Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Sesiapa Yang Belajar Sifat 20 Sebagai Tidak Mengenal Tauhid Dan Tidak Selamat Daripada Syirik – Dakwa Mufti Perlis Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin?

*Adakah _Wasatiah_ Dan Kesederhanaan Menganggap Sesiapa Yang Belajar Sifat 20 Sebagai Tidak Mengenal Tauhid Dan Tidak Selamat Daripada Syirik wahai Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin?! (Siri 1)*

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin di dalam satu rakaman di laman sesawang youtube di bawah tajuk “DR ASRI-AQIDAH ITU JELAS -ANTARA 13 & 20 MATURIDI & ASYAIRAH” membantah dan mempertikai pengajian sifat 20 dan dia mengganggap pengajian itu adalah berdasarkan Falsafah Greek Yunani yang tidak sesekali membersihkan seseorang daripada syirik, lihat pada minit ke 6.20.

*Sanggahan:*

1. Mari kita sama-sama pada masa yang sangat genting ini, di saat keganasan dan keterlampauan agama tersebar di merata-rata tempat dengan segala jenis macam, mari kita bersikap adil dan _wasatiy_ dan kita menjauhi sebarang pengkafiran dan pembid^ahan terhadap umat Islam. Memadai bagi kita apa yang dialami oleh umat Islam kini disebabkan keterlampauan DAESH ATAU ISIS WAHHABI dan yang seumpamanya yang menganggap bahawa manusia yang berada di Syam dan Iraq tidak sahih tauhid mereka dan tidak juga sahih iman mereka kerana mendakwa mereka tidak mentauhidkan Allah dengan tauhid al-Uluhiyyah, mereka tidak membahagikan tauhid kepada 3 bahagian. Lalu golongan ini berani menyembelih mereka dan membakar mereka secara hidup-hidup. Lebih parah lagi, golongan ini merogol wanita-wanita dan menjadikan wanita-wanita tersebut sebagai hamba sahaya atas dakwaan kononnya wanita-wanita tersebut adalah wanita-wanita musyrikin yang pegangan tauhid mereka tidak sahih.Kita berharap perkara seperti ini tidak berlaku di tanah air kita yang tercinta ini.

Ada pihak yang membuat tuduhan liar bahawa masyarakat Islam kita yang belajar dan mengajar manhaj al-Asya^irah dan al-Maturidiyyah sejak beratus-ratus tahun lamanya tidak sahih tauhid mereka dan mereka tidak selamat daripada syirik.
Ketahuilah bahawa ulama Melayu di Nusantara kita ini sejak berkurun-kurun lamanya mereka mempelajari tauhid hingga ratusan juta manusia memeluk Islam sebelum sampainya dakyah Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab ke negara kita pada kurun mutakhir ini. Pengikut-pengikut Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab mula mengajar pembahagian tauhid 3; Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid al-Asma’ was-Sifat. Kita sesekali tidak akan menerima semua usaha yang membawa kepada kehancuran terhadap apa yang telah dilakukan oleh ulama kita yang mengajarkan tauhid dan menyebarkan Islam serta mengajar sifat-sifat-Allah kepada bangsa Melayu ini. Kita juga tidak boleh menerima pendapat yang mengatakan bahawa apa yang diajar oleh ulama kita itu bukan akidah muslimin dan bukan tauhid bahkan kononnya falsafah Yunani yang keji.

Seharusnya, kita hendaklah mengikut _wasatiah_ dan keadilan yang telah ditelusuri oleh ulama kita dari kalangan _masyaikh_ kita dan datuk nenek moyang kita yang telah menyebarkan Islam dan apa yang telah ditelusuri oleh ulama salafussoleh sebelum ini. Tidak adil dan tidak _wasatiah_ bahkan bukan selayaknya bagi orang yang diamanahkan dengan jawatan mufti rasmi membuat tuduhan melulu kepada ulama di Malaysia dan Indonesia, masyarakat di nusantara umumnya, mufti-mufti Azhar, mufti-mufti Zaitunah, mufti-mufti lQurawiyyin, mufti-mufti di Malaysia serta majoriti umat Islam dalam kalangan al-^Asyairah dan al-Maturidiyyah di Timur dan Barat bahawa mereka tidak mengetahui tauhid dan tidak selamat daripada kesyirikan kerana mereka mengajarkan dan mempelajari _Sifat Dua Puluh_ dan tidak mengikuti cara pembahagian mengikut Ibn Taimiyyah dan Muhammad ibn ^Abdil Wahhab; Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ was-Sifat.

2. Sesungguhnya sifat-sifat yang dibantah tersebut agar dijauhi dan mendakwa ia adalah falsafah
Greek Yunani yang diajar oleh al-Asya^irah adalah hakikatnya diambil daripada al-Quran dan al-Hadith semuanya bukan daripada falsafah Greek Yunani sebagaimana dakwaan kamu wahai Dr. Mohd Asri Zainal Abidin.

Cuba lihat fakta dan hujjah jelas berikut:

Hakikatnya, kami tidak faham kenapa kamu mengira akidah ini sebagai falsafah Yunani??!

Adakah kerana kami telah meletakkan makna-makna ayat lalu kami menjadi falsafah Greek Yunani musyrikin??! Atau pada hakikatnya kerana kami tidak mengikut ibn Taimiyyah al-Harrani dan Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab, justeru itu kami dituduh sebagai falsafah Greek Yunani??!

Kemudian, apa masalahnya dengan mengira-ngira sifat-sifat ini yang memang diambil daripada al-Quran. Bukankah kita mengira rukun-rukun wuduk yang diambil daripada al-Quran dan al-Hadith,

1. Berniat
2. Membasuh muka
3. Membasuh kedua dua tangan
4. Sapu kepala
5. Membasuh kedua kaki
6. Tertib

Adakah kita dengan ini kita jadi falsafah kerana kita telah mengambil rukun-rukun wuduk daripada al-Quran dan al-Hadith??!

Neraca apa yang kamu pakai wahai Dr. Mohd Asri??

3. Adapun pendapat kamu bahawa sifat-sifat ini susah untuk difahami selepas penjelasan kami bahawa semua sifat tersebut diambil daripada al-Quran, maka ini bermakna akidah yang diambil daripada al-Quran itu susah dan tidak boleh difahami pada tanggapan kamu. Justeru, tiada seorang alim pun dalam kalangan ulama akan meredhai pendapat kamu ini!!!
Bahkan, realitinya ramai dalam kalangan orang yang belajar bersama-sama kamu tentang pembahagian tauhid oleh Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab, mereka tidak memahami pembahagian dan perbezaan antara Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah!! Sebaliknya, jika kamu bertanya para pelajar al-Asya^irah tentang makna al-Wujud, al-Qidam, al-Baqa’ dan lain-lain daripada sifat-sifat Allah, mereka dapat memberi jawapan kepada kamu dengan mudah dan jelas beserta dalil daripada al-Quran dan al-Hadith bagi setiap satu sifat daripada sifat-sifat tersebut. Justeru di manakah kesulitan dan kapayahan yang kamu dakwa itu?!

4. Adapun dakwaan kamu yang mengatakan bahawa al-Asya^irah berkata bahawa sesiapa yang tidak menghafal lafaz-lafaz sifat dan bilangannya mengikut urutan yang telah disebut oleh ulama itu maka imannya tidak sah, maka ini tidak pernah disebutkan oleh seorang pun dalam kalangan ulama al-Asya^irah, malah itu adalah daripada salah anggap kamu sahaja dan tidak ada pun di dalam kitab-kitab al-Asya^irah yang muktabar.

Bahkan perkara yang disebut oleh al-Asya^irah dan al-Muturidiyyah ialah sesiapa menafikan dan mendustakan satu sifat daripada sifat-sifat Allah yang wajib bagi-Nya secara ijmak telah warid di dalam al-Quran maka imannya batal kerana dia telah mendustakan al-Quran dan mengingkari sifat Allah yang wajib bagi-Nya secara ijmak. Amat besar perbezaan di antara perkataan yang disebutkan ini dan perkataan yang kamu tohmahkannya kepada ulama al-Asya^irah.

5. Sesungguhnya mengajarkan sifat-sifat ini secara ringkas tidak mengambil masa lebih dari tiga minit. Adapun dakwaan kamu bahawa mengajar sifat-sifat ini mengambil masa yang lama dan andai kata Nabi melakukan hal ini nescaya orang Arab tidak beriman!!! Ini sangat melampau dan cerita rekaan yang tidak bersandarkan kepada sebarang dalil. Hal ini kerana mengajarkan sifat-sifat ini secara ringkas tidak mengambil masa lebih dari tiga minit!!! Adapun dakwaan kamu bahawa ia perlu mengambil masa bertahun-tahun, maka itu adalah tidak betul.

Adapun, mengajar orang Islam yang mahu mempelajari ilmu akidah dengan mendalam, mengetahui dalil-dalil atau hujah-hujah untuk menyanggah para perosak agama dan golongan yang mendatangkan kecelaruan dalam akidah mereka kepada orang ramai serta mengetahui sejarah firqah-firqah sesat dan akidah yang mereka pegang supaya para penuntut ilmu itu menjadi sebahagian daripada ulama Usulud-Din, maka ini mengambil masa yang panjang dan ini bukanlah hanya buat huraian ringkas tentang sifat-sifat Allah untuk orang baru memeluk agama Islam.

6. Wahai Doktor! Bagaimana boleh diterima bahawa semua ulama Arab dan ulama Melayu, al-Azhar, al-Zaitunah, al-Qurawiyyun dan lain-lain yang menyatakan sifat-sifat ini di dalam kitab-kitab mereka, kamu mengira mereka tidak mengetahui tauhid dan tidak selamat dari syirik?

Wahai Doktor!!! Sesungguhnya kata-kata kamu itu maknanya mengkafirkan Abu Hanifah, al-Nasafi, Ibn ^Asyir, al- Sanusi, Nurud-Din al-Raniri, Muhammad Arsyad al-Banjari, Dawud al-Fatoni, Ahmad ibn Muhammad Zain al-Fatoni dan ramai lagi!
Al-Hafiz al-Nawawi dalam kitabnya _al-Maqasid_ (hlm. 11) menyebutkan:

*أول واحب على المكلف معرفة الله تعالى وهي: أن تؤمن بأن الله تعالى موجود ، ليس بمعدوم. قديم، ليس بحادث، باق، لا يطرأ عليه العدم. مخالف للحوادث، لا شيء يماثله. قائم بنفسه، لا يحتاج إلى محل ولامخصص. واحد لا مشارك له في ذاته ولا في صفاته ولا في أفعاله.*
_”Perkara pertama yang wajib ke atas mukallaf adalah mengenal Allah ta^ala iaitu hendaklah kamu beriman bahawa Allah ta^ala wujud, bukan tiada, Yang qadim bukan baharu, Maha kekal tidak berlaku padanya ketiadaan, bersalahan dengan yang baharu tiada suatupun yang sama dengannya, tidak berhajat kepada yang lain, tidak berhajat kepada tempat dan pencipta, Maha Esa tidak ada sekutu pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pada perbuatan-Nya…”._ Intaha.

Al-Syaikh ^Abdul-Wahid ibn ^Asyir dalam kitabnya _Mursyidul Mu^in ^Ala Doruri Min ^Ulumid-Din_ (hlm. 3) menyebutkan:

يجب لله الوجود والقدم # كذلك البقاء والغنى المطلق عم
وخلفه لخلقه بلا مثال # ووحدة الذات ووصف والفعال
وقدرة إرادة علم حياة # سمع كلام
بصر ذي واجبات….

_” Wajib bagi Allah sifat wujud, qidam iaitu tiada permulaan bagi-Nya, baqa’ iaitu tiada penghujung bagi-Nya, ghina yang mutlak (tidak berhajat kepada makhluk), bersalahan dengan makhluk-Nya, esa pada zat, sifat-sifat dan perbuatan, Maha berkuasa, Maha berkehendak, Maha Mengetahui, Maha Hidup,Maha mendengar, Maha berfirman, Maha melihat.._”. Intaha.

Al-Syaikh Ahmad al-Marzuqi al-Maliki al-Makki (ulama daipada Makkah) dalam matn _^Aqidatul-^Awwam_ (hlm. 9) menyebutkan:

وبعد فاعلم بوجوب المعرفة # من واجب لله عشرين صفة
فالله موجود قديم باقي # مخالف للخلق بالإطلاقوقائم غني واحد وحي # قادر مريد عالم بكلام استمر
سميع البصير والمتكلم # له صفات سبعة تنتظم

_“Adapun, ketahuilah bahawa wajib mengetahui perkara yang wajib bagi Allah taala iaitu dua puluh sifat. Allah ada, Qadim (tidak ada permulaan bagiNya), Baqi (tiada penghujung baginya), Bersalahan dengan makhluk seluruhnya, tidak memerlukan akan yang lain, Maha Esa, Maha Hidup, Maha Berkuasa, maha berkehendak, Maha Mengetahui akan segala sesuatu, maha mendengar, Maha Melihat, Maha Berfirman, baginya tujuh sifat…_”. Intaha.

Di dalam kitab _Nuruz-Zolam_ karanga al-Syaikh al-Nawawi al-Bantani (hlm. 33):

*فأقول لك إعلم – أي أعرف وتيقن- أيها المكلف عشرين صفة واجبة لله تعالى على التفصيل لأن المعرفة واجبة على كل مكلف*

_“Aku katakan kepadamu: Ketahuilah ( pelajarilah dan yakinilah) wahai orang mukallaf akan dua puluh sifat yang wajib bagi Allah taala dengan tafsil (terperinci) kerana mengenal Allah adalah wajib ke atas setiap orang mukallaf_”. Intaha.

Syaikh Dawud al-Fatoni berkata dalam kitabnya _al-Durruth-Thamin_ (hlm. 4) ketika menyebutkan hukum mempelajari sifat 20:

_”Kerana hukumnya ilmu ini wajib ^aini atas tiap-tiap orang mukallaf”._ Intaha.

Di dalam kitabnya _al-Jawahirus-Saniyyah_ (hlm. 4) beliau mengatakan:

_”Maka wajib atas mukallaf mengetahui akan yang wajib bagi Allah ta^ala iaitu tiap-tiap sifat kamal yakni sifat yang menunjukkan atas kamal (kesempurnaan) dan demikian itu tidak dapat dihinggakan dia tetapi tiada diberatkan akan kita melainkan kita mengetahui akan barang yang didirikan dalil atasnya iaitu yang dua puluh sifat ini jua”_. Intaha.

Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustofa bin Muhammad al-Fatoni dalam kitabnya _Faridatul-Fara’id_ (hlm. 4) ketika menyebutkan hukum mempelajari sifat 20 menyebutkan:

_”Bermula permulaan barang yang wajib pada syarak atas tiap-tiap orang mukallaf iaitu orang yang ^aqil (berakal) lagi baligh sama ada lelaki atau perempuan iaitu bahawa mengenal ia akan Allah ta^ala, ertinya mengetahuikan segala hukum sifat-sifatNya dan segala hukum ketuhanan…”_. Intaha.

Syaikh ^Abdul-^Aziz bin Ismail al-Fatoni berkata dalam kitabnya _al-Misbah al-Munir_ (hlm. 13):

_” Dan dua puluh sifat yang wajib atas mukallaf mengetahui itu setengah daripada perkara yang diijimak ulama atasnya”._ Intaha.

Adakah semua ulama ini sesat dan tidak ada yang mengetahui tauhid selain kamu sendiri, Ibn Taimiyyah, Ibn ^Abdil-Wahhab dan para pengikut kamu sahaja wahai Doktor?!!

7. Kemudian kamu menyeru supaya tidak mengajarkan Sifat 20 dengan dakwaan bahawa Rasul konon-kononnya tidak mengajarkannya dan juga kamu menyeru supaya mengajarkan pembahagian Ibn Taimiyyah dan Muhammad ibn ^Abdil-Wahhab dalam ilmu tauhid. Justeru, adakah ada satu hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah telah mengajarkan para Sahabat bahawa tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian ini?!

Apakah neraca yang kamu guna wahai Doktor?!!

Sebagai penutup kami berkata:

Tidak wahai Doktor… Para ulama kami dalam kalangan al-Asya^irah dan al-Maturidiyyah bukanlah kaum musyrikin yang tidak mengetahui tauhid kerana mereka telah mengajarkan Sifat 20, bahkan mereka bak lampu-lampu hidayah yang dengan sebab mereka, Allah ta^ala mengurniakan hidayah kepada masyarakat ramai dari menyembah berhala kepada mentauhidkan Allah dan mengenali sifat-sifat-Nya. Merekalah yang mengajarkan al-Quran, aqidah tanzih, _wasatiyyah_, kesederhanaan dan tidak mengkafirkan orang-orang Islam tanpa haq.

Disediakan oleh:
*Kajian Ilmiah Ahli Sunnah (KIAS)*

13 July 2017 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: