Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

“Bacalah Yasin kepada orang yang mati”.

Mufti Wilayah Persekutuan
Irsyad al-Hadith Siri ke-117 : Status hadith “Bacalah Yasin kepada orang yang mati”.

Soalan:

Apakah status dan makna hadith “Bacalah Yasin kepada orang yang mati”?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Matan Hadith

Daripada Ma’qil bin Yasar, bahawa Nabi SAW bersabda:

اقْرَؤُوْا يَسٍ عَلَى مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: “Bacalah surah Yasin kepada orang yang meninggal di antara kamu”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 2714]

Hukum Hadith

Antara pendapat ulama’ berkaitan hukum hadith adalah:

• Abu Daud tidak memberi apa-apa komentar berkaitan hadith ini (سكت عنه). Ini bermakna hadith ini salih (صالح) berdasarkan risalah kepada ahli Makkah yang ditulis olehnya.

• Ibn Hibban meletakkan hadith ini di dalam sahihnya iaitu Sahih Ibn Hibban. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 3002]

• Imam al-Nawawi mengatakan sanad hadith ini adalah lemah kerana terdapat padanya dua orang perawi yang majhul (tidak dikenali). [Lihat: al-Azkar, 144]

• Imam Ibn Qathan berkata hadith tersebut tidak sahih kerana Abu Uthman tidak dikenali dan tidak meriwayatkan daripadanya kecuali Sulaiman bin Yasar. Apabila dia tidak dikenali maka bapanya lebih tidak dikenali padahal dia meriwayatkan daripadanya” . [Lihat: Bayan al-Wahm wa al-Iham, 5/49]

Tarjih

Berdasarkan pendapat ulama’ berkenaan hadith ini, sebahagian mereka menyatakan hadith ini sahih dan sebahagian lagi menyatakan hadith dhaif atau tidak sahih. Setelah kami melihat dan juga menekuni pendapat para ulama’ berkaitan hadith ini, maka kami berpendapat bahawa hadith ini adalah dhaif tetapi hadith ini mempunyai syawahid berkaitan membaca yasin untuk orang yang hendak meninggal.

Syawahid Terhadap Hadith Ini

Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan terdapat sebuah hadith yang terdapat di dalam Musnad Imam Ahmad dengan sanad yang hasan [Lihat: al-Isobah, 5/249], daripada Safwan RA:

حَدَّثَنِي الْمَشْيَخَةُ، أَنَّهُمْ حَضَرُوا غُضَيْفَ بْنَ الْحَارِثِ الثُّمَالِيَّ، حِينَ اشْتَدَّ سَوْقُهُ، فَقَالَ: ” هَلْ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَقْرَأُ يس؟ ” قَالَ: فَقَرَأَهَا صَالِحُ بْنُ شُرَيْحٍ السَّكُونِيُّ، فَلَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ مِنْهَا قُبِضَ، قَالَ: وَكَانَ الْمَشْيَخَةُ يَقُولُونَ: إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا.

Maksudnya: “Menceritakan kepadaku para syeikh (guru) bahawa mereka menghadiri Ghudhaif bin Harith ats-Thumali ketika beliau sedang menghadapi sakitnya maut, maka dia berkata : “Apakah ada di antara kalian yang mahu membacakan Yasin ?”. Dia (Safwan) berkata, maka Salih bin Syuraih al-Sakuniy membacanya (Yasin), tatkala sampai pada ayat ke 40 lalu Ghudhaif wafat. Dia (Safwan) juga berkata : “Para syeikh (guru) mereka berkata :“Apabila dibacakan samping orang yang hendak meninggal nescaya Allah akan meringankan baginya disebabkan dengan bacaan tersebut”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 16355]

Menurut Syeikh Syu’aib al-Arnouth ketika mentahqiqkan kitab al-Azkar karangan Imam al-Nawawi RA, perkataan “إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا” adalah mawquf kerana ia merupakan perkataan daripada Ghudaif RA dan Ghudaif adalah seorang sahabat. Adapun al-Mashyakhah di dalam syawahid itu bermaksud orang yang berada di antara sahabat dan juga tabi’in yang besar dan orang seperti mereka ini tidak akan berkata-kata dengan pendapat mereka sendiri (terutamanya dalam perkara agama). Maka dengan itu, hukumnya adalah marfu’. [Lihat: al-Azkar, 144]

Makna “عَلَى مَوْتَاكُمْ”

Para ulama’ berbeza pendapat dalam memahami perkataan atau lafaz ini dengan mengatakan bahawa yang dikehendaki oleh hadith adalah membaca Yasin kepada orang yang sedang nazak atau yang dimaksudkan adalah membaca Yasin kepada orang yang telah meninggal dunia.

• Pendapat Pertama: Membaca Yasin kepada orang yang sedang nazak.

Pendapat ini adalah lebih tepat kerana syawahid terhadap hadith ini menunjukkan bahawa apa yang telah dilakukan oleh para salaf adalah membaca Yasin ketika orang yang sedang nazak. Untuk itu, sebahagian besar ulama’ fiqh yang berpegang dan beramal dengan hadith ini berpendapat bahawa membaca Yasin ketika orang yang sedang nazak adalah perkara yang sunat atau mustahab (disukai). Ini juga merupakan pendapat di dalam mazhab al-Imam al-Syafie RA bahawa disunatkan membaca Yasin kepada orang yang sedang nazak kerana ia termasuk di dalam adab-adab berdasarkan hadith “Bacalah surah Yasin kepada orang yang meninggal di antara kamu”. [Lihat: al-Wasith fi Fiqh al-Syafie, 1/184]

• Pendapat kedua: Membaca Yasin kepada orang yang telah meninggal dunia.

Sebahagian ulama’ juga berpendapat bahawa membaca Yasin kepada orang yang telah meninggal dunia adalah perkara yang mustahab bagi mereka yang memahami bahawa yang dimaksudkan oleh hadith ini adalah untuk orang yang telah meninggal dunia. Adapun membaca al-Quran di perkuburan, ini merupakan masalah atau perkara khilaf antara para ulama’ samada ia dibolehkan atau tidak.

Penutup

Kesimpulannya, sesiapa yang berpegang dengan hadith ini maka bagi mereka sunat membaca Yasin kepada orang yang sedang nazak atau telah meninggal dunia walaupun terdapat perbezaan dalam memahami makna hadith ini. Tambahan pula, tidak ada larangan seseorang muslim itu membaca al-Quran lalu menghadiahkan pahalanya kepada si mati. Ini kerana, telah dinaskan oleh para ulama’ bahawa pahala itu sampai kepada si mati berdasarkan keumuman dalil yang terdapat dalam masalah sampainya pahala amalan seseorang itu kepada orang yang telah meninggal dunia. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufiq dan hidayah dalam setiap amalan yang kita lakukan. Amin.

Wallahua’lam

Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/HIy8S3

2 October 2016 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: