Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Haji Akbar Antara Hakikat dan Kepercayaan.

Setiap kali apabila hari wukuf jatuh pada hari jumaat umum umat Islam menganggapnya sebagai haji akbar. Ini mungkin berdasarkan hari wukuf Rasulullah ketika haji wada’ yang juga berlaku pada hari jumaat.

Perkataan haji akbar disebut di dalam al-Quran di dalam surah Taubah ayat yang ketiga :-
Yang bermaksud:-
3. Dan (Inilah) suatu permakluman daripada Allah dan rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar[628] bahwa Sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertobat, Maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, Maka Ketahuilah bahwa Sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih.

Para Mufassirin (ahli tafsir) berbeda pendapat tentang yang dimaksud dengan haji akbar, ada yang mengatakan hari Nahar, ada yang mengatakan hari Arafah. Kebanyakan Mufassirin seperti Ibn kathir, al Sa’diyy, al Syanqitiyy,al Qurtubiyy dan al Tabariyy cenderung menyatakan haji akbar adalah hari raya haji ataupun hari Nahar. Sungguhpun begitu yang dimaksud dengan haji akbar di dalam ayat ini adalah haji yang terjadi pada tahun ke-9 Hijrah. Tidak ada seorang pun ahli tafsir yang berpandangan haji akbar adalah haji yang wukufnya jatuh pada hari Jumaat.


Pandangan Fuqaha Empat Mazhab Tentang Haji Akbar.

Kebanyakan ahli-ahli fekah atau Jumhur Fuqaha berpandangan haji akbar adalah hari Nahar atau Hari raya Haji . 

Ini lantaran kebanyakan amalan haji seperti melontar Jamratul Kubra, bergunting, Tawaf Ifadhah dan Saei mula ditunaikan para jemaah haji pada hari Nahar.

Tokoh besar fiqh di dalam Mazhab Safeiyy , Imam al Nawawiyy menyatakan :
“ Humaid menyatakan hari nahar adalah hari haji akbar, ini kerana qaul Abi Hurairah, yang diriwayatkan oleh al Bukhariyy dan Muslim di dalam sahih keduanya…..Ini kerana kebanyakan manasik dilakukan pada hari tersebut, adapun orang yang mengatakan haji akbar adalah hari arafah mereka berhujjahkan hadis “ haji adalah arafah “ tetapi hadis Abu Hurairah menolak pandangan ini. Al Qadhi ‘Ayyadh menukilkan yang haji akbar menurut Mazhab Malik adalah hari Nahar manakala menurut Mazhab Shafieyy adalah hari Arafah. Realitinya adalah disebalik apa yang beliau nyatakan , bahkan Mazhab Shafeiyy dan Ashabnya adalah hari Nahar seperti yang telah disebut wallahu ‘alam.”

Manakala, Shamsuddin al Sarkhasiyy seorang tokoh dari Mazhab Hanafiyy menyatakan:-
“ Tawaf ziarah adalah rukun haji dan dia adalah haji akbar pada ta`wil firman Allah: Surah Taubah ayat ke 3. Waktunya adalah pada har-hari Nahar.”
Fuqaha’ Malikiyy juga menyatakan perkara yang sama, umpamanya Muhammad ibn Yusuf menyatakan:-
“Malik berkata: hari Nahar adalah hari haji akbar”
Tersebut di dalam al Mughniyy ‘ala Mukhtasar Al Kharqiy sebuah karya besar di dalam Mazhab Hanbaliyy:-
“ Fasal: Hari haji akbar adalah hari Nahar, Sesungguhnya Rasulullah telah berucap pada hari nahar dengan berkata “ Inilah hari haji akbar”. Dinamakan demikin kerana banyaknya amalan haji yang ditunaikan pada hari tersebut dari wukuf di Masy’ar, bertolak ke Mina, melontar, menyembelih, bercukur, tawaf ifadhah dan kembali ke Mina untuk bermalam…”
Dari paparan di atas jelas kepada kita bahawa haji Akbar menurut fuqaha’ keempat-empat mazhab utama di dalam Islam adalah Hari Nahar.
Haji Akbar Menurut Muhaddithin.
Di sini dinukilkan beberapa pandangan Muhaddithin berkenaan dengan haji akbar.
Menurut Muhammad ibn ‘Ali al Shaukaniyy:-
“ Sabdanya: (( Hari Nahar )) iaitu hari haji akbar menurut pandangan yang sahih di dalam Mazhab Shafeiyy, Malik dan Ahmad ……”
Abu al ‘Ala` al Mubarakfuriyy menyatakan:
“Telah terkenal di kalangan orang awam apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, haji pada tahun itu adalah haji akbar, tiada asal pada pandangan ini. Benar Razin telah meriwayatkan dari Talhah bin ‘Ubaidullah bin Karz secara mursal:”Sebaik-baik hari adalah hari Arafah apabila jatuh pada hari Jumaat, Maka ia lebih utama dari tujuh puluh kali haji di hari selain dari hari Jumaat”, demikianlah seperti yang terdapat di dalam Jamu’ al Fawaid dan ia adalah hadis mursal yang saya tidak dapati isnadnya.”
Menurut al Zarqaniyy pula:
“…..(setelah beliau menyebut hadis Razin tersebut)… al Hafiz telah mengkajinya dan menyatakan : aku tidak mengetahui halnya kerana ia tidak menyebut dua sahabat yang meriwayatkan hadis ini dan tidak mentakhrijnya….. dan di dalam al Hadyu karangan Ibn al Qayyim : Apa yang tersebar di atas lidah orang awam yang wukuf pada hari Jumaat menyamai tujuh puluh dua kali haji adalah riwayat yang palsu /batil tidak ada asalnya dari Rasulullah SAW juga tidak dari mana-mana Sahabat ataupun Tabiein ”
Al Imam Ibn Hajar Al ‘Asqalaniyy ketika mensharahkan hadis berkenaan penurunan ayat:اليوم أكملت لكم … dengan katanya:
“… Hadis ini menjadi dalil kepada keistemewaan wukuf pada hari Jumaat berbanding dengan hari-hari lain, kerana Allah Taala telah memilih bagi Rasulnya yang terbaik dan amalan itu mulia dengan kemuliaan masa dan tempat. Hari Jumaat pula adalah sebaik-baik hari dalam seminggu,….. kerana padanya, terdapat satu saat yang mustajab padanya doa’ lebih -lebih lagi bagi qaul yang mengatakan ianya selepas asar. Adapun hadis yang disebut oleh Razin secara marfu’ di dalam Jami’nya :”Sebaik-baik hari adalah hari Arafah apabila jatuh pada hari Jumaat, Maka ia lebih utama dari tujuh puluh kali haji di hari selain dari hari Jumaat” aku tidak mengetahui halnya kerana ia tidak menyebut dua sahabat yang meriwayatkan hadis ini dan tidak mentakhrijnya…..secara keseluruhannya dari keduanya ia mensabitkan kelebihan dengan yang demikian itu, Wallahu ‘alam.”

Dari pandangan-pandangan yang telah dipaparkan jelas kepada kita yang menghaji akbarkan wukuf pada hari Jumaat adalah suatu yang tidak mempunyai asas yang kuat. Namun kelebihan wukuf pada hari Jumaat adalah suatu yang sabit dan diakui.

Kesimpulan.
Paparan ringkas ini menunjukkan realitinya haji akbar datang pada setiap tahun dengan datangnya hari Nahar iaitu Hari Raya Haji. Ia menjadi agung dan besar dengan keagungan amalan haji dan korban yang di lakukan oleh umat Islam pada hari tersebut. Manakala wukuf pada hari Jumaat pula adalah suatu keistemewaan yang amat besar kerana ia menghimpunkan keutamaan hari wukuf dan hari Jumaat di samping keutamaan beribadah di Padang Arafah..

Wallahu’alam.
Rosli Othman
Makkah al Mukarramah 20 ZulHijjah 1427

26/08/2017 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

   

%d bloggers like this: