Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

CARA MENGHADAPI BADAI FITNAH AKHIR ZAMAN

Guru Mulia Al-Habib Dr. Abu Bakar Al-Adni bin Ali Al-Masyhur حفظه الله تعالى pernah menyampaikan sebuah nasihat dalam kita menghadapi terpaan badai fitnah ini. Beliau mengingatkan kita yang berada di akhir zaman seperti sekarang ini agar berpegang teguh kepada 3 perkara untuk menghadapi dahsyatnya fitnah akhir zaman yang mana boleh menjadikan seseorang mukmin di pagi harinya dan kafir di waktu petangnya.

PERKARA PERTAMA ADALAH AT-TALAQQI, yakni belajar dengan seorang syaikh yang ‘alim, sholeh dan mempunyai sanad ilmu yang jelas, dari guru ke guru, dari ‘alim ke ‘alim, dari syaikh ke syaikh, sampai kepada sumbernya ilmu yaitu Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وسلم.
At-Talaqqi ini tidak boleh didapatkan melalui media-media seperti radio, televisyen, internet, media online, dan lain sebagainya. Akan tetapi, At-Talaqqi diperoleh dengan cara kita muwajahah dan musyafahah langsung di depan guru kita. Yang mana bila didapatkan suatu permasalahan agama maka guru kita menjadi tempat kembali untuk bertanya.
Lihatlah bagaimana orang-orang pada zaman dahulu tidak ada yang menggunakan teknologi yang namanya handphone atau smartphone, tetapi menghasilkan banyak ulama besar. Sebagai contoh, Al-Habib Abdullah bin Umar As-Syatiri yang mempunyai 13 ribu murid di zamannya dan semuanya menjadi seorang Mufti.

KEMUDIAN PERKARA KEDUA ADALAH AT-TARAQQI, yakni peningkatan kualiti diri di hadapan Allah dengan berbagai macam bentuk ketaatan seperti solat, zikir, tilawah, dan amalan ibadah lainnya. Semakin hari akan semakin meningkat dan semakin baik, bukan sebaliknya yang semakin menurun.
Bagi mereka yang saat ini belum mendapatkan seorang guru atau syeikh yang dapat membimbingnya maka dianjurkan untuk memperbanyak membaca selawat kepada Sayyidina صلى الله عليه وسلم. Selawat kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم ini merupakan guru bagi orang-orang yang belum mempunyai guru di dalam kehidupannya. Di saat yang bersamaan ia pun mesti berusaha untuk mencari guru bagi dirinya.
Ketahuilah bahwa menimba ilmu agama itu bukan melalui media seperti siaran radio, televisyen, atau media online. Boleh kita mengikuti dan menimba ilmu melalui media-media tersebut asalkan kita mampu menjaga diri dengan benar sehingga tidak terjerumus di dalam faham-faham di luar Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Pastikan media tersebut jelas bersumber dari kalangan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah . Namun, perlu diperhatikan belajar ilmu agama melalui media seperti ini bukanlah merupakan bentuk At-Talaqqi. Sifatnya hanya sebagai penambahan saja.

DAN PERKARA TERAKHIR ATAU YANG KETIGA ADALAH AT-TAWAQQI, yakni menjaga atau penjagaan diri dari berbagai bentuk kemungkaran atau kemaksiatan. Penjagaan diri ini hanya boleh dilakukan apabila sudah melewati At-Talaqqi atau sudah berguru. Kita tidak dapat menjaga diri dan meningkatkan ibadah kalau tidak ada guru. Dengan tidak mempunyai guru akan memudahkan terkena badai fitnah akhir zaman kerana ia tidak mempunyai panutan atau pegangan di dalam hidupnya yang dapat menuntunnya ke jalan Allah تعالى. Untuk itulah sebagai seorang Muslim perlu untuk mempunyai kekuatan dan hubungan dengan orang-orang soleh yakni para guru dan masyaikh yang jelas sanadnya.
Sumber*Maahad Al-Imam Al-Adni, Seksyen 8, Shah Alam*

19/03/2017 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

10 Kesan Buruk Ketagihan Pornografi Serta Langkah Menghentikannya

Pornografi ialah penggambaran atau segala bahan yang mengghairahkan bertujuan untuk membangkitkan nafsu seks secara lucah. Pada masa kini, mendapatkannya amat mudah dan dikatakan murah.

Jika anda berkeinginan kepadanya atau berniat mahu menghentikan tabiat ini, ingat 10 perkara ini:

#1 – Jika Anda Tidak Pernah Melihat Kandungan Pornografi, Jangan Mulakan Mencuba.

Pornografi memberi kesan ketagihan melebihi ketagihan dadah. Sekali anda melangkah, ia akan menarik anda untuk meneruskan ketagihan anda. Seperti dadah, hidup anda akan bergantung kepadanya.

#2 – Ketagihan Pornografi Akan Membawa Anda Kepada Aktiviti Yang Lain Seperti Melancap.

Ini kerana pornografi menimbulkan keinginan untuk melakukan aktiviti seksual. Memandangkan anda tidak memperolehinya pada masa berkenaan, anda akan cenderung untuk melakukannya bagi mendapatkan kepuasan segera. Jadi, sekarang anda bukan hanya ada satu ketagihan, tapi dua ketagihan untuk ditangani.

#3 – Ketagihan Pornografi Menyebabkan Anda Sentiasa Memikirkannya.

Anda sentiasa mahukannya. Jika boleh, anda mahukan lebih daripada sebelumnya. Keinginan anda hanya akan berhenti jika anda mendapatkannya. Jika tidak dapat, anda mula membayangkannya. Ia sering muncul dalam minda. Ini sekaligus merosakkan fokus anda.

#4 – Ketagihan Pornografi Menyebabkan Anda Sentiasa Dalam Keadaan Lemah.

Ini kerana anda kurang tidur pada waktu malam yang berpunca daripada kesukaran untuk tidur. Setelah kehilangan fokus, kini anda kurang tidur pula. Akibatnya, tubuh anda menjadi lesu.

#5 – Penagih Pornografi Biasanya Berada Dalam Keadaan Rasa Bersalah.

Bagi yang beragama Islam, anda tahu perbuatan ini adalah berdosa. Ia menambah lagi rasa bersalah anda. Rasa bersalah dan berdosa ini membuatkan anda berasa rendah diri dan tiada keyakinan. Ia wujud kerana kesukaran anda menghilangkan ketagihan kepada pornografi.

#6 – Kegembiraan Anda Bergantung Kepada Pornografi.

Apabila ia menerjah minda anda, anda mahu bersendirian. Ini kerana anda tidak boleh menonton pornografi di hadapan orang awam, walaupun keluarga anda. Pornografi bukanlah sesuatu yang normal. Ia menjijikkan. Ia sesuatu yang memalukan dan tidak dihormati.

Jadi, anda perlu menyembunyikan perbuatan atau ketagihan anda daripada diketahui orang lain. Keadaan ini memaksa anda untuk mengasingkan diri anda daripada orang lain. Pada saat ini, anda sudah kehilangan hubungan dengan manusia. Anda seperti hidup dalam dunia sendiri.

#7 – Sering Melihat Perkara Negatif Menyebabkan Anda Kelihatan Lebih Berusia Daripada Usia Sebenar Anda.

Walaupun secara fizikal anda kelihatan berusia, tapi tidak kepada kematangan anda.

#8 – Pornografi Memberi Kesan Kepada Sesiapa Sahaja.

Tidak kira anda sudah berkahwin atau bujang. Bagi mereka yang sudah berkahwin, ia mempengaruhi hubungan suami dan isteri. Seringkali isteri yang mempunyai suami yang suka pornografi mendapati suami mereka seperti tidak berminat dengan seks, tidak puas, dan kecewa dengan hubungan suami isteri.

Lantas, ia mendedahkan diri isteri kepada keganasan seksual. Oleh itu, ketagihan pornografi bukanlah masalah orang bujang sahaja. Sebaiknya, hentikan ketagihan pornografi anda sebelum anda memilih untuk berumahtangga.

#9 – Sangkaan Ketagihan Pornografi Boleh Dipulihkan Dengan Sebuah Perkahwinan.

Hakikatnya, perkahwinan bukanlah semata-mata mengenai seks. Malah, seks bukanlah perkara utama dalam sebuah perkahwinan walaupun ia tidak dinafikan suatu kepentingan. Orang yang mempunyai ketagihan pornografi mempunyai persepsi tertentu terhadap seks dalam perkahwinan.

Apabila realiti tidak menyamai semua lakonan pornografi yang ditontonnya, individu yang mengalami ketagihan mula merasai kegagalan. Dengan itu, mereka memerlukan alternatif kepada hubungan suami isteri.

#10 – Tahukah Anda Melihat Pornografi Adalah Berdosa?

Ini kerana anda melihat alat sulit individu yang anda tidak dibenarkan untuk melihatnya. Anda bukan sahaja menyalahi agama, malah moral juga.

Al-Quran juga menyuruh kita untuk menjauhkan diri dari perbuatan yang munkar sama ada anda melakukannya secara terbuka atau tersembunyi. Lebih-lebih lagi perbuatan zina atau melihat orang lain berzina. Anda tahu yang dosa-dosa ini berkumpul dan menggelapkan hati.

Lantas, anda kehilangan keberkatan hidup, rahmat dari Allah. Semakin lama, dosa ini menjauhkan anda daripada Allah. Lebih malang lagi bila anda mula merasakan dosa anda tidak akan diampunkan dan anda memilih untuk meneruskan perbuatan buruk anda. Sedangkan Allah Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang dan anda pula memilih untuk menuruti kehendak syaitan.

Tanamkan niat untuk meninggalkan aktiviti menonton pornografi. BERHENTI MESTI BERHENTI. Anda perlu yakin kepada Allah Yang Maha Pengampun. Sebanyak mana pun dosa anda, Allah sentiasa memberi ruang taubat selagi anda masih bernyawa. Mintalah dengan bersungguh-sungguh dan berjanjilah untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

Banyakkan membaca Al-Quran dan berzikir bagi mengisi jiwa anda semula. Isi malam anda dengan qiamulail dan siang anda dengan puasa sunat. Gantikan hiburan anda dengan yang bersifat keagamaan.

Jauhkan diri anda juga dari bahan-bahan atau sumber yang mendekatkan anda kepada pornografi.

Selain itu, mula aktifkan diri anda dengan aktiviti yang berfaedah. Lakukan senaman untuk kesihatan tubuh dan minda. Jadikan diri anda bermanfaat dengan menawarkan diri menjadi sukarelawan.

Dedahkan diri anda dengan maklumat saintifik mengenai bahaya menonton pornografi. Anda akan dapati ia merosakkan diri anda lebih daripada yang anda sangka. Sekiranya masih tidak berjaya, dapatkan khidmat pakar bagi membantu anda.

Yakinlah. Bagi setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

KONGSIKAN TAZKIRAH INI

 

19/03/2017 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

PEMBELAAN BUAT IMAM GHAZALI : 

Oleh: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

SIAPA YANG MENDAKWA ‘IMAM GHAZALI TERMASUK GOLONGAN YANG TERTIPU’ MAKA SEBENARNYA ‘DIA’ YANG TERTIPU

Kebelakangan ini kita mendengar ada penceramah yang lantang menghina Imam Ghazali, sebaiknya dinasihatkan mereka merenungi diri mereka sendiri adakah mereka ini setaraf atau tidak dengan Hujjatul Islam Imam Ghazali sebelum menghina Ulama’ hebat ini

Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah memasukkan Imam Ghazali sebagai sumber rujukan bagi memahami ‘Tasawwuf’ seperti dibawah ini :

http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/himpunan-fatwa/171-keputusan-mesyuarat-fatwa/933-tafsiran-pegangan-dan-aqidah-ahli-sunnah-wal-jamaah

Tafsiran Pegangan dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Tarikh Keputusan : 25 Februari 2016

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2016-1437H yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawal 1437H telah bersetuju menerima cadangan takrifan berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Negeri Sembilan iaitu merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam mereka yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para ulama Islam muktabar serta berpegang dalam hal berkaitan dengan:

1. Aqidah dan Tauhid, berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

2. Fiqh dan Syariah, berdasarkan mazhab Shafii di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

3. Tasawwuf, berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Malah antara yang disebarkan adalah perkara-perkara buruk tentang Imam Ghazali berkenaan lemahnya Imam Ghazali dalam bidang hadis, tetapi benarkah dakwaan itu?

Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Ahli Panel Penyelidik Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan) menulis bagi menjawab dakwaan-dakwaan tersebut di bawah ini :

http://sawanih.blogspot.my/2011/12/status-imam-al-ghazali-450-505h-dalam.html?m=1

Status Imam al-Ghazali (450-505H) Dalam Ilmu Hadis

Ada seorang ustaz al-fadhil menghubungi saya bertanyakan tentang kedudukan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Ini barangkali kerana ingin menjawab persoalan mereka yang memandang rendah tentang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Maka saya katakan, ada sebuah kitab yang bagus dalam membincangkan masalah ini, iaitu kitab al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil bin ‘Ali al-Mahdali.

Pertamanya, amat perlu difahami apakah maksud ilmu hadis itu. Ilmu hadis yang bagaimana? Kerana ilmu hadis itu mempunyai banyak pecahan di bawahnya. Walhal, maksud kurang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis itu sebenarnya merujuk kepada ilmu hadis tertentu, terutama berkaitan kajian sanad seperti al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, bukannya keseluruhan cabang dalam ilmu hadis. Ini kerana beliau berkeupayaan dalam ilmu mustalah al-hadith, atau riwayah al-hadith yang objektif utamanya adalah untuk membezakan mana hadith yang sahih dan mana hadith yang daif, sepertimana yang dapat dilihat dalam kitab-kitab usul al-fiqhnya, iaitu al-Mankhul dan al-Mustasfa.

Beliau juga berkeupayaan dalam mengetahui pelbagai hadis di mana telah memuatkan sebanyak lebih 4,800 buah hadis di dalam kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Iaitu suatu bilangan yang jarang ada di dalam sesebuah kitab seperti itu. Justeru, bukan kesemuanya atau sebahagian besarnya hadis daif dan munkar seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.

Bahkan, sebahagian besar hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din adalah masih hadis-hadis sahih dan hasan, serta daif yang dapat diterima dalam bab fada’il amal (kelebihan-kelebihan amalan). Imam al-Ghazali sewajarnya lebih diberi keuzuran kerana konsep kitab Ihya’ `Ulum al-Din yang disusunnya itu ialah fada’il acmal, bukannya ahkam atau akidah. Berbanding setengah ulama yang menyusun kitab dalam bab ahkam atau akidah, tetapi memuatkannya dengan hadis-hadis daif dan munkar.

Demikian antara jawapan saya menurut apa yang terlintas di dalam kepala pada masa itu.

Hadis-Hadis Ihya’ `Ulum Al-Din

Pandangan yang mendakwa kelemahan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis bukanlah suatu yang baru. Zahirnya, mereka hanya mengikut pendapat yang mengatakannya demikian, terutama disebabkan hadis-hadis kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Antaranya:

Kata al-Hafiz Ibn al-Jawzi (w. 597H): “Beliau memenuhi kitabnya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya” (Talbis Iblis, hlm. 190).

Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) menyatakan: “Adapun apa yang dianggap aib pada al-Ihya’ disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis” (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/249).

Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Di dalamnya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214).

Sebanyak mana bilangannya? Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali dalam al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith, bilangan hadis-hadis dalam Ihya’ `Ulum al-Din ialah 4,848 buah hadis. Ini berpandukan kepada kitab Is‘af al-Mulihhin bi-Tartib Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din susunan Syeikhuna al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa‘id Mamduh. Bagaimanapun, kitab tersebut hanya menyusun semula hadis-hadis yang ditakhrij oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (w. 806H) dalam al-Mughni `an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar, sedangkan masih ada sebilangan kecil hadis yang tidak ditakhrijkan olehnya.

Jika Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) mengira sebanyak 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/287- 389). Maka bakinya jika begitu, ialah sebanyak 3,905 hadis yang masih mempunyai sanad antara sahih, hasan dan daif. Jumlah ini masih dianggap jumlah yang besar. Malah sebahagian daripada bilangan 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya oleh Taj al-Din al-Subki itu sebenarnya masih mempunyai sanad, dan sebahagiannya pula ada yang diperselisihkan darjatnya antara sahih, hasan, daif atau mawdu‘. Ini dapat dilihat dalam takhrij al-Hafiz al-‘Iraqi dan takhrij al-Hafiz Murtadha al-Zabidi yang lebih luas dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. (Lihat: al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali)

Boleh dikatakan, tidak ada kitab tasawuf yang mengandungi jumlah hadis sebanyak itu. Maka dakwaan bahawa Imam al-Ghazali hanya menceduk hadis-hadis kitabnya daripada kitab-kitab fiqh dan tasawuf barangkali dapat dipertikaikan. Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa beliau juga telah memetik hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din daripada kitab-kitab hadis itu sendiri (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 74 & 118).

Bagaimanapun, sewajarnya setiap pembaca kitab Ihya’ `Ulum al-Din berhati-hati dalam memetik hadis-hadisnya dan menelitinya menerusi takhrij al-Hafiz al-`Iraqi yang biasanya dicetak bersama-sama dengan kitab Ihya’. Meskipun adakalanya, hukum beliau berbeza dengan hukum al-Hafiz Murtadha al-Zabidi. Sekurang-kurangnya hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fada’il acmal.

Imam al-Ghazali Mahir Ilmu Hadis Riwayah Dan Dirayah

Bukankah Imam al-Ghazali cukup terkenal sebagai seorang faqih (ahli fiqh)? Sudah tentu beliau mahir berkaitan fiqh al-hadith, atau ilmu dirayah al-hadith. Beliau tentunya memiliki ilmu yang cukup berkaitan hadis-hadis ahkam. Oleh sebab itu, beliau mampu menghasilkan kitab-kitab fiqh yang menjadi rujukan muktabar dan diiktiraf oleh para ulama, khususnya dalam mazhab al-Syafi‘i.

[*Berhubung ilmu hadis riwayah dan dirayah, saya mengikut pembahagian kebanyakan ulama, namun dengan takrifan al-Muhaddith Sayyid ‘Abdullah al-Ghumari dalam Tawjih al-‘Inayah, yang turut disepakati Prof. Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi. Iaitu ilmu riwayah al-hadith berkaitan para perawi dan riwayat mereka, manakala ilmu dirayah al-hadith hanya berkaitan matan hadis. Berlainan dengan Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali yang mengikut pembahagian Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dalam al-Manhal al-Latif]

Justeru dengan ini, kita dapat lihat Imam al-Ghazali mengetahui tentang dua cabang utama ilmu hadis, iaitu ilmu riwayah al-hadith dan ilmu dirayah al-hadith. Adapun kata-kata Imam al-Ghazali dalam Qanun al-Ta’wil (hlm. 30): “Dan barang bekalanku dalam ilmu hadis adalah sedikit”. Saya berpendapat ianya adalah dalam nada tawaduk dan merendah diri, apatah lagi kerana beliau berani mengisytiharkan dirinya begitu. Dalam erti kata lain, beliau menganggap dirinya bukanlah seorang imam dalam ilmu hadis sebagaimana imam-imam hadis yang tersohor di zamannya ataupun di zaman sebelumnya. Namun, ini tidak bermakna beliau langsung tidak mengetahui ilmu hadis.

Antara imam-imam hadis di zamannya atau di zaman sebelumnya, iaitu sekitar kurun kelima hijrah ialah al-Hakim (w. 405H), Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (w. 412H), Tammam al-Dimasyqi (w. 414H), al-Lalika’i (w. 418H), Hamzah al-Sahmi (w. 427H), Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H), al-Mustaghfiri (w. 432H), Abu Zar al-Harawi (w. 434H), al-Khallal (w. 439H), Abu ‘Amru al-Dani (w. 444H), al-Qudha‘i (w. 454H), al-Bayhaqi (w. 458H), Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463H), al-Khatib al-Baghdadi (w. 463H), Abu al-Qasim Ibn Mandah (w. 470H), al-Baji (w. 474H), al-Sam‘ani (w. 489H), al-Ruyani (w. 501H), al-Daylami (w. 509H) dan lain-lain.

Maka, dakwaan bahawa Imam al-Ghazali tidak mahir hadis perlu disemak semula. Kerana hakikatnya, ia bukan secara umum begitu. Beliau hanya tidak mendalami ilmu riwayah al-hadith dari segi kajian sanad dan praktikalnya secara lebih mendalam, dari sudut al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, serta dari segi periwayatan lautan kitab-kitab hadis secara sama’/talaqqi. Barangkali inilah maksud kenapa beliau menelaah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim di akhir hayatnya, iaitu kerana ingin mendalami rijal al-hadith dalam kedua-dua kitab sahih yang agung tersebut, dan sebagai usaha permulaan bagi mendengar dan menelaah lautan kitab-kitab hadis yang amat banyak bilangannya. Sebagaimana sebahagian ulama merekodkannya di dalam kitab-kitab sanad mereka.

Jelasnya, meskipun Imam al-Ghazali bukanlah seorang imam atau tokoh besar dalam ilmu hadis, beliau dianggap masih berkeupayaan dalam ilmu hadis, riwayah dan dirayahnya.

Imam al-Ghazali Mendengar Hadis di Akhir Usia

Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali, Imam al-Ghazali telah mempelajari hadis secara wijadah (penemuan) dan juga ijazah, namun beliau tidak mempelajarinya secara sama‘ (talaqqi) kecuali di akhir hayatnya (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 81-83). Sebab itu, beliau berusaha untuk mengatasi kelemahannya itu, dan ini yang membawa beliau untuk mendengar Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim melalui al-Hafiz Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi.

Al-Hafiz Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali telah mendengar Sahih al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn ‘Abdullah al-Hafsi (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/200). Dan antara syeikh-syeikhnya yang lain dalam ilmu hadis ialah al-Hakim Abu al-Fath Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad al-Syuja‘i al-Zawzani (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/220).

Kata muridnya, al-Hafiz ‘Abd al-Ghafir al-Farisi (w. 529H): “Di akhir hayatnya, beliau telah memberi tumpuan terhadap hadis Nabi al-Mustafa SAW, dan duduk bersama para ahlinya, serta menelaah al-Sahihain, al-Bukhari dan Muslim, yang mana kedua-duanya merupakan hujjah Islam. Seandainya beliau hidup lama, nescaya beliau mampu mengatasi semua orang dalam disiplin ilmu (hadis) tersebut dengan waktu yang cukup singkat yang beliau luangkan untuk memperolehinya. Tidak diragukan lagi bahwa beliau telah mendengar hadis-hadis di waktu-waktu sebelumnya, dan beliau hanya menyibukkan diri dengan mendengarnya (secara sama‘) di akhir hayat. Dan beliau tidak berkesempatan meriwayatkannya. Namun, hal itu tidak memudaratkan terhadap apa yang beliau tinggalkan dari kitab-kitab yang telah ditulis dalam bab usul, furu’ dan seluruh bahagian yang lain, yang akan kekal disebut-sebut namanya. Dan telah tertetap di sisi mereka yang menelaah dan mengambil faedah daripadanya bahwa tidak ada lagi orang terkemudian yang sebanding dengannya sesudah beliau”. (Lihat: Tabyin Kazib al-Muftari oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir, hlm. 296; Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/210).

Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi lagi: “Aku pernah dengar bahawa beliau telah mendengar Sunan Abi Dawud al-Sijistani dari al-Hakim Abu al-Fath al-Hakimi al-Tusi, namun saya tidak menemukan bukti sama‘nya” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212). Sebab itu, ada dikatakan bahawa Imam al-Ghazali pernah menyebut bahawa menelaah kitab Sunan Abi Dawud itu sudah memadai bagi seorang mujtahid.

Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi: “Beliau juga telah mendengar berbagai-bagai hadis secara formal bersama-sama para fuqaha’. Antara yang saya temukan bukti sama‘nya ialah apa yang beliau dengar daripada kitab Mawlid al-Nabi SAW karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr ibn Abi ‘Asim al-Syaybani, riwayat al-Imam Syeikh Abu Bakr Muhammad bin al-Harith al-Asbahani, dari Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Ja‘far ibn Hayyan, dari pengarangnya. Imam al-Ghazali telah mendengarnya dari Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari – Khawar Tabaran – rahimahullah, bersama-sama dua orang anaknya, Syeikh ‘Abd al-Jabbar dan Syeikh ‘Abd al-Hamid serta sekumpulan para fuqaha’… Kitab tersebut di dalam dua juzuk yang didengar oleh beliau” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212-214).

Kata al-Hafiz Ibnu ‘Asakir al-Dimasyqi (w. 571H): “Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin ‘Abd Allah al-Hafsi, dan menjadi guru di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad. Kemudian beliau keluar ke Syam mengunjungi Baitul Maqdis. Beliau memasuki Dimasyq pada tahun 489H dan tinggal di sana dalam satu tempoh. Disampaikan kepadaku bahawa beliau telah menulis di sana sebahagian karya-karyanya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad, lalu ke Khurasan. Beliau telah mengajar dalam satu tempoh di Tus. Setelah itu, beliau meninggalkan pengajaran dan perdebatan, dan menyibukkan diri dengan ibadah”. Al-Hafiz Abu Sa‘d ibn al-Sam‘ani menyebut bahawa beliau pernah mengundang Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi al-Hafiz al-Tusi dan memuliakan beliau, serta mendengar darinya Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim” (Lihat: Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/214-215).

Menurut Ibn Kathir : “Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau telah cenderung kepada mendengar hadith dan menghafal al-Sahihain (al-Bukhari dan Muslim)…”, “Kemudian (di akhir hayat) beliau telah pulang ke negerinya Tus dan tinggal di sana, membina sebuah ribat, membuat rumah yang baik, menanam tanam-tanaman di sebuah kebun yang indah, memberi tumpuan membaca al-Quran dan menghafal hadith-hadith sahih” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214-215).

Jelaslah bahawa beliau bukannya langsung tidak mengetahui ilmu riwayah al-hadith, apatah lagi ilmu dirayah al-hadith yang mana beliau adalah jaguhnya dalam mazhab al-Syafi‘i.

p/s Semoga Allah menjauhkan kita dari menghina Ulama’ yang Haq

19/03/2017 Posted by | Bicara Ulama, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: