Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

PELIHARALAH ADAB KETIKA MENZIARAHI PESAKIT!

OLEH : MUFTI BRUNEI 

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ، ﻭﺍﳊﻤﺪ ﷲ ، ﻭﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻰ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ ، ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﻣﻦ ﻭﺍﻻﻩ

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Islam sangat mengambil berat kepentingan mengeratkan hubungan tali persaudaraan atau silaturrahim sesama muslim. Salah satu cara yang dianjurkan oleh Islam  untuk mengeratkan hubungan persaudaraan atau silaturrahim  sesama muslim  itu ialah dengan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit adalah salah satu hak seorang muslim ke atas muslim yang lain.

Dalam sebuah hadits  yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi  wasallam bersabda:  “Hak seorang muslim ke atas muslim (yang lain) ada lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan  mendoakan orang bersin.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang anjuran dan kelebihan menziarahi orang sakit, antaranya sabda Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di  dalam syurga!”.(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat  mu’akkadah iaitu  sunat yang sangat dituntut.

Menziarahi orang  sakit tidak hanya  terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan  juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang  yang pernah menyakiti kita.

Hukum menziarahi kafir  dzimmi yang sakit pula pada dasarnya adalah harus, namun disunatkan menziarahinya jika dia dari  kalangan ahli terdekat atau jiran, atau kerana berharap supaya dia  memeluk Islam.

Adab Ketika Ziarah

Dalam menziarahi orang sakit, adakalanya kita lupa akan adabadab yang perlu diikut sehingga niat yang baik hanya akan  membebankan orang sakit dan bukan seperti yang diharapkan.

Antara adab-adab menziarahi orang sakit yang perlu dijaga  ialah:

1) Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu  ikhlas kerana Allah Ta‘ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.

2) Melakukan ziarah pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama dan kerap  melakukan ziarah  kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit, malah juga kepada orang sakit berhampiran sekiranya berada di rumah sakit.

Makruh hukumnya melakukan ziarah jika mendatangkan kesusahan atau gangguan kepada orang sakit, menghalang pergerakannya atau membuatkannya berasa tidak selesa. Dianjurkan untuk melakukan ziarah secara berselang agar tidak mendatangkan sebarang kesulitan atau gangguan kepada orang sakit.

Namun sebaliknya, digalakkan untuk kerap melakukan ziarah bagi yang mempunyai hubungan rapat dengan orang sakit itu serta yang disenangi kehadirannya seperti keluarga atau sahabat karib selama mana tidak ada tegahan atau tidak menimbulkan gangguan.

Begitu  juga digalakkan untuk kerap melakukan ziarah jika dengan tidak melawat tiap-tiap hari akan mendatangkan kesusahan kepada  orang sakit itu apabila tidak menjenguknya.

Ulama ada mengatakan bahawa  melakukan ziarah pada hari Jumaat itu lebih afdhal daripada hari-hari lain.

3) Berada di sisi orang sakit, sebaiknya di bahagian kepalanya, bagi membolehkan orang sakit itu berinteraksi dengan mudah dan selesa.

4) Bertanya akan keadaan orang sakit sambil meletakkan tangan di atas dahi atau tangannya sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Kesempurnaan cara mengunjungi orang yang sakit, hendaklah seseorang itu  meletakkan tangannya di atas dahi atau tangan orang sakit  itu, lalu bertanya kepadanya tentang keadaannya.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Disunatkan juga menanyakan kepada ahli keluarga pesakit akan keadaan orang sakit  terutama sekali  bilamana orang tersebut dalam keadaan tenat  tidak boleh bercakap-cakap.  Namun perlu diingat, janganlah terlalu banyak bertanya dan janganlah bertanya sehingga menjengkelkan.

5) Ucapkanlah kata-kata yang elok dan baik yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang sakit, bukannya kata-kata yang tidak disukainya dan yang boleh merisaukannya, melemahkan semangat serta menambahkan kesakitannya. Jika ia kelihatan takut atau gelisah, adalah elok untuk bercakap mengenai kelebihan yang ada padanya, jasa atau kebajikan yang pernah dibuatnya agar perasaan takut itu hilang. Disunatkan untuk memberinya nasihat agar banyak bersabar dan tabah menghadapi penderitaan yang di alaminya, sentiasa bersangka baik terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Orang yang berziarah hendaklah memberi harapan sembuh  dengan mengatakan kepadanya bahawa apa yang ditanggungnya ini merupakan ujian dari Allah  Subhanahu wa Ta‘ala  dan insya Allah akan membersihkan dirinya daripada dosa serta mendapat ganjaran pahala yang besar. Antara ucapan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam  yang memberi keyakinan dan harapan sekali gus menjadi doa ialah:

Maksudnya: “(Penyakit ini) tidak apa-apa, malah membersihkan (daripada dosa), insya Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

6) Disunatkan untuk  mendoakan orang sakit supaya cepat  sembuh, sama ada ketika melakukan ziarah ataupun tidak dan  sama ada besar harapan untuk sembuh ataupun sebaliknya.

Terdapat banyak hadits  shahih yang menyebutkan mengenai doa-doa yang boleh dibaca  bagi memohon kesembuhan dan keafiatan orang sakit, antara  doa yang afdhal ialah membaca doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi  wasallam  sebanyak tujuh kali kepada pesakit, nescaya Allah Subhanahu wa Ta`ala menyembuhkannya:

Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung, semoga Dia menyembuhkanmu.”

Di samping pengambilan ubat dan penggunaan peralatan perubatan,  pengubatan secara  ruqyah  (jampi) yang merupakan  sunnah Baginda  Shallallahu ‘alaihi wasallam juga boleh dilakukan apabila berziarah.

Di antara  ruqyah atau dipanggil juga menawari di kalangan masyarakat kita itu adalah dengan meletakkan tangan kanan ke atas badan orang sakit atau di tempat yang sakit dan membaca “Bismillah”, kemudian meniup kepadanya  seraya membaca  mu‘awwidzat  (surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas) atau doa  perlindungan.

Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha  ada meriwayatkan:

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah meniup badan Baginda sambil membaca al- mu‘awwidzat di kala Baginda mengalami sakit yang membawa kepada kewafatannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Selain itu juga pesakit dianjurkan membaca doa pelindung ini dengan meletakkan tangan pada tempat yang sakit sebanyak tujuh kali yang bersumber daripada hadits Muslim:

 

Maksudnya:  “Aku berlindung dengan  kemuliaan Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan yang aku dapat dan aku waspadai.”

7) Dianjurkan untuk  meminta orang sakit itu mendoakan kesejahteraan dan kebaikan kita kerana doa orang sakit adalah mustajab berdasarkan sabda Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Apabila engkau datang mengunjungi orang yang sakit, maka mintalah agar dia mendoakanmu, kerana doanya (makbul) seperti doa para malaikat.”(Hadits riwayat Ibnu Majah)

8) Berpesan kepada keluarga orang sakit atau orang yang menjaganya untuk berbuat baik, berlaku lembut dan sabar dengan karenah orang sakit dan beban ditanggung kerananya.

9) Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi orang sakit, lebih-lebih lagi bagi  yang bukan mahram. Harus bagi seorang perempuan menziarahi seorang lelaki yang sakit selama mana ia menutup aurat, tidak menimbulkan perkaraperkara keji, syak, fitnah  dan bukan dinamakan khalwat (berdua-duaan). Sayyidatina ‘Aisyah  Radhiallahu ‘anha  ada meriwayatkan bahawa beliau pernah menziarahi Abu Bakar dan Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhuma yang mengalami demam panas, lalu ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: “Wahai ayah, bagaimana yang ayah rasakan dalam diri ayah? Dan wahai Bilal, bagaimana yang engkau rasakan dalam diri engkau?”   (Hadits riwayat al-Bukhari)

10) Jangan bercerita tentang perkara buruk atau aib orang sakit kepada orang lain. Hendaklah disembunyikan sebarang keburukan atau keaiban yang dilihat.

11) Bagi orang sakit yang tiada  harapan untuk sembuh atau sedang nazak, dituntut ke atas ahli terdekat untuk membacakan talqin atau mengajarkannya ucapan ﺍﷲ ﺇﻻ ﺇﻟﻪ ﻻ agar kalimah tauhid tersebut menjadi ucapan terakhir sebelum dia meninggal dunia. Tidak perlu mengulang-ulang talqin jika orang sakit itu mengucapkan kalimat  tauhid tersebut melainkan jika selepas mengucapkannya dia masih lagi bercakap atau menyebut perkara lain selain kalimat tauhid.

Menghadapkannya ke arah kiblat iaitu dengan membaringkannya pada rusuk sebelah kanannya dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. Jika sukar, baringkan dia pada rusuk sebelah kirinya  dengan menghadapkan ke arah kiblat. Jika sukar juga, baringkan dia dengan menelentang dan menghadapkan muka serta telapak kakinya ke arah kiblat.

Angkat sedikit kepalanya supaya mukanya menghadap ke arah kiblat.  Sunat  dibacakan di sisi orang sakit itu surah Yasin dengan jahr dan surah ar-Ra‘d dengan israr. Jahr ialah suara nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain dan  Israr ialah suara perlahan yang hanya  dapat didengar oleh dirinya sendiri.

Sekurang-kurang  jahr itu ialah suara yang hanya dapat didengar oleh orang yang bersamanya. Dan sekurang-kurang israr ialah suara yang  hanya dapat didengar  oleh diri sendiri mengikut pendengaran yang biasa tanpa ada halangan untuk mendengar seperti tuli.

Sebagai kesimpulan, tuntutan menziarahi orang sakit memang mempunyai peranan dalam menanai sifat berkasih sayang , ambil peduli dan tidak camah mata di kalangan masyarakat. Di samping menghibur dan meringankan penderitaan orang sakit, dengan saling ziarah-menziarahi, ikatan persaudaraan dan sillaturrahim akan menjadi erat. Selain itu, peranan ruqyah mengikut cara Islam juga mempunyai hikmah tersendiri.

Insya Allah dengan mengikut dan menjaga adab-adab yang ditetapkan, amalan menziarahi orang sakit ini akan menjadi  lebih berkat. Amalan  ini sangat dituntut kerana ianya boleh mengingatkan kita kepada kematian dan mengajak kepada keinsafan.

Advertisements

20 December 2016 - Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Tazkirah

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: