Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Harapan Bagi Yang Berdosa

“Adakalanya musibah itu sebagai peringatan bagi orang-orang yang berdosa supaya berhenti melakukannya dan kembali taat kepada Allah Yang Esa..”

Dunia yang fana ini sememangnya penuh dengan musibah. Musibah itu adalah sunnatullah di alam semesta ini. Musibah tidak kenal siapa dan tidak memilih bulu. Hadirnya silih berganti ke atas manusia adalah sebagai tanda Allah Taala mahu menguji dan menduga mereka. Cuma bagaimana caranya manusia menghadapinya.

Di kalangan manusia, lantaran lemah iman (jiwa), bilamana Allah menimpakan musibah, mereka terus bertukar wajah, menjadi ingkar dan protes melulu terhadap Allah, sang Pencipta. Tidak sekadar itu, mereka terlajak menyanggah takdirNya serta mendoakan kebinasaan atas diri dan keluarga mereka. Musibah terasa amat berat sehingga mereka menderita penasaran. Tubuh jatuh sakit, akal menjadi rosak bahkan langsung tiada upaya menanggung beban-beban kehidupan. Ekoran jiwa kemarau dari iman, telah ramai yang jatuh dalam dosa besar kerana bertindak membunuh diri.

Firman Allah swt:
“Di antara manusia, ada yang menyembah Allah dalam keraguan. Apabila mendapat kebaikan senanglah hatinya, dan apabila mengalami cubaan(msibah) berubahlah hatinya menjadi kafir. (Lantaran itu) dia mengalami kerugian di dunia dan akhirat dan itulah kerugian yang amat nyata.”
(Surah Al-Hajj: ayat 11)

Musibah bukanlah selalu bererti tanda kemarahan dan kebencian Allah pada seseorang atau sesuatu kaum sebagaimana juga bahawa kenikmatan bukan merupakan tanda keredhaan dan penerimaan Allah. Akan tetapi:

Musibah (ujian) Allah terhadap hambaNya yang beriman bertujuan mengukur hakikat imannya, juga memantau kadar kebenaran dan dusta mereka. Tanpa ujian, bagaimana dapat diketahui pelajar yang cemerlang?

Firman Allah swt:
“Apakah manusia menduga (menjangkakan) bahawa mereka dibiarkan berkata (sesuka hati mereka): ‘Kami beriman’ sedangkan (walhal) mereka belum diuji. Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti akan mengetahui orang-orang yang berkata benar dan mengetahui orang-orang yang berdusta.”
(Surah Al-Ankabut:2-3)

Setiap perkara atau peristiwa yang berlaku pada diri kita, baik ataupun buruk, kedua-duanya adalah dugaan dan ujian Allah swt. Seolah-olah kita sedang menduduki sebuah ‘peperiksaan’ besar yang mana subjek terasnya adalah segala perkara ‘baik’ dan ‘buruk’. Yang baik kita perintah melakukannya manakala yang jahat dan buruk kita diperintahkan agar meninggalkannya.

Setelah kita kembali menghadap Allah swt di negara akhirat, maka semuanya akan diulang tayang dan diperlihatkan kembali dan seterusnya diadili serta diberikan ganjaran yang setimpal.
Firman Allah swt:
“Kami menguji kamu sekalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (dugaan/musibah) dan kepadaKu kamu akan kembali.”
(Surah Al-Anbiya: 35)

InsyaAllah, orang beriman akan berdaya menghadapi apa jua bentuk ujian dan musibah Allah atas diri mereka. Ujian Allah tidak menjadikan mereka hilang pertimbangan dan lupa diri.Itulah apa yang mahu digambarkan oleh Rasulullah saw di dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
“Sungguh menghairankan dan mengkagumkan urusan orang mukmin; semua urusan (keadaan)nya adalah kebaikan dan itu hanyalah bagi orang mukmin yang bilamana ia mengalami kesenangan, ia lantas bersyukur (ia amat baik baginya), dan jika ia mengalami kesusahan ia lantas bersabar dan itu juga amat baik bagi dirinya.”

Selain tujuan di atas, musibah (ujian) terhadap orang beriman adalah tanda jelas peningkatan takah rohaniah dan sebab penghapusan dosa buat mereka serta menjadi asbab untuk memperolehi ganjaran pahala yang besar dari Allah swt. Cuba kita renungi hadis Nabi saw yang berikut:
“Tidaklah seorang muslim mengalami kepayahan maupun penyakit, kerosakan maupun kesedihan, gangguan maupun kesulitan, bahkan duri yang mengenainya, melainkan Allah (berkenan) menghapuskan dosanya dengan sebab itu.”
(Hadis Bukhari)

Hadis berikutnya pula:
“Ujian yang selalunya (silih berganti) menimpa orang mukmin lelaki dan perempuan (sama ada) pada dirinya, anak dan hartanya menyebabkan ia tidak lagi berdosa saat berjumpa dengan Allah.”
(Riwayat Tirmizi)

Menerusi ujian Allah swt juga, secara rambang kita boleh mengenali tahap iman dan rohaniah kita. Nabi saw juga pernah ditanya orang, manusia manakah yang paling keras dan berat cubaannya? Baginda menjawab: “(Mereka adalah) para nabi, kemudian di bawah tingkatan mereka, sehinggalah manusia diuji menurut kadar agamanya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya juga berat dan jika agamanya lemah, maka ia pun diuji menurut kadar agamanya. Maka cubaan yang (bersilih ganti) menimpa manusia itu menyebabkan (menghasilkan akhirnya) ia berjalan atas muka bumi ini tanpa gelumang dosa.”
(Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah & Imam Ahmad)

Adakalanya musibah itu sebagai peringatan bagi orang-orang yang berdosa. Anda dapat fikirkan, apakah tujuannya? Tujuannya ada dua iaitu: pertama, supaya ia berhenti melakukannya dan kedua, supaya ia kembali taat kepada Allah Yang Esa. Allah menyebutkan di dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya Kami telah kirimkan (utuskan) rasul-rasulNya kepada umat-umat sebelum engkau; (Namun mereka mendustai rasul-rasul itu), maka Kami seksa mereka itu dengan kesengsaraan dan kemelaratan. Mudah-mudahan mereka tunduk kepada Allah.”
(Surah Al-An’am : 42)

Maha Pengasihnya Allah swt. Walaupun besar sekali pendustaan yang dilakukan manusia, namun Dia masih tetap memberi peluang dan harapan andai mereka mahu kembali tunduk dan patuh kepada kekuasaanNya.

oleh: Amal Islamy~FADHILAT AMAL~:

15/07/2018 Posted by | Fad hail Amal, Hadis, Tazkirah | Leave a comment

Banyaknya Jalan-Jalan Kebaikan

Banyaknya Jalan-Jalan Kebaikan
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:”Setiap umatku mempunyai peluang diampun dosanya, kecuali dosa yang dilakukan secara terang-terangan. Termasuk dalam melakukan dosa secara terang-terangan ialah; mereka yang melakukan dosa secara sulit tetapi di lain ketika menceritakan pula kepada orang lain.”

Mutakhir ini terdapat di kalangan umat Islam berusaha menghalang perlaksanaan hukum Allah swt, jelas suatu dosa menghalang hak Allah swt.
Yang amat mendukacitakan berkempen secara terang-terangan kepada khalayak ramai untuk meraih sokongan. Mengikut sabda Nabi di atas itu bahawa dosa yang dilakukan secara terang-terangan, dikira terkecuali daripada mendapat keampunan Allah swt. Termasuk melakukan dosa terbuka ialah dosa yang dilakukan secara sulit dan tersembunyi, tetapi kemudiannya diceritakan pula kepada orang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w lagi bermaksud:”Sesiapa yang mendengar cerita suatu kaum, sedangkan kaum itu tidak setuju orang lain mendengar ceritanya. Jika curi dengar juga di akhirat kelak akan dicurah tembaga cair yang amat panas ke lubang telinga orang itu.”
Sesetengah daripada hak orang Islam terhadap Muslim yang lain ialah dia kena mengelak diri daripada mengunjungi tempat yang boleh mendatangkan tohmah, kerana hendak jaga hati orang lain supaya tidak sangka buruk dan tuduh buat perkara yang negatif.

Ini kerana mereka itu apabila melakukan maksiat kepada Allah swt, dengan mengumpat perihal orang lain dan dia jadi punca orang lain buat maksiat umpat, bererti dia telah berkongsi sama ke atas dosa tersebut.

Sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah swt yang bermaksud:”Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” (Surah Al-Anam ayat 108)

Meskipun dengan tujuan supaya manusia meninggalkan daripada menyembah berhala , tetapi makian itu akan mengundang makian yang melampau terhadap Allah swt daripada pihak penyembah berhala itu.

Oleh yang demikian jika tidak setuju dengan akidah sesat mereka, gunakan pendekatan yang bijaksana dengan mengajarnya ilmu yang sebenar.

Terangkan mengenai akidah ketuhanan yang betul, jika dia tidak dapat menerima penjelasan itu, sekurang-kurangnya dia tidak memaki Allah swt.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:”Bagaimana pada fikiranmu orang yang maki kedua-dua ibu bapanya sendiri? Para sahabat bertanya; siapakah mereka itu? Jawab Nabi; “Mereka ialah orang yang maki ibu bapa orang lain, akibatnya orang lain maki ibu bapa mereka pula.”

Ibu bapanya dimaki oleh orang berikutan daripada dia memaki ibu bapa orang itu terlebih dahulu. Natijahnya dialah sebenarnya yang memaki ibu bapanya sendiri.

Sebagai tindak balas daripada perbuatannya yang buruk itu, seperti orang menendang bola ke dinding akan membidas balik kepada diri sendiri.

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a berkata:”Sesiapa yang letak dirinya di tempat yang boleh mendatangkan tomah dan tuduhan orang, maka janganlah marah terhadap orang yang sangka buruk kepadanya.

Sebahagian daripada tanggungjawab orang Islam terhadap saudara Muslim lain ialah: hendaklah berusaha untuk bantu orang yang berhajat, membawanya berjumpa orang berkenaan yang boleh menolongnya. Agar dapat disempurna hajatnya dengan seupaya mungkin.

Perlunya kesedaran agama melaksanakan hak Muslim terhadap Muslim yang lain atas tanggungjawab agama, dengan menolong apa jua kesusahan yang menimpa saudaranya. Kerana inilah unsur mengukuhkan kestabilan dalam masyarakat Islam umumnya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Hendaklah tolong(isyfa’u) saudaramu nescaya kamu mendapat pahala.”

Isyfa’u bermaksud membawa permasalahan saudaranya dengan membawanya ke pihak yang lebih berwibawa, agar dapat beri bantuan untuk atasi persoalan yang dihadapinya.

Orang yang membantu dengan orang yang membawanya, sebagai beri syafaat mendapat pahala bersama.

Setengah daripada kewajipan dari hak sesama Muslim ialah mendahului beri ucapan salam sebelum dari berkata-kata. Di samping itu hak dan tanggungjawab juga ialah berjabat salam.

Firman Allah swt yang bermaksud:”Apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa).” (Surah An-Nisa ayat 86)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:”Kamu tidak akan masuk syurga kecuali kamu beriman, kamu tidak beriman kecuali berkasih sayang. Hendakkah aku tunjukkan satu amalan yang boleh menimbulkan kasih mesra di antara kamu?” Jawab para sahabat:”bahkan ya Rasulullah.” Jelas Nabi:”Hendaklah kamu sebarkan salam.”

Ucapan salam akan menimbulkan kasih mesra kerana ucapan salam itu bererti suatu permohonan doa kepada Allah swt, agar orang yang diberi ucap itu sentiasa dalam peliharaan Allah swt iaitu selamat.

Oleh kerana menjawab salam itu wajib, bererti orang itu wajib mendoakan kesejahteraan kepada saudaranya yang memberi salam.

Sabda Nabi s.a.w lagi yang bermaksud:”Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.”

Saiyidina Anas r.a mengucapkan salam kepada kanak-kanak, apabila dia bertemu dengan mereka.

~BLOG FADHILAT AMAL~

15/07/2018 Posted by | Hadis, Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: