Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

PERSOALAN TADARUS & KHATAM AL-QURAN

Bacaan al-Quran secara tadarus dinamakan sebagai (قراءة الإدارة). Ia merujuk kepada kaedah membaca al-Quran beramai-ramai secara bergilir-gilir iaitu seseorang membaca al-Quran di dalam sesuatu kumpulan dan disemak oleh ahli kumpulan yang lain untuk diperbaiki bacaan dan penguasaan tajwid secara amali kemudian dia memberhentikan bacaan. Seterusnya bacaan tersebut disambung pula oleh ahli kumpulan yang lainnya sehinggalah akhir majlis. Bacaan al-Quran secara bertadarus sepertimana yang disebutkan di atas hukumnya adalah harus sepertimana yang dipilih oleh Imam Malik, Imam al-Nawawi dan Ibn Taimiyyah. Manakala menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab Hanbali, hukumnya adalah makruh (فيض الرحمن: 460-461). Bahkan, bacaan al-Quran secara berkumpulan ini bersesuaian dengan hadis riwayat Muslim (no. 2700 & 2699), sabda Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;

لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ ، وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فَيْمَنْ عِنْدَهُ
“Tidaklah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah Taala, melainkan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat dan akan dilimpahi rahmat serta akan diturunkan ke atas mereka ketenangan dan Allah akan menyebut (memuji) mereka di hadapan para malaikatNya.”

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
“Tiada berhimpun satu kaum di mana-mana masjid Allah sedang mereka membaca kitab Allah (al-Quran) dan bertadarus sesama mereka melainkan akan diturunkan ke atas mereka ketenangan, akan dilimpahi rahmat dan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat serta Allah akan menyebut (memuji) mereka di hadapan para malaikatNya.”

Justeru, khatam al-Quran secara bertadarus ini hanya sesuai diistilahkan sebagai khatam secara kumpulan@jamaah. Namun dari segi pengistilahan sebenar, cara itu tidaklah dikirakan sebagai khatam secara individu. Hal ini kerana khatam yang sebenar adalah apabila seseorang membaca al-Quran secara tertib (susunan) mushaf bermula daripada Surah al-Fatihah sehingga Surah al-Nas (معجم علوم القرءان: 137). Malah kelebihan mengkhatamkan al-Quran secara individu juga berbeza berbanding mengkhatamkan al-Quran secara berkumpulan.

Namun demikian, tidaklah salah menggalakkan umat Islam agar membaca al-Quran sekalipun hanya beberapa helaian dalam khatam secara kumpulan@jamaah ini kerana masing-masing akan memperolehi ganjaran berdasarkan kadar ayat yang dibacakan. Bahkan, tadarus sebegini juga merupakan peluang terbaik untuk pembaca al-Quran dapat saling menegur serta memperbaiki kesalahan masing-masing, dan bukan sekadar membaca untuk khatam semata-mata.

Hal ini juga hampir sama dengan aktiviti mengedarkan juzuk-juzuk al-Quran kepada orang-orang yang hadir dalam sesuatu majlis perhimpunan. Di mana setiap orang daripada mereka akan membaca satu hizb daripada al-Quran misalnya. Perbuatan seperti ini juga tidaklah dikira setiap orang dari mereka telah mengkhatamkan al-Quran. Namun setiap ahli kumpulan akan mendapat pahala berdasarkan bacaan yang telah dilakukannya. Hal ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim (1/472), sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam;
أجرُك على قَدْرِ نصَبِك
“Ganjaranmu adalah berdasarkan kepada kadar keletihanmu.”
Disebutkan dalam kaedah fiqh;

مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا ، كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا (قاعدة التاسعة العشر,الأشباه والنظائر: 143)
“Apa yang lebih banyak perbuatan maka lebih banyak kelebihan.”
اليسع

Wallahua’lam.
Ustaz Alyasak Berhan

Blogger Tolib al-‘Ilm

19/05/2018 - Posted by | Fad hail Amal, Ibadah

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: