Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

ISU WAJIB KAH BASUH TELUR SEBELUM DI GORENG ATAU DI REBUS?

*Soalan*
Salam ustaz. …wajib ke basuh telur ayam sebelum goreng atau rebus? Sebab mereka kata telur kena najis ketika keluar dari dubur ayam.

*JAWAPAN:*
1) Telur ayam keluar melalui faraj ayam betina dan sepertimana yang diketahui, telur yang keluar kebiasaannya beserta lembapan yang terhasil dari faraj. Sebelum membincangan hukum basuh telur, elok diketahui hukum cecair yang terhasil dari lembapan faraj binatang di sisi para ulama.

2) Menurut pendapat muktamad di dalam mazhab Syafi’ie cecair lembapan yang terhasil dari faraj manusia dan binatang adalah suci bukan najis iaitu hukumnya sama seperti peluh. Pandangan ini merupakan pendapat majoriti di kalangan ulama.
*(Rujuk: Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah)*.

Perkara ini dinyatakan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari di dalam *“Asna al-Matalib”:*Maksudnya: “Begitu juga lembapan dari faraj wanita, bahkan selain darinya termasuk semua binatang adalah suci”.

3) Apabila sesuatu yang terkena atau diseliputi lembapan faraj maka ia tidak wajib dibasuh kerana ia tidak dikategorikan sebagai najis, perkara ini dinyatakan *Sheikh Zainuddin al-Malibari di dalam “Fathul Mu’in”:*

Maksudnya: “dan tidak wajib membasuh kemaluan orang yang berjimak, telur dan anak(bayi yang dilahirkan)”.

4) Meskipun lembapan itu beserta dengan cecair yang bernajis seperti air kencing dan mazi, namun ia termasuk perkara yang dimaafkan dan hukumnya masih tidak wajib membasuhnya. Hal ini ada dijelaskan di dalam *kitab “I’anah al-Tolibin”:*

Maksudnya: “Iaitu (tidak wajib basuh) dari lembapan faraj, samaada ia suci atau pun najis, kerana yang kedua itu(najis) dimaafkan maka perkara yang disebut itu(kemaluan orang berjimak, telur dan bayi yang baru lahir) tidak dikira sebagai bernajis”.

5) Kesimpulannya, jika telur yang keluar dari faraj ayam maka ia tidak dikira sebagai telur yang diseliputi oleh najis, kerana ulama menyatakan lembapan dari faraj ayam tidak dikira sebagai najis. Jika ia bercampur dengan najis sekali pun namun ia dimaafkan kerana ia terlalu sedikit dan sukar untuk dielak. Oleh itu, telur ayam tidak diwajibkan basuh sebelum dimasak menurut fuqaha’.

6) Lagipun telur-telur yang dijual di kedai dan pasaraya pada zahirnya tidak kelihatan najis pada kulitnya, oleh itu selagi tiada bukti yang nyata maka kulit telur itu pada asasnya adalah suci tidak diseliputi najis.

7) Melainkan jika telur itu kelihatan jelas padanya najis ayam atau berbau najis maka ia digalakkan dibasuh terlebih dahulu lebih-lebih lagi sebelum merebus telur tersebut. Hukum menjadi wajib basuh jika diyakini najis pada kulit telur itu akan mengena isi telur itu.

8) Perlu difahami, hukum fiqh tidak boleh disamakan dengan perasaan peribadi. Ilmu fiqh hanya membincangkan tentang hukum syarak ia tidak melibatkan citarasa peribadi contoh perasaan geli dan tidak selera. Oleh itu tidak wajar seseorang itu mengeluarkan hukum wajib atau haram berdasarkan perasaan atau citarasa peribadi. Namun bersikap berhati-hati dalam hal ini adalah lebih baik dan terpuji.

Wallahu A’lam
Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Dibawah ini pula dikongsikan video dari UAI. Wajib basuh Telur sebelum MAKAN? Dengarkan penjelasan dari UAI.https://youtu.be/TQ-IEZQ-7m0

08/01/2018 Posted by | Fiqh, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Kelebihan memiliki anak Perempuan.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda :-
“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan,
lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya,
“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”
Sabda baginda,
“Juga untuk dua anak perempuan.”
Seorang lelaki berkata,
“atau untuk seorang wahai Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w menjawab,
“Juga untuk seorang.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a.,
dari Rasulullah s.a.w baginda telah bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,
nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.

Daripada hadis-hadis di atas, dapat kita pelajari bahawa kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud,
“Takutlah kamu kepada Allah s.w.t dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita.”

(Rujukan Kitab Muhimmah).

08/01/2018 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: