkan kedunia iaitu syahadah tiada Tuhan melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu adalah hamba & rasulNya, dan engkau telah meredhoi dengan Allah SWT sebagai tuhan mu dan islam itu agamamu dan Muhammad itu nabimu dan al-Qur’an itu petunjukmu maka malaikat mungkar dan nakir akan mengambil tangannya lantas berkata ayuh bersama kami bawakan kepada siapa yang telah ditalqinkan hujahnya”.

Abu Umamah bertanya kepada Rasulullah SAW, wahai Rasulullah… Bagaimana sekiranya tidak diketahui nama ibunya? Rasulullah SAW menjawab “Maka hendaklah dinasabkan kepada ibu manusia iaitu Hawa dengan mengatakan Wahai si fulan anak Hawa”.

Tamat Hadith yang Di Riwayatkan oleh Imam Al-Hafiz Tobarony Dalam kitabnya Mu’jam Soghir Wal Kabir.

Hadith yang mengharuskan talqin diatas telah shohihkan sanadnya (ulama hadith menyatakan hadith itu boleh digunakan) oleh Imam Muhaddith dari kalangan ulama hadith iaitu Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqolany dalam kitab beliau berjudul At-Talkhis Al-Habir sepertimana yang juga dibawah Kitab Al-Majmuk oleh Imam Nawawi pada jilid 5 muksurat 243 :

وإسناده صالح وقد قواه الضياء في أحكامه

Yang bermaksud: “ Sanad hadith ini adalah boleh digunakan dan hadith ini telah dikuatkan oleh Imam Al-Hafiz Ad-Dhiya dalam kitab Ahkam”.

Maka Hadith Nabi Muhammad SAW ini jelas mengharuskan amalan talqin sepertimana para ulama’ salafussoleh berpegang dengan hukum mengenainya.

Tiada seorangpun ulama islam yang muktabar mengingkari amalan talqin ini kecuali mereka yang berfahaman Wahabi dizaman ini yang membuat umat islam kebingungan & bercelaru serta membuat umat islam berpecah belah dengan mendakwa amalan talqin ini adalah satu perbuatan Bid’ah yang teramat buruk dan siapa melakukan talqin maka dia sesat dan akan masuk neraka jahannam.

Soalan ku tujukan kepada penentang amalan talqin:

1) Berikan padaku ayat Al-Qur’an yang jelas mengharamkan dan membid’ahkan amalan talqin?

2) Berikan padaku Hadith yang jelas dari Nabi Muhammad SAW yang mengatakan amalan talqin adalah haram atau bid’ah?

3) Sebutkan seorang sahaja ulama’ salafussoleh (ulama’ islam yang hidup pada 300H pertama) yang menyatakan amalan talqin adalah haram atau bid’ah?

Saya menunggu jawapan soalan diatas dari mana-mana Wahabi.

Disini ingin saya bawakan juga kata-kata ulama islam “Ahli Sunnah Wal Jama’ah” yang mengharuskan amalan talqin dari mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Syafi’e dan tidak juga lupa dari mazhab Hambali yang mana puak Wahabi sering mendakwa mereka dari golongan mazhab Hambali.

MAZHAB ISLAM MENGHARUSKAN TALQIN:

1) Kenyataan Mazhab Hanafi Mengharuskan Talqin;

Berkata As-Syeikh Al-Alim Abdul Al-Ghony Al-Ghonimy Ad-Dimasyqy Al-Hanafi dalam kitab beliau berjudul Al-Lubab Fi Syarhil Kitab pada jilid 1 mukasurat 125 menyatakan:

: “وأما تلقينه (أي الميت) في القبر فمشروع عند أهل السنة لأن الله تعالى يحييه في قبره”.

“Manakala hukum mentalqin mayat dikubur adalah merupakan syariat islam disisi Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana Allah ta’ala menghidupkan mayit dalam kuburnya”.

Telah jelas bahawa dalam mazhab Hanafi amalan talqin adalah diharuskan bahkan disyariatkan.

Adakah Wahabi akan membid’ahkan serta mengkafirkan ulama Hanafi kerana mengharuskan amalan talqin?

Kenapa Wahabi benci sangat dengan amalan talqin?

Apa kesalahan talqin terhadap kamu wahai Wahabi?

2) Mazhab Maliki Mengharuskan Amalan Talqin;

Imam Al-Qurtuby Al-Malikiy pengarang kitab tafsir terkenal telah menulis satu bab yang khusus mengenai amalan talqin disisi mazhab Maliki dalam kitab beliau berjudul At-Tazkirah Bil Ahwal Al-Mauta Wal Akhiroh pada mukasurat 138-139:

باب ما جاء في تلقين الإنسان بعد موته شهادة الإخلاص في لحده

Didalam bab itu juga Imam Qurtuby telah menjelaskan amalan talqin dilakukan oleh para ulama islam di Qurtubah dan mereka mengharuskannya.

Dalam mazhab Maliki juga bercanggah dengan mereka yang mengharamkan amalan talqin.

Dimana dali anda wahai si pengharam talqin?

3) Mazhab Syafi’e Mengharus & Mengalakkan Amalan Talqin;

a) Imam An-Nawawi As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Al-Majmuk pada jilid 5 mukasurat 303-304:

قال جماعات من أصحابنا يستحب تلقين الميت عقب دفنه” ثم قال: “ممن نص على استحبابه: القاضي حسين والمتولي والشيخ نصر المقدسي”

Yang bermaksud: “ Telah menyatakan oleh ramai para ulama dari mazhab Syafi’e bahawa disunatkan talqin pada mayat ketika mengebumikannya”.

Kenyataan mazhab Syafi’e dari kitab yang sama :

“وسئل الشيخ أبو عمرو بن الصلاح رحمه الله عنه فقال: التلقين هو الذي نختاره ونعمل به”

Imam Nawawi menyatakan: “ Telah ditanya kepada As-Syeikh Abu Amru Bin As-Solah mengenai talqin maka beliau menjawab Amalan talqin merupakan pilihan kita (mazhab Syafi’e) dan kami beramal dengannya”.

b) Imam Abu Qosim Ar-Rofi’e As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Fathul ‘Aziz Bi syarh Al-Wajiz tertera juga pada bawah kita Al-Majmuk oleh Imam Nawawi pada jilid 5 mukasurat 242:

“ويستحب أن يُلقن الميت بعد الدفن فيقال: يا عبد الله بن أمة الله …” إلى اخره .

Yang bermaksud: Digalakkan dan disunatkan mentalqin mayat selepas mengebumikannya dan dibaca : Wahai hamba Allah bin hamba Allah…(bacaan talqin).

Di Nusantara kebanyakkannya umat islam berpegang kepada mazhab Syafi’e.

Kenapa anda buat fitnah ke tanah air kita wahai Wahabi?

Kenapa anda sering memecah belahkan umat islam dengan mengunakan isu talqin ini wahai Wahabi?

Sedangkan hukum talqin adalah harus berdalilkan dari Hadith Nabawi.

4) Wahabi sering mendakwa yang kononnya mereka bermazhab Hambali, dan sedangkan mazhab Hambali juga Mengharuskan Talqin;

a) Imam Mansur Bin Yusuf Al-Buhuty Al-Hambaly menyatakan hukum pengharusan talqin dalam kitab beliau berjudul Ar-Raudul Mari’ mukasurat 104.

b) Imam Al-Mardawy Al-Hambaly dalam kitabnya Al-Insof Fi Ma’rifatil Rojih Minal Khilaf pada jilid 2 mukasurat 548-549 menyatakan:

“فائدة يستحب تلقين الميت بعد دفنه عند أكثر الأصحاب”

Yang bermaksud: “ Kenyataan yang penting; Disunatkan hukum talqin mayat selepas mengkebumikannya disisi kebanyakan ulama’ (selainnya hanya mengaruskan sahaja).

Sekarang dimanakah pula kedudukan Wahabi setelah hukum keharusan talqin diperjelaskan berdasarkan hadith Nabi SAW dan mazhab empat termasuk mazhab Hambali..???

Saudara sekalian… pilihlah, anda mahu mengikut ulama islam yang muktabar yang mana mereka mempunyai hujjah dari nas ataupun mahu mengikut fahaman Wahabi yang mengatakan amalan talqin adalah perbuatan Bid’ah lagi haram sedangkan wahabi tak mempunyai satupun dalil yang menyokong fatwa sesat mereka.

Nasihat saya kepada pengamal talqin agar tidak menetapkan atau meminta apa-apa bayaran dunia atas perbuatan yang diharuskan itu untuk mendidik diri agar lebih ikhlas kepada Allah SWT.

Semoga pencerahan yang ringkas ini dapat memberikan manfa’at buat kita didunia & diakhirat … آمين يا رب العالمين

والله أعلم بالـصـواب

Olih: Ustaz Yunan A Samad

12/05/2019 - Posted by | wahabi

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: