Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ketahuilah Kaedah Ulamak Memahami Hadis!

Gembira melihat sekarang ramai yang suka menyemak status hadis sebelum beramal dan kemudian beramal dengan hadis yang dibaca. Mereka beramal bukan sekadar ikut-ikutan, tetapi mencari dalil terlebih dahulu. Apabila didapati hadis tersebut lemah, maka mereka mencari hadis sahih atau hasan untuk diamalkan supaya lebih yakin dalam beribadah. Malah, mereka lebih selesa apabila mengetahui bahawa amalan tersebut tidak keluar daripada Mazhab As-Syafi’e yang diamalkan di Malaysia.

Imam As-Syafi’e (w. 204H) raḥimahullah berkata :
إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ خِلَافَ قَوْلِي فَاعْمَلُوا بِالْحَدِيثِ وَاتْرُكُوا قَوْلِي أَوْ قَالَ فَهُوَ مَذْهَبِي
“Apabila sahih sesuatu hadis yang bertentangan pendapatku, maka beramallah dengan hadis tersebut dan tinggalkan pendapatku” atau “ itulah mazhabku.”
Malah, ini juga adalah kata-kata Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Secara zahirnya kata-kata ini bermaksud :
“Jika kamu menjumpai hadis yang sahih dan beramal dengannya, maka kamu telah mengikut mazhab Al-Syafi’i.’

Jadi, ramai yang apabila membaca terjemahan bahasa Melayu hadis-hadis dalam Sahih Bukhari dan Muslim terus mengamalkan hadis-hadis tersebut. Tetapi, sebenarnya inilah perkara syubhah yang berlegar dalam masyarakat.

Sebelum menulis lebih lanjut, secara logiknya.

Pertama sekali, kita ketahui bahawa para imam yang faqih, para muhaddith yang mempunyai keahlian dalam Bahasa Arab selepas Imam Mazhab pun masih mengikuti mazhab imam-imam ini. Malah para Imam Hadith pun mengikut mazhab fiqh yang empat. Contohnya Imam Nasa’i dan Imam Abu Daud yang bermazhab As-Syafi’iyyah. Amirul Mukminin fil Hadith seperti Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani(w. 852) yang mencapai peringkat tertinggi penguasaan hadith pun bermazhab.

Kedua, jika nak dikatakan Imam As-Syafi’i(w. 204H) atau lainnya tidak sampai hadis-hadis sahih yang sampai kepada Imam Al-Bukhari(w. 256H) dan Imam Muslim(w. 261), logikkah ulama’ Syafi’iyyah yang hidup selepas zaman dua Imam Hadis ini pun tidak meneliti kitab sahih tersebut?

Malah Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani(w. 852) sebagai contoh adalah pengarang Fathul Bari (Syarah Sahih Al-Bukhari) dan Imam An-Nawawi(w. 676H) pula pengarang Syarah Sahih Muslim. Tetapi, mengapa dua ulama’ mazhab ini masih mengekalkan hampir seluruh pendapat Imam As-Sya’fie yang kita anggap diambil daripada hadis lemah (yang nampak bertentangan dengan hadis dalam sahihain) walaupun mereka telah meneliti dan mengiktiraf Sahih Bukhari sebagai kitab paling sahih selepas Al-Quran? Hanya beberapa pandangan sahaja yang berbeza tanpa menyalahkan pendapat imam. Di mana kedudukan kita yang hanya membaca terjemahan hadith?

Sesungguhnya yang paling memahami pendapat para Imam Mazhab adalah para murid mereka dan ulama’ dalam mazhab tersebut. Maka, untuk memahami ucapan “Apabila sebuah hadis sahih, maka itulah mazhabku”, kita perlu memahaminya mengikut kefahaman ulama’ Syafi’iyyah.

Imam Nawawi berkata dalam kitabnya, Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazdzab:
“Apa yang dikatakan oleh Imam Al-Syafi’i ini bukanlah bermaksud apabila seseorang menjumpai hadis sahih, maka dia boleh berkata {“Inilah Mazhab As-Syafi’i “}, dan dia terus beramal dengan maksud zahirnya. Tetapi, ia adalah kata-kata untuk sesiapa yang sudah mencapai tahap boleh berijtihad dalam mazhab.

Untuk mengatakan bahawa sesuatu hadis tidak sampai kepada Imam As-Syafi’i, ada syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang, dan syarat ini sudah dinyatakan amat sukar dipenuhi pada zaman Imam Nawawi(zaman ini?).

Syarat tersebut ialah :
1) Dia yakin(bukan hanya menyangka) bahawa hadis tersebut benar-benar tidak sampai kepada Imam As-Syafi’i atau benar-benar beliau tidak mengetahui taraf hadisnya. Perkara ini hanyalah boleh berlaku sekiranya dia telah menelaah semua kitab Imam Syafi’i, semua kitab sahabat-sahabat beliau yang mengambil ilmu darinya dan kitab-kitab yang sepertinya. Ini adalah sesuatu yang amat susah pada zaman ini(zaman Imam Nawawi). Hanya sedikit yang mampu mencapainya.

Kenapa disyaratkan sedemikian? Hal ini demikian kerana Imam As-Syafi’i rahimahullah meninggalkan dan tidaklah beramal dengan ZAHIR hadis yang dijumpai dan diketahuinya, tetapi beliau mempunyai dalil tentang masalah hadis, nasakhnya hadis, takhsis, takwil dan perkara-perkara lain sepertinya.

Sebagai contoh, Imam As-Syafi’i tidak mengambil hukum dengan hadis, “Telah berbuka(batal puasa) sesiapa yang melakukan bekam dan yang berbekam” sedangkan bagi beliau hadis tersebut sahih. Tetapi, beliau meninggalkannya kerana mendapati ada dalil bahawa ia telah dimansukhkan oleh hadis Nabi berbekam ketika puasa.

Begitu juga maksud kata-kata Imam Abu Hanifah, “Apabila sahih sesuatu hadis, itulah mazhabku.” Ibnu Al-‘Abidin menaqalkan kata-kata Ibnu Syihnah dan memberi komen bahawa kata-kata tersebut hanya ditujukan kepada para mujtahid mazhab.
Jadikah, adakah patut bagi seorang yang masih mampu berfikir sewenang-wenangnya berkata “imam ini tidak mahir ilmu hadis, imam ini tak banyak tahu hadis” tanpa mengetahui kaedah-kaedah yang digunakan oleh imam tersebut?

Sumber :
1) Kitab Al-Majmūʻ Sharḥ Al-Muḥadzdzab.
Imam Yaḥyā bin Syaraf An-Nawawī (w. 676H)
Cetakan Dār Al-Fikr. j. 1. h. 63.
2) Kitab Athar Al-Hadīth Al-Sharīf fi Ikhtilāf al-A’immaṯ al-Fuqahā’ raḍiyallahu ‘anhum
Al-Shaykh Muḥammad ʻAwwāmah ḥafiẓahullah
Cetakan Keempat Dār Al-Bashā’ir Al-Islāmiyyah
Poster Talaqqi Daurah Seminar II

(Dari FB Ustaz Yunan A Samad)

23/02/2018 - Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: