Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

KENALI GOLONGAN SALAFIYYAH ( WAHABI )

Tolak WAHABI:
*SIKAP*

1.Sering membid’ahkan amalan umat Islam bahkan sampai ke tahap mengkafirkan mereka

2.Mengganggap diri sebagai mujtahid atau berlagak sepertinya (walaupun tidak layak)

3.Sering mengambil hukum secara langsung dari al-Quran dan hadis (walaupun tidak layak)

4.Sering memperlekehkan ulama’ pondok dan golongan agama yang lain.

5.Ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang ditujukan kepada orang kafir sering ditafsir ke atas orang Islam.

6.Memaksa orang lain berpegang dengan pendapat mereka walaupun pendapat itu shazz (janggal).

7. Bersikap “taqiyyah” apabila dirasakan perlu. Fatwa mereka berbeza apabila bercakap di hadapan masyarakat umum dengan pengajian khusus bersama mereka.

8. Apabila mereka sedikit dan tidak berkuasa, mereka melaungkan slogan “Berlapang dada”, namun apabila mereka ramai dan berkuasa mereka melaungkan slogan “Meghilangkan Bid’ah” [Sikap ini diambil berdasarkan kata-kata para ulama’ Mekah yang memerhatikan sikap Wahhabi di Mekah sewaktu ia mula-mula berkembang sampai kini.]

9. Apabila mereka menerima tentangan daripada majoriti ulama’, mereka menyatakan itu adalah asam garam dalam perjuangan. Sedangkan para ulama’ menyatakan bahawa apabila sesuatu itu ditolak olej majoriti para ulama’, maka itu adalah tanda-tanda

kesesatan, kepelikan dan kejanggalan (shazz) atau ketergelinciran (zallah) kerana para ulama’ umat Nabi Muhammad SAW tidak akan bersepakat di dalam kesesatan sepertimana yang disebut di dalam hadis Rasulullah SAW.

*CIRI CIRI GOLONGAN SALAFIYYAH WAHABIYYAH(WAHABI)*

*ULUM HADIS*

1.Menolak beramal dengan hadis dhaif

2.Penilaian hadis yang tidak sama dengan ulama’ hadis yang lain

3.Mengagungkan Nasiruddin al-Albani di dalam bidang ini [walaupun beliau tidak mempunyai sanad bagi menyatakan siapakah guru-guru beliau dalam bidang hadis. Bahkan umum mengetahui bahawa beliau tidak mempunyai guru dalam bidang hadis dan diketahui bahawa beliau belajar hadis secara sendiri dan ilmu jarh dan ta’dil beliau adalah mengikut Imam al-Dhahabi].

4.Sering menganggap hadis dhaif sebagai hadis mawdhu’ [mereka melonggokkan hadis dhaif dan palsu di dalam satu kitab atau bab seolah-olah kedua-dua kategori hadis tersebut adalah sama]

5.Perbahasan hanya kepada sanad dan matan hadis, dan bukan pada makna hadis. Oleh kerana itu, perbincangan syawahid tidak diambil berat

6.Perbincangan hanya terhad kepada riwayah dan bukan dirayah.

*ULUM QURAN*

1.Menganggap tajwid sebagai menyusahkan dan tidak perlu (Sebahagian Wahhabi Malaysia yang jahil) [dan menurut sahabat penulis yang ada membuat penyelidikan di dalam bidang ini, sememangnya terdapat beberapa “ulama’ Saudi” yang menyatakan tajwid itu bukanlah sunnah, tetapi bid’ah. Namun majoriti “ulama’ Saudi” tidak bersetuju dengan kata-kata mereka].

2. Mendakwa ayat-ayat mutashabihat sebagai ayat muhkamat.

*FIQH*

1.Menolak fahaman bermazhab kepada imam-imam yang empat; pada hakikatnya mereka bermazhab “TANPA MAZHAB”

2.Mengadunkan amalan empat mazhab dan pendapat-pendapat lain sehingga membawa kepada talfiq yang haram

3.Memandang amalan bertaqlid sebagai bid’ah; kononnya mereka berittiba’

4.Sering mengungkit soal-soal khilafiyyah

5.Sering menggunakan dakwaan ijma’ ulama dalam masalah khilafiyyah
6.Sering bercanggah dengan ijma’ ulama’

7.Menganggap apa yang mereka amalkan adalah sunnah dan pendapat pihak lain adalah bid’ah

8.Sering mendakwa orang yang bermazhab sebagai taksub mazhab, sedangkan mereka taksub kepada Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah dan Muhammad Ibn Abdul Wahhab.

9.Salah faham makna bid’ah yang menyebabkan mereka mudah membid’ahkan orang lain

10.Sering berhujah dengan al-tark, sedangkan al-tark bukanlah satu sumber hukum

11.Mempromosikan mazhab fiqh baru yang dinamakan sebagai Fiqh al-Taysir, Fiqh al-Dalil, Fiqh Musoffa, dll [yang jelas terkeluar daripada fiqh empat mazhab]

12.Sering mewar-warkan agar hukum ahkam fiqh dipermudahkan dengan menggunakan hadis “Yassiru wa la tunaffiru” sehingga menjadi lebih parah daripada tatabbu’ al-rukhas

13.Sering mengatakan bahawa fiqh empat mazhab telah

ketinggalan zaman

*Najis*

1. Sebahagian daripada mereka sering mempertikaikan dalil bagi kedudukan babi sebagai najis mughallazah

2. Menyatakan bahawa bulu babi itu tidak najis kerana tidak ada darah yang mengalir.

Wudhu’ & Tayammum
1. Tidak menerima konsep air musta’mal

2. Bersentuhan lelaki dan perempuan tidak membatalkan wudhu’

3. Membasuh kedua belah telinga dengan air basuhan rambut dan tidak dengan air yang baru.

4. Kaifiyyat Tayammum yang mereka pilih ialah: Tepuk sekali dan sapu muka serta kedua pergelangan tangan sahaja (tanpa perlu sampai ke siku).

*Azan*

1. Azan juma’at sekali; azan kedua ditolak

*CIRI CIRI GOLONGAN SALAFIYYAH WAHABIYYAH (WAHABI)*

*Solat*

1. Mempromosi “Sifat Solat Nabi SAW’, dengan alasan kononnya solat berdasarkan fiqh mazhab adalah bukan sifat solat Nabi SAW yang sebenar

2. Menganggap lafaz usolli sebagai bid’ah yang keji

3. Berdiri secara terkangkang ataupun seperti huruf Y terbalik yang menyalahi konsep berdiri secara iktidal (lurus dan sederhana)

4. Tidak membaca ‘Basmalah’ secara jahar

5. Menggangkat tangan sewaktu takbir pada paras bahu

6. Meletakkan tangan di atas dada sewaktu qiyam

7. Menganggap perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam solat sebagai perkara bid’ah (sebahagian Wahhabiyyah Malaysia yang jahil)

8. Menganggap qunut Subuh sebagai bid’ah

9. Menggangap penambahan “wa bihamdihi” pada tasbih ruku’ dan sujud adalah bid’ah

10. Menganggap menyapu muka selepas solat sebagai bid’ah – Fatwa Soleh Uthaymin

11. Solat tarawih hanya 8 rakaat; yang lebih teruk lagi, mengatakan solat tarawih itu sebenarnya adalah solat malam (solatul-lail) seperti yang dibuat pada malam-malam biasa.

12. Zikir jahar di antara rakaat-rakaat solat tarawih dianggap bid’ah

13. Tidak ada qadha’ bagi solat yang sengaja ditinggalkan

14. Menganggap amalan bersalaman selepas solat adalah bid’ah – Fatwa Soleh Uthaymin

15. Menggangap lafaz sayyiduna (taswid) dalam solat sebagai bid’ah

16. Menggerak-gerakkan jari sewaktu tahiyyat awal dan akhir

17. Boleh jama’ dan qasar walaupun kurang dari dua marhalah

18. Memakai jubah dengan singkat yang melampau

19. Menolak sembahyang sunat qabliyyah sebelum Jumaat

20. Menolak konsep sembahyang menghormati waktu [li hurmah al-waqt]

21. Menolak konsep fidyah sembahyang walaupun umum mengetahui ia adalah pendapat mazhab Hanafi dan pendapat dhaif di dalam mazhab Shafie.

*Doa, Zikir dan Bacaan al-Quran*

1. Menggangap doa beramai-ramai selepas solat sebagai bid’ah

2. Menganggap zikir dan wirid beramai-ramai selepas sembahyang atau pada bila-bila masa sebagai bid’ah

3. Mengatakan bahawa membaca “Sodaqallahul-‘azim” selepas bacaan al-Quran adalah bid’ah – Fatwa Ibn Baz

4. Menyatakan bahawa doa, zikir dan selawat yang tidak ada dalam al-Quran dan Hadis sebagai bid’ah. Sebagai contoh mereka menolak Dala’il al-Khayrat, Selawat al-Syifa’, al-Munjiyah, al-Fatih, Nur al-Anwar, al-Taj, dll, bahkan dikatakan semua itu bertentengan dengan Aqidah Islam

5. Menganggap amalan bacaan Yasin pada malam Jumaat sebagai bid’ah yang haram – dengan alasan “Jangan diiktikadkan wajib”

6. Mengatakan bahawa sedekah atau pahala tidak sampai kepada orang yang telah wafat

7. Mengganggap penggunaan tasbih adalah bid’ah

8. Mengganggap zikir dengan bilangan tertentu seperti 1000 (seribu), 10,000 (sepuluh ribu), dll sebagai bid’ah, tetapi kalau tidak berzikir atau lalai (al-ghaflah) tak mengapa pulak??!!!

9. Menolak amalan ruqiyyah shar’iyyah dalam perubatan Islam seperti wafa’, azimat, dll

10. Menolak zikir isim mufrad: Allah Allah

11. Melihat bacaan Yasin pada malam nisfu Sya’ban sebagai bid’ah yang haram

12. Sering menafikan dan mempertikaikan keistimewaan bulan Rajab dan Sya’ban

13. Sering mengkritik kelebihan malam Nisfu Sya’ban

14. Mengangkat tangan sewaktu berdoa’ adalah bid’ah

15. Mempertikaikan kedudukan solat sunat tasbih

16. Berusaha mengharamkan wirid-wirid yang terkandung di dalam “Majmu’ Sharif.”

17. Menyatakan bahawa mencium al-Quran adalah bid’ah terkeji – Fatwa Soleh Uthaymin

*Pengurusan Jenazah dan Kubur*

1. Menganggap amalan menziar

ahi maqam Rasulullah SAW, para anbiya’, awliya’, ulama’ dan solihin sebagai bid’ah dan solat tidak boleh dijama’ atau qasar dalam ziarah seperti ini

2. Mengharamkan wanita menziarahi kubur

3. Menganggap talqin sebagai bid’ah

4. Mengganggap amalan tahlil dan bacaan Yasin bagi kenduri arwah sebagai bid’ah yang haram

5. Tidak membaca doa’ selepas solat jenazah

6. Sebahagian ulama’ mereka menyeru agar Maqam Rasulullah SAW dikeluarkan dari masjid nabawi atas alasan menjauhkan umat Islam dari syirik

7. Menganggap kubur yang bersebelahan dengan masjid adalah bid’ah yang haram

8. Doa dan bacaan al-Quran di perkuburan dianggap sebagai bid’ah.

*CIRI CIRI SALAFIYYAH WAHABIYYAH (WAHABI)*

Majlis Sambutan Beramai-ramai

1. Menolak sambutan Mawlid Nabi; bahkan menolak cuti sempena hari Mawlid Nabi; bahkan yang lebih teruk lagi menyamakan sambutan Mawlid Nabi dengan perayaan Kristian bagi nabi Isa a.s.

2. Menolak amalan marhaban

3. Menolak amalan barzanji.

4. Berdiri ketika bacaan mawlid adalah bid’ah

5. Menolak sambutan Ma’al Hijrah, Isra’ Mi’raj, dll.

*Haji dan Umrah*

1. Cuba mengalihkan “Maqam Ibrahim a.s.” namun usaha tersebut telah dipatahkan oleh al-Marhum Sheikh Mutawalli Sha’rawi apabila beliau pergi bertemu dengan Raja Faisal ketika itu.

2. Menghilangkan tanda telaga zam-zam untuk d

ielak oleh orang yang bertawaf ketika bertawaf [Dengar khabar, sekarang tanda tersebut hendak dibuat semula]

3. Mengubah tempat sa’ie di antara Sofa dan Marwah yang mendapat tentangan ulama’ Islam dari seluruh dunia [Terbaru – dan Khilafiyyah di antara para ulama’ kontemporari].

4. Nama “Hajar Ismail” bagi bahagian sisi Ka’bah adalah bid’ah dan tidak harus – Fatwa Soleh Uthaymin

*PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN*

1. Ramai para professional menjadi ‘ustaz-ustaz’ mereka..Protaz(di Malaysia)

2. Ulama’ yang sering menjadi rujukan mereka adalah:

a. Ibnu Taymiyyah
b. Ibnu al-Qayyim
c. Muhammad Abdul Wahhab [Perbezaan yang ketara di antara pendekatan Ibnu Taymiyyah dan Muhammad Ibn Abdul Wahhab ialah: (i) Ibnu Taymiyyah tidak memaksa orang lain mengikut pendapatnya dengan pedang dan kuasa, ini adalah berbeza dengan pendekatan Muhammad Ibn Abdul Wahhab; (ii) Ibnu Taymiyyah juga tidak bersepakat dengan bukan Muslim untuk menjatuhkan saudara Islamnya]
d. “Sheikh” Abdul Aziz Ibn Bazz
e. Nasiruddin al-Albani
f. “Sheikh” Soleh Ibn Uthaimin

g. “Sheikh” Soleh Fawzan al-Fawzan [Secara peribadi, penulis mendengar dengan telinga dan melihat dengan mata sendiri di Madinah, Dr. Soleh Fawzan al-Fawzan, Rektor, Universiti Islam Madinah pada waktu tersebut menyatakan bahawa ulama’ Al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah bukanlah daripada “golongan yang terselamat dari api neraka” (al-firqah al-najiyah).”]

3. Sering mewar-warkan untuk kembali kepada al-Quran dan Hadis (tanpa menyebut para ulama’, sedangkan al-Quran dan Hadis sampai kepada umat Islam melalui para ulama’ dan para ulama’ jua yang memelihara al-Quran dan Hadis untuk umat ini)

4. Sering mengkritik Imam al-Ghazali dan kitab “Ihya’ Ulumiddin”

5. Masih lagi menggunakan kitab al-Tawhid oleh Imam Ibnu Khuzaimah walaupun Imam al-Bayhaqi telah menyatakan bahawa Imam Ibnu Khuzaimah telah pun menarik semula dan bertaubat daripada penulisannya itu. Ini dinyatakan oleh Imam al-Bayhaqi di dalam Kitab al-Asma’ dan al-Sifat.

PENGKHIANATAN MEREKA KEPADA UMAT ISLAM

1. Bersepakat dengan Inggeris dalam menjatuhkan kerajaan Islam Turki Usmaniyyah

2. Melakukan perubahan kepada kitab-kitab turath yang tidak sehaluan dengan mereka

3. Ramai ulama’ dan umat Islam dibunuh sewaktu kebangkitan mereka

4. Memusnahkan sebahagian besar kesan-kesan sejarah Islam seperti tempat lahir Rasulullah saw, jannat al-Baqi’ dan al-Ma’la [makam para isteri Rasulullah SAW di Baqi’, Madinah dan Ma’la, Mekah], tempat lahir Sayyiduna Abu Bakr dll, dengan hujah perkara tersebut boleh membawa kepada syirik.

5. Di Malaysia, sebahagian mereka dahulu dikenali sebagai Kaum Muda atau Mudah [kerana hukum fiqh mereka yang mudah, ia merupakan bentuk ketaatan bercampur dengan kehendak hawa nafsu].

6. Antara nama/seruan yang pernah digunakan/

dilaungkan oleh mereka di Malaysia dahulu ini ialah Ittiba’ Sunnah. Pihak Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oktober 1985 telah pun mengeluarkan fatwa menyatakan kesesatan ajaran Ittiba’ al-Sunnah ini.

TASAWWUF DAN TAREQAT

1. Sering mengkritik aliran Sufi dan kitab-kitab sufi yang mu’tabar

2. Sufiyyah dianggap sebagai terkesan dengan ajaran Budha dan Nasrani

3. Tidak dapat membezakan antara amalan sufi yang benar dan amalan bathiniyyah yang sesat

Perhatian:

Sebahagian daripada ciri-ciri di atas adalah perkara khilafiyyah. Namun sebahagiannya adalah bercanggah dengan ijma’ dan pendapat mu’tamad empat mazhab. Sebahagian yang lain adalah perkara yang sangat kritikal dalam masalah usul (pokok) dan patut dipandang dengan serius.Ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri umum golongan Wahhabiyyah yang secara sedar atau tidak diamalkan dalam masyarakat kita. Sebahagian daripada ciri-ciri ini adalah disepakati di antara mereka dan sebahagiannya tidak disepakati oleh mereka. Ini adalah kerana di dalam golongan Wahhabiyyah ada berbagai-bagai pendapat dan mazhab dalam berbagai peringkat. Apatah lagi apabila setiap tokoh Wahhabiyyah cuba berijtihad dan mengenengahkanb pendapat masing-masing sehingga sebahagiannya terpesong terlalu jauh dari aliran Ahlus-Sunnah wal-Jamaah.

Sumber

27/03/2017 Posted by | Informasi, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

BENDA ASAS DALAM IKHTILAT YANG PERLU DI FAHAMI

Apa itu ikhtilat. Ikhtilat adalah pergaulan antara lelaki dan perempuan.
a)HUKUM

Hukum asal ikhtilat adalah haram.
Jatuh Harus andai berlaku beberapa situasi iaitu:
-Dharurat
-Hajat
-Dakwah

Cerita bab hukumnya, semua benda yang hukum asalnya HARAM, amat perlu di telitikan. Contoh mudah, makan babi. Hukum asal haram. Harus andai dalam keadaan dhorurat. Maka ketika itu, boleh makan babi CUKUP hanya untuk menghilangkan dhorurat. Andai lebih-lebih, maka hukumnya kembali kepada asal, iaitu HARAM.

Begitu juga dalam ikhtilat misalnya, contoh untuk DHARURAT ialah nak selamatkan nyawa di hospital. Sometime doctor laki terpaksa buka sebahagian aurat perempuan misalnya. Maka di haruskan. Namun, andai doctor tu lebih-lebih, dengan buka tempat yang taka da kena mengena, maka HARAM. Banyak lagi contoh lain.

Kalau untuk HAJAT, contoh simple ialah belajar. Perhubungan untuk tujuan belajar, Tanya soalan-soalan, bersifat ilmiah, maka di benarkan. Tapi kalau start sembang just Tanya khabar dan lain-lain yang tak ada kena mengena dengan hajat, maka hukumnya kembali keapda asal, HARAM.

Kalau untuk DAKWAH, agak panjang perbahasannya. Contohnya kalau nak buat meeting yang sangat penting dan memerlukan perkumpulan lelaki dan perempuan. Maka boleh, namun perlu mematuhi segala syarat yang telah di gariskan. Apa syarat-syaratnya? Nanti kita masuk.

b)Kenapa ikhtilat HARAM?

Kerana ia menghampiri zina. Simple. Dosa yang besar bermula dari dosa yang kecil. Ramai orang yang mati dengan nyamuk aedeis berbanding kena makan buaya. Ramai orang yang hancur akibat dosa kecil berbanding dosa besar. Segala perkara haram, dan perkara yang membuatkan kita akan terjebak untuk melakukan perkara haram, maka hukumnya juga haram!

Allah bagi amaran, jangan hampiri zina. Apakah jalan-jalan yang membuatkan kita menghampiri zina dan akhirnya berzina? Bermula dengan pandang, senyum, bagi salam, bersembang, membuat perjanjian untuk berjumpa, kemudian berjumpa, berzina dan akhirnya masuk neraka! Kesemua ini adalah jalan zina, dan haram.

Nak hurai panjang-panjang, lepas ni, time masuk part “kekeliruan dan penyelesaian”.

FAKTOR TEWAS DALAM IKHTILAT

Ramai orang sekarang, apabila bertanya hukum, mereka usaha untuk dapatkan hukum yang membenarkan dosa mereka. Contohnya ikhtilat. Hukumnya haram. Tapi bila dengar ikhtilat akan jadi HARUS bila berlaku beberapa situasi, terus dia gembira sakan dengan ikhtilatnya tanpa melihat situasi. Atas alasan harus. Ingat wahai kawan, ianya harus andai:

1)Kita terjebak pada 3 situasi, iaitu dhorurat, hajat dan dakwah.

2)Andai kita mematuhi SYARAT-SYARAT dan tidak berlebih-lebih.

Tapi hari ni, kita tak pandang syarat. Tak rasa bersalah, bahkan rasa dosa yang kita buat tu betul dan tak dosa, menganggap orang yang mematuhi syarat-syarat itu sebagai SYADID, dan lain-lain. Apakah ini?

Ingat, kita harus menilai sesuatu berlandaskan syariat, bukan akal kita. Yang kita rasa betul dan selesa untuk kita, kita buat, walaupun ia melanggar syariat. Apakah ini? Check balik diri, ada tidak nafsu kita main peranan ketika kita menggunakan akal dan cita rasa kita dalam membenarkan apa yang kita buat?

27/03/2017 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Bacaan al-Qur`an untuk orang mati, sampaikah pahalanya atau tidak?

Petikan dari Majalah al-Hadaf TERBITAN JABATAN MUFTI KERAJAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM Rejab -Syawal 1422 / Oktober- Disember 2001 Tahun 5 Bilangan 4 Bersempena dengan Sambutan Nuzul Al-Qur’an tahun 1422 Hijriah, rancangan “Bersama Mufti” yang disiarkan melalui Televisyen Brunei telah memuatkan wawancara eksklusif Awang Haji Mohidin bin Haji Mustapha dengan Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, mengenai perkara yang sedang banyak diperkatakan orang iaitu tentang amalan orang hidup seperti membaca al-Qur’an, bertahlil dan lain-lain, adakah sampai manfaatnya kepada orang yang telah mati?

Ikutilah wawancara ini.

Penemuramah: Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, baru-baru ini tersebar sebuah buku terbitan luar negeri berjudul: Hukum Membaca al-Qur’an Untuk Orang Mati, Sampaikah Pahalanya Kepada Mereka? Menurut buku ini, perkara itu adalah bid’ah dan tidak ada manfaat kepada yang mati. Apakah ulasan Pehin mengenainya?

Pehin Mufti: Buku itu sebenarnya berasal daripada bahasa Arab:

حكم القراءات للأموات هل يصل ثوابها إليهم؟

Mula-mula biarlah saya tegaskan dulu, bahawa buku ini bukan buku mu‘tabar. Hujjah-hujjahnya juga tidak muktamad. Ia masih berupa satu pendapat di antara banyak lagi pendapat-pendapat lain daripada ulama-ulama. Kita tidak usahlah terlalu gelabah dengan pendapat serupa ini.

Penemuramah: Tetapi Pehin, buku ini juga menyebut tentang Imam Syafi’e sendiri telah menolak dengan keras pendapat yang pahala bacaan al-Qur’an itu sampai kepada si mati?

Pehin Mufti: Awalnya begitu. Tetapi dalil yang dipakai oleh Imam Syafi’e adalah juga dipakai oleh imam-imam lain untuk membenarkan pendapat: Bahawa pahala bacaan al-Qur’an itu sampai kepada si mati. Nanti akan saya sebutkan lagi perkara ini kemudian. Bercakap mengenai Imam Syafi’e Rahimahullah, kita jangan lupa bahawa beliau itu memiliki dua asas pendapat: Satu dinamakan qaul qadim (lama) dan kedua qaul jadid (baru). Ini sangat penting, jangan diabaikan. Barangkali juga pada mulanya beliau berpendapat tidak sampai, tetapi pendapat itu berubah kemudian menjadi sebaliknya. Perkara ini dapat kita kesan daripada pengakuan az-Za’farani katanya: “Saya pernah bertanya kepada Imam asy-Syafi’e mengenai bacaan al-Qur’an di kubur. Ternyata beliau itu (asy-Syafi’e) adalah membolehkannya.” Demikian juga kenyataan Imam An-Nawawi di dalam Syarah al-Muhazzab “Disunatkan bagi orang yang ziarah kubur itu membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah-mudah baginya dan mendoakan mereka setelah membaca itu. Perkara ini adalah dinashkan oleh Imam asy-Syafi’e.” Lebih lanjut beliau menambah: “Jika mereka mengkhatamkannya, itu adalah lebih afdhal lagi.” Imam Ahmad bin Hanbal juga pada mulanya menolak pendapat ini kerana menganggap tidak ada nash, tetapi menerimanya kemudian setelah mendapati terdapat dasar mengenai-nya. asy-Sya’bi pula berkata: “Jika seorang daripada kaum Ansar meninggal dunia, mereka akan pulang dan pergi semula ke kuburnya untuk membaca al-Qur’an baginya.” Jadi, semua ini berlaku, dibuat oleh umat Islam dan ulama-ulama Islam serta tersebut di dalam kitab-kitab Islam.

Penemuramah: Berbalik kepada dalil yang digunakan oleh ulama-ulama bagi menolak yang bacaan al-Qur’an di kubur itu sampai kepada orang mati, dapatkah Pehin huraikan?

Pehin Mufti: Ya, asy-Syafi’e sendiri dikatakan berdalil dengan ayat 39 daripada surah an-Najm

وَأَن لَّيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاَّ مَا سَعَىٰ

Tafsirnya : “Dan bahawasanya bagi seorang manusia itu hanyalah apa yang diusahakannya.” Tetapi ulama-ulama yang lain juga memakai ayat yang sama ini untuk membuktikan bahawa bacaan al-Qur’an itu adalah sampai pahalanya kepada orang mati, iaitu dengan beberapa alasan, di antaranya: i) Bahawa ayat ini adalah khusus bagi kaum Nabi Ibrahim dan Nabi Musa ‘Alaihimassalam, sedangkan bagi umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah diberikan kelebihan akan memperolehi apa yang diusahakan-nya dan juga yang diusahakan oleh orang lain untuknya. ii) Yang dimaksudkan dengan “الإِنسَانِ ” (Seorang manusia) dalam ayat ini ialah orang kafir. Sedangkan bagi orang mukmin akan tetap mendapat apa yang diusahakannya dan juga yang diusahakan oleh orang lain untuknya. iii) Huruf “Lam” pada perkataan “lil-insan” di dalam ayat ini berfungsi atau bererti sebagai “على” sesuai dengan qiyas atau analogi pada doa-doa, sedekah, puasa, haji dan lain-lain. Lalu menurut pendapat ini, tidaklah ada bezanya di antara pemindahan pahala haji, sedekah, wakaf dan doa dengan bacaan al-Qur’an itu. Demikian menurut al-Hafiz Syamsuddin bin Abdul Wahid al-Maqdisi al-Hanbali. Al-Qurtubi telah menukil, bahawa asy-Syeikh ‘Izzuddin bin Abdussalam telah mengeluarkan fatwa bahawa pahala bacaan al-Qur’an itu tidak sampai kepada orang mati. Ketika dia telah meninggal dunia, sebahagian sahabatnya bermimpi bertemu dengannya. Mereka bertanya kepadanya: “Wahai ‘Izzuddin, Tuan telah berfatwa bahawa pahala bacaan al-Qur’an tidak sampai kepada orang yang telah meninggal dunia. Lalu bagaimanakah Tuan telah menyaksikan perkara itu?” ‘Izzuddin menjawab: “Saya mengatakan perkara itu ketika masih di dunia, tetapi sekarang saya sudah meninggalkannya. Saya telah menyaksikan adanya kemurahan Allah Ta’ala dalam perkara ini, yakni pahala itu memang sampai kepada orang yang telah meninggal dunia.” Terdapat hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam riwayat Abu Daud:

اقراوا يس على موتاكم

Maksudnya: “Bacalah surah Yâsîn untuk si mati kamu.” Berkata al-Qurtubi mengenai hadis ini: “Ia adalah mencakupi bacaan ketika orang akan mati dan juga bacaan di kuburnya.” Selain sandaran daripada ayat al-Qur’an dan hadis, terdapat juga riwayat-riwayat daripada orang-orang salih mengenai hal ehwal orang-orang mati melalui mimpi-mimpi mereka yang bagus. Maksud saya dengan mimpi-mimpi yang bagus itu ialah yang boleh menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup ini.

Di antaranya pernah dinukil oleh al-Qadhi Abu Bakar bin Abdul Baqi Al-Ansari suatu riwayat daripada Salmah Bin ‘Ubaid yang menceritakan: Bahawa Hammad al-Makki pernah berkata: “Pada suatu malam, saya pernah pergi ke beberapa kuburan di Makkah. Lalu saya meletakkan kepala saya di atas suatu kubur sehingga saya tertidur. Setelah itu saya pun bermimpi melihat para penghuni kubur duduk berkeliling membuat bulatan, saya bertanya: “Apakah kiamat sudah tiba?” Mereka menjawab: “Tidak! Hanya sanya, ada seorang daripada saudara kami yang membaca surah al-Ikhlas dan memberikan pahalanya kepada kami.”

Penemuramah: Pehin telah menyebutkan beberapa contoh cerita orang-orang yang hidup bermimpikan orang-orang yang telah mati. Apakah tanggapan agama mengenai cerita-cerita seperti ini?

Pehin Mufti: Itu baru satu dua yang saya sebut. Banyak lagi jika dikutip daripada kitab-kitab. Benar, orang hidup tidak dapat lagi bertemu dengan orang yang sudah meninggal secara fizikal. Tetapi roh-roh mereka masih saja boleh bertemu antara satu sama lain melalui mimpi. Keterangan mengenai perkara ini bolehlah dilihat di dalam kitab- kitab, seperti kitab ar-Rûh karangan Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah, Syarh as-Shudur Bisyarhi Ahwal al-Mauta wal-Qubur karangan as-Suyuthi dan lain-lain. Ulama-ulama tidak mencuaikan mimpi-mimpi yang bagus yang berlaku di kalangan orang-orang salih. Mereka mengabadikannya di dalam tulisan-tulisan/kitab-kitab untuk dibaca oleh umat Islam sebagai pengajaran. Mereka sangat faham akan nilai mimpi itu, berdasarkan hadis:

رؤيا الأنبياء و الصالحين صحيحة – او كما قال

“Mimpi para Nabi dan orang-orang salih itu adalah betul”

Penemuramah: Kebetulan kita sekarang berada di dalam bulan Ramadhan dan akan menjelang hari raya. Biasanya, pada masa ini akan berduyun-duyunlah umat Islam membuat kunjungan atau berziarah ke kubur-kubur sanak-saudara mereka. Apakah kelebihan menziarahi kubur itu?

Pehin Mufti: Ziarah kubur telahpun menjadi syari’at. Ia adalah sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginya ada adab atau peraturan tertentu, di antaranya ialah dengan memberi salam kepada ahli kubur oleh orang-orang yang berziarah, seperti :

السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شآء الله بكم لاحقون أنتم لنا فرط ونحن لكم تبع نسأل الله لنا ولكم العافية

“Selamat sejahtera atas kamu, wahai ahli kubur, daripada kalangan kaum mukmin dan muslim, kami Insyâ Allah akan menyusuli kamu. Kamu telahpun mendahuli kami, kami pula akan mengikut kamu. Kami mohon kepada Allah akan kesejahteraan untuk kami sendiri dan untuk kamu juga.” (Hadis Bukhari, Muslim dan lainnya).

Penemuramah: Adakah orang mati itu mendengar dan menjawab salam daripada orang yang berziarah itu?

Pehin Mufti: Bersandarkan hadis – Ya! Salah satu ialah hadis Abu Hurairah riwayat Ibnu Abi Ad-Dunya dan al-Baihaqi, bermaksud: “Jika seseorang melintasi kubur orang yang dikenalnya, lalu dia mengucapkan salam, nescaya penghuni kubur itu akan menjawab salamnya itu dan bahkan mengetahui kehadirannya. Jika orang yang tidak dikenalinya, lalu dia mengucapkan salam, nescaya penghuni kubur itu pun juga akan menjawab salamnya itu.”

Hadis lain, daripada Aisyah radhiallahu anha, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda, maksudnya: “Tidaklah seseorang itu ziarah kubur saudaranya dan duduk di sisinya, melainkan saudara yang telah meninggal itu akan menyambut dan menjawab salamnya sehingga dia berdiri.” Bagaimanapun, kita orang hidup tidaklah dapat mendengar suara jawapan daripada mereka itu, atau mengetahui bagaimana keadaan mereka. Namun begitu, tidaklah pula mustahil bagi orang-orang yang diberikan kelebihan oleh Allah, akan ada yang mendengarnya. Seperti al-Baihaqi pernah meriwayatkan daripada Abu Abdullah al-Hafiz, yang diterimanya daripada Abu ‘Ali Hamzah bin Muhammad al-‘Alawi, dia bercerita: “Ayahku pernah mengajak aku pergi ke Madinah untuk mengunjungi kubur para syuhada pada hari Jumaat, pada waktu di antara terbit fajar dengan terbit mata-hari. Aku berjalan di belakang ayah. Ketika sampai di kubur mereka, ayahku memberi salam dengan suara lantang:

سلـم عليكم بما صبرتم فنعم عقبى الدر

Ertinya: “Selamat sejahtera atas kamu, berkat kesabaran kamu. Alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” Tiba-tiba terdengar jawapan berbunyi: “Keselamatan juga bagi kamu, wahai Abdullah.” Ayahku lalu menoleh kepadaku dan bertanya: “Apakah engkau yang menjawab tadi?” “Tidak!” jawabku. Kemudian ayahku menarik tanganku dan menempatkanku di sebelah kanannya. Dia lalu mengucapkan salam lagi kepada mereka, dan setiap salam yang diucapkannya itu dibalas, sehinggalah tiga kali diulangnya. Oleh itu, ayahku lalu sujud bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala. (Dipetik cerita ini daripada kitab Syarh as-Shudur Bisyarhi Ahwal al-Mautâ wa-al-Qubûr)

Penemuramah: Selain daripada orang hidup mendapat manfaat berupa pahala kerana ziarahnya itu, apakah orang mati juga mendapat manfaat yang sama?

Pehin Mufti: Sudah tentulah begitu. Bukankah “Salam” tadi mendoakan kesejahteraan ke atas ahli kubur? Bahkan ianya melebihi lagi jika diiringi pula dengan bacaan ayat al-Qur’an, zikir, doa dan sedekah untuk mayat. Jika kita ambil perkhabaran daripada orang-orang salih, maka ahli kubur itu seakan-akan seperti kita yang hidup ini juga: berhajatkan pemedulian.

Cuba kita perhatikan nukilan ini: Menurut Abi ad-Dunya dan al-Baihaqi, bahawa al-Fathu bin Mauqif bin Khalid telah menceritakan daripada Sufyan bin ‘Ainah katanya: “Ketika ayahku meninggal dunia, aku adalah benar-benar sedih, sehingga aku mendatangi kuburnya pada setiap hari. Suatu hari aku lupa mendatangi-nya. Pada malamnya aku bermimpi, yang ayahku berkata kepadaku: “Anakku, apakah yang menyebabkan engkau tidak mendatangiku?” Aku berkata: “Apakah ayah mengetahui kedatangannku?” Ayahku menjawab: “Tidak engkau mendatangiku sekali melainkan aku mengetahui. Aku sungguh senang dengan kedatangan-mu dan bahkan orang-orang di sekelilingku juga merasa berbahagia dengan doa-doa yang engkau bacakan.” Perkara ini jelas menjadi isyarat, bahawa ziarah kubur dan berdoa untuk mayat itu adalah perkara besar dan mustahak, dan kerana itulah ia menjadi sunnah. Sebarang usaha untuk meringan-ringankannya atau menyebabkannya tidak dibuat orang, adalah suatu aniaya yang terang lagi jahat.

Jika terdapat pendapat yang melarangnya atau tidak menggalak-kannya, maka tidak syak lagi pendapat itu datangnya daripada orang-orang ganjil. Berkata ulama:

من تتبع شواذ العلماء ضل

“Barang siapa mengikut /mencari-cari pemikiran ulama’ yang ganjil dia sesat”. Kata ulama lagi:

من حمل الشاذ حمل شرا كبيرا

“Barangsiapa membawa perkara ganjil, maka dia telah membawa kejahatan besar”.

(Sumber Blog Abu Zahrah al-Fanshuri)

27/03/2017 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah | Leave a comment

Bagaimanakah caranya membantu orang yang sudah mati berdasarkan Al-Quran dan Hadis Shahih Nabi saw?

Di dalam menjawab persoalan ini, kita tumpukan hanya kepada dalil-dalil dari Al-Quran dan hadis shahih semata-mata. Kita menolak hadis-hadis dhaif hanya kerana mengambil jalan selamat kerana sesungguhnya berurusan dengan orang yang sudah mati merupakan satu perkara yang melibatkan alam yang lain dari alam yang kita duduki sekarang. Oleh kerana itu, akal tidak boleh dipakai sama sekali kerana Allah telah menghadkan akal pemikiran manusia setakat mana Dia ingini. Memandangkan dunia ghaib ini tidak dapat kita lihat mahupun rasai, maka kita memerlukan bantuan dari Allah yang Maha Kuasa di samping Nabi kita Muhammad saw.

Terdapat beberapa cara yang membolehkan orang yang masih hidup membantu mereka yang sudah mati.

Pertama: Doa orang yang masih hidup untuk si mati.

Kaedah ini berlandaskan kepada dalil yang jelas di dalam Al-Quran surah Al-Hasyr ayat 10 yang bermaksud:

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu.

Di samping itu, anjuran solat jenazah merupakan satu bukti kukuh. Ini kerana intipati bacaan di dalam solat itu sendiri merupakan satu doa buat si mati. Dan tidak dinafikan, solat jenazah adalah amalan Nabi saw dan banyak hadis-hadis shahih menceritakan mengenainya.

Kedua: Membayar hutang puasa si mati.

Orang yang tidak mengerjakan puasa Ramadhan selama beberapa hari atau lebih dari itu, atau ia tidak mengerjakan puasa “nazar” atau puasa “kifarah”, disebabkan uzur syar’i (seperti sakit dan sebagainya) lalu ia mati sebelum sempat mengqadha puasanya, maka ia tidak dikira berdosa.
Dengan itu, pihak kaum kerabatnya tidak dikenakan mengqadha puasanya atau membayar “fidyah” dari harta peninggalannya.

Sebaliknya, kalau ia mati setelah hapus uzurnya – yakni setelah ia sembuh dari sakitnya dan sebagainya – kemudian semasa hayatnya tidak mengqadha puasanya itu maka hukumnya menurut jumhur ulama’, bahawa pihak kaum kerabatnya tidak dibolehkan berpuasa untuknya tetapi hendaklah membayar “fidyah” untuknya dari harta peninggalannya, iaitu memberi makan orang miskin, satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.

Menurut huraian ulama’ rahimahullah: Kadar satu “fidyah” untuk satu hari yang ditinggalkan puasanya ialah “satu cupak” dari jenis makanan yang mengenyangkan yang biasa dimakan oleh penduduk sesebuah negeri.
Fidyah itu pula hendaklah di berikan kepada orang fakir miskin sahaja seorang miskin, boleh di berikan “satu cupak” – tidak terhad.

Fidyah itu pula hendaklah diberikan kepada orang faqir miskin sahaja. Seseorang miskin, boleh diberikan “satu cupak” atau “beberapa cupak” – tidak terhad.
Tetapi fidyah yang satu cupak itu tidak boleh dibahagikan dua untuk diberikan kepada “dua orang miskin”, kerana yang demikian tidak merupakan “satu fidyah” yang sempurna dan dengan itu tidak sah hukumnya.
Terdapat juga dalam hadis yang lain iaitu:

Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata: “Ya Rasulullah, ibu saya telah mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) selama sebulan, bolehkah saya mengqadha puasanya itu?”
Baginda menjawab: “Boleh, (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang (manusia kepada) Allah lebih berhak diselesaikan.
(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Hadith ini mengatakan bahawa orang mati yang menanggung hutang puasa yang wajib (sama ada puasa Ramadhan atau pun puasa nazar atau puasa kifarah), boleh dibayar oleh orang yang termasuk dalam lingkungan kaum kerabatnya – dengan jalan berpuasa untuknya.

Dalam huraiannya, Imam Nawawi rahimahullah berkata: Imam al-Syafi’i rahimahullah, mempunyai “dua qaul” dalam masalah ini:

Pertama – Hutang puasa si mati hendaklah dibayar dengan “fidyah” sahaja.

Kedua – Boleh juga dibayar dengan jalan berpuasa untuknya.
Berdasarkan keterangan yang tersebut, maka kesimpulan masalah ini dalam mazhab Syafi’i ialah: Menurut “qaul” yang pertama: Hutang puasa si mati , hendaklah di bayar dengan “fidyah” sahaja oleh walinya.
Menurut “qaul” yang kedua pula: Pihak walinya bebas memilih, sama ada dengan memberi fidyah atau dengan berpuasa untuknya.

Salah satu hadis yang lain juga:

Dari `Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) hendaklah walinya (membayar dengan) berpuasa untuknya”.
(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nota: Huraian di atas adalah pendapat Imam SyafiI bukannya pendapat yang rajih berkaitan qadha puasa si mati. Tumpuan kita adalah apakah cara yang dibolehkan dalam membantu orang yang sudah mati.

Ketiga: doa anak yang soleh/solehah,

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Hadith ini juga diriwayatkan dengan lafaz yang lain seperti berikut:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Apabila seorang manusia mati , putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) (1) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (2)
(Hadith Sahih – Riwayat Imam Ahmad)

“Sedekah jariah” ialah harta benda yang diwaqafkan kerana Allah Taala, seperti:

(1) Mewaqafkan sebuah kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. Atau mewaqafkan sebidang tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.
(2) Mendirikan – atau berkhairat ala kadarnya untuk mendirikan masjid surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.
(3) Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum.
(4) Mendirikan rumah “musafir khanah” untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya.
(5) Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti mendirikan hospital dan kutub khanah, mencetak al-Qur’an dan kitab-kitab Islam serta buka-buka pengetahuan yang berguna dan sebagainya.

Amalan “waqaf” dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk “Kementerian Waqaf di negara masing-masing.

Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati .

Kedua: “Ilmu yang berguna atau bermanfaat kepada orang lain,” yang tersebut dalam hadith ini ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya kepada murid-muridnya dan orang ramai, atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya.

Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati .

Ketiga: “Anaknya yang soleh yang berdoa untuknya”
Doa anak kepada kedua ibu bapanya, sama ada anak itu orang yang soleh atau sebaliknya adalah baik dan berguna. Tetapi doa anak yang soleh lebih diharap tentang makbulnya.
Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menarik perhatian tentang kelebihan anak yang soleh dalam hadithnya ini, supaya ibu bapa mendidik anak-anak masing-masing dengan sebaik-baiknya sehingga anak itu menjadi orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.

Serentak dengan itu kedua ibu bapa akan mendapat rahmat disebabkan usahanya mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baiknya dan mendapat rahmat pula disebabkan doa anaknya yang soleh itu.

Keempat: melangsaikan hutang harta si mati

Orang ramai boleh juga membantu si mati dengan cara melangsaikan hutang harta si mati. Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kebolehan tersebut. Di antaranya:
Di dalam satu hadis sahih yang bermaksud:

Berkata Jabir bin Abdullah rh: Telah meninggal dunia salah seorang daripada kami, lalu kami mandikannya, kapankannya dan kemudian kami letakkan jenazah di tempat yang biasa diletakkan jenazah iaitu di Makm Jibril untuk diselesaikan oleh Rasulullah saw. Dan kami memaklumkan kepada baginda untuk disolatkan jenazahnya. Lalu baginda pun datang mendekati jenazah lalu bertanya kepada kami, Barangkali jenazah ini ada meninggalkan hutang. Lalu kami jawab, Benar, ya Rasulullah. Ada 2 dinar. Rasulullah saw berundur dan bersabda, kamu sahajalah yang menyembahyangkan jenazah sahabatmu ini. Lalu salah seorang daripada kami yang di panggil Abu Qatadah berkata, Ya Rasulullah, kedua-dua dinar hutang jenazah ini adalah tanggungjawab saya. Kemudian Rasulullah bersabda lagi, Mula sekarang, 2 dinar itu menjadi tanggungjawab engkau, Abu Qatadah dan engkau mesti ambil dari wang kau sedangkan jenazah ini bebas daripada kedua-dua dinar itu? Jawab Abu Qatadah, Benar, ya Rasulullah. Setelah mendengar pengakuan daripada Abu Qatadah bahawa ia bertanggungjawab melunasi hutang jenazah tersebut, barulah Nabi saw melakukan solat jenazah ke atas si mati. Dan diriwayatkan, pada keesokan harinya, Rasulullah saw bertemu akan Abu Qatadah dan bertanya kepadanya, sudahkah kau lunasi hutang jenazah semalam? Abu Qatadah menjawab, Wahai Rasulullah, bukankah dia baru sahaja meninnggal dunia semalam. Kemudian setiap hari apabila Nabi saw bertemu Abu Qatadah maka akan ditanya, Apakah kamu telah lunasi hutang 2 dinar itu? Jawab Abu Qatadah, telah aku lunasi hutang itu. Mendengar akan jawapan Abu Qatadah, Rasulullah saw bersabda, Sekarang barulah dingin kulitnya kerana azabnya baru sahaja diangkat kerana hutangnya telah selesai.

Hadis di atas memberitahu kita bahawa hutang wajib dilunasi. Bahkan dalam hadis yang lain ada menceritakan bahawa hutang wajib didahului dari keluarga yang miskin. Di dalam hadis di atas juga, mengkhabarkan bahawa bukan sahaja ahli waris yang boleh melunaskan hutang si mati, tetapi juga orang lain yang tiada ikatan kekeluargaan.

Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan akan kebolehan dan kewajipan melunaskan hutang si mati.

Dari Ibn Abbas r.a., bahawa: .. Rasulullah s.a.w bersabda: “.. (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan.”
(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kelima: Amalan baik anak sendiri

Di dalam Al-Quran, ayat 39, Allah telah berfirman yang bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.

Terang di dalam ayat di atas mengatakan bahawa usaha seseorang akan di bawa ketika telah mati.
Bagaimana pula ayat di atas dapat menjadi dalil yang membolehkan amalan baik anak itu sampai kepada si mati? Persoalan ini terjawab dengan hadis sahih di bawah:

Sesungguhnya makanan yang paling baik untuk di makan oleh seseorang ialah hasil titik peluhnya sendiri. Dan sesungguhnya anakanya adalah sebahagian daripada usahanya.
[Hadith sahih-Al-Hakim, Imam At-Turmudzi, Imam Ahmad, Abu Daud An-Nasai]

Di dalam hadis yang lain:

Hadis Aisyah r.a:
Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Benar!

Sahih Muslim

Maka jelas, keumuman ayat Al-Quran di atas telah diperjelaskan oleh Rasulullah saw di dalam banyak hadis dan di antaranya hadis di atas.

Kesimpulan

Inilah cara-cara membantu orang yang telah mati secara ringkas. Tidaklah saya nukilkan kesemua dalil dari Al-Quran dan Hadis kerana tujuan sebenar saya masukkan artikel ini di dalam diskusi Isu Talkin ini adalah agar kita tahu apakah amalan yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis Sahih semata-mata.

Mengapa mesti kita tinggalkan cara yang sudah pasti sampai kepada simati dan kita ambil amalan yang tidak ada kepastiannya. Bukankah Rasulullah telah mengajar cara yang sebenar membantu orang yang telah mati. Di manakah dalilnya yang mengatakan sampainya pahala membaca Al-Quran kepada si mati oleh orang selain anak-anak sendiri? Di manakah dalilnya kewujudan solat fidyah atau hadiah kepada si mati? Dan yang lebih berkait dengan topik perbincangan kita, bagaimana pula ajaran di dalam ucapan talkin itu dapat membantu orang yang telah mati? Cukuplah dengan apa yang diajar dan dilakukan oleh Rasulullah saw. Sesungguhnya cara Rasulullah adalah cara yang terbaik. Allahualam.

RUJUKAN
1. Kaset Ceramah Al-Fadhil Ustaz Abdullah Yasin-Menolong orang yang mati
2. Kitab Irsyadul Ibad Ilasabilirrasyad
3. Al-Fath al-Rabbani (9:204) dan Fiqh al-Sunnah (1:429).
4. Fath al-Bari
5. Seperti yang tersebut dalam kitab-kitab mazhab ‘Jadid’nya.
6. Seperti yang dinyatakan dalam kitab-kitab mazhab ‘Qadim’nya.
7. Al-Majmu’ (6:342).
8. Sabil al-Muhtadin (2:154).
9. Tuhfat al-Ahwazi (3:405) dan Misykat al-Masabih (1:634).
10. Kifayah al-Akhyar (2:212).
11. Mughni al-Muhtaj (1:439).
12. Nihayat al-Muhtaj (3:192) dan Sabil al-Muhtadin (2:154).
13. Al-Muntakhab min al-Sunnah (7:268).
14. http://hadisjakim.harf.com/
Sumber.

27/03/2017 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: