Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Tatacara Penguatkuasaan Khalwat.

Tulisan Dr Siti Zubaidah Bt Ismail (Pensyarah Kanan APIUM)
Berita Harian 21 Feb 2017

Pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang khalwat sering mencetuskan kontroversi disebabkan beberapa perkara. Pertama, penggunaan perkataan ‘serbuan’ oleh sesetengah pihak yang dikatakan dilakukan ke atas premis dan orang yang disyaki.

Hakikatnya dalam undang-undang tiada perkataan serbuan, yang ada hanya dua bentuk tindakan yang diambil oleh penguatkuasa agama iaitu pemeriksaan dan penyiasatan.
Kedua, salah faham mengenai istilah tempat persendirian dan tempat awam. Walaupun khalwat berlaku di tempat sunyi dan tertutup, pemeriksaan ke atas suspek dilakukan di luar kawasan persendirian iaitu di luar pintu rumah, bilik hotel, kereta dan sebagainya. Suspek lelaki diminta keluar dan memberi kerjasama kepada penguat kuasa agama dengan menunjukkan kad pengenalan seperti diminta dan bukti perkahwinan jika mereka mendakwa mereka sudah berkahwin.

Bukti perkahwinan tidak semestinya surat nikah, malah foto perkahwinan, foto anak, foto keluarga dan sebagainya memadai. Suspek juga boleh menghubungi ahli keluarga menerusi telefon untuk membantu mengesahkan bahawa mereka adalah mahram.

Jadi kes akan selesai di luar pintu. Penguat kuasa agama tidak perlu memasuki premis persendirian. Jika suspek yang diadukan tidak mahu memberi kerjasama yang mudah itu, sudah pasti ia menimbulkan syak bahawa ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Ini juga yang menjadi titik perbalahan dalam kejadian yang berlaku, ditularkan di media sosial dan media massa. Apabila diperhatikan satu persatu, lebih banyak sentimen anti-jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) yang tidak berlandaskan maklumat sebenar mengenai fakta kejadian yang dihebohkan itu.

Kejadian JAWI disaman oleh sepasang suami isteri, Mohd Ridhuan Giman dan Siti Sarah Maulad Abdullah bukan kali pertama berlaku. Pada 2014, JAWI juga disaman dalam kes Mohd Fakry Sidek lawan Mohamad Kusini Johari dan lain-lain [2015] 9 MLJ
437. Hakim bagaimanapun, sudah menolak saman itu dan menyatakan bahawa plaintif sendiri yang mula bertindak agresif menyerang dan menggunakan kekerasan serta enggan memberi kerjasama kepada penguat kuasa agama yang menjalankan tugas.

Nafi wujud salah laku
Dalam kes terbaru ini, JAWI sudah membuat kenyataan akhbar, sekali gus menafikan wujud sebarang salah laku dan mendakwa semua tindakan adalah berasaskan kepada tatacara yang ditetapkan. Sebelum ini pelbagai tuduhan dilemparkan kepada penguat kuasa agama dalam mengendalikan kes khalwat. Tuduhan mengintip, menceroboh, memalukan wanita dan sebagainya pernah diajukan kepada penguat kuasa agama.

Dalam konteks kesalahan khalwat, Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan, iaitu mana-mana (a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau (b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahram, di mana-mana tempat yang terselindung atau dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dari sini, kita dapat fahami kehendak undang-undang yang membentuk kesalahan khalwat iaitu

(1), berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Dalam sesetengah keadaan, khalwat juga boleh membabitkan lebih dua orang;

(2), di tempat sunyi pada masa yang tidak munasabah untuk melakukan perkara yang bermoral dan,

(3) boleh menimbulkan syak bahawa perbuatan tidak bermoral sedang atau akan berlaku.
Justeru, bagaimana seharusnya tindakan penguat kuasa agama dalam menjalankan tugas amar makruf nahi mungkar apabila menerima aduan khalwat yang dikemukakan oleh orang awam? Semua aduan perlu diambil tindakan segera selepas disaring dan dipastikan kesahihannya.

Garis panduan
Penguat kuasa agama akan ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan, menentukan kewujudan atau tidak kesalahan yang diadukan, mengumpul bukti dan sebagainya. Untuk itu, Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayahwilayah Persekutuan) 1997, Arahan Tetap Pengarah JAWI 2007 dan juga keputusan mesyuarat adalah garis panduan yang perlu diikuti dalam menjalankan siasatan dan pemeriksaan terhadap kes jenayah syariah.

Sungguhpun khalwat berlaku di tempat tertutup, tatacara berikut diikuti secara berperingkat:
Pemeriksaan awal di luar bilik. Bilik diketuk dan apabila penghuni atau suspek keluar, dia akan dimaklumkan mengenai aduan khalwat terhadapnya. Kerjasama yang diharapkan ialah dengan menunjukkan pengenalan diri dan jika menafikan berkhalwat, maka dia perlu menunjukkan bukti nikah atau bukti hubungan kekeluargaan yang ada. Kes akan selesai di situ.

Jika gagal pada peringkat pemeriksaan awal, penguat kuasa agama akan meminta izin untuk melakukan pemeriksaan dalam bilik. Jika ada pasangan wanita, dia akan diminta berpakaian lengkap dan hanya penguat kuasa agama wanita yang mengendalikannya.
Jurufoto dan lain-lain akan tunggu di luar dan hanya akan masuk jika diperlukan untuk merakamkan bukti yang wajar bagi kes khalwat. Pengendalian kes perlu secara berhemah dan mengambil kira aib dan aurat pihak terbabit. Pasangan itu akan dibawa ke bahagian penguatkuasaan untuk siasatan lanjut dan dilepaskan setelah dijamin.

Jika ini tatacara penguatkuasaan jenayah syariah yang perlu diikuti, apakah margin salah laku dan ketidak-akuran tatacara masih boleh berlaku?

Memetik kata-kata Ibn Taimiyyah (m.728h) dalam Rasail min alsijn (Surat-surat Dari Penjara) mengenai prinsip hisbah: ‘menjalankan peranan amar makruf nahi mungkar perlu dengan ilmu, mengetahui apa yang hendak dicegah dan berlemah-lembut dengan apa yang hendak diarah. Hendaknya ini yang menjadi teras amalan.

(Di nukil dari : Mdm Dr Fauziah Mohd Noor.)

Advertisements

21 February 2017 - Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab), Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: