Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

PANDUAN HUKUM: HUKUM MENGUTIP DERMA SEMASA KHUTBAH JUMAAT

khutbah-jumat

Foto Hiasan

Mengutip dan memberi derma semasa khatib sedang berkhutbah hukumnya adalah MAKRUH kerana ia termasuk dalam perkara yang lagha dan boleh mengganggu tumpuan jemaah untuk mendengar khutbah. Hal ini adalah berdasarkan;

عَنْ أبي هريرةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله – صلى الله عليه وسلم -: مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الوُضُوءَ، ثُمَّ أَتَى الجُمعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأنْصَتَ، غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْن الجُمُعَةِ وَزِيادَةُ ثَلاثَةِ أيَّامٍ، وَمَنْ مَسَّ الحَصَا فَقَدْ لَغَا.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu, beliau berkata: Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

“Sesiapa yang berwuduk dan memperelokkan wuduknya, kemudian dia menghadiri solat Jumaat, lalu dia mendengar dan diam (meneliti khutbah), akan diampunkan baginya antara Jumaat itu dan Jumaat yang satu lagi serta tambahan 3 hari. Dan sesiapa yang menyentuh anak batu (bermain-main dengannya), maka sesungguhnya ia telah lagha.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Disebutkan oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal:

وَيُكْرَهُ الْمَشْيُ بَيْنَ الصُّفُوْفِ لِلسُّؤَالِ وَدَوْرَانُ الْإِبْرِيقِ وَالْقِرَبِ لِسَقْيِ الْمَاءِ وَتَفْرِقَةُ الأَوْرَاقِ وَالتَّصَدُّقُ عَلَيْهِمْ لأَنَّهُ يُلْهِي النَّاسَ عَنْ الذِّكْرِ وَاسْتِمَاعِ الْخُطْبَةِ اهـ

“Dan makruh berjalan di antara saf-saf untuk meminta-minta, mengedarkan kendi (termasuk juga tabung derma) dan qirbah (bekas air minuman yang diperbuat daripada kulit kambing) untuk minuman air dan membahagi-bahagikan duit serta memberi sedekah kepada mereka kerana yang demikian boleh melalaikan jemaah daripada berzikir dan mendengar khutbah.”(Futuhat al-Wahhab).

Syeikh Syihabuddin al-Qalyubi pula menyatakan:

…يُكْرَهُ الْمَشْيُ بَيْنَ الصُّفُوْفِ لِلسُّؤَالِ أَوْ غَيْرِهِ وَالتَّصَدُّقُ عَلَيْهِ اهـ

“…makruh berjalan di antara saf-saf untuk meminta-minta atau selainnya serta memberikan sedekah padanya.”(Hasyiah al-Qalyubi).

Fatwa Mufti Negeri Sembilan

Soalan:

Apakah hukumnya memungut derma ketika imam sedang membaca khutbah?

Jawapan:

Hukumnya makruh, qias kepada hukum berkata-kata pada masa imam membaca khutbah (Himpunan fatwa Dato’ Haji Abu Hasan bin Haji Sail, Mufti ke-2 Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan).

Hukum Berkata-kata Semasa Khutbah Jumaat.

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

وَالْجَدِيْدُ أَنَّهُ لَا يَحْرُمُ عَلَيْهِمُ الْكَلَامُ وَيُسَنُّ الإِنْصَاتُ

“Menurut qaul jadid (fatwa Imam Syafi‘i setelah berada di Mesir), bahawa tidak haram ke atas mereka berkata-kata. Dan disunatkan diam (dan mendengar khutbah dengan teliti)…”

Syeikh al-Ramli berkata:

نَعَمْ يُكْرَهُ الْكَلَامُ لِخَبَرِ مُسْلِمٍ إذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ فَقَدْ لَغَوْتَ
“Bahkan, makruh berkata-kata ketika itu (khutbah) berdasarkan hadis riwayat Muslim;
“Apabila engkau berkata kepada temanmu padahal imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat dengan perkataan, ‘diam’, maka telah sia-sialah engkau (meninggalkan adab)…”(Nihayah Muhtaj).

SOLUSI :

1) Kutipan derma dan tabung digerakkan sebelum khutbah.

2) kutipan derma dan tabung digerakkan sejurus selepas solat Jumaat.

3) Sediakan banyak tabung di laluan dan pintu-pintu utama masjid. Individu yang ingin menderma tidak perlu tunggu tabung datang kepadanya, bahkan dia yang akan pergi ke tabung untuk menderma.
اليسع

Wallahu a‘lam.

(Sumber: http://tolibilmi.blogspot.my/2017/02/hukum-mengutip-derma-semasa-khutbah.html)

04/02/2017 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

HUKUM BERAMAL DENGAN HADIS DHOIF

16387951_1239785492769081_2430077515484528449_n

Para ulama’ mengatakan bahawa Hadis Dhoif hanya boleh digunakan dalam fada’ilul a’mal (keutamaan beramal), iaitu setiap ketentuan yang tidak berhubungan dengan akidah, tafsir atau hukum, iaitu hadis-hadis yang menjelaskan tentang Targhib Wa Tarhib (janji-janji dan ancaman Allah Ta’aala) sebagaimana diterangkan di dalam kitab “Al-Azkar” karya Imam Nawawi, cetakan pertama “Maktabah Tijariyah al-Kubra” tahun 1356 H / 1938 M halaman 7 sebagai berikut:

Ertinya: “Para ulama hadis dan fiqh serta ulama’ lainnya berkata: Diperbolehkan bahkan disunnahkan mengamalkan hadis dhoif dalam keutamaan beramal, baik berupa anjuran mahupun larangan selama hadis itu bukan hadis maudhu’ ”.

Bahkan ada sebahagian ulama’ yang mengatakan bahawa telah terjadi ijma’ di kalangan ulama’ tentang kebolehan mengamalkan Hadiss Dhoif jika berkaitan dengan Fadha’ilul A’mal ini. Sedangkan dalam masalah hukum, tafsir ayat Al-Qur’an, serta akidah, maka apa yang termaktub dalam hadis tersebut tidak dapat dijadikan pedoman.

Sebagaimana yang disentuh oleh Sayyid ‘Alawi al-Maliki dalam kitabnya Majmu’ Fatawi wa Rasa’il:

“Para ulama ahli Hadis dan lainnya sepakat bahwa Hadits Dhoif dapat dijadikan sebagai pedoman dalam masalah Fadha’il al-A’mal. Di antara ulama’ yang mengatakannya adalah Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Mubarak, dan Sufyan, al-Anbari serta ulama lainnya. (Bahkan) Ada yang menyatakan, bahawa mereka pernah berkata: Apabila kami meriwayatkan (Hadis) menyangkut perkara halal ataupun yang haram, maka kami akan berhati-hati. Tapi apabila kami meriwayatkan Hadis tentang Fadha’il al-A’mal, maka kami melonggarkannya”. (Majmu’ Fatawi wa Rasa’il, 251)

ABU SUNNAH
AHLI SUNNAH WALJAMAAH NEGERI SEMBILAN

(FB Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan shared Sunnah Rasulullah’s photo).

04/02/2017 Posted by | Fad hail Amal, Hadis | Leave a comment

MEMAHAMI DUNIA DAN TUJUAN AKHIRAT

Syekh Abdul Qadir Al-Jailani mengatakan, “Engkau celaka jika tidak merasa malu kepada Allah SWT, jika engkau telah menjadikan dinar sebagai tuhanmu dan menjadikan dirham sebagai tujuanmu. Sedangkan engkau melupakan-Nya sama sekali.
Sungguh takdirmu telah dekat!Karena itu, jadikanlah kedai-kedai yang kau miliki dan semua harta untuk keluargamu adalah semata-mata karena perintah syariat, dan hatimu tetap bertawakal kepada Allah.

Jadi, carilah rezekimu dan rezeki untuk keluargamu hanya dari Allah, bukan dari harta dan kedai-kedaimu. Maka, Allah SWT akan menjadikan untukmu karunia, kedekatan, dan kelembutan-Nya dalam kalbumu. Dia akan mencukupi keperluan keluargamu dan keperluanmu melalui dirimu sendiri.

Dia akan mencukupi keluargamu dengan apa yang Dia kehendaki dan sebagaimana yang Dia kehendaki. Lalu akan dikatakan kepadamu, “Ini adalah untukmu dan untuk keluargamu.” Namun, bagaimana mungkin engkau dapat menerima perkataan seperti itu jika seumur hidupmu bersikap musyrik? Engkau tidak pernah merasa kenyang dengan dunia dan terus mengumpulkan harta. Allah SWT menutup pintu hatimu dan segala sesuatu tak akan dapat memasukinya. Dia menurunkan peringatan-Nya dalam kalbumu.

Maka, bertaubatlah dari amal-amal burukmu dengan bersungguh-sungguh. Hendaklah engkau tangisi rosaknya perjalanan hidupmu dan akhlak burukmu.

Hendaklah kau tangisi semua perkara yang telah terjadi menimpamu. Bantulah orang-orang yang fakir dan miskin dengan hartamu, dan janganlah bakhil! Sebab, tak lama lagi engkau akan berpisah dengan harta bendamu. Mukmin yang menyakini adanya penggantian di dunia dan akhirat tentu tak akan bersikap bakhil!

Nabi Isa a.s. pernah bertanya kepada Iblis, “Siapakah makhluk yang paling kau sukai?”

Lalu, Iblis pun menjawab, “Mukmin yang bakhil.”

“Siapa yang paling kau benci?” tanya Nabi Isa.

“Orang fasik yang dermawan,” jawab Iblis.

“Mengapa begitu?”

“Sebab aku berharap agar Mukmin yang bakhil itu terjerumus ke dalam kemaksiatan karena sebab kebakhilannya. Sebaliknya, aku takut seandainya orang fasik yang dermawan itu terhapus dosa-dosanya karena kedermawanannya.”

Maka, sibukkanlah dirimu dengan urusan dunia hanya untuk dunia. Sesungguhnya usaha dan pekerjaan disyariatkan agar manusia dapat menolong dirinya untuk taat kepada Allah SWT. Sedangkan, apabila engkau bekerja dan pekerjaanmu malah mendorongmu untuk berlaku maksiat, bererti engkau berada dalam kemaksiatan bukan dalam ketaatan.

Tidak akan lama lagi kematian akan datang. Dengan kematian itu, berbahagialah orang yang Mukmin, dan bingunglah orang kafir dan munafik.”

— Syekh Abdul Qadir Al-Jailani dalam kitab Fath Ar-Rabbani wa Al-Faidh Ar-Rahmani

(Sumber: FB Tasawwuf Underground)

04/02/2017 Posted by | Tasauf | Leave a comment

   

%d bloggers like this: