Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

FADHILAT SANDAL RASULULLAH SAW

sandal-nabi-muhammad-saw_20151011_182507

FADHILAT SANDAL RASULULLAH SAW

Maulana Zakaria Kandahlawi(rah) dan Maulana Asyraf Ali Thanwi(rah) merupakan dua nama ulama besar dari aliran Deobandi. Setiap pelajar yang berkelulusan dari Darul Uloom Deoband atau dari mana-mana madrasah yang beraliran Deobandi pasti mempunyai sanad keilmuan yang akan melalui kedua-dua tokoh ulama berkaliber tinggi ini.

Kedua-dua mereka telah menyebut dalam kitab mereka mengenai fadhilat gambar dan lakaran sandal/capal Rasulullah SAW. Syaikhul Hadis Maulana Zakaria al-Kandahlawi dalam kitabnya yang mensyarahkan kitab “Syamail at-Tirmidzi” menyatakan:-“ Gambar lakaran sandal/capal dan kelebihan serta keberkatannya telah diberikan dengan begitu terperinci di dalam kitab “Zadus Sa`id” karangan Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi (rahmatullah ‘alaihi). Khasiatnya tidak putus-putus. Beliau menyatakan bahawa beliau sendiri(Maulana Zakaria) telah mengalaminya beberapa kali. Beliau berkata dengan menyimpan sebuah gambar lakaran capal ini seseorang itu akan diberkati dengan ziarah bertemu Rasulullah, akan dilepasi daripada ancaman kuku besi penzalim, mencapai keberhasilan pekerjaannya dan berjaya di dalam segala cita-cita melalui tawassul capal ini. ”

Selain Maulana Zakaria dan Maulana Asyraf, seorang alim ahlus sunnah tersohor berasal dari bumi Palestin, bernama Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani telah mengungkapkan kemuliaan sepatu Rasulullah dalam bentuk puisi dalam kitabnya “Jawahirul Bihar” , ianya adalah seperti berikut;

*Alas kaki Nabi Muhammad berada di atas kepala alam semesta dan seluruh makhluq berada di bawah bayang-bayangnya.

*Ketika di bukit Tursina, Nabi Musa as diperintah supaya menanggalkan (alas kakinya), tetapi Nabi Muhammad saw. biarpun berada pada jarak yang lebih dekat , tidak diminta supaya ditanggalkan sandalnya

*Lambang yang meniru Sandal asli Sang Rasul saw. yang paling Mulia itu membuatkan bintang-bintang berangan-angan
menjadi tanah untuk dipijak olehnya.

*Madu-madunya, tujuh petala langit semuanya cemburu, dan mahkota-mahkota raja semuanya merasa hasad padanya

*Lambang sandal al-Mustafa saw itu tiada tolok bandingnya, ia adalah kerehatan bagi rohku dan celak (ubat) bagi mataku

*Sangatlah mulia lambang sandal yang Agung ini! Kerananya, semua kepala berharap, alangkah baiknya jikalau dapat menjadi kaki (Baginda saw.)

*Apabila aku melihat ALLAH mula memerangi manusia (kerana maksiat mereka), aku menjadikan alas kaki tuannya sebagai perisai

*Aku berlindung daripadaNYA (Kemarahan ALLAH) dengan keagungan lambang alas kaki Baginda , sebagai tembok yang kukuh dimana aku berasa aman dibawah perlindungannya

*Aku berkhidmat pada lambang Sandal al-Mustafa saw. , supaya dapat aku hidup di dunia dan akhirat dibawah bayang-bayangnya

*Berbahagianya Ibnu Mas`ud ra. kerana khidmatnya pada sandal Baginda (yang sebenarnya), dan aku, adalah si dia yang berbahagia kerana khidmatku pada lambangnya

*Sesungguhnya, bukanlah pada lambang itu hatiku merindu, tetapi pada Baginda saw. yang memakai Sandal itu…

*Kita direndahkan oleh cinta kerana memuliakan sandal ini, dan bilamana kita merendahkan diri dihadapannya, kita akan diangkat dan dimuliakan

*Maka letakkanlah ia di rak-rak teratas, kerana secara zahir ia adalah Sandal, namun pada hakikatnya ia adalah Mahkota.

Dan di antara kelebihannya yang telah terbukti manfaat dan keberkatannya ialah apa yang dikisahkan oleh seorang syaikh yang soleh, Abu Ja’far Ahmad bin Abdul Majid:- “Aku telah membuat mitsal ni`al(lakaran sandal) ini untuk seorang muridku, maka dia telah berjumpa denganku pada suatu hari dan berkata:- “Kelmarin aku telah melihat keberkatan ni`al ini yang ajaib. Isteriku telah ditimpa sakit yang berat sehingga hampir-hampir binasa, maka aku letakkan mitsal ni`al tersebut pada tempat sakitnya dan berdoa “ALLAHUMMA ARINI BARAKATA SOHIBI HAZAN-NA’LI” ( Ya Allah, tunjukkanlah aku keberkatan tuan empunya ni`al ini, yakni Junjungan Nabi s.a.w.), lalu dia disembuhkan Allah pada waktu itu juga.

Keharusan bertawassul dengan lakaran sandal Rasulullah SAW juga disebutkan oleh Maulan Zakaria Kandahlawi dalam kitabnya Syarah Syamail Tirmizi.

Antara kelebihannya yang lain juga dicatatkan oleh Imam al-Qustulani dalam kitabnya “al-Mawaahibul Laduniyyah” juz ke-2 mukasurat 174.

Telah berkata Abu Ishaq:-”Telah berkata Abul Qasim bin Muhammad:-”Di antara yang telah mujarrab keberkatannya ialah sesiapa yang membawanya bersama dengan niat untuk mengambil berkat, jadilah dia selamat daripada kejahatan penjahat, memperolehi kemenangan ke atas musuh dan mendapat penjagaan daripada syaitan yang jahat serta dipelihara daripada kedengkian orang-orang yang hasad. Dan jika dibawa oleh orang perempuan hamil yang sedang sakit hendak bersalin pada sebelah kanannya, nescaya dipermudahkan urusannya tersebut dengan pertolongan dan kekuatan Allah.”

Beberapa ulama lainnya juga telah mengarang berbagai kitab mengenai lakaran sandal atau ni`al al-Mustafa s.a.w. ini. Antaranya ialah Imam Ibnu ‘Asakir dalam kitabnya“Timsalu Na’l an-Nabiy“, Imam Ibnu Muqri dalam kitabnya “Qurratul Aynayn fi Tahqiq Amr an-Na’layn“, Imam Abul Abbas al-Maqqari dalam kitabnya “Fathul Muta`al fi Madhin-Ni`al” dan ramai lagi yang lain.

Ulama membuat lakaran atau imej sandal Rasulullah s.a.w. demi kecintaan kepada Nabi junjungan besar s.a.w. sehingga merasakan sandal di telapak kaki Junjungan s.a.w. lebih mulia dan lebih bertuah daripada diri mereka. Hal ini amat payah untuk difahami oleh orang-orang yang tidak mengenal cinta dan orang yang tidak pernah mengecap fana-ur-rasul.

Bukankah kecintaan itu menuntut untuk mencintai apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan yang dicintainya. Perhatian diberikan hatta ke sandal Kekasih s.a.w. bukan kerana sandal tetapi kerana yang tuan empunyanya. Tulusnya cinta pada kekasih telah menyebabkan keberkatannya terzahir pada diri pencinta.

Jika sandal Rasulullah saw itu tiada apa-apa kaitan dengan agama, maka sudah tentu para sahabat Rasulullah saw tidak perlu bersusah payah meriwayatkan hadis-hadis berkenaan rupa bentuk sandal yang dipakai oleh Rasulullah seperti mana yang telah dihimpunkan hadis-hadisnya oleh Imam Tirmizi dalam Syamail-nya yang menerangkan mengenai rupa dan bentuk sandal Rasulullah secara terperinci.

Jika ada yang mengatakan “bukankah bukti cinta Rasulullah SAW itu dengan mengikuti sunnahnya?’.Demikian memang benar, tetapi manusia harus diberi ruang dan peluang untuk dipupuk perasaan cinta terhadap Rasululah sebagai asas kekuatan dan motivasi untuk beristiqamah dengan sunnah Rasulullah SAW.

Semoga kita ditumpahkan perasaan cinta yang mendalam terhadap Rasululah SAW serta apa dan siapa saja yang berkaitan dengan baginda SAW. Amiin.

Ustaz Iqbal Zain

14/03/2018 Posted by | Ibadah, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

DALIL TABARRUK

DALIL TABARRUK
(Para Sahabat Bertabarruk Dengan Segalanya Yang Berkaitan Rasulullah SAW)

Daripada ‘Amir ibn Abdullah ibn Zubair mengisahkan ayahnya pernah menceritakan kepadanya bahawa dia pernah datang kepada nabi ketika baginda sedang dibekam.
Setelah selesai dibekam, Baginda SAW bersabda: “Wahai Abdullah (ibn Zubair)! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di tempat yang tidak seorang pun dapat melihat kamu.”

Setelah meninggalkan Rasulullah SAW, dia mengambil darah itu, lalu meminumnya. Apabila kembali semula, Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang telah kamu lakukan dengan darah itu?” Dia menjawab: “Aku telah sorokkannya di tempat yang sangat tersorok, yang aku tahu ia sememangnya tersembunyi daripada orang ramai.”
Baginda SAW bersabda: “Boleh jadi engkau telah meminumnya?” Dia menjawab: “Ya”.
Nabi SAW bersabda: “Kenapa kamu minum darah itu? Celakalah manusia daripada kamu dan terselamatlah kamu daripada manusia.” (riwayat Al-Hakim, al-Bazzar, Al-Isobah dan oleh Al-Haithami dalam Majma’)

Abu Musa mengatakan bahawa Abu ‘Asim berkata: “Mereka (para sahabat) berpendapat bahawa kekuatan yang terdapat pada Abdullah ibn Zubair itu disebabkan keberkatan darah tersebut.”

Dalam riwayat Imam al Dar Qutni daripada hadis Asma’ binti Abu Bakar juga seperti itu. Dalam hadis tersebut dinyatakan: “Dan kamu tidak akan disentuh api neraka”.
Dalam kitab al Jauhar al-Maknun fi Zikr al-Qaba’il wa al-Butun disebutkan, bahawa setelah Abdullah ibn Zubair meminum darah Rasulullah SAW, meruap bau wangi kasturi daripada mulut Ibnu Zubair dan bau itu kekal di mulutnya sehingga dia disalib (syahid). (Dalam Al-Mawahib, al-Quatallani, 1:284)

Imam Tabrani meriwayatkan daripada Safinah r.a katanya: Suatu ketika, Nabi Muhammad SAW berbekam. Setelah itu, baginda bersabda: “Ambillah darah ini dan tanamlah ia daripada (dilihat) oleh binatang, burung dan manusia”. Lalu, aku pun menyembunyikannya dan meminumnya. Kemudian, aku memberitahu hal itu kepada Rasulullah SAW, maka baginda pun ketawa. (Al-Haitami dalam Majma’ mengatakan bahawa rijal Al-Tabrani adalah thiqah. 8:270)

Dalam Sunan Sa’id ibn Mansur melalui jalan ‘Amru ibn Sa’ib disebut: “Telah sampai berita kepadanya bahawa Malik ibn Sinan r.a, bapa Abu Sa’id al Khudri, tatkala muka Nabi Muhammad SAW luka dalam peperangan Uhud, dia menghisap darah baginda SAW sampai bersih dan nampak putih bekas lukanya.”
Nabi SAW bersabda: “Muntahkan darah itu!” Malik r.a menjawab: “Aku tidak akan memuntahkannya selama-lamanya.” Bahkan, dia menelannya.
Nabi SAW bersabda: “Barang siapa ingin melihat seorang dari ahli syurga, maka lihatlah kepada orang ini.” Ternyata, dia gugur syahid dalam peperangan Uhud.

Imam Tabrani juga meriwayatkan hadis seperti itu. Antara lain, disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mencampurkan darahku dengan darahnya, nescaya tidak akan disentuh api neraka”. (Al-Haithami mengukuhkan hadis ini dalam Majma’nya, 8:270)

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar: “Telah meriwayatkan Abdul Razzaq daripada Ibnu Juraij, beliau berkata: Aku diberitahu bahawa nabi pernah buang air kecil ke dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada tembikar. Kemudian, baginda meletakkannya di bawah katilnya.”

Apabila baginda hendak mengambilnya kembali, ternyata bekas itu tidak mengandungi apa-apa. Rasulullah SAW bertanya kepada seorang perempuan yang bernama Barakah, pembantu Ummu Habibah yang datang bersamanya dari Habsyah: “Di manakah air kencing di dalam bekas itu?” Dia menjawab: “Aku telah meminumnya.”
Rasulullah SAW bersabda: “Semoga engkau beroleh kesihatan, wahai Ummu Yusuf!” Dia memang digelar dengan gelaran Ummu Yusuf. Selepas peristiwa itu, dia tidak pernah sakit, kecuali sakit yang mengakibatkan kematiannya. (Ibnu Hajar, al-Talkhis al Habir fi Takhrij Ahadith al-Syarh al-Kabir, (2: 32))

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasaei secara ringkas. Berkata al Hafiz al-Suyuti: “Ibnu Abdil Bar telah menyempurnakan penulisan hadis ini di dalam al-Isti’ab.” Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW bertanya Barakah tentang air kencing yang terdapat di dalam bekas tersebut. Lalu Barakah berkata: “Aku telah meminumnya, wahai Rasulullah!” Seperti yang disebut oleh hadis. (Al-Suyuti, Sharh Sunan Al-Nasaei, 1:32).

Dalam Bukhari dan Muslim: Para sahabat berebut mendapatkan sisa air wudhu’ Nabi sall-Allahu álayhi wasallam untuk digunakan membasuh muka mereka.Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam kitab sahihnya akan perlakuan para sahabat dalam bertabarruk dengan air bekas wuduk Junjungan Nabi SAW. Demikian dahsyat dan bersungguh-sungguhnya mereka bertabarruk dengannya sehingga Imam al-Bukhari meriwayatkan yang mereka seolah-olah hampir saling berbunuh-bunuhan kerana berebut-rebut mendapatkan bekas jatuhan air wuduk dan air ludah baginda SAW.
Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim berkata: “riwayat-riwayat ini merupakan bukti/hujjah untuk mencari barokah dari bekas-bekas para wali” (fihi al-tabarruk bi atsar al-salihin).

Anas berkata: “Nabi sall-Allahu álayhi wasallam tinggal bersama kami, dan begitu beliau tidur, ibuku mulai mengumpulkan air peluhnya dalam suatu botol kecil. Nabi sall-Allahu álayhi wasallam terbangun dan bertanya, “Wahai Ummu Sulaim, apa yang kau lakukan?” Dia (Umm Sulaim) menjawab, “Ini adalah air peluhmu yang akan kami campur dalam minyak wangi kami dan itu akan menjadikannya minyak wangi terbaik.” (Hadits Riwayat Muslim, Ahmad). Perbuatan tersebut tidak dilarang oleh Rasulullah SAW.

Ibnu al-Sakan meriwayatkan lewat Safwan ibn Hubayra dari ayah Safwan: Sabit al-Bunani berkata: Anas ibn Malik berkata kepadaku (di tempat tidurnya saat menjelang wafatnya): “Ini adalah sehelai rambut Rasulullah sall-Allahu álayhi wasallam. Aku ingin kau menempatkannya di bawah lidahku.” Thabit melanjutkan: Aku menaruhnya di bawah lidahnya, dan dia (Anas) dikubur dengan rambut itu berada di bawah lidahnya.”
Ibnu Sirin (seorang tabi’in) berkata: “Sehelai rambut Nabi sall-Allahu álayhi wasallam yang kumiliki lebih berharga daripada perak dan emas dan apa pun yang ada di atas bumi maupun di dalam bumi.” (riwayat Bukhari,Baihaqi dalam Sunan Kubra, dan Ahmad)

Hafiz al-’Ayni berkata dalam ‘Umdat al-Qari, Vol. 18, hlm. 79: “Ummu Salamah memiliki beberapa helai rambut Nabi dalam sebuah botol perak. Jika orang jatuh sakit, mereka akan pergi dan mendapat barokah lewat rambut-rambut itu dan mereka akan sembuh dengan sarana barokah itu. Jika seseorang terkena penyakit mata atau penyakit apa saja, dia akan mengirim isterinya ke Ummu Salamah dengan sebuah bekas air, dan dia (Ummu Salamah) akan mencelupkan rambut itu ke dalam air, dan orang yang sakit itu meminum air tersebut dan dia akan sembuh, setelah itu mereka mengembalikan rambut tersebut ke dalam jiljal.”

Ustaz Iqbal Zain

14/03/2018 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: