Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

PEMIKIRAN LIBERALISME DALAM WACANA AGAMA DAN ANCAMANNYA DI MALAYSIA SIRI VI –

PEMIKIRAN LIBERALISME DALAM WACANA AGAMA DAN ANCAMANNYA DI MALAYSIA SIRI VI – Siri Akhir

Oleh: Muhammad Rashidi Wahab (UniSZA)

ANCAMAN LIBERALISME DI MALAYSIA

Dalam konteks Malaysia, gerakan pelampau Islam Liberal (atau Muslim Liberal) kelihatan berkembang melalui pelbagai jalan dan saluran, antaranya melalui jaringan internet (globalisasi) dan kemasukkan buku² berkaitan Liberalisme dari luar negara, serta dipelopori oleh individu dan kumpulan tertentu yang berfahaman liberal. Namun perkembangan terkini menunjukkan bahawa fahaman Islam Liberal juga berkembang melalui POLITIK yang tidak cenderung kepada agenda Islam.

Dalam masa yang sama, sebagaimana dijelaskan di atas, Islam Liberal turut didokong oleh orang bukan Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini menjadikan ancaman Liberalisme di Malaysia semakin rumit untuk ditangani oleh piha6k berkuasa agama.

Di sini penulis akan menyenaraikan beberapa ancaman serta agenda utama Liberalisme di Malaysia pada masa kini, iaitu:
1. Golongan Islam Liberal berusaha menghapuskan kedaulatan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, iaitu dengan menafikan kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama bagi Persekutuan (Agama Negara). Mereka sengaja menafsirkan Islam dalam Perlembagaan (Perkara 3(1)) adalah sekadar agama rasmi sahaja. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Sekular yang tidak terikat langsung dengan peranan agama Islam. Maka sebarang perkara yang berkaitan dengan agama Islam perlu dihalang.

2. Golongan Islam Liberal berusaha menghapuskan Mahkamah Syariah atau Undang² Syariah dengan dakwaan bahawa Undang² Syariah adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, atau dengan dakwaan lain seperti Undang² Syariah tidak adil. Bahkan mereka cuba memperkecilkan peranan dan kedudukan Mahkamah Syariah, antaranya dengan membantah perluasan bidang kuasa serta mencabar keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di Mahkamah Sivil. Maka sebarang usaha pemerkasaan terhadap Makhamah Syariah dan Undang² Syariah perlu dihalang, antaranya yang terkini RUU 355.

3. Golongan Islam Liberal berusaha memperjuangkan kebebasan berfikir dan bersuara secara mutlak terutamanya melalui jalan hak asasi manusia seperti seks bebas atau LGBT, walaupun berlaku percanggahan dengan ajaran agama Islam. Oleh itu, mereka sedaya-upaya menyatakan bahawa kedudukan kebebasan dan hak asasi manusia dalam Perlembagaan Persekutuan adalah lebih tinggi atau lebih utama berbanding kedudukan agama Islam. Maka sebarang perkara yang dilihat bertentangan dengan tuntutan Liberalisme dianggap sebagai menolak hak asasi manusia.

4. Golongan Islam Liberal berusaha memberikan imej buruk terhadap institusi Islam supaya institusi Islam di Malaysia dapat dihapuskan, ataupun sekurang²-nya dapat menghakis kepercayaan ummat Islam sendiri terhadap institusi Islam. Mereka sedaya-upaya mengkritik dan menyerang institusi Islam dengan pelbagai dakwaan dan kenyataan yang tidak berasas seperti desakan G25 supaya kerajaan menghapuskan JAKIM dan sebagainya lagi. Antara tujuan lain mereka menyerang autoriti agama Islam adalah supaya pemikiran songsang mereka dapat disebarkan tanpa mampu dihalang lagi.

5. Golongan Islam Liberal juga berusaha meruntuhkan autoriti ilmu dan para ulama dengan memberikan pelbagai persepsi buruk kepada agamawan dan ulama silam Ahlussunnah wal-Jamaah. Hal ini bertujuan agar mereka dapat memberikan tafsiran baru yang bebas serta menyeleweng terhadap ajaran agama Islam tanpa terikat dengan autoriti ilmu dan ulama. Pendekatan ini turut disokong oleh kelompok tajdid dan anti-mazhab, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

6. Golongan Islam Liberal berusaha menyamatarafkan semua agama (Pluralisme Agama) agar kedudukan agama Islam sebagai agama yang paling benar dan diredai oleh Allah SWT dapat dilenyapkan. Melalui jalan toleransi antara agama, secara tidak langung kedudukan agama Islam di Malaysia dapat direndahkan setaraf dengan agama² lain sehingga boleh mengundang gejala murtad. Malah perkataan suci umat Islam seperti isu penggunakan kalimah Allah oleh Kristian adalah perlu dibenarkan.

7. Golongan Islam Liberal berusaha mengadakan jaringan bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan agenda Liberalisme di Malaysia. Dengan memperoleh tajaan sumber kewangan yang banyak, pelbagai program disusun oleh kumpulan mereka seperti penganjuran seminar atau wacana, penulisan buku atau artikel dan sebagainya lagi. Namun program² yang diadakan itu telah menyalahgunakan jenama atau istilah dalam Islam, sehingga sebilangan individu atau kumpulan Islamik juga turut terpedaya dengan luaran mereka.

8. Golongan Islam Liberal berusaha menyebarkan idea Liberalisme kepada golongan berpendidikan tinggi dan golongan atasan yang memegang jawatan atau kedudukan penting dalam kerajaan. Melalui golongan ini, agenda Liberalisme dapat dijayakan dengan lebih cepat dan berkesan. Selain itu, mereka juga berusaha menggunakan dan mengeksploitasi golongan muda bagi mengembangkan Liberalisme, antaranya melalui gerakan buku indie dan penganjuran program jalanan dengan menyemai pemikiran berpaksikan kebebasan tanpa sempadan.

9. Golongan Islam Liberal berusaha menggunakan kuasa media secara besar²an, khususnya media online, bagi menyebarkan agenda Liberalisme di Malaysia. Beberapa portal berita online kelihatan telah dikuasai oleh mereka dengan bantuan pelbagai pihak, sehingga menyebabkan fahaman Liberalisme dapat berkembang dengan pesat sekali. Ini bermaksud, idea Liberalisme telah berjaya mempengaruhi pemikiran sebilangan ummat Islam secara tidak sedar, apatah lagi rakyat Malaysia antara pengguna internet tertinggi di dunia.

10. Penulis melihat, matlamat terakhir golongan Islam Liberal adalah untuk melemahkan serta menghapuskan institusi kesultanan yang mengetuai agama Islam di negeri² seluruh Malaysia. Jika institusi kesultanan dapat dihapuskan, atau mereka berjaya menjadikan sultan/raja sekadar simbolik semata², maka agenda Liberalisme dapat dilaksanakan di Malaysia tanpa mampu dihalang lagi oleh pihak kerajaan atau pihak berkuasa agama. Namun kini mereka menumpukan kepada perkara lain terlebih dahulu sebagaimana yang dinyatakan di atas.

Berdasarkan pemerhatian penulis terhadap perkembangan semasa Liberalisme di Malaysia, sama ada ia disebarkan melalui individu atau kumpulan tertentu, didapati golongan Islam Liberal di Malaysia tidak benar² memahami gagasan, ideologi atau falsafah Liberalisme itu sendiri. Hal ini berbeza dengan golongan liberal di negara jiran iaitu Indonesia, kelihatan mempunyai matlamat dan ciri² yang lebih jelas dalam memperjuangkan agenda Liberalisme mereka, apatah lagi dengan kemunculan beberapa orang tokoh Liberalisme terkenal.

Namun di Malaysia, penyebaran fahaman liberal kebanyakkannya berkembang melalui isu² tertentu, yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berkepentingan dari semasa ke semasa. Melaluinya, mereka turut memanfaatkan sesiapa sahaja untuk menjayakan agenda Liberalisme.
Walaupun dibangkitkan melalui isu² tertentu, agenda Liberalisme di Malaysia tetap mempunyai persamaan dengan beberapa ciri utama Liberalisme dan tuntutan orang bukan Islam.

FATWA LIBERALISME DI MALAYSIA
Melihat kepada bahaya ancaman Liberalisme terhadap ummat Islam, beberapa fatwa telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam di Malaysia.

Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 telah membincangkan tentang Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia.

Muzakarah telah memutuskan bahawa Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman² yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah sepertimana berikut:

1. Dari Aspek Akidah:
a) Berpegang Kepada Konsep Pluralisme: Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme Agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
b) Akal Manusia Adalah Wahyu: Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah Al-Qur’an dan ia adalah teks semata². Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks Al-Qur’an berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.
c)Meragui Ketulenan Al-Qur’an: Aliran pemikiran ini mendakwa Al-Qur’an diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

2. Dari Aspek Syariah:
a) Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran Al-Qur’an dan al-Hadith: Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau metodologi pentafsiran Al-Qur’an yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran Al-Qur’an”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran Al-Qur’an yang jauh berbeza dengan pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari Akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.
b) Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat: Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran Al-Qur’an, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks² Al-Qur’an menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
c) Mempertikaikan Kriteria dan Akhlak Kenabian: Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah SAW dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri² yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut Baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.
d) Sikap Terhadap Ilmu² Islam: Ilmu² Islam seperti Usul al-Tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara ijmak diterima sebagai metode dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum² Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

Berdasarkan kepada ciri² penyelewengan tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Selangor yang bersidang pada 17 Julai 2014 telah mengharamkan fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama termasuklah kumpulan Sisters in Islam (SIS) sepertimana berikut:
1. SIS Forum (Malaysia) dan mana² individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
2. Mana² bahan terbitan yang berunsur pemikiran² fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman² sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.
4. Mana² individu yang berpegang kepada fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

KESIMPULAN
Kesan ekstremisme pemikiran menyebabkan ummat Islam yang tidak memiliki ilmu yang mantap akan mudah terpengaruh dengan logik akal yang dikemukakan oleh golongan Liberalisme.
Idea kebebasan mutlak boleh menjadikan mereka menentang Al-Qur’an dan Hadis, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan dakwaan bahawa Al-Qur’an dan Hadis tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman kini dan memerlukan penafsiran semula yang lebih moderat (liberal).
Propaganda ini bertujuan untuk merosakkan keutuhan ajaran Islam yang telah meletakkan kebenaran dan autoriti ilmu sebagai asas utama kepada akidah, syariah dan akhlak. Ini bermaksud, fahaman Islam Liberal akan menjauhkan dan memesongkan pemikiran umat Islam dari ajaran Islam yang sebenar.
Perkembangan semasa Liberalisme di Malaysia menunjukkan bahawa pemikiran liberal terus disebarkan secara meluas dalam kalangan ummat Islam walaupun fatwa pengharamannya telah dikeluarkan. Jika tidak ditangani segera, tidak mustahil fahaman liberal ini akan terus berkembang di Malaysia sebagaimana yang berlaku di beberapa negara lain.
Pihak kerajaan melalui pihak berkuasa agama perlu bertindak secara lebih agresif dan sistematik dalam mendepani ancaman Liberalisme. Dalam masa yang sama, ummat Islam perlu diberikan pendidikan Islam yang menyeluruh berasaskan epistemologi yang digariskan oleh ulama Ahlussunnah wal-Jamaah.
Dalam erti kata lain, ummat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, antaranya bersifat wasatiyyah, bagi menghadapi cabaran dunia akhir zaman ini.

Wallahu’alam.

(Penulis: Muhammad Rashidi Wahab. Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu. E-mel: muhdrashidi85@gmail.com.)

29/06/2018 - Posted by | Bicara Ulama, Informasi, Politik dan Dakwah

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: