Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Belajar Sifat 20 Sebagai Tidak Mengenal Tauhid Dan Tidak Selamat Daripada Syirik – dakwa Mufti Perlis – Ustaz Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Kajian Ilmiah Ahli Sunnah
*Adakah _Wasatiah_ Dan Kesederhanaan Menganggap Sesiapa Yang Belajar Sifat 20 Sebagai Tidak Mengenal Tauhid Dan Tidak Selamat Daripada Syirik wahai Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin?! (Siri 1)*

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin di dalam satu rakaman di laman sesawang youtube di bawah tajuk “DR ASRI-AQIDAH ITU JELAS -ANTARA 13 & 20 MATURIDI & ASYAIRAH” membantah dan mempertikai pengajian sifat 20 dan dia mengganggap pengajian itu adalah berdasarkan Falsafah Greek Yunani yang tidak sesekali membersihkan seseorang daripada syirik, lihat pada minit ke 6.20.
*Sanggahan:*
1. Mari kita sama-sama pada masa yang sangat genting ini, di saat keganasan dan keterlampauan agama tersebar di merata-rata tempat dengan segala jenis macam, mari kita bersikap adil dan _wasatiy_ dan kita menjauhi sebarang pengkafiran dan pembid^ahan terhadap umat Islam. Memadai bagi kita apa yang dialami oleh umat Islam kini disebabkan keterlampauan DAESH ATAU ISIS WAHHABI dan yang seumpamanya yang menganggap bahawa manusia yang berada di Syam dan Iraq tidak sahih tauhid mereka dan tidak juga sahih iman mereka kerana mendakwa mereka tidak mentauhidkan Allah dengan tauhid al-Uluhiyyah, mereka tidak membahagikan tauhid kepada 3 bahagian. Lalu golongan ini berani menyembelih mereka dan membakar mereka secara hidup-hidup. Lebih parah lagi, golongan ini merogol wanita-wanita dan menjadikan wanita-wanita tersebut sebagai hamba sahaya atas dakwaan kononnya wanita-wanita tersebut adalah wanita-wanita musyrikin yang pegangan tauhid mereka tidak sahih.Kita berharap perkara seperti ini tidak berlaku di tanah air kita yang tercinta ini.
Ada pihak yang membuat tuduhan liar bahawa masyarakat Islam kita yang belajar dan mengajar manhaj al-Asya^irah dan al-Maturidiyyah sejak beratus-ratus tahun lamanya tidak sahih tauhid mereka dan mereka tidak selamat daripada syirik.
Ketahuilah bahawa ulama Melayu di Nusantara kita ini sejak berkurun-kurun lamanya mereka mempelajari tauhid hingga ratusan juta manusia memeluk Islam sebelum sampainya dakyah Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab ke negara kita pada kurun mutakhir ini. Pengikut-pengikut Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab mula mengajar pembahagian tauhid 3; Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid al-Asma’ was-Sifat. Kita sesekali tidak akan menerima semua usaha yang membawa kepada kehancuran terhadap apa yang telah dilakukan oleh ulama kita yang mengajarkan tauhid dan menyebarkan Islam serta mengajar sifat-sifat-Allah kepada bangsa Melayu ini. Kita juga tidak boleh menerima pendapat yang mengatakan bahawa apa yang diajar oleh ulama kita itu bukan akidah muslimin dan bukan tauhid bahkan kononnya falsafah Yunani yang keji.
Seharusnya, kita hendaklah mengikut _wasatiah_ dan keadilan yang telah ditelusuri oleh ulama kita dari kalangan _masyaikh_ kita dan datuk nenek moyang kita yang telah menyebarkan Islam dan apa yang telah ditelusuri oleh ulama salafussoleh sebelum ini. Tidak adil dan tidak _wasatiah_ bahkan bukan selayaknya bagi orang yang diamanahkan dengan jawatan mufti rasmi membuat tuduhan melulu kepada ulama di Malaysia dan Indonesia, masyarakat di nusantara umumnya, mufti-mufti Azhar, mufti-mufti Zaitunah, mufti-mufti lQurawiyyin, mufti-mufti di Malaysia serta majoriti umat Islam dalam kalangan al-^Asyairah dan al-Maturidiyyah di Timur dan Barat bahawa mereka tidak mengetahui tauhid dan tidak selamat daripada kesyirikan kerana mereka mengajarkan dan mempelajari _Sifat Dua Puluh_ dan tidak mengikuti cara pembahagian mengikut Ibn Taimiyyah dan Muhammad ibn ^Abdil Wahhab; Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ was-Sifat.
2. Sesungguhnya sifat-sifat yang dibantah tersebut agar dijauhi dan mendakwa ia adalah falsafah
Greek Yunani yang diajar oleh al-Asya^irah adalah hakikatnya diambil daripada al-Quran dan al-Hadith semuanya bukan daripada falsafah Greek Yunani sebagaimana dakwaan kamu wahai Dr. Mohd Asri Zainal Abidin.
Cuba lihat fakta dan hujjah jelas berikut:
Hakikatnya, kami tidak faham kenapa kamu mengira akidah ini sebagai falsafah Yunani??!
Adakah kerana kami telah meletakkan makna-makna ayat lalu kami menjadi falsafah Greek Yunani musyrikin??! Atau pada hakikatnya kerana kami tidak mengikut ibn Taimiyyah al-Harrani dan Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab, justeru itu kami dituduh sebagai falsafah Greek Yunani??!
Kemudian, apa masalahnya dengan mengira-ngira sifat-sifat ini yang memang diambil daripada al-Quran. Bukankah kita mengira rukun-rukun wuduk yang diambil daripada al-Quran dan al-Hadith,
1. Berniat
2. Membasuh muka
3. Membasuh kedua dua tangan
4. Sapu kepala
5. Membasuh kedua kaki
6. Tertib
Adakah kita dengan ini kita jadi falsafah kerana kita telah mengambil rukun-rukun wuduk daripada al-Quran dan al-Hadith??!
Neraca apa yang kamu pakai wahai Dr. Mohd Asri??
3. Adapun pendapat kamu bahawa sifat-sifat ini susah untuk difahami selepas penjelasan kami bahawa semua sifat tersebut diambil daripada al-Quran, maka ini bermakna akidah yang diambil daripada al-Quran itu susah dan tidak boleh difahami pada tanggapan kamu. Justeru, tiada seorang alim pun dalam kalangan ulama akan meredhai pendapat kamu ini!!!
Bahkan, realitinya ramai dalam kalangan orang yang belajar bersama-sama kamu tentang pembahagian tauhid oleh Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab, mereka tidak memahami pembahagian dan perbezaan antara Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah!! Sebaliknya, jika kamu bertanya para pelajar al-Asya^irah tentang makna al-Wujud, al-Qidam, al-Baqa’ dan lain-lain daripada sifat-sifat Allah, mereka dapat memberi jawapan kepada kamu dengan mudah dan jelas beserta dalil daripada al-Quran dan al-Hadith bagi setiap satu sifat daripada sifat-sifat tersebut. Justeru di manakah kesulitan dan kapayahan yang kamu dakwa itu?!
4. Adapun dakwaan kamu yang mengatakan bahawa al-Asya^irah berkata bahawa sesiapa yang tidak menghafal lafaz-lafaz sifat dan bilangannya mengikut urutan yang telah disebut oleh ulama itu maka imannya tidak sah, maka ini tidak pernah disebutkan oleh seorang pun dalam kalangan ulama al-Asya^irah, malah itu adalah daripada salah anggap kamu sahaja dan tidak ada pun di dalam kitab-kitab al-Asya^irah yang muktabar.
Bahkan perkara yang disebut oleh al-Asya^irah dan al-Muturidiyyah ialah sesiapa menafikan dan mendustakan satu sifat daripada sifat-sifat Allah yang wajib bagi-Nya secara ijmak telah warid di dalam al-Quran maka imannya batal kerana dia telah mendustakan al-Quran dan mengingkari sifat Allah yang wajib bagi-Nya secara ijmak. Amat besar perbezaan di antara perkataan yang disebutkan ini dan perkataan yang kamu tohmahkannya kepada ulama al-Asya^irah.
5. Sesungguhnya mengajarkan sifat-sifat ini secara ringkas tidak mengambil masa lebih dari tiga minit. Adapun dakwaan kamu bahawa mengajar sifat-sifat ini mengambil masa yang lama dan andai kata Nabi melakukan hal ini nescaya orang Arab tidak beriman!!! Ini sangat melampau dan cerita rekaan yang tidak bersandarkan kepada sebarang dalil. Hal ini kerana mengajarkan sifat-sifat ini secara ringkas tidak mengambil masa lebih dari tiga minit!!! Adapun dakwaan kamu bahawa ia perlu mengambil masa bertahun-tahun, maka itu adalah tidak betul.
Adapun, mengajar orang Islam yang mahu mempelajari ilmu akidah dengan mendalam, mengetahui dalil-dalil atau hujah-hujah untuk menyanggah para perosak agama dan golongan yang mendatangkan kecelaruan dalam akidah mereka kepada orang ramai serta mengetahui sejarah firqah-firqah sesat dan akidah yang mereka pegang supaya para penuntut ilmu itu menjadi sebahagian daripada ulama Usulud-Din, maka ini mengambil masa yang panjang dan ini bukanlah hanya buat huraian ringkas tentang sifat-sifat Allah untuk orang baru memeluk agama Islam.
6. Wahai Doktor! Bagaimana boleh diterima bahawa semua ulama Arab dan ulama Melayu, al-Azhar, al-Zaitunah, al-Qurawiyyun dan lain-lain yang menyatakan sifat-sifat ini di dalam kitab-kitab mereka, kamu mengira mereka tidak mengetahui tauhid dan tidak selamat dari syirik?
Wahai Doktor!!! Sesungguhnya kata-kata kamu itu maknanya mengkafirkan Abu Hanifah, al-Nasafi, Ibn ^Asyir, al- Sanusi, Nurud-Din al-Raniri, Muhammad Arsyad al-Banjari, Dawud al-Fatoni, Ahmad ibn Muhammad Zain al-Fatoni dan ramai lagi!
Al-Hafiz al-Nawawi dalam kitabnya _al-Maqasid_ (hlm. 11) menyebutkan:
*أول واحب على المكلف معرفة الله تعالى وهي: أن تؤمن بأن الله تعالى موجود ، ليس بمعدوم. قديم، ليس بحادث، باق، لا يطرأ عليه العدم. مخالف للحوادث، لا شيء يماثله. قائم بنفسه، لا يحتاج إلى محل ولامخصص. واحد لا مشارك له في ذاته ولا في صفاته ولا في أفعاله.*
_”Perkara pertama yang wajib ke atas mukallaf adalah mengenal Allah ta^ala iaitu hendaklah kamu beriman bahawa Allah ta^ala wujud, bukan tiada, Yang qadim bukan baharu, Maha kekal tidak berlaku padanya ketiadaan, bersalahan dengan yang baharu tiada suatupun yang sama dengannya, tidak berhajat kepada yang lain, tidak berhajat kepada tempat dan pencipta, Maha Esa tidak ada sekutu pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pada perbuatan-Nya…”._ Intaha.
Al-Syaikh ^Abdul-Wahid ibn ^Asyir dalam kitabnya _Mursyidul Mu^in ^Ala Doruri Min ^Ulumid-Din_ (hlm. 3) menyebutkan:
يجب لله الوجود والقدم # كذلك البقاء والغنى المطلق عم
وخلفه لخلقه بلا مثال # ووحدة الذات ووصف والفعال
وقدرة إرادة علم حياة # سمع كلام
بصر ذي واجبات….
_” Wajib bagi Allah sifat wujud, qidam iaitu tiada permulaan bagi-Nya, baqa’ iaitu tiada penghujung bagi-Nya, ghina yang mutlak (tidak berhajat kepada makhluk), bersalahan dengan makhluk-Nya, esa pada zat, sifat-sifat dan perbuatan, Maha berkuasa, Maha berkehendak, Maha Mengetahui, Maha Hidup,Maha mendengar, Maha berfirman, Maha melihat.._”. Intaha.
Al-Syaikh Ahmad al-Marzuqi al-Maliki al-Makki (ulama daipada Makkah) dalam matn _^Aqidatul-^Awwam_ (hlm. 9) menyebutkan:
وبعد فاعلم بوجوب المعرفة # من واجب لله عشرين صفة
فالله موجود قديم باقي # مخالف للخلق بالإطلاقوقائم غني واحد وحي # قادر مريد عالم بكلام استمر
سميع البصير والمتكلم # له صفات سبعة تنتظم
_“Adapun, ketahuilah bahawa wajib mengetahui perkara yang wajib bagi Allah taala iaitu dua puluh sifat. Allah ada, Qadim (tidak ada permulaan bagiNya), Baqi (tiada penghujung baginya), Bersalahan dengan makhluk seluruhnya, tidak memerlukan akan yang lain, Maha Esa, Maha Hidup, Maha Berkuasa, maha berkehendak, Maha Mengetahui akan segala sesuatu, maha mendengar, Maha Melihat, Maha Berfirman, baginya tujuh sifat…_”. Intaha.
Di dalam kitab _Nuruz-Zolam_ karanga al-Syaikh al-Nawawi al-Bantani (hlm. 33):
*فأقول لك إعلم – أي أعرف وتيقن- أيها المكلف عشرين صفة واجبة لله تعالى على التفصيل لأن المعرفة واجبة على كل مكلف*
_“Aku katakan kepadamu: Ketahuilah ( pelajarilah dan yakinilah) wahai orang mukallaf akan dua puluh sifat yang wajib bagi Allah taala dengan tafsil (terperinci) kerana mengenal Allah adalah wajib ke atas setiap orang mukallaf_”. Intaha.
Syaikh Dawud al-Fatoni berkata dalam kitabnya _al-Durruth-Thamin_ (hlm. 4) ketika menyebutkan hukum mempelajari sifat 20:
_”Kerana hukumnya ilmu ini wajib ^aini atas tiap-tiap orang mukallaf”._ Intaha.
Di dalam kitabnya _al-Jawahirus-Saniyyah_ (hlm. 4) beliau mengatakan:
_”Maka wajib atas mukallaf mengetahui akan yang wajib bagi Allah ta^ala iaitu tiap-tiap sifat kamal yakni sifat yang menunjukkan atas kamal (kesempurnaan) dan demikian itu tidak dapat dihinggakan dia tetapi tiada diberatkan akan kita melainkan kita mengetahui akan barang yang didirikan dalil atasnya iaitu yang dua puluh sifat ini jua”_. Intaha.
Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustofa bin Muhammad al-Fatoni dalam kitabnya _Faridatul-Fara’id_ (hlm. 4) ketika menyebutkan hukum mempelajari sifat 20 menyebutkan:
_”Bermula permulaan barang yang wajib pada syarak atas tiap-tiap orang mukallaf iaitu orang yang ^aqil (berakal) lagi baligh sama ada lelaki atau perempuan iaitu bahawa mengenal ia akan Allah ta^ala, ertinya mengetahuikan segala hukum sifat-sifatNya dan segala hukum ketuhanan…”_. Intaha.
Syaikh ^Abdul-^Aziz bin Ismail al-Fatoni berkata dalam kitabnya _al-Misbah al-Munir_ (hlm. 13):
_” Dan dua puluh sifat yang wajib atas mukallaf mengetahui itu setengah daripada perkara yang diijimak ulama atasnya”._ Intaha.
Adakah semua ulama ini sesat dan tidak ada yang mengetahui tauhid selain kamu sendiri, Ibn Taimiyyah, Ibn ^Abdil-Wahhab dan para pengikut kamu sahaja wahai Doktor?!!
7. Kemudian kamu menyeru supaya tidak mengajarkan Sifat 20 dengan dakwaan bahawa Rasul konon-kononnya tidak mengajarkannya dan juga kamu menyeru supaya mengajarkan pembahagian Ibn Taimiyyah dan Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab dalam ilmu tauhid. Justeru, adakah ada satu hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah telah mengajarkan para Sahabat bahawa tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian ini?!
Apakah neraca yang kamu guna wahai Doktor?!!
Sebagai penutup kami berkata:
Tidak wahai Doktor… Para ulama kami dalam kalangan al-Asya^irah dan al-Maturidiyyah bukanlah kaum musyrikin yang tidak mengetahui tauhid kerana mereka telah mengajarkan Sifat 20, bahkan mereka bak lampu-lampu hidayah yang dengan sebab mereka, Allah ta^ala mengurniakan hidayah kepada masyarakat ramai dari menyembah berhala kepada mentauhidkan Allah dan mengenali sifat-sifat-Nya. Merekalah yang mengajarkan al-Quran, aqidah tanzih, _wasatiyyah_, kesederhanaan dan tidak mengkafirkan orang-orang Islam tanpa haq.

Disediakan oleh:
*Kajian Ilmiah Ahli Sunnah (KIAS)*

27/08/2017 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | 1 Comment

JADILAH KAMU SEPERTI UBAT YANG MENYEMBUHKAN

Ulama mengatakan “Pergaulan dengan manusia mempunyai tiga keadaan dan juga tiga jenis bentuk manusia yang perlu kita ketahui.”
Tiga keadaan pergaulan dengan manusia:
1)Pertama, ada yang lebih tua dari kamu dari segi umur dan ilmu maka kewajiban kamu dalam bergaul dengan golongan seperti mereka adalah dengan beradab, memuliakan dan menghormati.
2)Kedua, ada yang sebaya dengan kamu dalam peringkatnya maka dalam bergaul dengan golongan seperti ini adalah dengan melayani dan bersangka baik.
3)Ketiga, ada yang lebih muda dari kamu dari segi umur dan keadaannya maka dalam bergaul dengan mereka adalah dengan kasih sayang, lemah lembut dan mendidik.
Manusia ada tiga jenis iaitu:
1)Pertama, ada yang seperti ubat yakni memberikan manfaat kepada orang lain dengan mengajak mengerjakan kebaikan, menyuruh meninggalkan kemaksiatan, melayani dan memenuhi antara satu sama lain dengan memberikan peringatan antara satu sama lain.
2)Kedua, ada yang seperti benda mati iaitu tidak memberikan mudarat dan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
3)Ketiga, ada yang seperti kala jengking dan ular. Apabila disengat atau dipatuk boleh memberikan mudarat kepada diri dan orang lain dan juga tidak memberikan manfaat kepada semua.
Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang pertama yang mudah-mudahan dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada diri dan orang lain dan kita semua memohon kepada Allah سبحانه وتعالى
supaya dijauhkan dan dihindarkan daripada menjadi seperti golongan yang ketiga yakni golongan yang tidak memberikan sebarang kebaikan bahkan boleh memberikan mudarat.

#MutiaraKata[HABIB MAHDI BIN ABU BAKAR AL-HAMID HAFIDZOHULLAH]

Sumber: FB: The Capal

27/08/2017 Posted by | Bicara Ulama, Tazkirah | Leave a comment

APA YANG HARUS DILAKUKAN OLEH PENERIMA KORBAN???

Soal Jawab Mazhab Syafi’i

SOALAN:

aslmkm..

ustad nak tanya kalau kita dpt byk sgt daging korban apa yg kita bole buat dan apa yg tak bole.. bole bantu saya..

Jawapan kami;
1. Penerima yang Miskin dan Fakir
Jika yang menerima daging korban tersebut orang fakir dan miskin, maka pemberian berkenaan merupakan sedekah kepada mereka dan ia memberi faedah pemilikan (tamlik). Justeru, haruslah bagi mereka menguruskan pemberian sedekah tersebut mengikut cara yang sewajarnya walaupun dijual atau dihadiahkan kepada orang lain. Namun, daging tersebut haram diberikan kepada orang kafir.

2. Penerima yang Kaya
Adapun, jika yang menerima daging korban tersebut orang kaya, maka pemberian berkenaan adalah atas dasar hadiah kepada mereka, iaitu lebihan daripada kadar yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin. Walaubagaimanapun, hadiah itu setakat untuk dimakannya, disedekah kepada fakir miskin dan dibuat jamuan sahaja, bukan tujuan memilikinya. Justeru, daging tersebut haram diberikan kepada orang kafir, dijual dan dihadiahkan kepada orang lain (orang kaya).

3. Penerima Korban Baitulmal
Jika korban tersebut merupakan korban Baitulmal, maka menurut Imam al-Bulqini pemberian berkenaan merupakan pemilikan (tamlik) kepada orang kaya. Justeru, haruslah bagi mereka menguruskan pemberian korban Baitulmal tersebut mengikut cara yang sewajarnya.
اليسع

Wallahu a’lam.
Rujukan:
– Tuhfah al-Muhtaj
– Mughni al-Muhtaj
– Nihayah al-Muhtaj
– Sabil al-Muhtadin
– Hasyiah I’anah al-Talibin
– Hasyiah al-Tarmasi.

Koleksi Q&A Ustaz Alyasak

Sumber:https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel

27/08/2017 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

MENGAPA WAJIB MENGETAHUI SIFAT 20

Dalam ma`rifatullah, Mazhab Ahl al-Sunah Wa al-Jama`ah telah mengetengahkan pemahaman terhadap konsep sifat 20 yang wajib bagi Allah. Konsep ini sangat masyhur dan wajib diketahui oleh setiap individu muslim yang mukallaf.

Akhir-akhir ini terdapat satu golongan yang dikenali sebagai WAHHABI telah mempersoalkan sifat 20 tersebut dengan mengemukakan beberapa alasan yang antara lainnya adalah; tidak terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Hadis nas yang mewajibkan pengetahuan umat Islam terhadap sifat 20. Bahkan termaktub di dalam hadis sendiri bahawa nama-nama Allah (al-Asma’ al-Husna) jumlahnya 99. 

Dari premis ini, timbul sebuah pertanyaan; mengapa sifat yang wajib bagi Allah yang harus diketahui itu hanya terhad kepada 20 sifat sahaja, bukan 99 sebagaimana yang terdapat di dalam al-Asma’ al-Husna?

Para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dalam menetapkan sifat 20 tersebut sebenarnya bersumberkan daripada kajian dan penelitian yang cermat dan mendalam. Terdapat beberapa alasan ilmiah yang logik serta relevan dengan fakta nas yang sedia ada yang telah dikemukakan oleh para ulama’ berhubung latar belakang wajibnya mengetahui sifat 20 yang wajib bagi Allah subhanahu wata`ala, antaranya ialah:
1) Setiap orang yang beriman harus meyakini bahawa Allah ta`ala:
i. WAJIB MEMILIKI SEMUA SIFAT KESEMPURNAAN YANG LAYAK BAGI KEAGUNGAN-NYA.
ii. MUSTAHIL ALLAH TA`ALA MEMILIKI SIFAT KEKURANGAN YANG TIDAK LAYAK BAGI KEAGUNGAN-NYA.
iii. ALLAH BERKUASA MELAKUKAN ATAU MENINGGALKAN PENCIPTAAN SEGALA SESUATU YANG BERSIFAT MUMKIN/HARUS iaitu seperti menciptakan, mematikan, menghidupkan, memberi rezki, mengurniakan kebahagiaan , menimpakan kecelakaan dan lain-lain lagi.Kesemua ini adalah sekian bentuk keyakinan yang paling dasar yang perlu wujud di dalam hati setiap orang Islam.

2) Para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah sebenarnya tidak membataskan sifat-sifat kesempurnaan Allah hanya kepada 20 sifat sahaja. Bahkan setiap sifat kesempurnaan yang layak bagi keagungan Allah, sudah pasti Allah wajib memiliki sekian sifat tersebut, sehingga sifat-sifat KAMALAT (kesempurnaan dan keagungan) Allah itu sebenarnya tidak terbatas pada sembilan puluh sembilan sahaja sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi:
Maksudnya:
“Sabda Nabi sallallahu`alaihi wasallam : Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama”, tanpa menafikan nama-nama selainnya. Nabi sallallahu`alaihi wasallam hanya bermaksud -wallahu a`lam-, bahawa barangsiapa yang menghitung sembilan puluh sembilan nama tersebut akan dijamin masuk syurga”.Pernyataan al-Hafiz al-Bayhaqi di atas bahawa nama-nama Allah ta`ala sebenarnya tidak terbatas dalam jumlah sembilan puluh sembilan dengan didasarkan pada hadith shahih:Maksudnya:”Ibn Mas’ud berkata, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:” Ya Allah, sesungguhnya aku Hamba-Mu.. Aku memohon dengan perantara setiap Nama yang Engkau miliki, baik yang Engkau namakan Dhat-Mu dengan-Nya, atau yang Engkau turunkan nama itu dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkannya kepada sesiapa di kalangan makhluk-Mu, atau yang hanya Engkau sahaja yang Mengetahui-Nya dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, jadikanlah al-Quran sebagai taman/pengubat hatiku, cahaya mataku, penghilang kesedihanku dan penghapus rasa gundahku”.

Hadis di atas menjelaskan bahawa di antara nama-nama Allah ta`ala yang telah dijelaskan di dalam al-Qur’an, ada di antaranya yang diketahui oleh sebahagian hamba-Nya dan ada yang hanya diketahui oleh Allah ta`ala sahaja. Sehingga berdasarkan kepada hadis tersebut, nama-nama Allah itu sebenarnya tidak terbatas pada 99, maka apatah lagi 20 sifat yang telah dirumuskan oleh para ulama’ yang melaut ilmu mereka itu.

3) Para ulama’ telah membahagikan sifat-sifat KHABARIYYAH, iaitu sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan hadis seperti yang terdapat di dalam al-Asma’ al-Husna, kepada dua bahagian.
i. SIFAT AL-AF`AL AL-ZAT iaitu sifat-sifat yang ada pada Zat Allah ta`ala, yang antara lain adalah SIFAT 20.
ii. SIFAT AL-AF`AL, iaitu sifat-sifat yang sebenarnya adalah perbuatan Allah ta`ala, seperti sifat AL-RAZZAQ, AL-MU`THI, AL-MANI`, AL-MUHYI, AL-MUMIT, AL-KHALIQ dan lain-lain.

Perbezaan antara keduanya adalah, sifat al-Zat merupakan sifat-sifat yang menjadi Syart al-Uluhiyyah, iaitu syarat mutlak ketuhanan Allah ta`ala. Kesemua sifat tersebut telah menyucikan zat Allah ta`ala daripada sebarang sifat yang tidak layak bahkan mustahil untuk disandarkan kepada zat Allah yang Maha Agung. Dari sini para ulama’ telah menetapkan bahawa Sifat al-Zat ini adalah AZALI (tidak ada permulaan), dan BAQA’ (tidak ada pengakhiran bagi Allah).

Hal tersebut berbeza dengan Sifat al-Af`al, ketika Allah ta`ala memiliki salah satu daripada Sifat al-Af`al, maka lawan kepada sifat tersebut adalah tidak mustahil bagi zat Allah ta`ala, bahkan ia menunjukkan lagi perihal kehebatan dan keagungan Allah kerana mampu menciptakan dua perkara yang berlawanan berdasarkan fungsi yang terkandung di dalam nama-nama dan sifat-sifat yang telah ditetapkan oleh Allah ta`ala kepada zat-Nya yang Maha Agung seperti; sifat al-Muhyi (Maha Menghidupkan), al-Mumit (Maha mematikan), al-Dhar (Maha Memberi Bahaya) dan al-Nafi` (Maha Memberi Manfaat), al-Mu`thi (Maha Pemberi) dan al-Mani` (Maha Pencegah) dan lain-lain. Di samping itu, para ulama’ mengatakan bahawa Sifat al-Af`al itu adalah baqa’.
4) Dari sekian banyak Sifat al-Zat yang wujud tersebut, maka sifat 20 dianggap cukup dalam memberi kefahaman kepada kita bahawa Allah ta`ala memiliki segala sifat kesempurnaan dan maha suci Allah daripada segala sifat kekurangan. Di samping itu, kesemua Sifat al-Zat yang telah terangkum dalam sifat 20 tersebut, dari sudut fakta, telahpun ditetapkan berdasarkan dalil al-Qur’an, al-Sunnah dan dalil-dalil ‘Aqli.

5) Sifat 20 tersebut dianggap cukup kuat untuk menjadi benteng kepada akidah seseorang daripada terpengaruh dengan faham yang keliru atau menyeleweng dalam memahami sifat Allah ta`ala. Sebagaimana yang telah kita maklum aliran-aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahl al-Sunah Wa al-Jama`ah seperti WAHHABI, MUKTAZILAH, MUSYABBIHAH, MUJASSIMAH, KARRAMIYYAH dan lain-lain telah menyifatkan Allah ta`ala dengan sifat-sifat makhluk yang kesemua sifat tersebut dilihat dapat meruntuhkan kesempurnaan dan kesucian zat Allah ta`ala. Maka dengan memahami sifat 20 tersebut, iman seseorang akan dibentengi daripada keyakinan-keyakinan yang menyongsang fahaman arus perdana umat Islam berhubung zat Allah ta`ala.
Misalnya:
i. Ketika golongan MUJASSIMAH mengatakan bahawa Allah ta`ala itu duduk di atas `Arasy, maka hal ini akan ditolak dengan salah satu daripada SIFAT SALBIYYAH yang wajib bagi zat Allah ta`ala iaitu; QIAMUHU BINAFSIH (ALLAH TA`ALA TIDAK BERHAJAT KEPADA SESUATU).
ii. Ketika golongan MUSYABBIHAH mengatakan bahawa Allah ta`ala memiliki anggota tubuh badan seperti mata, tangan, kaki, muka, betis dan lain-lain, maka dakwaan tersebut akan ditolak pula dengan sifat wajib bagi Allah ta`ala yang lain iaitu SIFAT MUKHALAFTUHU LILHAWADITH (ALLAH TIDAK MENYERUPAI SESUATU PUN).
iii. Ketika golongan MUKTAZILAH menafikan kewujudan sifat ma`ani pada zat Allah ta`ala dengan mengatakan bahawa Allah ta`ala maha kuasa tetapi tidak mempunyai sifat qudrat, maha mengetahui tetapi tidak mempunyai ilmu, maha berkehendak tetapi tidak mempunyai iradat, maka dakwaan songsang tersebut akan ditolak dengan sifat-sifat ma`ani yang jumlahnya adalah tujuh iaitu QUDRAT, IRADAT, ILMU, HAYAT, SAMA`, BASAR DAN KALAM.

Demikian pula dengan sifat-sifat yang lain.Kaedah: “Jahil tentang sifat (Allah) membawa kepada jahil dengan yang mempunyai sifat (Allah), sesiapa yang tidak mengenal sifat Allah, tidak mengenal Allah ta`ala”.

Ustaz Yunan A Samad

27/08/2017 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab), Uncategorized | Leave a comment

Kenapa Masa Berdoa Tangan Tadah Ke Langit?

Adakah Allah Berada dilangit?
Syeikh Al-Muhaddith Ahmad bin Shiddiq Al-Ghumaari Al-Maghribi salah seorang ulama besar Al-Azhar (1380 H) telah menyatakan sebab kenapa disyariatkan menadahkan tapak tangan ke langit ketika berdoa :
”Jika ada yang berkata : Kalau Allah tidak terikat dengan arah, kenapa kita berdoa dengan menadah tapak tangan ke arah langit.?”

Syeikh Al-Ghumari menjawab dengan jawapan yang diberikan olih Imam At-Thurthusi (529 H), seorang ulama besar mazhab Maliki dari Iskandariyah sebagaimana yang tertulis dalam Kitab Ithafus Saadah syarah Ihya dimana Imam At-Thurthusi memberikan dua jawaban :


Pertama
: Perkara ini adalah termasuk mengabdikan diri dengan taat seperti menghadap kiblat ketika menunaikan sembahyang dan meletakkan dahi ke bumi masa sujud, yang juga menyucikan Allah dari tempat, samada Ka’bah maupun tempat sujud. Sehingga jadilah langit itu seakan-akan kiblat ketika berdoa.


Kedua
: Karena langit adalah tempat turunnya rezki, rahmat dan keberkatan, sebagaimana hujan turun dari langit ke bumi. Demikian pula, langit merupakan tempat para malaikat, dimana bila Allah memerintahkan maka perintah itu tertuju kepada mereka, hingga mereka menurunkannya kepada penduduk bumi. Ringkasnya, langit adalah tempat pelaksanaan keputusan, lalu doa dihadpkan ke arah langit.” ( Kitab Al-Mathlubah fi Istihbab Raf’i Al-Yadaini muka pada m.s. 61)

Allah Ta’ala berfirman :
وَفِي السَّمَاءِ رِزْقُكُمْ وَمَا تُوعَدُونَ
Artinya : “Dan di langit terdapat rezki kamu sekelian dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepada kamu.” (Az-Zariyat : 22).

Dan firmanNya :
هُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لَّكُم مِّنْهُ شَرَابٌ وَمِنْهُ شَجَرٌ فِيهِ تُسِيمُونَ
Artinya : “Dialah Tuhan yang menurunkan hujan dari langit bagi kamu sekelian. Di antara air hujan itu ada yang menjadi minuman, ada yang menumbuhkan pokok-pokok dan rumput-rumput yang menjadi makanan bagi haiwan ternak kamu sekelian.” (An-Nahl : 10)

Wallahua’lam

Sumber: FB Ustaz Yunan A Samad

27/08/2017 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: