Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

TEGURAN BUAT SEORANG DR PHD YG TIDAK TELITI SEBUT NABI SAW PUN TIMBUL SYAHWAT KETIKA MELIHAT WANITA….

Olih Ustaz Nasrul Nasir.

Saya telah mendengar petikan ceramah seorang Dr PHD yang telah menceritakan bahawa ketika Baginda sallallahu alaihi wasallam sedang bersama para Sahabat , tiba-tiba lalu seorang perempuan dihadapan Baginda lalu Baginda terdetik perasaan Syahwat lantas Baginda bangun dan masuk ke dalam rumah menunaikan hajat dengan salah seorang isterinya. Setelah Baginda keluar daripada rumah kelihatan rambut Baginda sallallahu alaihi wasallam basah, lalu Baginda menyebut perkataan ini :

مرت بي فلانة فوقع في قلبي شهوة النساء فأتيت بعض أزواجي فأصبتها

Maksudnya : [[Telah lalu dihadapanku seorang wanita maka telah terdetik di dalam hatiku akan syahwat kepada wanita lalu aku mendatangi sebahagian isteriku]]

Dr tersebut dengan yakin menyebut bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rahimahullah.

Lalu Dr itu menyebut bahawa para ulama pun mengatakan bahawa hadis ini memang ajaib.

Kemudian lalu dia menggunakan hujah ini untuk mengatakan bahawa ini bukti Baginda juga manusia biasa yang juga punya nafsu syahwat.

JAWAPAN SAYA :

1) Hadis ini yang pertamanya bukanlah riwayat al-Imam Muslim. Tetapi ianya adalah Riwayat al-Imam Ahmad di dalam Musnad dan al-Imam At-Thabrani di dalam Mu’jam al-Ausath.

Menisbahkan kepada Imam Muslim itulah yang menyebabkan ramai penyokongnya Taqlid buta tanpa merujuk kembali kesahihan perkataan Dr PHD ini walaupun merekalah paling bersemangat menyuruh hadis-hadis yang dibacakan ulama perlu dirujuk dan disemak semula. Ini lebih Ajaib .

2) Hadis ini berlaku perbincangan panjang oleh para ulama hadis di dalam ilmu Jarh Wa Ta’dil. Tidak perlu saya panjangkan perbahasan di sini.

Cuma kesimpulannya para ulama mengatakan ,bahkan al-Imam Thabrani sendiri menyebut bahawa hadis ini tidak diriwayatkan daripada Abi Khabsyah melainkan hanya melalui Sanad tersebut sahaja. Muawiyah bin Soleh bersendirian di dalam meriwayatkan hadis ini.

Jika mahu perbahasan yang lebih panjang nanti saya akan bacakan dan akan disiarkan potongan perbahasan itu di dalam FB nanti.

3) Sebahagian ulama ketika membicarakan hadis ini , maka mereka berbicara dengan penuh adab. Alhamdulillah para ulama Al-Azhar As-Syariff telah mengajar kami jika berbicara tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam janganlah berbicara seperti kita menceritakan tentang peribadi manusia biasa. Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah manusia agung yang tiada bandingannya. Jangan sesekali menilai Baginda seperti kita.

Ini juga adalah akhlaknya para sahabat. Berbeza dengan kelompok yang sambungannya terputus dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam, mereka sewenang-wenangnya berbicara tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam. Moga kita sentiasa dijaga adab dan ucapan kita dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam.

4)Para ulama mengatakan matan hadis ini terdapat sedikit kepincangan kerana bercanggah dengan banyak hadis yang lebih sohih yang menceritakan tentang keadaan Baginda sallallahu alaihi wasallam. Bagaimana mungkin Baginda sallallahu alaihi wasallam boleh terdetik syahwat kepada wanita yang berlalu di depan Baginda sallallahu alaihi wasallam?

Cuba kita lihat hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Sayyidatuna Aisyah As-Siddiqah radhiyallahu anha:

«أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يقبل وهو صائم وكان أملككم لإربه».واللفظ لمسلم في كتاب

Maksudnya : ((Sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah mencium seorang isterinya dalam keadaan Baginda berpuasa. Dan adalah Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah orang yang paling dapat menahan nafsunya))

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa :

[[ Para Ulama berkomentar : Maksud perkataan Sayyidatuna Aisyah radhiyallahu anha itu adalah untuk kalian berjaga-jaga jangan mencium isteri ketika berpuasa ,dan jangan menyangka bahawa kalian seperti Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam boleh melakukannya kerana Baginda adalah orang yang dapat menahan dirinya serta aman Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada gelojak Nafsu dan seumpama dengannya. Manakala kamu semua tidak selamat daripada perkara tersebut, maka hendaklah kalian berjaga-jaga dan menahan diri daripada mencium isterinya ketika berpuasa]] .

Al-Imam Tirmizi rahimahullah juga menafsirkan dengan perkataan yang sama . Al-Imam Malik di dalam Muwatto’ juga menyebutkan sedemikian malah disetujui oleh al-Imam Al-Iraqi rahimahullah.

Jadi saya hairan , Bagaimana Dr PHD ini boleh mentafsirkan dengan perkataan yang tidak ditafsirkan oleh para ulama agung ini? Sekali lagi saya merasa ajaib.

5) Walaupun Dr PHD tersebut berniat baik untuk menceritakan sisi kemanusian Baginda sallallahu alaihi wasallam tapi cara pendalilan yang digunakan tidak kena pada tempatnya.

Adakah Dr PHD tersebut ingin menganggap bahawa para Sahabat ridwanullah alaihim ajma’in lebih menjaga pandangan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam sehingga hanya Baginda sahaja yang terkesan dengan kecantikan wanita tersebut?

Adakah Dr terlupa yang ayat menundukkan pandangan itu terlebih dahulu diamalkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam?

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Maksudnya: ” Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Dan lupakah Dr bahawa Allah taala sendiri telah membersihkan pandangan mata Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam daripada melihat dengan syahwat di dalam ayat 17 surah an-Najm:

مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَىٰ

Maksudnya : “Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak akan liar ke kiri dan ke kanan serta tidak melihat yang sepatutnya , dan tidak pula melampaui batas.

Ini adalah seperti yang ditafsirkan oleh al-Imam al-Baghawi rahimahullah di dalam Tafsirnya .

6) Bagaimana mungkin Baginda sallallahu alaihi wasallam boleh terdetik hatinya dengan Syahwat kepada wanita yang tidak halal sedangkan Baginda telah dibersihkan dan dilapangkan dadanya daripada perkara sedemikian?

Terlupakah Dr dengan ayat :

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ

Maksudnya : “Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?”

Tafsiran ayat ini sangat luas menunjukkan betapa agungnya Baginda sallallahu alaihi wasallam.

7) Ilmu ini luas, maka tuntutlah ia dengan adab. Jika hanya ilmu diambil, hadis dibaca tetapi adab membaca dan memahaminya tidak diperhalusi maka akan lahir Alim yang keras dan tidak beradab.

Kita disuruh beradab dengan semua orang , terlebih lagi dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam yang dimuliakan oleh Allah taala.

Maka nasihat saya, beradablah ketika berbicara tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Baginda bukan seperti kita. Pandangan , gerak- langkah, pertuturan dan segenap segi tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah berbeza dengan kita.

Cukuplah ayat :

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.

Menjadi ingatan dan panduan buat kita.

Moga Dr kembali muhasabah diri dan tidak sewenang-wenangnya berbicara tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Maaf daripada saya.

Barakallahu fikum 😊

Ini Dr PHD yg di makksudkan sila klik utk tonton…..apa beliau Syarahkan.

10/03/2019 Posted by | Uncategorized | 1 Comment

ALLAH BERADA DI TEMPAT YANG TIDAK WUJUD?

Baru dapat dengar ulasan Syeikh Ridhouddin,Mudir Pondok Ihya Ulumiddin,Mengkuang Pulau Pinang, berkenaan debat antara Salman Ali dan Abu Syafiq.

Syeikh Ridhouddin membidas dengan kemas konsep al-Makan al-‘Adami (tempat yang tidak wujud) yang diperkenalkan oleh Salman Ali.

Syeikh sebut, makan مكان (tempat) adalah perkataan Arab yang berasal daripada perkataan كان. Perkataan ini membawa maksud موجود atau “wujud”. Adapun ‘adami, maka ia membawa maksud tidak wujud.

Apabila مكان disifatkan dengan Adami عدمي maka berlakulah اجتماع الضدين, iaitu “berkumpulnya dua perkara yang berlawanan pada satu masa”, sedangkan ini mustahil, berdasarkan kaedah akal,

الضدان لا يجتمعان
“Dua perkara yang bercanggah tidak akan berkumpul”.

Wujud dan tidak wujud tidak boleh berkumpul serentak, oleh itu tidak boleh disifatkan makan dengan adami, kerana dua-duanya membawa maksud yang berlawanan. Sekiranya disifatkan juga, ia akan membawa kepada perkara yang mustahil.

Oleh itu, konsep Makan Adami yang diperkenalkan Salman Ali adalah salah kerana ianya berlawanan dengan kaedah akal. Bahkan, ia hanyalah konsep rekaan sekiranya dibandingkan dengan perbahasan ilmu Kalam sebenar.

Begitulah jawapan Syeikh.

Jawapan ini kemas.

Kemas kerana ia mengikuti disiplin ilmu dengan betul, dan ia menggabungkan bidang-bidang ilmu berbeza untuk menyelesaikan sesuatu isu. Cross reference seperti ini adalah bukti jelas bahawa seseorang itu telah menguasai ilmu tersebut.

Syeikh Ridhouddin siap nak ulas menggunakan kitab al-Mawaqif, kitab yang membahaskan ilmu Kalam berdasarkan pandangan Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Saifuddin Al-Amidi, dua tokoh besar ilmu Kalam.

Syeikh pesan, kita nak bertengkar dengan budak-budak, payah. Mereka tak belajar maqulat, tak belajar mantiq, tapi nak bahas bab akidah. Macamana nak faham konsep كيفية yang disebut dalam kitab-kitab tauhid salaf kalau maqulat pun tak belajar?

Kalau tak belajar ilmu maqulat, sahkan sifat 20, kata-kata imam Malik tentang kaifiyat pun mereka takkan faham, hatta kaif dalam Aqidah Tohawiyah pun mereka sendiri akan pening.

Oleh itu ikutlah para ulama terdahulu, lebih selamat, kerana zaman sekarang ilmu sudah bercampur baur dengan fahaman rekaan ilmuan muda BNU.

Bukan nak ulas balik isu lama, cuma nak cakapnya tok-tok guru pondok ni mereka ada jawapan, dan jawapan mereka kemas berdasarkan disiplin ilmu.

Jangan hanya kerana kita belajar di universiti, ada degree, M.A, Ph.D, kita pandang lekeh terhadap keilmuan mereka.

WallahuA’lam

Sumber :

@aswajapost

10/03/2019 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: