Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Apakah itu Bunian?

bunian-village

Perkampungan Orang Bunian? (Gambar Hiasan sahaja)

Soalan: Boleh terangkan bunian ini makhluk apa?

Jawapan:

Bunian adalah merujuk kepada makhluk halus atau orang halus yang tinggal di hutan, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Masyarakat Melayu menganggap bunian adalah antara makhluk ghaib yang menjadi penyebab kepada histeria (penyakit urat saraf yang terlihat pada letusan-letusan emosi yang tidak dapat dikawal) atau dikenali dalam kebudayaan Melayu sebagai ‘dirasuk hantu’.

Menurut pandangan pakar perubatan Islam terkemuka, almarhum Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, orang bunian adalah wujud dan tergolong dalam kelompok makhluk halus. Makhluk halus seperti ini suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia dan mewujudkan perkampungan mereka sendiri disamping hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Secara khususnya, kami berpandangan bahawa ianya adalah daripada kelompok jin yang dikenali dengan nama ‘Amir (عَامِرٌ) yang tinggal bersama-sama dengan manusia.[1] Ini kerana ianya bersamaan dengan kebiasaan kelompok bunian yang tinggal berdekatan dengan penempatan manusia dan mempunyai penempatan tersendiri.

Ini disokong oleh sebuah hadith Nabi SAW:

الجِنُّ على ثَلَاثَةِ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ في الهَوَاءِ وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلَابٌ وَصِنْفٌ يَحِلُّوْنَ وَيَظْعَنُوْنَ
Maksudnya: “Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang ke sana ke mari (di udara), satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, manakala golongan yang ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah randah.”
(Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, no. 573; al-Hakim dalam al-Mustadrak no. 3702)

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

02/02/2017 Posted by | Fatwa, Q & A (Soal Jawab) | 1 Comment

Benarkah tidak perlu Qadha Sembahyang yang di tinggal…..?

KENYATAAN MEDIA ASWAJA

1.Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) memandang serius penerbitan artikel oleh Dr. Rozaimi Ramle dan laman web ISMA berhubung isu qadha solat fardu yang boleh menimbulkan kecelaruan dan salah faham umat Islam di Malaysia.

2.ASWAJA berpendapat isu berkenaan telah diputuskan secara sepakat dalam kalangan jumhur ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Mereka menetapkan bahawa solat fardu yang sengaja mahupun tidak sengaja ditinggalkan ‘wajib’ di qadha.

3. Maka sewajarnya hal ini tidak perlu dipolemikkan kembali oleh mana-mana individu atau pertubuhan termasuk dari barisan ulama ISMA sekalipun. Ini kerana ia telah lama diselesaikan oleh ulama Muhaqqin ASWJ lebih 1000 tahun yang lalu termasuk Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani.

4. Manakala perbuatan memilih untuk berpegang dengan pendapat ulama yang paling ringan pula merupakan perbuatan yang haram berdasarkan ijmak ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

5. Tindakan ahli akademik tertentu yang suka memilih pendapat terpencil (dalam kes tidak perlu mengqada solat yang ditinggalkan dengan sengaja) merupakan tindakan yang bertentangan dengan disiplin ilmu dan pengaplikasian hukum syarak di negara ini.

6. Tindakan itu bukan sahaja melanggar ijmak dlm kes tatabu’ rukhas tetapi dilihat cuba meleraikan ikatan taklif umat ini sehingga ramai dari kalangan umat Islam memandang ringan kewajipan berkenaan.

7. Malah dalam isu mengqada solat ini, Majlis Fatwa Kebangsaan dan fatwa negeri-negeri memutuskan solat wajib diqadha samada ditinggalkan dengan sengaja ataupun tidak. Selain itu ia juga boleh dirujuk kepada Qaul muktamad mazhab al-Syafie yang dijadikan sandaran fatwa dan diigunakan secara konsisten dalam Enakmen Pentadbiran Islam Negeri di bawah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam.

8. Justeru mana-mana pihak tidak perlu lagi memperdebatkan atau cuba menyanggah keputusan yang telah dibuat oleh pihak autoriti agama dengan alasan ianya khilaf pendapat @ hujah yang lemah. Ini kerana tindakan itu bukan sahaja boleh mengelirukan umat Islam, malah dilihat mencabar keputusan fatwa yang sedia ada dan terpakai di negara ini.

9. Tindakan sesetengah pensyarah Universiti mengambil riwayat Imam Hassan al Basri, Al-Humaidi dan al-Zahiri sebagai sandaran hujjah dalam kes ini merupakan tindakan tidak matang dan tidak bertanggungjawab. Mereka mungkin boleh berbangga dengan kajian akademik tetapi pengaplikasian hukum syarak di pihak autoriti agama merupakan sesuatu yang berbeza dengan dapatan mereka. Mereka sewajarnya menghormati keputusan yang telah diambil pemerintah dalam hal ini. Bukannya dengan cara membelakangi dan menimbulkan fitnah dah keresahan dalam kalangan masyarakat dengan pendapat yang syadz.

10.Kesimpulannya, ASWAJA mendesak pihak autoriti agama agar meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh agamawan tertentu yang boleh menimbulkan kegelisahan dan mengganggu ketenteraman awam. Bahkan kita semua perlu proaktif dalam menangani aliran pemikiran yang cuba menyanggah ketetapan ijmak ulama, fatwa negeri dan Akta/Enakmen Pentadbiran Islam Negeri yang sedang berkuatkuasa di negeri.

Presiden ASWAJA
Ustaz Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari
1 Febuari 2017

02/02/2017 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab), Uncategorized | Leave a comment

   

%d bloggers like this: