Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kudos PDRM dalam membanteras ektremis agama, terrorisme | Astro Awani

SELURUH dunia telah mengiktiraf PDRM dalam membanteras kegiatan terrorisme dan ekstremisme.

BARU-BARU ini forum Sosma: Siapa Pengganas dan Potensi Salah Guna Kuasa yang diadakan di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya telah mengundang perbincangan dan perdebatan hangat dalam kalangan cendiakawan dan netizen di seluruh negara.

Polemik tercetus apabila manual operasi atau SOP pihak polis dipersalahkan.

Malah figur seperti Datuk Ayob Khan, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism atau dikenali sebagai unit E8 Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dipersalahkan.

Komentar oleh netizen melalui platform media sosial menjadi satu fenomena hingga mencetuskan persoalan tentang kesahihan dan keabsahan tindakan oleh pihak PDRM dalam mengatasi ancaman ektremis agama terutamanya terrorisme.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan tangkapan lapan pelajar dan guru yang berlaku di Perlis pada 6 Oktober 2018.

Historikalnya, Maahad Quran Wal Hadith, Bukit Jernih Perlis bukanlah satu-satunya institusi pendidikan yang telah ‘diserbu’ oleh PDRM untuk kes-kes terkait terrorisme.

Maahad Ittibaussunnah, Kuala Perlis Negeri Sembilan dan Luqmanul Hakiem Islamic School, Ulu Tiram Johor juga telah dilakukan serbuan oleh unit E8 PDRM sebelum ini.

Malah beberapa premis persendirian yang mengajar Islam versi radikal seperti di Kedah, Kelantan, Selangor dan Sabah juga telah diserbu oleh pihak PDRM.

Serbuan ini dilakukan hasil daripada maklumat awam dan intipan yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas atau dikenali sebagai SB.

Semua kerja-kerja ‘under cover’ ini dilakukan dalam masa yang agak lama dan penuh teliti.

Aktiviti penyamaran dan menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut juga adalah merupakan antara modus operandi E8.

Risiko kehilangan nyawa dan ancaman keselamatan anggota juga adalah perkara yang sudah menjadi lumrah dalam kerja-kerja pengintipan ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap manusia boleh melakukan kesilapan dengan sengaja mahupun tidak.

Malah untuk bersikap generalisasi dalam penangkapan kelompok radikal dan terroris ini juga bukanlah pilihan sebaiknya.

Sebab itulah, dalam banyak forum seringkali saya bangkitkan tentang isu generalisasi ini dan profesionalisme anggota PDRM dalam menangani ancaman ekstremis agama.

Keupayaan PDRM dalam menangani ancaman terrorisme bukanlah perkara yang harus dipertikaikan. – Gambar fail

Akan tetapi untuk kita sebagai masyarakat awam bersikap generalisasi terhadap anggota PDRM juga adalah tidak adil.

Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, prinsip keadilan dalam menegakkan hak individu atau sesuatu entiti itu seharusnya menjadi keutamaan.

Keupayaan pihak E8 dalam menangani ancaman terrorisme ini bukanlah perkara yang harus dipertikaikan.

Seluruh dunia telah mengiktiraf peranan PDRM terutamanya unit E8 dianggap sebaris dengan NaCTSO di United Kingdom, PoliceOne (Amerika Syarikat (AS)), Densus 88 (Indonesia), SOF (Singapurs), CTTC (Bangladesh), CTIS (Hong Kong) dan lain-lain pasukan polis khas yang ditubuhkan untuk menangani ancaman terrorisme dan ekstremisme.

Keupayaan PDRM jelas menidakkan rancangan pengeboman dan serangan ganas oleh kumpulan ektremisme ini.

Saya mengambil pendekatan untuk kita memahami apa yang diperjuangkan oleh anggota keselamatan untuk keamanan negara dan keharmonian masyarakat.
Mereka yang tidak faham atau tidak mahu faham tentang tanggungjawab PDRM khususnya peranan E8 adalah mengecewakan.

Tanpa unit ini, negara Malaysia telah lama menyaksikan tragedi berdarah yang mengorbankan banyak nyawa samaada Muslim mahupun bukan.

Ramai mungkin tidak tahu bahawa negara kita telah merekodkan siri-siri serangan yang berskala kecil seperti letupan bom di Dataran Keris Bandar Diraja Kelang, letupan bom di tandas kilang Carlsberg Shah Alam dan rompakan bersenjata untuk dana Jemaah Islamiyyah (JI) di Petaling Jaya.

Tidak ketinggalan penyediaan bom paip dan bom tupperware, pemilikan 10 grenade, pistol dan senapang di Puchong dan Kelang serta Sabah dan yang terbaharu serangan bom di kelab malam Moovida, Puchong Selangor.

Malah beberapa rancangan besar mengebom Tambak Johor, menyerang Perdana Menteri dan Presiden AS, Barack Obama serta banyak lagi berjaya dipatahkan hasil daripada risikan dan kemampuan operasi ‘penccegahan’ oleh PDRM.

Harus diakui bahawa Malaysia bukanlah tempat yang baik dan selamat bagi puak terroris.

Maka natijahnya mereka berhijrah ke negara jiran yang mempunyai banyak ruang dan peluang untuk melaksanakan agenda ‘jihad al-kital’ dan ‘jihad takfiri’ oleh ekstremis agama ini.

Malah disebabkan itu jugalah nama-nama besar yang mana tawaran wang mencecah AS$5 juta (RM20 juta) ditawarkan ke atas kepala rakyat Malaysia di Filipina, Thailand dan Indonesia.

Figura seperti Dr Azhari Husin, Nordin Mat Top, Zulkifli Khir, Nasir Abas, Dr Mahmud Ahmad, Najieb Husin, Amin Bacho, Umar Patek dan ramai lagi adalah pemain penting di rantau ini.

Mereka lari ke negara lain dan menjadi sangat signifikan dalam perjuangan terrorisme hingga diangkat menjadi pemimpin utama mereka.

Persoalannya ialah mengapa mereka tidak lakukannya di Malaysia?

Ini adalah kerana kemampuan PDRM dan unit E8 khususnya dalam mengekang dan menghalang mereka dari berkembang.

Setiap tangkapan selalunya berlegar diatas tiga perkara utama, iaitu berkaitan kandungan pengajaran dan dakyah yang disebarkan, hubungan atau rangkaian mereka dengan individu atau institusi tertentu dan aliran kewangan yang dilakukan kumpulan ini.

Dalam kes tangkapan di Perlis baru-baru ini, ketiga-tiga elemen ini dengan jelas dimiliki oleh kumpulan ini dan diperjuangkan oleh pelajar-pelajar tersebut.

Malah ada beberapa keadaan yang melibatkan transaksi pindahan wang cara ‘hawala’ juga berlaku.

Berselindung dengan perniagaan tertentu tetapi membenarkan aliran wang yang disangsikan juga adalah antara elemen penting yang harus difahami.

Pertemuan dengan individu atau kumpulan tertentu yang telah diberi level ‘merah’ oleh polis antarabangsa (Interpol) juga adalah aspek penting.

Kandungan silibus yang menolak demokrasi, pelawaan untuk melaksanakan ‘jihad al-kital’ dan amalan Islam ektrem dan sempit juga adalah antara elemen yang perlu difahami.

Jika melihat aspek tangkapan ini daripada satu sudut sahaja, maka rasa tidak adil akan timbul, tetapi jika memahaminya secara holistik maka kita akan dapat melihat aspek yang lebih jelas mengapa tangkapan dan serbuan dilakukan oleh pihak PDRM, bukan sahaja di Perlis malah boleh berlaku dimana-mana institusi dan di pelosok negara ini.

Pengalaman saya dalam siri-siri seminar, forum dan bengkel di luar negara, jelas pihak luar amat mengagumi keupayaan PDRM dalam menyekat ideologi ekstrem dari berkembang dan meragut keamanan negara ini.

Malah undang-undang pencegahan seperti SOSMA, POTA dan POCA adalah elemen penting dalam mengawal masyarakat dari terjebak dalam kegiatan ekstremis.

Dahulunya ISA memainkan peranan penting hingga elemen-elemen subversif sejak dari ancaman komunis hinggalah terroris berjaya dikawal dengan baik.

Tidak dinafikan bahawa kemungkinan undang-undang ini disalahguna demi kepentingan politik adalah merupakan perkara yang subjektif.

Maka sebab itulah ‘check & balance’ antara kerajaan yang memerintah dan pembangkang harus jelas dan matang, bukannya atas dasar kepentingan dan dendam serta kebencian semata-mata.

Kerajaan AS yang sebelum ini menyelar ISA yang dianggap sebagai undang-undang drakonian, akan tetapi kemudiannya menyokong tindakan kerajaan memperkenalkan undang-undang pencegahan terutamanya apabila Patriot Act diperkenalkan oleh Presiden Bush pada Oktober 2001 setelah diluluskan Kongres Amerika.

Hingga ke saat ini, sekurang-kurangnya 620 tangkapan berkait terrorisme telah dilakukan oleh PDRM sejak tahun 2013 hingga 2018, majoritinya telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman di bawah SOSMA.

Tidak kurang 80 individu warga asing telah dideportasi ke negara asal atau negara ketiga.

Juga terdapat individu yang ditahan di bawah POTA dan POCA. Pihak-pihak yang menempelak PDRM harus jelas dan faham, SOSMA bukan dikuatkuasakan oleh polis, ia adalah bidang kuasa mahkamah.

Malah SOSMA adalah satu bentuk undang-undang yang jauh lebih baik berbanding ISA.

Mana-mana individu yang ditahan di bawah SOSMA perlu dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh 24 jam.

Tahanan SOSMA akan dijatuhkan hukuman selepas melalui perbicaraan manakala ISA boleh menahan mana-mana individu hingga 60 hari tanpa bicara.

Maka dengan ini kita harus faham bahawa SOSMA bukannya masalah, yang bermasalah adalah pegawai yang melakukan salahguna kuasa SOSMA dan mereka inilah yang perlu dihukum.

Pihak polis yang menjalankan fungsi penting untuk mejaga keamanan dan keselamatan negara haruslah dipertahankan. Tidak perlu takut jika tidak melakukan kesalahan.

Mana-mana kecurigaan yang timbul haruslah dilaporkan kepada pihak polis dan melihat sesuatu secara syumul atau total adalah kunci memahami isu berkaitan peranan PDRM dalam mengekang ekstremisme dan terrorisme yang merupakan ancaman baru kepada negara Malaysia ini.

Malah perlu diingat, ekstremis dan terroris ini bukan hanya isu bagi penganut Islam semata-mata, ianya adalah isu merentasi agama, budaya, politik dan negara.

* Artikel oleh Dr Mohd Mizan Aslam, Pengerusi Kelab Perdana Global Peace Foundation.

** Artikel ini adalah dari pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

13/02/2019 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | Leave a comment

DOSA-DOSA BESAR YANG MEMBAWA KEMURKAAN ALLAH S.W.T

(Berdasar Silibus Tingkatan 4 Sek Men Keb Malaysia)

1.       MAKSUD DOSA

·         Balasan buruk kerana melakukan larangan Allah dan meninggalkan suruhannya

 

2.       FAKTOR-FAKTOR YANG MENDORONG MANUSIA MELAKUKAN DOSA

·         terpengaruh dengan perangai kawan yang jahat

·         ingin hidup bebas tanpa batasan agama

·         sikap angkuh dan sombong kerana harta dan pangkat

 

3.       JENIS-JENIS DOSA

i)           DOSA BESAR

·          Maksud

§       Kesalahan yang dikenakan hukuman tertentu di dunia dan amaran azab di akhirat

·          Contoh

§       Minum arak, berzina, membunuh

§       Mengumpat dan derhaka kepada ibu bapa

·          Akibat buruk jika melakukan dosa besar

§       Dikenakan hukuman kisas, hudud dan takziz

§       Menerima seksa neraka jika tidak bertaubat

ii)          DOSA KECIL

·          Maksud

§       Kesalahan yang tidak diberi peruntukan hukuman tertentu di dunia atau amaran azab di akhirat

·          Contoh

§       Melihat aurat bukan muhram

§       Bercakap perkara yang tidak memberi faedah

·          Akibat buruk jika melakukan dosa kecil

§       Jika dilakukan secara berterusan boleh menjadi dosa besar

 

1.       CONTOH-CONTOH DOSA BESAR

i)           MENGHINA DAN MENDERHAKA KEPADA KEDUA IBU BAPA

·         Sebab perlu mentaati ibu bapa

§         Mereka memeliahara kita sejak kecil hingga dewasa dengan penuh kasih sayang

§         Mereka menyediakan segala keperluan untuk kita supaya kita hidup dengan selasa

§         Mereka mendidik kita supaya menjadi orang yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara

§         Mereka sanggup berkorban demi kebahagian kita

·         Cara menghormati ibu bapa

§         Mendengar nasihat dan tunjuk ajar mereka

§         Menghormati mereka setiap masa

§         Menjaga mereka dengan baik semasa mereka tua

§         Bersopan dan berlemah lembut apabila berbicara dan berhadapan dengan mereka

·         Perlakuan yang dikatogerikan menderhaka kepada ibu bapa

§         Melawan percakapan ibu bapa

§         Meninggikan suara apabila bercakap dengan mereka

§         Tidak mendengar nasihat dan teguran mereka

§         Menghina dan memandang rendah ibu bapa yang miskin

·         Balasan yang dijanjikan oleh Allah terhadap anak yang derhaka

§         Menanggung kesusahan hidup di dunia yang berpanjangan

§         Tidak mendapat rahmat Allah

§         Terputus rezeki daripada Allah

§         Akan mendapat azab daripada Allah di akhirat kelak

 

i)           MENIPU DAN BERBOHONG

·         Maksud menipu:

§         Iaitu melakukan sesuatu untuk mendapatkan kepentingan diri sendiri atau memudaratkan orang lain.

·         Maksud berbohong :

§         Tidak bercakap benar atau memalsukan fakta dan maklumat yang menyusahkan orang lain.

·         Hukum : haram dan berdosa besar

·         Ia boleh terjadi melalui kata-kata dan perbuatan seperti memalsukan dokumen, mencampurkan buah yang elok dengan yang busuk

 

i)           MENCURI DAN MEROMPAK

·         Maksud mencuri :

§         Mengambil hak orang lain secara sembunyi yang disimpan ditempat simpanannya tanpa izin

·         Maksud merompak :

§         Mengambil hak orang lain secara kekerasan yang disimpan ditempat simpanan tanpa izin

·         Haram kerana ia perbuatan yang hina dan mengganggu ketenteraman masyarakat dan negara

·         Islam mengenakan hukuman hudud iaitu memotong tangan pencuri sekiranya barang yang dicuri mencukupi kadar tertentu dan sabit kesalahan

 

i)           RIBA’

·         Maksud :

§         Faedah atau pertambahan bayaran dalam urusan pinjaman, hutang piutang, pertukaran makanan yang sejenis termasuk juga mata wang

·         Hukum : haram dan berdosa besar

·         Jenis-jenis riba’ :

§       riba’ al-fadhal :

pertambahan yang diperolehi melalui pertukaran barang yang sama sepertinya

§       riba’ an-nasiah :

pertambahan yang diperolehi kerana menangguhkan tempoh bayaran

·         Hikmah pengharaman riba’ :

§       membenteras kezaliman dan penindasan sesama manusia

§       mewujudkan kestabilan ekonomi masyarakat

§       menggalakkan semangat tolong-menolong sesama manusia

 

i)           MAKAN HARTA ANAK YATIM

·         Sebab-sebab dilarang memakan harta anak yatim:

§       anak yatim akan kehilangan punca pendapatan apabila dewasa

§       mengelakkan anak yatim hidup terbiar dan melarat

§       mengelakkan berlaku pergaduhan dan terputus sifat silaturrahim

 

i)           LARI DARI MEDAN PERANG

·         Akibat lari dari medan perang :

§       dipandang hina oleh masyarakat

§       umat islam akan ditindas

§       memberi peluang kepada musuh menghapuskan agama dan umat islam

 

i)           MENGUMPAT DAN MEMFITNAH

·         Maksud :

§         Mengata atau menceritakan keburukan seseorang di masa ketiadaannya serta boleh menimbulkan kemarahan apabila dilakukan dihadapannya

·         Sebab-sebab mengapa fitnah boleh terjadi :

§       ingin melihat orang lain menderita

§       takut persaingan hidup

§       tidak mahu mengakui kelebihan orang lain

·         Akibat dari perbuatan fitnah :

§       berlaku permusuhan dan huru hara

§       masyarakat islam akan sentiasa mundur

§       putus silaturrahim dan menghalang perpaduan

·         Cara mengelakkan diri dari melakukan fitnah :

§       Redha dengan ketentuan Allah

§       Menyemai sifat kasih sayang sesama muslim

§       Sentiasa melakukan muhasabah dirimeningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan dan amalan soleh

 

i)           MINUM ARAK DAN MENAGIH DADAH

·         Maksud arak :

§         Minuman yang memabukkan yang diperbuat daripada perahan buah-buahan yang diperam

·         Maksdu dadah :

§         Sejenis bahan yang mengkhayalkan dan menghilangkan daya fikir

·         Hikmah pengharaman arak :

§       menjaga kewarasan akal manusia

§       mengelakkan perkelahian dan permusuhan

§       mengekalkan kesihatan fizikal dan mental

§       menjamin keharmonian keluarga dan masyarakat

·         Langkah mencegah perbuatan minum :

§       Perlu sedar bahawa minum arak dan menagih dadah adalah berdosa besar

§       Masyarakat perlu mengamalkan cara hidup sihat dengan mengadakan aktiviti kemasyarakatan / riadhah

·         Kesan buruk arak bagi individu

§       membazir harta, masa dan tenaga

§       menjatuhkan maruah diri dan keluarga

§       terdedah kepada kegiatan jenayah seperti pergaduhan, mencuri dan membunuh

·         Kesan buruk arak bagi masyarakat

§       menjadi mundur kerana anggotanya tiada berdaya maju

§       dipandang hina kerana ahlinya berakhlak buruk

§       tidak tenteram kerana berlaku permusuhan dan perkelahian

 

i)           ZINA

·         Maksud :

§       Persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan yang sah

·         Hukum zina dan perbuatan yang mendorong kepda zina : berdosa besar

·         Contoh perbuatan yang mendorong kepada zina :

§       melihat, merenung, bercakap antara lelaki dan perempuan yang bukan muhram tanpa hajat yang diharuskan syarak, duduk berdua-duaan ditempat sunyi, memakai pakaian yang menjolok mata dll.

·         Faktor yang menyebabkan seseorang melakukan zina

§       Kurang pendidikan agama

§       Lemah iman dan penghayatan islam

§       Mengunjungi tempat-tempat maksiat

§       Mengamalkan pergaulan bebas

·         Akibat buruk melakukan zina :

§       merendahkan maruah diri dan keluarga

§       mendapat kemurkaan allah dan mengundang bala

§       meruntuhkan institusi keluarga

§       melahirkan generasi keluarga yang tidak jelas nasabnya

·         Hukuman terhadap penzina ( yang melakukan zina )

§       bagi muhsan ( penzina yang telah berkahwin dengan cara yang sah ; direjam dengan batu sahingga mati

§       bagi ghair muhsan ( penzina yang belum berkahwin ) ; disebat seratus kali sebatan

 

i)           MENUDUH PEREMPUAN BAIK MELAKUKAN ZINA

·         Maksud :

§         Menuduh seseorang yang baik melakukan zina tanpa empat orang saksi lelaki yang adil

·         Haram  kerana ia boleh menjatuhkan maruah tertuduh dan menyebabkan tekanan jiwa kepada tertuduh dan keluarganya serta menghancurkan masa depan

·         Hukuman jika membuat tuduhan palsu :

§       hukuman sebat 80 kali sebatan setalah melalui proses undang-undang kepada individu yang telah sabit keslahannya membuat tuduhan palsu

 

i)           LIWAT DAN MUSAHAQAH

·         Maksud liwat :

§       Hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki.

·         Maksud musahaqah :

§       Hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan

·         Faktor yang menyebabkan perbuatan liwat & musahaqah :

§       Terpengaruh dengan budaya liar

§       Tidak sanggup memikul tanggungjawab suami isteri

§       Membaca atau melihat bahan-bahan lucah

§       Kelemahan pelaksanaan undang-undang

·         Akibat jika melakukan liwat & musahaqah :

§       meruntuhkan institusi perkahwinan

§       menghidapi pelbagai penyakit fizikal dan mental

§       mendapat balasan azab di dunia dan akhirat

 

i)           MEMBUNUH DIRI

·         Maksud :

§       Melakukan perbuatan yang boleh memisahkan roh daripada jasad sendiri

·         Punca perbuatan membunuh diri sendiri boleh berlaku :

§       Putus asa dengan rahmat Allah

§       Tidak meyakini kehidupan hari akhirat

§       Menganggap dengan membunuh diri menamatkan penderitaan

·         Cara mengatasi perbuatan membunuh diri :

§       Hendaklah yakin dengan rahmat Allah

§       Berusaha memajukan diri mengikut lunas-lunas yang betul

§       Menghatur strategi hidup berpandukan al-quran as-sunnah dan akal yang waras

 

13/02/2019 Posted by | Politik dan Dakwah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: