Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

MENGAPA KITA BELAJAR SIFAT 20

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Ada sebahagian orang yang menentang pengajian sifat 20 sedangkan ianya telah dipelajari sejak berpuluh tahun bahkan beratus tahun oleh umat islam. Mereka yang menentang pengajian tersebut dengan pelbagai alasan yang sangat lemah sekali. Mereka mengikuti hawa nafsu, dan bertaklid buta dengan orang yang juga tidak mempelajari sifat 20 malah mereka inilah pula yang menyesatkan sifat 20.
Sebahagian dari alasan mereka yang menentang sifat 20 adalah sebagai berikut :

1 – Pengajian sifat 20 melahirkan orang-orang yang berakidah lemah, sebab diambil dari falsafah Yunani.

Kita jawab: Hal ini merupakan fitnah yang besar. Kegoncangan dan kelemahan aqidah generasi zaman sekarang kerana mereka tidak belajar aqidah yang sebenarnya termasuk di dalamnya sifat 20. Kalau kita lihat realiti yang ada bahkan ilmu sifat 20 inilah yang telah menyelamatkan umat islam di Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, negeri Fatani ( Selatan Thailand ) dari usaha pemurtadan penjajah-penjajah asing.

Negara-negara ini telah dijajah oleh penjajah-penjajah kafir yang ingin meluaskan kekuasaan dan agama mereka, tetapi umat islam di Nusantara tetap berpegang dengan aqidah mereka. Barang diingat pengajian tauhid yang tiga belum berkembang di Nusantara ketika itu. Jadi tauhid apakah yang menjaga umat dari bahaya murtad ? Sudah tentulah jawapannya ialah tauhid sifat dua puluh.

2 – Aqidah sifat 20 merupakan sesuatu yang sangat berat dikaji dan menyusahkan orang islam, sehingga ada tuduhan yg menyebut makcik-makcik ( Ibu-Ibu ) di Langkawi ( pulau di Malaysia ) yang tidak melaksanakan solat tujuh puluh tahun lamanya kerana tidak faham sifat 20, sebab gurunya kata kalau tidak hafal sifat dua puluh solat tidak sah.

Kita jawab : Sifat dua puluh merupakan sistem pengenalan terhadap Allah s.w.t yang sangat mudah sekali, kerana menghafalnya lebih mudah dari menghafal al-Qur`an. Para sahabat Rasul telah menghafal al-Qur`an, jadi di dalam al-Qur`an sendiri telah disebut sifat-sifat Allah, dengan makna lain mereka telah menghafal sifat-sifat Allah melalui al-Qur`an. Jadi jika umat islam disuruh untuk menghafal sifat 20 dengan dalil Naqli ( al-Qur`an dan Hadis ) dan akal itu lebih mudah dari pada menghafal seluruh al-Qur`an.

Sifat-sifat Allah terlalu banyak sekali, baik disebutkan didalam al-Qur`an mahupun didalam hadis Rasul. Jadi jika umat islam disuruh untuk menghafal seluruh sifat -sifat yang ada, ini merupakan sesuatu yang memberatkan bagi umat islam. Sedangkan pengajian sifat dua puluh memudahkan umat islam dengan menyebutkan sifat-sifat yang paling berpengaruh dari seluruh sifat-sifat yang lainnya.

Jika sifat 20 ini tidak ada, maka sifat-sifat yang lain pun tidak akan ada pula, sebab itulah sifat-sifat Allah yang lain itu tergantung kepada sifat 20, dengan makna jika sifat wujud Allah tidak ada maka sifat pengampun, pemurah, penyayang dan lain-lainnya juga tidak ada. Jika sifat qidam Allah tidak ada maka sifat menciptakan, memberi, kuat dan lain-lainnya juga tidak akan ada.

Sebab itulah sifat dua puluh ini sangat perlu sekali di pelajari, karena terdiri dari inti sari aqidah yang terdapat di al-Qur`an dan al-Hadis.

Adapun cerita kononnya ada seorang perempuan tidak solat selama tujuh puluh tahun disebabkan tidak hafal sifat 20, maka ini cerita yang diragui dan diada-adakan

Allah berfirman : إن جاء كم فاسق بنبإ فتبينوا
Ertinya : Jika datang kepada kamu orang fasik yang membawa khbar hendaklah teliti dulu.

Maksudnya cerita yang dibawa oleh orang tersebut perlu diteliti benar tidaknya, dari sebanyak perjalanan saya dan sepengetahuan saya tidak pernah ada orang tinggalkan solat disebabkan mempelajari sifat 20, alasan di atas adalah cerita yg berlebihan. Jika mahu bercerita ceritalah perkara yang masuk akal dan yang benar, sebab lidah itu akan di pertanyakan Allah di hari akhirat.

Saya akan sebutkan sebahagian pusat pendidian yang menjadikan sistem sifat 20 sebagai dasar didalam tauhid mereka.

1 – al-Azhar as-Syarif Mesir : Dari peringkat Menengah, atas dan perkuliyahan sifat dua puluh di pelajari di lembaga pendidikan yang tertua ini, mengeluarkan setiap tahunnya ribuan pelajar dan mahasiswa tetapi mereka tetap solat walaupun mengaji sifat 20.

2 – Madrasah Solatiyah : Merupakan pusat pengajian yang pertama sekali di bina di Makkah menjadikan dasar pengajiannya sifat 20, mereka semua solat dengan bagus walapun mengaji sifat 20.

3 – Madrasah Mustafawiyah Purba Baru Mandailing Sumatra Utara : merupakan pusat pendidikan yang yang sanad terkenal di Indonesia, mengeluarkan setiap tahunnya lebih dari tujuh ratusan pelajar, mereka semua solat walaupun mempelajari sifat 20 sama ada yang sudah hafal atau belum.

Pesantren Lirboyo Kediri, Pesantren Tebu Ireng, pondok Lubuk Tapah ( Malaysia ), pondok Bakriyyah Pasir Putih dan banyak lagi pondok pesantren yang mempelajari sifat dua puluh di Nusantara.

BAHKAN orang-orang yang mempelajari sistem tauhid tiga ( versi Wahabi ) kebanyakkannya mudah terjerumus kepada aqidah mujassimah yang menyerupai Allah dengan makhluknya. Sebab itulah Wahabi bersusah payah untuk menghilangkan tauhid sifat dua puluh. Selama masih ada di bumi ini orang yang mempelajari sifat dua puluh, selama itulah Wahabi akan mengakui diri mereka salafi iaitu golongan mujassimah Musyabbihah.

3 – Sifat dua puluh tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat-sahabat yang mulia, tetapi ada setelah abad-abad yang mulia.

Kita jawab: Tidak adanya sifat dua puluh pada zaman Rasul dan sahabat bukanlah sebagai dalil untuk menolak pengajian sifat dua puluh, sebab isi dan kandungan sifat dua puluh sudah ada pada zaman Nabi dan sahabat, misalnya sifat wujud Allah, Qidam, Baqa, Mukhalafatu Lil Hawadis, Qiyamuhu Binnafsih, Wahdaniyyah, Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayah, kalam adalah sifat – sifat yang di kenal oleh Nabi dan para sahabat-sahabatnya.

Barangsiapa yang mengingkari bahawa Nabi mengetahui sifat-sifat ini bererti aqidahnya telah jauh dari aqidah islam, bagaimana boleh Nabi mengingkari Wujudnya Allah, ilmunya Allah, Baqa`nya Allah, Kalamnya Allah, sifat-sifat ini telah termuat didalam al-Qur`an dan Hadis Nabi.

Seperti Rukun solat, Nabi tidak pernah katakan berapa rukun solat, berapa sunnah-sunnah solat, berapa syarat-syarat solat, tetapi melalui al-Qur`an dan Hadis para ulama telah menyimpulkan dan menetapkan rukun-rukun shalat dari mulai bediri sampai salam, apakah perbuatan ulama-ulama tersebut suatu yang bid`ah, hal ini tidak bid`ah kerana isi dan kandungannya dari al-Qur`an dan as-Sunnah.

Saya akan perlihatkan kepada pembaca seluruh sifat-sifat yang telah ulama sebutkan sebagai sifat yang paling terpenting sekali Allah miliki. Jika Allah tidak bersifat seperti itu maka Allah tidak pantas menjadi tuhan, tetapi kerana dalil Naqli dan akal telah menyebutkan Allah bersifat dengan sifat dua puluh maka sah-lah Allah sebagai tuhan yang di sembah.

Berikut sifat-sifat yang sangat penting sekali :

1 – Wujud

Sifat Wujud ini mesti ada pada tuhan yang di sembah jika tidak ada maka dia tidak berhak dianggap tuhan, sementara dalil yang di petik dari al-Qur`an adalah :

أفرءيتم ما تمنون ( 58 ) وأنتم تخلقونه أم نحن الخالقون ( 59 ) نحن قدرنا بينكم الموت وما نحن بمسبوقين ( 60 ).الواقعة 58-60

Ertinya : Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan ( ke dalam rahim )? ( 58 ) Adakah kamu yang menciptakannya atau kami yang menciptakannya? ( 59 ) Kamilah yang menentukan kematian diantara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan ( 60 ).

2 – Qidam

Allah s.w.t bersifatkan qadim maksudnya wujud Allah s.w.t tidak didahului oleh tiada, jika sesuatu didahului oleh tiada maka sesuatu itu tidak boleh disebut tuhan.

Dalilnya :هو الأول وهو الآخر

Artinya : Dia-lah yang awal dan yang akhir ( al-Hadid 3 ).

Sifat ini banyak dikritik dari kalangan wahabi, mereka menganggap bahwa qadim bukan sifat Allah kerana, terdapat di dalam al-Qur`an.

Tidak semestinya jika al-Qur`an tidak menggunakannya untuk sifat Allah bererti tidak boleh gunakan, selama maksud sifat itu terdapat didalam al-Qur`an dan telah menjadi istilah yang di terima oleh ulama maka sifat itu boleh digunakan, sebab Imam Abu Hanifah, Imam Tohawi dan lain-lainnya juga menggunakan kalimat ini.

Sifat qidam juga telah di riwayatkan di Imam Ibnu Majah, Imam al-Hakim didalam Mustadrak, juga terdapat didalam sunan Ab Daud.

3 – Baqa’: Wajib bagi Allah bersifat baqa` yang bererti tetap tidak diakhiri dengan kematian, Allah berfirman

ويبقى وجه ربك ذو الجلال والإكرام

Ertinya : Dan kekallah Zat Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliyaan. ( ar-Rahman 27 ).

4 – مخالفة للحوادث

Sifat ini merupakan sifat yang paling penting di fahami oleh umat islam, bahawa segala sifat, perbuatan, dan prilaku yang baharu tidak boleh disamakan kepada Zat, sifat, perbuatan Allah, barang siapa yang mengingkari sifat ini maka dia telah keluar dari agama islam, jadi Allah tidak sama dengan makhluk-makhluknya.

Firman Allah : ليس كمثله شيئ وهو السميع البصير

Ertinya : Tiada sesuatupun yang sebanding (serupa ) dengan ( Zat , sifat, perbuatan ),Nya dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat (as-Syura 11 ).

Dan selanjutnya seluruh sifat-sifat yng telah ulama-ulama as-Sya`irah kemukakan didalam sifat dua puluh memiliki dalil-dalil yang jelas didalam al-Qur`an.

4 – Sifat Allah tidak hanya dua puluh kenapa mesti di batasi

Kita jawab : Asya`irah ketika membincang sifat dua puluh TIDAK PERNAH membataskan sifat-sifat Allah, bahkan mereka mengakui sifat-sifat Allah banyak, setiap sifat-sifat sempurna dan mulia itu adalah sifat Allah. Orang yang mengatakan Asya`irah hanya mengajar sifat dua puluh saja membuktikan dia tidak pernah membaca buku-buku aqidah aliran ahlussunnah Asya`irah, cuba lihat sebahagian kitab-kitab Asya`irah :

a – Matan as-Sanusiyyah : Kitab ini dikarang oleh Imam Abu Abdillah Muhammad bin Muhammad bin Yusuf as-Sanusi yang meninggal dunia tahun 895 hijriyah, kitab ini merupakan kitab yang paling penting di kalangan Asya`irah, telah mendapat perhatian khusus dari kalangan ulama dan pelajar agama, sehingga menjadi rujukkan aqidah bagi Asya`irah sedunia.

Di dalamnya menyebutkan :

فمما يجب لمولانا جل وعز عشرون صفة

Ertinya : Sebahagian sifat yang wajib bagi Allah yang Mulia dan Tinggi adalah dua puluh sifat ( Matan Sanusia beserta Hasyiahnya Imam Bajuri :16 , terbitan Musthafa Halabi , 1374 – 1955 )

b – ad-Duru al-Farid Fi Aqa`idi Ahli Tauhid karangan Imam Ahmad bin Sayyid Abdurrahman an-Nahrawi

فمما يجب لله تعالى عشرون صفة واجبة

Ertinya : Dan sebahagian dari sifat yang wajib bagi Allah adalah dua puluh sifat yang wajib (ad-Duru al-Farid Fi Aqa`idi Ahli Tauhid karangan Imam Ahmad bin Sayyid Abdurrahman an-Nahrawi beserta syarahnya Fathu al-Majid karangan Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Banteni : 5 , terbitan Musthafa al-Halabi cetakan terakhir 1373 -1954 ).

Perlu diketahui bahwa lafaz ( من ) pada kalimat ini bermaksud ( لتبعيض ) ertinya menunjukkan sebahagian saja, dengan begitu sifat Allah banyak sekali, segala sifat yang patut, layak, dan mulia adalah sifat Allah, tetapi diantara sifat-sifat itu ada dua puluh sifat yang sangat perlu sekali diketahui secara terperinci.

Oleh: Syeikh Muhammad Husni Ginting

Advertisements

22 February 2017 - Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: