Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Wahhabism: Faktor Utama Penyebaran Terrorisme

Dr. Mohd Mizan Aslam
Prof. Madya UniMAP & Pengerusi
Pusat Kajian Strategik Malaysia (MyRISS)

mohdmizan@gmail.com

Perbincangan tentang terrorisme tidak akan dapat lari dari membicarakan peranan Wahhabism sebagai fasilitator dalam penularan ideologi ekstrem dan radikal yang akhirnya membawa kepada perbuatan terrorisme. Walaupun tajuk ini agak sensitif dan mendatangkan perdebatan hebat di kalangan ilmuan, akan tetapi tiada sesiapapun yang dapat menafikan hubungkait ‘Wahhabism & Terrorism’. Tanpa prejudis, tidak semua aliran yang dibawa oleh Wahhabism ini adalah ekstrem, akan tetapi semua ekstremis adalah Wahhabi dan ianya sering menjadi rujukan dan panduan bagi kebanyakkan gerakan terrorisme di seluruh dunia. Terdapat tiga persoalan utama disini, pertamanya apakah benar Saudi adalah dalang utama dalam pergembangan ideologi ekstrem Wahhabi hingga membawa kepada keganasan, keduanya apakah elemen yang menjadikan aliran Wahhabism adalah pilihan utama ekstremis dan ketiga memahami perbezaan Wahhabi dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada keganasan di seluruh dunia.

Kerajaan Amerika juga bersetuju dengan peranan yang dimainkan oleh Wahhabi dalam penyebaran ideologi terrorisme, akan tetapi atas dasar kepentingan geopolitik dan ekonomi, perkara ini didiamkan sahaja. Hubungan erat diantara Amerika dan Saudi bermula sejak 1930an terutamanya dalam aspek politik dan ekonomi melalui aktiviti persenjataan dan ketenteraan serta petrodollar. Pelbagai dasar luar Amerika sering menyebelahi Saudi walaupun tidak tepat dan agak kontroversial termasuklah yang terkini tentang pembunuhan Jamal Khasoggi pada 02 Oktober 2018. Perhubungan Amerika dan Saudi teruji sejak kejadian 11 September 2001 apabila 15 daripada 19 perancang utama kejadian tersebut adalah warga Saudi dan juga sokongan kewangan Saudi terhadap Al-Qaeda atas nama ‘global jihad’. Ini menjadikan warga Amerika dan dunia amnya tertanya-tanya peranan Saudi disebalik penularan ideologi Wahhabism ke seluruh dunia.

Tidak adil menyatakan Wahhabism sebagai ideologi pengganas tanpa memahami asas dan sejarahnya. Sebelum 1932, tidak adanya negara Arab Saudi, yang ada hanyalah semenanjung Arab sebagaiamana yang dinyatakan di dalam Quran dan Hadis selain dari pembuktian sejarah. Akan tetapi apabila Raja Saud mendapat pengiktirafan dari empayar British, maka tertubuhlah negara Saudi yang telah mengangkat aliran Wahhabism sebagai pendekatan terbaik untuk memulihkan penyesatan dan kepincangan pengamalan Islam yang berlaku dalam masyarakat dan umat Islam di seluruh dunia. 200 tahun sebelum itu, Sheikh Muhammad Abd Wahhab (SMAW) telah memperjuangkan aliran yang dianggap lebih suci dan mengikut sunnah Rasullulah s.a.w. secara tepat yang kemudianyya dikenali sebagai aliran Wahhabi. Aliran ini menolak bid’ad termasuk menziarahi kubur dan amalan zikir-zikir pada ibadah-ibadah tertentu dan lain-lain lagi. Wahhabism lebih selesa dan menyokong pendekatan Ibnu Taimiyah yang menolak konsep bid’ah dan penegakkan syariat Islam melalui penyucian amalan Islam atau Salafi serta menggesa untuk mengangkat senjata dalam urusan berpolitik.

Wahhabism menganggap bahawa mereka mempraktikkan Salafi sebenar sebagaimana yang diamalkan di Saudi pada ketika ini. Pada asalnya, aliran yang dibawa SMAW ini berkembang di seluruh tanah Arab yang pada masa itu telah diresapi dengan amalan taklid, kefanatikan mazhab, syirik dan bid’ah. Maka gerakan pembaharuan agama telah dipelopori bagi menentang amalan-amalan tersebut dan mempraktikkan ajaran yang berasaskan hanya kepada Quran dan Hadis atau dikenali sebagai Salafi. Golongan ini lebih selesa menggelarkan diri mereka Salafis berbanding Wahhabi. Akan tetapi yang sebenarnya semua Wahhabi adalah Salafi tetapi bukan semua Salafi adalah Wahhabi. Pengikut Ahli Sunnah Wal Jammah juga adalah Salafi.

Seharusnya difahami, perjuangan Wahhabi ini dibawa oleh seorang individu bernama SMAW yang dipengaruhi oleh persekitaran semenanjung Arab pada masa itu, peribadi beliau yang dididik dan mempraktikkan mazhab Hambali secara rigid dan pengaruh dua tokoh besar pada ketika itu iatu Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Wahhabism menjadikan tiga perkara utama sebagai asas gerakannya iaitu aqidah, siyasah (politik) dan dakwah. Aqidah Salafiyah sebagaiamana yang dibawa oleh Ibnu Taimiyah berpusat kepada Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah, siyasah pula menggalakkan amalan jihad dalam menegakkan Islam disamping mudah mengkafirkan orang lain yang tidak sealiran pemikiran dengannya dan pendekatan dakwah yang ekstrem dalam menentang amalan syirik, bidaah dan khurafat.

Penubuhan negara Saudi yang dirangka oleh pakatan keluarga Saud dan empayar British sekitar 1920an telah mengadaptasikan gerakan Wahhabism sebagai tunjang utamanya. British cuba memastikan bahawa Islam dapat dihancurkan dengan cara yang lembut tapi menikam dan akhirnya melemah dan memusnahkan Islam dengan sendirinya. British tidak perlu mencipta Al-Quran baharu atau meruntuhkan Ka’abah di Makkah, tetapi akan menggunakan Islam itu sendiri sebagai senjata ampuh bagi merosakkan Islam dan memastikan Islam tidak akan bangkit semula. Selain itu, memecah belahkan Islam dengan mempromosikan Sunni dan Syiah juga menjadi satu lagi agenda licik British dan sekutu-sekutunya. Perkara ini disedari oleh kerajaan Sadi, akan tetapi atas dasar kepentingan politik dan pengekalan kuasa monarki telah menjadikan perkara ini didiamkan sahaja oleh Saudi mahupun Amerika.

Sekurang-kurangnya empat faktor utama dalam penyebaran gerakan Wahhabism di seluruh dunia dan secara tidak langsung mengaktifkan kegiatan terrorisme yang juga dikenali sebagai ‘global jihad’. Faktor pertama adalah pendidikan berasaskan Wahhabism. Seluruh dunia telah diberikan bantuan yang signifikan teruatamanya dalam pembinaan sekolah, madrasah dan universiti dengan dana Saudi. Secara automoatik, semua institusi ini menggunakan silibus dan bahan-bahan bacaan dan pendidikan yang dibekalkan oleh Saudi. Malah sebahagaian besar buku-buku berkaitan diimport terus dari Saudi dan diimplementasi tanpa usul periksa oleh para guru dan alim ulama tempatan. Selain itu, gerakan dakwah Wahhabi juga diperkukuhkan dengan pemberian dana serta tajaan kepada mubaligh yang mengajarkan Islam versi Wahhabi ke seluruh dunia terutamanya dnegara-negara yang Miskin dan mempunyai minoriti Muslim. Perkara yang sama juga berlaku di Malaysia melalui pembayaran sejumlah saguhati atau gaji bulanan kepada para guru atau ustaz bagi mengembangkan ajaran Islam ‘Salafi’ versi Wahhabi.

Faktor kedua berkaitan dana atau kekuatan sumber kewangan yang dimiliki oleh Saudi. Sejak 1970an iaitu apabila petrodollar menjadi pemangkin kepada kekayaan negara-negara Arab termasuk Saudi, maka ketika inilah penyebaran dana secara besar-besaran berlaku di seluruh dunia. Atas nama membantu umat Islam, maka pelbagai dana disalurkan ke seluruh dunia teruatamanya untuk pembinaan masjid, pusat Islam dan aktiviti-aktiviti dakwah dan kemanusiaan. Laporan oleh PBB pada 2004, lebih 100juta USD telah disalurkan oleh Saudi untuk aktiviti kemanusiaan di seluruh dunia. Perisik Indonesia melaporkan pula bahawa 15-20 peratus dana tersebut telah disalurkan atau digunakan untuk aktiviti terrorisme di seluruh dunia termasuklah di rantau Asia Tenggara. Selain itu, aktiviti persendirian juga menyumbang kepada faktor ini sebagaimana Khalid Sheikh Muhammad (KSM), warga Saudi yang dilaporkan membawa USD50,000 ke Filipina pada tahun 2001 untuk membiayai aktiviti keganasan di Indonesia dan Filipina, keadaan yang sama juga dilakukan oleh Osama Laden yang menggunakan platform Saudi untuk meraih pendapatan besar dan seterusnya disalurkan untuk aktiviti Al-Qaeda. Zachary Abuza dalam bukunya Financial Network of Al-Qaeda and Jemaah Islamiyyah menyatakan bahawa lebih 300 badan kebajikan dan saluran dana melebihi 10juta USD untuk aktiviti keganasan di Asia Tenggra telah dilakukan oleh Saudi sekitar 2001-2002.

Faktor ketiga adalah berkaitan pengawalan ke atas media utama di semenanjug Arab dan penyebarannya di negara-negara Islam. Al-Jazeera, media yang berpusat di Qatar dianggap tidak sehaluan dengan aliran Wahhabism, pelbagai tekanan telah diberikan kepada Al-Jazeera mahupun Qatar yang berakhir dengan krisis diplomatik sejak 2017. Perkara ini disokong oleh Amerika walaupun kelihatannya mereka agak keberatan kerana hubungan dagang yang besar diantara Doha dan Washington. Media yang dikuasai oleh Saudi adalah Al-Sharq, Al-Hayat, Al-Awsat, Al-Muslimun dan banyak lagi. Penularan agenda Wahhabism dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui monopoli media di Asia Barat oleh Saudi dan akhirnya dieksport ke nagara-negara Islam lainnya.

Faktor seterusnya adalah berkaitan penguasaan Makkah dan Madinah. Penyebaran istilah ‘penjaga dua tanah suci’ telah menjadikan umat Islam seluruh dunia melihat bahawa Saudi adalah satu-satunya negara yang mempertahankan Makkah dan Madinah. Malah ditonjokan sistem Khalifah Islamiyah sebagaimana yang dibawa oleh empayar Turki Uthmaniyyah adalah tidak betul dan perlu ditolak. Maka dapat dilihat bahawa pelbagai tinggalan empayar Uthmaniyyah cuba dihapuskan hingga tidak dibicarakan langsung dalam mana-mana buku sejarah acuan Saudi. Tinggalan-tinggalan sejarah berkaitan Rasulullah juga cuba dihapuskan atas nama penolakan kepada Bid’ad yang mengakibatkan Saudi dipandang hebat dan yang paling berwibawa dalam mempertahankan Islam serta apa yang diamalkan di Saudi itu adalah Islam sebenarnya.

Akan tetapi seharusnya difahami bahawa Islam dan Arab adalah berbeza. Banyak perkara yang merupakan sifat Arab dan budayanya adalah bertentangan dengan Islam. Ramai yang tidak dapat membezakan antara Islam dan Arab hingga akhirnya keliru dan hanya mengikuti apa sahaja yang datang dari Saudi sebagai yang terbaik dan itulah Islam sebenarnya.

Adakah Islam yang diamalkan di benua dan negara lain di dunia ini tidak betul? Jika tidak masakan Islam telah bertapak dan diterima di seluruh dunia dengan asimilasi unsur-unsur lokal sejak ratusan tahun yang lalu.

26/04/2019 - Posted by | wahabi

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: