Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

IRSYAD AL-FATWA KE-17: KAEDAH PELUPUSAN AL-QURAN YANG ROSAK AKIBAT BANJIR

IRSYAD FATWA

IRSYAD AL-FATWA KE-17: KAEDAH PELUPUSAN AL-QURAN YANG ROSAK AKIBAT BANJIR
Ditulis oleh Admin PMWP
Diterbitkan: 08 Januari 2015

Soalan : Bagaimanakah kaedah pelupusan al-Qur’an yang rosak akibat banjir seperti yang melanda di sebahagian negeri-negeri di Malaysia baru-baru ini?

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya yang telah mengurniakan kepada kita nikmat. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kemudian.

Sebelum saya melebarkan jawapan ini, marilah sama-sama kita menginsafi apa yang berlaku berkenaan dengan banjir atau bah besar yang melanda pada sebahagian Negara kita seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Kedah, Perlis dan Sabah. Walaupun begitu, sifat sabar, redha dan menghulurkan bantuan samada wang ringgit, harta benda bahkan tenaga bertali arus oleh semua pihak. Usaha seperti ini sewajarnya dipupuk dengan lebih baik lagi.

Firman Allah Ta’ala :

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Surah al-Hijr ayat 9)

Sebenarnya persoalan ini pernah kami jawab secara umum dalam Irsyad Fatwa ke-12 yang lalu. Walaupun begitu, pada kali ini saya akan tafsirkan dengan lebih terperinci. Para ulama’ telah khilaf bagaimana cara melupuskannya kepada dua pendapat.

Pertama : Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat hendaklah digali tanah dan ditanam di dalamnya.

Seperti ulama’ Hanafi antaranya al-Haskafi berkata : “Mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah ditanam sebagaimana keadaan orang Islam yang mati”. Lihat al-Durr al-Mukhtar 1/191. Sahib al-Hasyiah memberi komentar dengan berkata : “Diletakkan perca kain yang bersih yang diletakkan di dalamnya (al-Qur’an yang rosak) kemudian ditanam di tempat yang tidak dihina dan dipijak.”
Al-Buhuti, seorang ulama’ dalam mazhab Hanbali berkata : “Jika sekiranya mushaf telah basah atau lupus, hendaklah ditanamnya secara nas. Imam Ahmad menyebut bahawa Abu al-Jawza’ telah basah mushafnya lantas digali lubang pada masjidnya dan ditanamnya.” Lihat Kasyaf al-Qina’ 1/137.
Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) berpendapat, cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf ialah dengan menanamnya di masjid. Jika tidak boleh maka ditanamnya di tempat yang bersih lagi suci dan harus juga membakarnya. Lihat al-Fatawa 13/84
Kedua : Mazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, hendaklah dibakar.

Hujah bagi pendapat yang kedua ini adalah berdasarkan tindakan Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulis, dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat. Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya no. 4988. Mus’ab bin Sa’d berkata : “Aku mendapati ramai orang yang mana menyaksikan peristiwa arahan Saidina Uthman supaya mushaf-mushaf yang lain dibakar. Perbuatan tersebut menjadi kehairanan bagi mereka tetapi tidak seorang pun dari kalangan mereka mengingkarinya.” Diriwayatkan oleh Abu Bakr bin Abi Daud dalam bukunya Kitab al-Masahif halaman 41.
Ibn Battal berkata : “Perintah Saidina Uthman supaya membakar semua mashaf ketika dihimpunkan al-Quran menandakan keharusan membakar kitab-kitab yang terpada padanya Asma’ullah (nama-nama Allah). Yang demikian, sebagai kemuliaan baginya dan pemeliharaan daripada dipijak dengan kaki serta dicampakkannya pada mana-mana tempat.” Lihat Syarah Sahih al-Bukhari 10/226.
Imam al-Suyuti berkata : “Apabila perlu kepada melupuskan sebagian kertas mushaf dengan sebab basah atau rosak, maka tidak harus diletakkannya pada mana-mana tempat sekalipun tinggi kerana boleh jadi akan jatuh dan dipijak. Begitu juga tidak harus mengoyaknya kerana memisahkan huruf-huruf dan kalam tersebut. Justeru, kalau dibakarnya dengan api, maka tidak mengapa. Ini kerana perbuatan Saidina Uthman yang membakar semua mushaf dan tiada seorangpun yang mengingkarinya.” Lihat al-Itqan fi Ulum al-Qur’an 2/1187
Tarjih

Selepas meneliti dua pandangan di atas samada menanamnya atau membakarnya, saya melihat bahawa adalah diharuskan kedua-duanya kerana ia bermatlamat untuk memuliakan al-Qur’an atau mushaf.

Walaupun begitu, saya lebih cenderung kepada hujahan mazhab Syafi’i dan Maliki yang memilih dengan cara membakar. Perbuatan sahabat seperti Saidna Uthman yang merupakan ijtihad daripadanya dan juga selepas itu tidak diingkari oleh mana-mana sahabat menjadi hujah yang kuat kepada perbuatan tersebut untuk mengharuskan pembakarannya. Ini kerana ianya memang rosak disebabkan banjir dan alangkah baiknya selepas itu, debu yang berbaki, ditanam kerana mengambil pendapat yang pertama dari mazhab Hanafi dan juga Hanbali.

Alhamdulillah, mutakhir ini telah wujud alat yang moden dalam menghancurkan kertas sehingga menjadi seperti debu atau serpihan halus dan tidak kekal lagi walaupun kalimah dan huruf secara zahir. Kemudian ianya dibakar pula dan kemudian ditanam, maka sudah tentu lebih selamat dalam memuliakan al-Qur’an daripada dihina atau dipijak.

Begitu juga terpakai dalam isu ini berkenaan dengan nama-nama Allah, kitab-kitab hadith atau kitab-kitab agama yang mengandungi nama Allah yang hendaklah kita muliakan di mana cara pelupusannya dibuat sebagaimana dilupuskan mushaf seperti di atas.

Semoga jawapan ini menyelesaikan isu dan kemelut berkenaan dengan pelupusan mushaf yang rosak atau yang tidak mungkin dapat dibaca lagi dengan sebab ditenggelami air dalam tempoh masa yang tertentu. Wallahua’lam.

Akhukum fillah,

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

17 Rabi’ul Awal 1436H bersamaan 8 Januari 2015

Advertisements

9 November 2017 - Posted by | Fatwa, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: