Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

​KEYAKINAN ALLAH ADA TANPA TEMPAT ADALAH AQIDAH ULAMA NUSANTARA

Adalah suatu perkara yang mengecewakan lagi menyedihkan apabila ada pihak yang sepatutnya mengetahui, meyakini, mengajarkan dan mempertahankan akidah para ulama Nusantara bersikap menafikan dan mengelirukan umat Islam bahkan lebih teruk lagi berani memperlekeh-lekehkannya. Sikap mereka menafikan keyakinan Allah ada tanpa bertempat sebagai keyakinan yang ditelusuri oleh ulama Nusantara seperti menafikan wujudnya matahari pada waktu siang yang terang benderang. 

Berikut adalah sebahagian nukilan kata-kata tokoh ulama daripada sekian ramainya ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah Nusantara yang beraqidah bahawa Allah ada tanpa tempat dan arah:
1. Al-Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitabnya  _Tuhfatur-Raghibin_ berkata [1]:

_”(Adapun kaum mujassimah) maka setengah daripada meraka itu itiqad bahawa Allah ta^ala itu jauhar yang maujud dan (setengah ) mereka itu bahawa Allah ta^ala itu jisim tetapi tiada seperti jisim yang lain (dan setengah) mereka itu iktikadnya bahawa Allah ta^ala seperti rupa manusia dan (setengah) mereka itu iktikadnya bahawa ada bagi Allah ta^ala daging dan darah dan anggota muka dan tangan dan kaki dan jari (dan) setengah mereka itu iktikadnya bahawa ada Allah ta^ala bagi-Nya rupa (tetapi) tiada kamu mengetahui betapa rupa-Nya (dan) setengah mereka itu iktikadnya bahawa Allah ta^ala datang dan turun dengan Zat-Nya serta bergerak dan berpindah daripada sesuatu tempat dari sesuatu tempat (dan setengah) meraka itu iktikadnya bahawa Allah ta^ala duduk di atas Arasy (dan setengah) mereka itu iktikadnya bahawa Allah ta^ala masuk pada Arasy dan Arasy itulah tempat kediaman-Nya (syahdan adalah) perpegangan setengah kaum mujassimah pada iktikadnya yang tersebut itu zahir (ayat) dan hadith mutasyabihat dan dinamai pula kaum mujassimah itu musyabbihat (kata Imam Fakhrud-Din al-Razi) yang mujassimah itu musyabbihat dan musyabbihat itu kafir (kerana) diithbatkannya bagi hak Allah ta^ala berjisim dan akan jisim itulah yang disembahnya (dan barangsiapa) menyembah jisim maka bahawasanya jadi kafir (kerana) ia menyambah yang lain dari Allah ta^ala. (Kata Imam Ahmad radiyallahu ^anhu) barangsiapa mentasybihkan Allah ta^ala dengan makhluk (maka) senya kafir, (dan kata sohibu al-Jawahirin-Nafisah) barangsiapa mengiktikadkan Allah ta^ala itu jisim (maka) senya jadilah ia kafir”_. Intaha
2. Al-Syaikh Nurud-Din ibn ^Ali al-Raniri dalam kitabnya _Durarul-Fara’id bi-Syarhil-^Aqa’id_ berkata [2]:
_”…yakni kita iktikadkan bahawasanya Allah ta^ala tiada serupa pada zat-Nya dan sifat-Nya dan af^al-Nya dengan segala makhluk; bahawa haq [Allah] ta^ala itu tiada seperti sesuatu jua pun… ((ولا جسم)) ertinya tiada bersusun… ((ولا متحيز)) ertinya tiada menerima pihak tempat ((ولا مجمع مع الشيء)) ertinya tiada berhimpun serta sesuatu… ((ولا متمكن في مكان)) ertinya tiada tetap pada suatu tempat jua pun ((ولا يجري عليه زمان)) ertinya tiada berlalu atas-Nya masa…”_. Intaha.
3. Al-Syaikh Muhammad Nawawi ibn ^Umar al-Bantani (w. 1316 H) berkata dalam kitabnya _al-Thimarul-Yani^ah fi al-Riyadil-Badi^ah_ ketika membicarakan sifat persamaan dengan makhluk yang mustahil bagi Allah ta^ala [3]:
أو يكون تعالى في جهة للجرم بأن يكون عن يمينه أو شماله أو فوقه أو تحته أو أمامه أو خلفه أو يكون له تعالى جهة بأن يكون له يمين أو شمال أو فوق أو تحت أو خلف أو أمام أو يتقيد بمكان بأن يحل فيه بأن يكون فوق العرش”
Maksudnya: _“…atau [Allah] ta^ala [itu] [mustahil] di suatu arah bagi jirim dengan keadaan Dia berada di kanan jirim, atau kiri-Nya, atau atas-Nya, atau bawah-Nya, atau depan-Nya, atau belakang-Nya, atau [Allah] ta^ala [itu] [mustahil] bagi-Nya ada suatu arah dengan keadaan ada bagi-Nya kanan, atau kiri, atau atas, atau bawah, atau belakang, atau depan, atau [Allah taala itu mustahil] bergantung dengan suatu tempat dengan keadaan Dia bertempat padanya dengan keadaan Dia berada di atas Arasy”._ Intaha.
Al-Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani berkata dalam kitabnya _Nuruz-Zolam Syarh Manzumah ^Aqidatil-^Awam_ [4]:

وكل ما خطر ببالك من صفات الحوادث لا تصدق أن في الله شيئًا من ذلك وليس له مكان أصلاً فليس داخلاً في الدنيا ولا خارجًا عنها
Maksudnya: _“…dan setiap sifat perkara baharu yang melintasi benak anda maka jangan anda mempercayai bahawa pada Allah itu ada sesuatu daripada perkara tersebut, dan tiada bagi-Nya suatu tempat dengan asal. Maka Dia bukan di dalam dunia dan bukan juga di luarnya”._ Intaha.
Al-Syaikh Muhammad Nawawi Bin Umar al Bantani ketika mentafsirkan ayat 54 daripada surat al A’raf (ثَمّ استوى على العرش), beliau berkata [5]:
“والواجب علينا أن نقطع بكونه تعالى منزها عن المكان والجهة….”.
Maksudnya: _”Dan kita wajib meyakini secara pasti bahawa Allah ta^ala maha suci dari tempat dan arah…”_.
4.. Mufti Betawi al-Sayyid ^Uthman ibn Abdillah ibn ^Aqil ibn Yahya al-^Alawi. Beliau banyak mengarang buku-buku berbahasa Melayu yang hingga sekarang menjadi buku di dalam kalangan masyarakat Melayu Betawi yang menjelaskan akidah Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah seperti kitab beliau _Sifat Dua Puluh_. Dalam kitab beliau _al-Zahrul-Basim  fi Atwar Abil-Qasim_, beliau mengatakan [6]: 
_“…Tuhan yang maha suci pada jihah (arah)…”._
5. Al-Syaikh Muhammad Solih ibn ^Umar al-Samarani yang dikenal dengan sebutan Kiyai Soleh Darat Semarang (w. 1321 H/ sekitar tahun 1901). Beliau berkata dalam terjemahan kitab al-Hikam  dalam bahasa Jawa [7]:
_ “…lan ora arah lan ora enggon lan ora mongso lan ora worno”._
Maksudnya: _”…(Allah maha suci) dari arah,  tempat, masa dan warna”._
6. al-Syaikh Dawud ibn ^Abdillah al-Fatoni dalam kitabnya _al-Jawahirus-Saniyyah_ [8]:
_“(Dan ketiga Mukhalafatuhu ta^ala lil-jawadith) dan maknanya bahawasanya Allah ta^ala tiada bersama Ia dengan segala yang baharu tiada pada zat-Nya dan tiada pada sifat-Nya dan tiada pada af^al-Nya maka zat Allah ta^ala tiada menyerupai akan Dia segala zat yang baharu dan sifat-Nya tiada menyerupai akan Dia segala sifat yang baharu dan af^al-Nya tiada menyerupa akan Dia segala af^al yang baharu dan sekalian barang yang terlintas dengan hati kita akan sesuatu maka bahawasanya Allah ta^ala itu bersalahan baginya kerana sekaliannya itu baharu maka Allah itu bersalahan dengan segala yang baharu seperti firman Allah ta^ala:_
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِير
_“Tiada seperti seumpama-Nya Allah ta^ala suatu dan ia jua Tuhan yang amat mendengar dan yang lagi amat melihat” dan tiada Allah itu pada tempat dan tiada ia di atas dan tiada ia di bawah dan tiada Allah di kanan dan tiada di kiri dan tiada pada hadapan dan tiada di belakang kerana adalah sekaliannya itu melazimkan jirim dan Allah taala tiada berjirim dan tiada ‘arad kerana adalah segala yang baharu ini terhingga atas dua perkara iaitu jirim dan ^arad maka tempat dan berubah itu sifat jirim dan sifat ^arad demikian lagi besar dan kecil itu sifat jirim yang banyak dan sedikit kerana jikalau banyak jirim dinamakan besar dan yang sedikit dinamakan kecil dan berubah itu sifat ^arad seperti gerak dan diam maka keduanya itu daripada kelakuan yang baharu dan Allah ta^ala itu qadim tiada boleh disifat dengan segala sifat yang baharu dan barangsiapa mehinggakan zat Allah ta^ala pada tempat maka tiada syak ia kufurnya seperti katanya Allah ta^ala itu terhingga diatas langit atau pada bumi.”_ Intaha.
Beliau berkata lagi:
_“Barangsiapa meninggalkan empat perkara ini sempurna imannya dan iaitu كم  dan كيف dan متي dan أين (maka adapun) كم maka ditanyakan dengan dia menuntut kenyatan bilangan maka jika dikata orang bagimu كم الله yakni berapa Allah maka jawab olehmu iaitu واحد yakni esa pada zat-Nya dan sifat-Nya dan pada af^al-Nya (dan كيف ) itu ditanya dengan dia daripada kaifiyyat maka jika dikata orang bagimu كيف الله yakni betapa Allah maka jawab olehmu tiada mengetahui seorang akan hakikat zat Allah melainkan Ia jua (dan متى) itu tiada dengan ia daripada dengan zaman maka jika dikata orang bagimu متى الله  ertinya manakala didapat Allah maka jawab olehmu Allah itu awalnya tiada permulaan dan akhir tiada kesudahan (dan أين) ditanya dengan dia daripada مكان  maka jika dikata orang bagimu أين الله maka jawab olehmu Allah itu tiada bertempat dan tiada lalu atasnya masa kerana زمان dan مكان  itu baharu keduanya bermula Allah ta’ala itu qodim dan yang qodim tiada berdiri dengan yang baharu barangsiapa menyerupakan Allah yang bersifat dengan Rahman dengan suatu maka tida syak pada kufurnya”_. Intaha.
Al-Syaikh Dawud ibn Abdillah al-Fatoni berkata dalam kitabnya _al-Durrur al-Thamin_  berkata [9]:
“Maka wajib atas mukallaf menafikan daripada Allah Tuhan sekalian alam daripada serupai akan Dia dengan segala yang baharu seperti jirim dan `arad dan yang melazimkan bagi jirim dan `arad (dan) lazim bagi jirim itu empat perkara iaitu baharu dan bersusun dan mengambil lapang (ruang atau tempat) dan qabul bagi `arad  seperti maqadir (ukuran dan  sukatan) dan jihah (arah) dan zaman dan hampir dan jauh dan kecil dan besar dan bersentuh dan bergerak dan diam…”.
7. Al-Syaikh Zainal-^Abidin al-Fatoni yang masyhur dengan panggilan Tuan Minal Fatoni berkata dalam kitabnya _Irsyadul-^Ibad ila Sabilir-Rasyad_ berkata [10]:
_“…Dan bahawasanya Allah ta^ala Maha Suci daripada zaman dan makan yakni tiada lalu atas-Nya oleh masa dan tiada ditentukan dengan suatu tempat seperti barang yang diiktikadkan oleh orang yang jahil dan yang sesat bahawasa Allah taala di dalam fu’ad kita Maha Suci Allah ta^ala daripada demikian itu dan Maha Suci daripada menyerupai bagi akwan tiada meliputi dengan Dia oleh segala pihak dan tiada mendatangkan Dia segala yang baharu”._ Intaha.
Beliau berkata lagi [11]:
_”Faedah; Barangsiapa meninggal akan 4 kalimah ini nescaya sempurna imannya iaitu. (أين) erti dimana (كيف) erti betapa dan (متى) erti bila dan (كم) erti berapa maka jika berkata bagi engkau oleh yang berkata di mana Allah? taala maka jawabnya tiada Ia pada tempat dan tiada lalu atasNya oleh masa dan jika ia berkata bagi engkau betapa Allah taala? maka kata olehmu baginya ((لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ) erti : tiada seumpama-Nya sesuatu. Dan jika berkata ia bagi engkau bila Allah? Maka kata olehmu baginya  awal tiada permualaan dan akhir dengan tiada kesudahan. Dan jika berkata ia bagi engkau berapa Allah? Maka kata olehmu baginya Esa “قل هو الله  أحد”._ Intaha.
8. Al-Syaikh Muhammad ibn Isma^il Dawud al-Fatoni berkata dalam kitabnya _Matla^ul -Badrain wa Majmaul-Bahrain_ [12]:
“Dan setengah daripada yang mustahil pada hak Allah ta^ala dua puluh sifat dan iaitu segala lawan dua puluh sifat; pertama dan iaitu (^adam) ertinya tiada (dan huduth) ertinya baharu….. (dan mumathalah dengan hawadith) ertinya menyerupai dengan yang baharu dengan bahawa ada Ia berjirim ertinya mengambil zat-Nya yang maha tinggi  akan kadar daripada lapang atau ada Ia ^arad yang berdiri dengan jirim atau ada Ia pihak bagi jirim atau bagi-Nya pihak atau berhad Ia dengan tempat…”.
9. Al-Syaikh Husayn Nasir ibn Toyyib al-Mas^udi al-Banjari berkata dalam kitabnya _Hidayatul-Mutafakkirin_ [13]:
_“Ertinya zat Allah taala itu bukan Ia jirim dan jisim dan jawhar fard dan tiada Ia berpihak dan tiada Ia pada satu pihak bagi jirim dan tiada Ia bertempat dan tiada Ia bermasa dan tiada Ia bersifat dengan kecil dan tiada Ia bersifat dengan besar dan tiada Ia bersifat dengan segala sifat yang baharu ini…”._ Intaha.
10. Al-Syaikh Dawud Bukit Abal al-Kelantani berkata dalam kitabnya _Risalah al-^Aqa’id wal-Fawa’id_ [14]:
_“(Fasal) Ini sebagai syarah bagi setengah sifat Uluhiyyah._

_(Bersalahan)_

 _Makna bersalahan bagi segala mumkin itu tidak serupa zat Allah ta^ala dengan segala zat mumkin dan tidak serupa segala sifat Allah ta^ala dengan segala sifat mumkin dan tidak serupa segala perbuatan Allah ta^ala dengan segala perbuatan mumkin kerana Allah ta^ala itu tidak berupa berbagai, bertubuh bernyawa, tidak berhad berkadar, tidak berkepala bermuka, tidak bermulut tidak berhidung, tidak berkaki tidak bertangan, tidak bertapak berjari, tidak berhati berotot, dan tidak apa-apa juzu’ dan apa-apa anggota. Maka sekaliannya itu sifat mumkin mustahil bagi Allah ta^ala. Dan tiada ada bagi Allah ta^ala itu kanan dan kiri dan hadapan dan belakang dan atas dan bawah dan luar dan dalam dan apa-apa pihak. Maka sekaliannya itu sifat mumkin mustahil bagi Allah ta^ala. Dan tidak bersifat zat Allah ta^ala dengan putih, hitam, hijau, kuning, merah, cerah, cahaya, besar, kecil, tinggi, rendah, gerak, diam, berpindah, tetap, pergi, datang, naik, turun,berdiri, duduk, jaga, tidur, makan, minum, senang, susah, mudah, payah, akal, nafsu, suka, duka, niat, fikir tilik. Dan apa-apa sifat yang baharu dan apa-apa warna yang baru dan apa-apa cahaya yang baharu dan apa-apa kelakuan yang baharu maka sekaliannya itu sifat mumkin mustahil bagi Allah ta^ala. Dan tidak mengandungi akan Allah ta^ala itu oleh tahun dan bulan dan siang dan malam dan jam dan masa. Maka sekaliannya itu sifat mumkin mustahil bagi Allah ta^ala. Dan tidak mengambil lapang zat Allah ta^ala dan bertempat di mana-mana tempat dan di mana-mana pihak tidak di kanan di kiri tidak di hadapan tidak dibelakang tidak di bawah tidak jauh tidak dekat”._
11. Al-Syaikh Wan Isma^il ibn ^Abdil-Qadir ibn Mustafa al-Fatoni yang masyhur dengan panggilan Pak Da Eil berkata dalam kitabnya _Syarh Bakuratil-Amani li-Isyarah ^Awam Ahlil-Fatoni_ [15]:
_“(Keempat: Mukhalafatuhu ta^ala lil-hawadith) ertinya menyalahi-Nya taala akan yang baharu-baharu. Dan dikehendaki dengan dia akan (bersalahan Allah taala) sedia kala lagi berkekalan (akan yang baharu-baharu ertinya ketiadaan menyamai-Nya) dan ketiadaan menyerupai-Nya taala (akan sesuatu daripada makhluk) ini (pada zat-Nya) kerana bahawasa zat makhluk ini jirim yang bertempat dan zat-Nya taala itu bukannya jirim (tiada pula) menyamaikan dia (pada sifat-sifat-Nya) kerana bahawasa sifat-sifat makhluk ini ^arad yang bertangkup pada jirim dan menu[m]pan[g]kan dia pada bertempat dan sifat-sifat-Nya taala itu bukannya ^arad…”._ Intaha.
12. Al-Syaikh ^Abdul-^Aziz ibn Isma^il al-Fatoni berkata dalam khutbah kitabnya _al-Misbahul-Munir fi Ma^rifatiLlahil-Qadir_ [16]:
_“Dan aku memohon kepada Allah pula bahawa menjadikan risalah ini perisai yang dapat mempertahankan dan dapat menolakkan akan segala ajaran-ajaran yang sesat yang menyesatkan orang awam, yang dibawa akan dia oleh orang-orang yang tidak sangkakan dengan jahilnya seperti ajaran-ajaran yang mengatakan tidak wajib belajar sifat-sifat dua puluh yang termasyhur itu dan ajaran-ajaran melihat Tuhan di dalam dunia, dan ajaran-ajaran yang memegang dengan zahir ayat mutashabihah dan mengatakan Tuhan bertempat dan sebagainya daripada ajaran-ajaran sesat”._ Intaha.
Pada halaman yang lain, al-Syaikh ^Abdul-^Aziz al-Fatoni  berkata [17]:
_“Dan makna bersalahan itu tiga perkara; bersalahan pada zat dengan makna zat Allah taala bukannya jirim yang bertempat walaupun di mana tempat dan makhluk ini semuanya jirim yang bertempat. Kalau begitu tidak boleh dikatakan Allah taala itu bertempat di mana-mana tempat, maka jika didapati di dalam Quran dan hadith barang yang memberi waham menyerupai dan bertempat maka dinamakan ayat itu ayat mutashabihah dan hadith mutashabihah, maka wajib ditakwil akan dia supaya lepas daripada shubhah itu sama asa takwil itu dengan jalan ijmal seperti takwil ulama salaf atau takwil akan dia dengan jalan tafsil seperti takwil ulama khalaf”._ Intaha.
13. Al-Syaikh Kiyai Hj. Muhammad Hasyim ^Asy’ari, Jombang Jawa Timur pendiri organisasi Islam terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama’  (w. 1366 H/ 1947). Beliau menyatakan dalam Muqaddimah risalahnya yang berjudul _al-Tanbihat al-Wajibat_ sebagai berikut:
“وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له المنزه عن الجسمية والجهة والزمان والمكان…”.
Maknanya: _“Dan aku bersaksi bahwa tidak ada tuhan yang wajib disembah melainkan Allah sahaja,tidak ada sekutu bagi-Nya, dia maha suci dari berbentuk (berjisim), arah, masa dan tempat…”._
14. Al-Syaikh Kiyai Hj. Muhammad Hasan al-Genggongi al-Kraksani (Probolinggo, w. 1955) menyatakan dalam risalahnya _^Aqidatut-Tauhid_ [19]:
وجود ربّي الله أوّل الصفات

بلا زمان ومكـان وجهات

فإنه قد كـــان قبل الأزمـــنة

وسائر الجهات ثمّ الأمكنة
_“Adanya Tuhanku Allah adalah sifat-Nya yang pertama, (ada) tanpa masa, tempat dan (enam) arah. Karena Allah ada sebelum semua masa, arah dan semua tempat”._
15. Al-Syaikh Kiyai Hj. Raden Asnawi (Kampung Bandan Kudus, w. 1959). Beliau menyatakan dalam risalahnya dalam bahasa Jawa _Jawab Soalipun Mu^taqad Seket_ sebagai berikut:
_“…Jadi amat jelas sekali, bahwa Allah bukanlah (berupa) sifat benda (yakni sesuatu yang mengikutu benda atau ‘aradl),  karenanya Dia tidak membutuhkan tempat (yakni Dia ada tanpa tempat), sehingga dengan demikian tetap bagi-Nya sifat Qiyamuhu bi nafsihi”._ (Terjemahan dari bahasa Jawa).
16. Al-Syaikh Kiyai Hj. Sirajud-Din ^Abbas (w. 1400 H/ 1980) dalam buku “Kumpulan Soal-Jawab Keagamaan”, berkata [21]:
_“…Karena Tuhan itu tidak bertempat di akhirat dan juga tidak di langit, maha suci Tuhan akan mempunyai tempat duduk, serupa manusia”._
Beliau berkata lagi dalam kitabnya _I^tiqad Ahlis-Sunnah wal- Jama^ah_ [22]:
_“ Nampaklah bahawa dalam ayat-ayat suci banyak perkataan istawa yang tidak bererti “duduk bersila”. Maka hairanlah kita kepada ibn Taymiyyah yang memaksa dirinya untuk mengertikan istawa dalam surah Thaha ayat 5 dan lain-lain itu dengan duduk bersila serupa ia bersila sehingga menjatuhkan dirinya ke dalam golongan Musyabbihah iaitu orang yang merupakan Tuhan dengan makhluk-Nya”._
17. Tuan Guru Haji Ya^qub Sobri Dawud Isma^il dalam kitabnya _^Aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah; Tuhan Tak Bersila di Atas Arasy_, halaman 29 – 30 menyebutkan [23]:
_“(Bahagian Kedua)  Ialah sifat yang dibangsakan kepada menyuci akan sifat-sifat yang tak layak di atas Allah subhanahu wa ta^ala. Dan iaitu;  Ianya bukan jisim yang dapat dirupakan, dan bukan jauhar yang dapat disakatkan, dan yang dapat dikira-kirakan. Tiada menyamai akan segala jisim yang baharu. Tiada pada taqdir (ukuran) dan tiada pada menerima bahagi. Dan tiada mengambil tempat akan Dia oleh segala jauhar, bukan ^arad. Dan tiada mengambil tempat akan Dia oleh segala ^arad. Bahkah sungguhnya tiada menyamai Ia akan yang baharu dan tiada menyamai yang baharu akan Dia. Dan tiada menyerupai akan Dia oleh sesuatu. Dan tiada menyerupai Ia akan suatu daripada segala yang baharu. Dan tiada boleh disakatkan oleh ukuran. Dan tiada meliputi akan Dia oleh benua. Dan tiada mengelilingi dengan Dia oleh segala pihak. Yakni tidak berketentuan di dalam pihak kanankah atau kirikah? Dan tiada melingkungi akan Dia oleh bumi dan langit dan yang mempunyai pemerintahan dan kerajaan di atas Arasy, dan tiada menanggung akan Dia oleh Arasy (Tuhan tidak di atas Arasy) Hampir ilmunya itu dengan tiap-tiap maujud dan iaitu terlebih hampir ilmu-Nya dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya daripada urat yang di batang leher. Yang terlebih mengetahui dan melihat akan suatu yang dibuat oleh hamba-Nya. Kerana tidak menyerupai akan hampirnya oleh hampir jisim seperti tidak menyamai akan zat-Nya oleh segala zat yang baharu. Dan tiada bertempat di dalam sesuatu dan sesuatu tidak masuk di dalamnya kerana maha suci Ia daripada meliputi akan Dia oleh tempat seperti maha suci Dia daripada ditentukan oleh zaman (masa) dan makan (tempat). Bahkan ada Ia sedia sebelum daripada bahawa Ia menjadikan zaman (masa) dan makan (tempat) lagi dan sekarang ini pun seumpama dahulunya juga. Yakni tidak berubah-ubah dan bahawasanya Ia berlawanan dengan sifat-Nya itu daripada segala makhluk”._ Intaha.
Di halaman lain, beliau berkata [24]:
_“(Kesimpulan) Apa yang kita faham daripada keterangan-keterangan yang lalu bahawa Allah Subhanahu wataala tidak berjisim dan tidak bermasa ke atasNya dan tidak bertempat di mana-mana tempat dan tidak berjihah (tidak berarah) pada mana-mana jihah dan tidak turun naik dan tidak pergi mari dan tidak di luar alam dan tidak di dalam alam dan tidak juga di mana-mana. Soalnya: Kalau semacam ini boleh jadi orang kata: “Tuhan itu tidak ada”. Jawabnya begini : “ Bahawasanya Allah subhanahu wa ta^ala maha suci daripada apa yang  disebut itu. Maka Ia sebelum daripada ada apa apa lagi. Ada Ia tidak berawal dan tidak berakhir kerana bahawasanya Ia-lah yang menjadikan segala apa yang disebut itu dan ada-Nya sekarang sepertilah ada-Nya dahulu dan ada-Nya dahulu sepertilah ada-Nya sekarang dengan tidak berubah-ubah. Wallahu a^lam”._ Intaha.
18. Al-Syaikh Kiyai Hj. Djauhari Zawawi (Kencong,  Jember, w.1415 H/ 1994) pendiri Pondok Pesantren as-Sunniyyah (Kencong , Jember, Jawa Timur) berkata dalam risalahnya_Tauhidul-^Arif fi ^Ilmit-Tauhid_ yang berbahasa Jawa [25]:
_“…lan mboten dipun wengku dining panggenan…”, maknanya: “…Dan (Allah) tidak diliputi oleh tempat…”_. Intaha.
19. Al-Syaikh Kiyai Hj. Choer Affandi (w.1996) pendiri Pondok Pesantren Miftahul Huda (Manonjaya,Tasikmalaya, Jawa Barat) berkata dalam risalahnya dengan bahasa Sunda yang berjudul _Pengajaran ^Aqa’id al-Iman_ yang maknanya:
_“(Sifat wajib) yang kelima bagi Allah adalah Qiyamuhu bi-nafsihi – Allah ada dengan zat-Nya, tidak memerlukan tempat – dan juga tidak berhajat kepada yang menciptakan-Nya, Dalil yang menunjukkan atas sifat Qiyamuhu bei-nafsihi, seandainya Allah memerlukan tempat, nescaya Allah merupakan sifat benda (^arad), Sedangkan yang demikian itu merupakan perkara yang mustahil. Dan sekiranya Allah berhajat kepada yang menciptakan-Nya, nescaya Allah ta^ala (bersifat) baharu. Sedangkan yang demikian itu adalah sesuatu yang mustahil (bagi Allah)”._. Intaha.
20. Al-Syaikh Haji Muhammad Waly al-Khalidy (Labuhan Haji, Aceh Selatan) berkata dalam risalahnya  _Permata Intan Pada Menyatakan Keputusan I^tiqad Tentang Ketuhanan Menurut al Qur’an al-Hadith dan ^Aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah_ [27]:
 _“Hati-hatilah bahawa segala apa yang terlintas didalam hati kita, apakah Allah itu berbentuk begini dan begitu?. Kesemuanya itu adalah tidak benar dan apa-apa yang terlintas itu adalah batil, sebab Tuhan kita tidak berwarna, tidak di atas, tidak di bawah, tidak di kanan, tidak di kiri, tidak di muka dan tidak di belakang, Karena kesemuanya itu merupakan ketentuan dan keadaaan pada yang baharu, sedangkan Allah ta’ala tidak baharu”._ Intaha.
21. Bekas Mufti Sabah, Haji Said Haji Ibrahim dalam kitabnya _Perbandingan Akidah dan Fahaman Umat Islam_ berkata [28]:
_“Andainya dikatakan Allah ta^ala duduk di atas Arasy sebagaimana duduk Ibn Tamiyyah, maka bermakna Allah ta^ala itu serupa dan sama dengan makhluk-Nya (manusia) dan ini adalah suatu perkara yang mustahil. Tidak diterima oleh akal kerana Allah ta^ala wajib bersifat mukhalafatuhu ta^ala lil-hawadith (bersalahan Allah ta^ala dengan yang baharu), iaitu Allah ta^ala tidak menerupai zat, sifat, perbuatan dan pentadbiran-Nya dengan yang baharu dan sebaliknya”._ Intaha.
22. Bahagian Hal Ehwal Agama Islam (BAHEIS) [sekarang dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)], Jabatan Perdana Menteri telah menerbitkan sebuah kitab yang berjudul _Mestika Hadis Rasulullah solla Allahu ^alaihi wa sallam_  yang secara kerjasama ditulis dan disusun oleh Sohibul-Fadilah Dato’ Hj. Muhammad Nor bin Hj. Ibrahim, Tn. Hj. Ismail bin Hj. Yusuf dan al-Syeikh Abdullah bin Muhammad Basmeih. Di dalam jilid 1 kitab tersebut ada dinyatakan aqidah tanzih yang menquduskan Allah dari jisim, arah, tempat dan masa. Berikut adalah petikannya [29]:
_“Dengan thabitnya keesaan yang sebenarnya bagi Allah ta`ala, maka nyatalah bahawa wujud zat-Nya bersih suci daripada tersusun yang membawa kepada berjisim atau berpihak (bertempat)”._
Kemudian ketika menjelaskan makna ayat 11 surah al-Syura ada dinyatakan begini [30]:
_“(4) Menyalahi segala rupa bentuk, segala corak warna dan segala cara dan gaya yang didapati oleh pancaindera atau yang difikirkan oleh akal, juga berkeadaan tidak diliputi oleh masa atau tempat ta`alaLlahu`amma yasifun”._
Apabila kita benar-benar mengkaji akidah ulama Nusantara, kita akan dapati akidah mereka ialah Allah ada tanpa arah dan tempat. Mereka juga mengajarkan aqidah ini dan menyebarkannya ke seluruh Nusantara. Ketahuilah bahawa sesungguhnya aqidah ulama Nusantara sememangnya aqidah para ulama Salafus-Solih. 
 al-Imam al-Faqih Abu Ja^far al-Tohawi radiyaLlahu ^anhu (w. 321 H) antara tokoh salaf dalam risalahnya al-^Aqidatut-Tohawiyyah menyebutkan:
“وتعالى – أي الله – عن الحدود والغايات والأركان والأعضاء والأدوات لا تحويه الجهاتُ السِتُّ كسائر المبتَدَعات”. اهـ
Maksudnya: _”Allah Maha Suci dari batasan, kemuncak, sudut, anggota besar dan anggota kecil dan Dia tidak diliputi oleh arah yang enam seperti sekalian makhluk”. _ Intaha.
Rujukan:
[1] Al-Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari,  _Tuhfatur-Raghibin_, hlm. 7.
[2] Al-Syaikh Nurud-Din ibn ^Ali al-Raniri, _Durarul-Fara’id bi-Syarhil-^Aqa’id_, manuskrip simpanan Khazanah Fathaniah, hlm. 10. Kitab ini adalah terjemahan syarah al-Imam Jalalud-Din al-Taftazani ke atas kitab _Mukhtasor al-^Aqa’id al-Nasafiyyah_.
[3] Al-Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani, _al-Thimarul-Yani^ah fi al-Riyadil-Badi^ah_, Muhammad al-Kutbi, Kaherah, t. th., hlm. 5.
[4] Al-Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani, _Nuruz-Zolam Syarh Manzumah ^Aqidatil-^Awam_, Dar al-Hawi, Jeddah, t. th., hlm. 37.
[5] Al-Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani, _al-Tafsir al-Munir li-Ma^alimit-Tanzil_, jil. 1, hlm. 282.
[6] Al-Sayyid ^Uthman ibn Abdillah ibn ^Aqil ibn Yahya al-^Alawi, _al-Zahrul-Basim  fi Atwar Abil-Qasim_, hal.30.
[7] Al-Syaikh Muhammad Solih ibn ^Umar al-Samarani, al-Hikam, hlm. 105.
[8] Al-Syaikh Dawud ibn ^Abdillah al-Fatoni, _al-Jawahirus-Saniyyah_, hlm. 6 – 7.
[9] Al-Syaikh Dawud al-Fatoni, _al-Durru al-Thamin_, Pulau Pinang, Percetakan Almuarif Sdn Bhd, hlm. 23.
[10] Al-Syaikh Zainal-^Abidin ibn Muhammad al-Fatoni, _Irshadul-^Ibad ila Sabilir-Rashad_, al-Matba^ah bin Halabi, Pattani Thailand,  hlm. 3.
[11] Al-Syaikh Zainal-^Abidin ibn Muhammad al-Fatoni, _Irsyadul-^Ibad ila Sabilir-Rasyad_, al-Matba^ah bin Halabi, Pattani Thailand,  hlm. 6.
[12] Al-Syaikh Muhammad ibn Isma^il Dawud al-Fatoni, (t.t), _Matla^ul -Badrain wa Majmaul-Bahrain_,(t.tp): Maktabah wa-Matba^ah Muhammad al-Nahdi wa-Awladih, hlm. 6.
[13] Al-Syaikh Husain Nasir ibn Tayyib al-Banjari, _Hidayatul-Mutafakkirin_, Percetakan Almuarif Sdn. Bhd., Pulau Pinang, t. th., hlm. 6.
[14] Al-Syaikh Dawud ibn ^Umar al-Kelantani,  _al-^Aqa’id wal-Fawa’id_, hlm. 34 – 36.
[15] Al-Syaikh Wan Isma^il ibn ^Abdil-Qadir ibn Mustafa al-Fatoni, _Syarh Bakuratil-Amani li-Isyarah ^Awam Ahlil-Fatoni_, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1421 H/ 2000 R, hlm 24 – 25.
[16] Al-Syaikh ^Abdul-^Aziz ib Isma^il al-Fatoni, _al-Misbahul-Munir fi Ma^rifatiLlahil-Qadir_, t.pt., cet. 3, 1414 H/ 1994 R, hlm. 3.
[17] Al-Syaikh ^Abdul-^Aziz ib Isma^il al-Fatoni, _al-Misbahul-Munir fi Ma^rifatiLlahil-Qadir_, t.pt., cet. 3, 1414 H/ 1994 R, hlm. 16 – 17.
[18] Al-Syaikh Kiyai Hj. Muhammad Hasyim ^Asy’ari, _al-Tanbihat al-Wajibat_, hlm. .
[19] Al-Syaikh Kiyai Hj. Muhammad Hasan al-Genggongi al-Kraksani, _^Aqidatut-Tauhid_, hlm. 3.
[20] Al-Syaikh Kiyai Hj. Raden Asnawi, _Jawab Soalipun Mu^taqad Seket_, hlm. 18.
[21] Al-Syaikh Kiyai Hj. Sirajud-Din ^Abbas, _Kumpulan Soal – Jawab Keagamaan_, hlm. 25.
[22] Al-Syaikh Kiyai Hj. Sirajud-Din ^Abbas, _I^tiqad Ahlis-Sunnah wal- Jama^ah_, hlm. 354.
[23] Tuan Guru Haji Ya^qub Sobri Dawud Isma^il dalam kitabnya _^Aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah; Tuhan Tak Bersila di Atas Arasy_, hlm. 29 – 30.
[24] Tuan Guru Haji Ya^qub Sobri Dawud Isma^il dalam kitabnya _^Aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah; Tuhan Tak Bersila di Atas Arasy_, hlm. 25.  
[25] Al-Syaikh Kiyai Hj. Djauhari Zawawi, _Tauhidul-^Arif fi ^Ilmit-Tauhid_, hlm. 3.
[26] Al-Syaikh Kiyai Hj. Choer Affandi, _Pengajaran ^Aqa’id al-Iman_, hlm. 6 – 7.
[27] Teungku Syeikh Haji Muda Waly, _Ayah Kami: Maulana Syeikh Haji Muhammad Waly al-Khalidy_, hlm. 145.
[28] Haji Said Haji Ibrahim, _Perbandingan Akidah dan Fahaman Umat Islam_, Darul Makrifah Kuala Lumpur, hlm. 510.
[29]  Muhammad Nor bin Hj. Ibrahim (Dato’ Hj.), Ismail bin Hj. Yusuf (Hj.) dan Abdullah bin Muhammad Basmieh, _Mestika Hadis Rasulullah sollallahu ^alaihi wa sallam_,  Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1421 H – 2000, cet. 8, hlm. 181.
[30] Muhammad Nor bin Hj. Ibrahim (Dato’ Hj.), Ismail bin Hj. Yusuf (Hj.) dan Abdullah bin Muhammad Basmieh, _Mestika Hadis Rasulullah sollallahu ^alaihi wa sallam_, Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1421 H – 2000,  cet. 8, hlm. 183.
✒️ Disediakan oleh:

Kajian Ilmiah Ahlis-Sunnah (KIAS)

13 October 2016 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: