Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Apa maksud Waktu Imsak?

Perbezaan Waktu Imsak & Subuh – Ramadan Bulan Puasa Sahur Waktu Berbuka

Soalan: Kenapakah waktu Imsak dan Subuh adalah 2 waktu yang berlainan padahal puasa dikatakan menahan lapar dan dahaga serta perkara yg membatalkan puasa daripada terbit fajar hingga terbenam matahari. Bukankah terbit fajar bermakna masuk waktu subuh ?

Segala puji bagi Allah SWT dan salawat serta salam ke atas Nabi Muhammad SAW.

Jawapan: Sebagaimana yang dimaklumi, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya bermula daripada terbit fajar sadiq (masuk waktu subuh) hingga terbenam matahari (masuk waktu solat maghrib) disertai dengan niat dan syarat-syarat yang tertentu.

Dalil waktu bermulanya puasa adalah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu….

….dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa. – (Al-Baqarah 2:187)

Berdasarkan kepada dalil tersebut maka jelaslah bahawa waktu puasa itu bermula apabila masuknya waktu Subuh. Hal ini telah pun disepakati oleh Ijma’ Ulama’.

Adapun waktu imsak yang diamalkan bermula kira-kira 10 minit sebelum masuknya waktu subuh atau kira-kira tempoh membaca 50 ayat al-Qur’an yang sederhana panjang.

Imsak adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud menahan daripada sesuatu.

Waktu imsak ini adalah sebaik-baik waktu bagi seseorang itu berhenti makan/minum ketika bersahur bagi membolehkannya bersiap-siap untuk menantikan masuknya waktu subuh dan juga sebagai waktu ihtiati (berjaga-jaga/berwaspada) agar tidak tergopoh-gapah bersahur hingga masuknya waktu subuh.

Bersahur ketika hampir waktu imsak ini juga adalah lebih afdhal kerana ia amalan Rasulullah SAW sebagaimana maksud hadis daripada Zaid bin Thabit iaitu:

“kami sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami berdiri solat. Saya bertanya “berapa lama jarak antara kedua-duanya itu?”, baginda bersabda “50 ayat al-Qur’an” (HR Bukhari).

Jadi jelaslah apa itu waktu imsak dan waktu bermulanya puasa (subuh). Kesimpulannya, mereka yang makan/minum selepas waktu imsak tidaklah membatalkan puasanya selagi mana tidak sampai masuknya waktu subuh tetapi bersahur ketika hampir waktu imsak (tidak terlalu cepat atau lambat) adalah yang digalakkan kerana ia sunnah Rasulullah SAW dan merupakan adab bersahur yang sangat baik. – Sumber: Ana Murabbiy

Beberapa Kekeliruan Mengenai Bermula Waktu Imsak – Jabatan Penerangan Agama – Brunei

1. Kekeliruan mengenai hadits bersahur setelah kedengaran azan

Dalam usaha kita untuk mendalami hukum-hakam berhubung dengan puasa, pada masa kini telah diperkenalkan perkhidmatan sistem teknologi informasi dan komunikasi yang berfungsi sebagai tempat penyebaran maklumat-maklumat. Namun sejauhmana setiap perkongsian maklumat tersebut memberikan fakta yang tepat, shahih dan benar?

Antara maklumat yang pernah disebarluaskan ketika dulu melalui perkhidmatan aplikasi moden ini, ialah satu perkongsian tazkirah mengenai sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu mendengar azan, sedangkan terdapat bejana (tempat menyimpan makanan atau minuman) pada tangannya maka janganlah diletakkan bejana itu sehingga dia menyelesaikan hajatnya (makan atau minum) dari bejana itu.” – (Hadits riwayat Abu Daud)

Sebilangan orang berpendapat bahawa hadits ini menjelaskan tentang keadaan seseorang yang sedang bersahur yang tiba-tiba mendengar laungan azan subuh, sedangkan pada ketika itu dia belum selesai menghabiskan makanan atau minuman pada bekas atau gelas yang berada di tangannya, maka tidaklah perlu dia meletakkannya sehingga dia menghabiskan baki makanan atau minumannya itu.

Menurut fahaman mereka juga, perkara ini apabila dilakukan tidak akan membatalkan puasa seseorang itu.

Persoalannya adakah benar seperti apa yang mereka fahami? Sejauhmana tazkirah ini dapat menyampaikan ilmu dan maklumat yang benar-benar tepat? Jika ia tidak dihuraikan dengan lebih jelas maka ia akan menimbulkan kekeliruan.

Penjelasan mengenai hadits di atas, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa azan yang dimaksudkan dalam hadits tersebut adalah laungan azan pertama sebelum fajar dan ia bukan azan subuh.
Ini bertepatan dengan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam, maka makanlah dan minumlah kamu sehingga Ibn Ummi Maktum mengumandangkan azan.” – (muttafaq ‘alaih)

Hadits ini menunjukkan bahawa harus melaungkan azan sebanyak dua kali, azan pertama sebelum terbit fajar (masih malam) dan azan kedua setelah masuk waktu subuh. Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab Syarah Muslim, menurut ulama bahawa Bilal Radhiallahu ‘anhu melaungkan azan sebelum fajar dan beliau berdoa dan sebagainya sementara menanti terbitnya fajar.

Apabila fajar sudah hampir terbit, beliau akan mengkhabarkan Ibn Ummi Maktum Radhiallahu ‘anhu, kemudian Ibn Ummi Maktum Radhiallahu ‘anhu akan bersiap-siap dengan bersuci dan sebagainya lalu mengumandangkan azan subuh di awal masuknya waktu terbit fajar.

Hikmah melaungkan azan pertama sebelum terbit fajar itu antaranya bertujuan supaya orang ramai bersiap sedia sebelum menunaikan sembahyang subuh seperti bersuci daripada junub, berwudhu, mandi dan termasuk juga untuk bersahur bagi orang yang hendak berpuasa.

Hadits ini juga menunjukkan bahawa orang yang hendak berpuasa harus makan, minum, jima’ dan sebagainya selagi fajar shadiq belum terbit.

Oleh itu, jelaslah bahawa tanggapan segelintir orang mengenai keharusan makan dan minum walaupun setelah azan subuh berkumandang adalah tidak tepat. Ini kerana hadits yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh makan dan minum selagi fajar shadiq belum terbit.

2. Kekeliruan waktu imsak yang tercatat dalam kalendar

Di Negara Brunei Darussalam telah disediakan waktu-waktu sembahyang, imsak dan syuruk sepanjang tahun yang pada kebiasaannya dicetak dalam kalendar. Apa yang menjadi kekeliruan segelintir masyarakat adalah waktu imsak yang tercatat dalam kalendar tersebut, waktunya bermula sepuluh minit lebih awal daripada waktu subuh.

Menurut mereka, jika masuk waktu imsak yang tercatat dalam kalendar tersebut, maka bermulalah waktu berpuasa dan batal puasa jika masih meneruskan bersahur.

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, waktu imsak bagi orang yang hendak berpuasa bermula dari terbit fajar shadiq iaitu setelah masuk waktu subuh. Malahan sunat melambat-lambatkan sahur sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu dzar Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Umatku sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan bersahur” – (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Hukum sunat melambatkan sahur itu tertakluk apabila tidak timbul keraguan pada waktu terbitnya fajar. Jika ada keraguan pada waktu terbitnya fajar maka tidak sunat melambat-lambatkan sahur bahkan afdhal untuk tidak melambatkannya sehingga ke akhir waktu. Ini kerana meninggalkan perkara yang diragukan itu adalah disuruh syara’ sebagaimana diriwayatkan oleh al-Hasan bin ‘Ali, apa yang beliau hafal daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya:

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.” – (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Jika dilihat kembali mengenai puasa, antara perkara sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang disukai ialah melambatkan bersahur kerana sesiapa yang mengakhirkan atau melambatkan sahur pada akhir malam iaitu hampir terbit fajar akan mendapat ganjaran pahala sunat bersahur itu.

Adapun waktu afdhal melambatkan sahur itu kira-kira kadar membaca lima puluh ayat sebelum terbit fajar. Zaid bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan:

Maksudnya: “Kami bersahur bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian Baginda mendirikan sembahyang, lalu ditanyakan kepada Baginda: “Berapakah jarak antara azan dan sahur?” Baginda bersabda: “Kira-kira lima puluh ayat.” – (Hadits riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun waktu imsak yang tercatat dalam kalendar (sepuluh minit lebih awal daripada waktu subuh) itu, adalah bertujuan antara lain sebagai langkah berhati-hati agar orang yang berpuasa bersiap sedia untuk menempuh waktu berpuasa seperti membersihkan makanan yang terselit di celah-celah gigi dan seumpamanya.

Demikianlah penjelasan mengenai waktu imsak bagi menghuraikan kekeliruan segelintar masyarakat.

Apa yang penting, kita hendaklah berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya mengambil maklumat, pengajaran, ilmu lebih-lebih lagi yang menyangkut perkara hukum tanpa menyelidiki keshahihan sumber dan huraiannya.

Kita hendaklah merujuk atau bertanya kepada orang yang benar-benar tahu mengenainya agar kita lebih terarah ke jalan yang benar sebagaimana firman Allah Ta’ala: Tafsirnya: “Maka bertanyalah kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan (mengenai kitab-kitab Allah) jika benar kamu tidak mengetahui.” – (Surah an-Nahl: 42)

Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Mengetahui.

Rujukan sumber: Pelita Brunei

AnaGhaib

22/05/2018 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: