Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

BERCAKAP KETIKA AZAN

Mufti Wilayah Persekutuan
IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-116 : BERCAKAP KETIKA AZAN

Soalan:

Apakah terdapat hadith bahawa lidah menjadi kelu apabila bercakap ketika azan ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kita sering mendengar orang mengatakan bahawa orang bercakap ketika azan, lidahnya akan menjadi berat atau kelu untuk melafazkan kalimah tauhid ketika hendak menghembuskan nafas yang terakhir atau meninggal.

Pertamanya, suka bagi kami untuk nyatakan terlebih dahulu berkaitan hukum menjawab azan sebelum kami menjawab soalan di atas:

Hukum Menjawab Azan

Hukum menjawab azan adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut). Ketika azan dilaungkan, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan serta dalam masa yang sama perlulah menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan.

• Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ المُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kalian mendengar adzan maka ucapkanlah seperti yang sedang diucapkan muadzin”. [Riwayat al-Bukhari (576)]

Berkaitan soalan di atas, hal tersebut adalah tidak benar dan ia sama sekali tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW. Ini kerana, kami tidak menjumpai asal baginya dan kita juga sama sekali tidak boleh meriwayatkannya atau menyandarkannya kepada Nabi SAW kerana ia merupakan satu pendustaan di atas nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW jika kita melakukan hal sedemikian.

Adapun bercakap ketika azan dibolehkan dan ia tidaklah menjadi satu kesalahan apabila melakukannya. Namun begitu, jika percakapan itu boleh menyibukkan atau mengganggu seseorang itu dalam menjawab sepertimana yang dilaungkan oleh muazzin, maka meninggalkannya adalah lebih utama kerana menjawab azan adalah daripada sunnah.

Di dalam al-Muwatha’, Imam Malik telah meriwayatkan sebuah athar daripada Tha’labah, beliau berkata:

أَنَّهُمْ كَانُوا فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ يُصَلُّونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ حَتَّى يَخْرُجَ عُمَرُ فَإِذَا خَرَجَ عُمَرُ وَجَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُونَ قَالَ ثَعْلَبَةُ جَلَسْنَا نَتَحَدَّثُ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُونَ وَقَامَ عُمَرُ يَخْطُبُ أَنْصَتْنَا فَلَمْ يَتَكَلَّمْ مِنَّا أَحَدٌ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ فَخُرُوجُ الْإِمَامِ يَقْطَعُ الصَّلَاةَ وَكَلَامُهُ يَقْطَعُ الْكَلَامَ

Maksudnya: Mereka menunaikan solat Jumaat di zaman Umar bin al-Khattab sehingga Umar keluar. Apabila Umar keluar dan duduk di atas mimbar maka azan dilaungkan oleh muazzin. Telah berkata Tha’labah: Kami duduk dan bercakap. Apabila muazzin selesai dan Umar pun berdiri untuk menyampaikan khutbah maka kami pun diam dan tidak ada seorang daripada kami pun yang bercakap. Telah berkata Ibn Syihab: Keluarnya imam menghentikan solat dan khutbah imam menghentikan percakapan. [Lihat: al-Muwatha’ (215)]

Berdasarkan athar di atas, jelas menunjukkan bahawa para sahabat RA bercakap ketika azan sedang dilaungkan. Jika benar sebagaimana yang didakwa, maka para sahabat adalah orang yang pertama akan meninggalkan hal tersebut.

Sunnah-Sunnah Ketika Azan (Bagi Pendengar)

Antara sunnah bagi orang yang mendengar azan adalah: [Lihat: al-Wasith, 1/82,83].

• Diam ketika mendengar azan dan menjawabnya samada dalam keadaan bersih atau berhadas, junub atau haidh, besar atau mumayyiz. Kemudian perlu menjawab apa yang diucapkan oleh muazzin kecuali pada lafaz (حي على الصلاة) dan (حي على الفلاح).

• Selawat kepada Nabi SAW dengan suara yang perlahan, kemudian memohon kepada Allah wasilah dan berdoa kepada-Nya selepas selesai azan dengan jarak yang tidak lama.

• Berdoa untuk diri sendiri kerana waktu tersebut adalah waktu yang mulia, berkat dan mustajab. Disunatkan berdoa selepas azan dan sebelum iqamah.

Penutup

Kesimpulannya, walaupun kita dibenarkan untuk bercakap ketika azan tetapi yang lebih baik adalah meninggalkannya melainkan apa yang diucapkan itu merupakan hal atau perkara yang penting dan dalam masa yang sama ia tidak mengganggu seseorang itu dalam menjawab apa yang dilaungkan oleh muazzin kerana ia adalah sunnah yang dituntut di dalam agama. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memelihara lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW.

Wallahua’lam

Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/GKSaIC

28 September 2016 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: