Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum Qadha’ Solat

Imam An Nawawi seorang mujtahid fatwa dalam Mazhab Syafie menerangkan dalam kitab Syarah Muslim Juzu’ V, halaman 181 ertinya :
Seorang yang meninggalkan solat fardhu, wajib diqadha’. Sekiranya ditinggalkan kerana uzur yang memaksa maka qadha’ boleh dilambatkan tetapi sunat menyegerakan. Sekiranya ketinggalan itu tanpa uzur contohnya disengajakan, maka wajib diqadha’ segera.

Membayar solat yang banyak tertinggal harus dibayar mengikut tertib cara ditinggalkannya. Yang dahulu hendaklah didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Tertib ini hukumnya sunat.Jika yang ditinggal itu solat sunat rawatib iaitu solat sunat biasa yang dikerjakan sebelum dan sesusah solat, harus juga diqadha’.

Tetapi solat sunat yang dikerjakan kerana sebab khusus seperti solat khusuf matahari (gerhana matahari), solat khusuf bulan (gerhana bulan), solat sunat istisqa’ (solat sunat meminta hujan) maka tidaklah disyari’atkan mengqadha’nya, jika sudah terlepas dari waktunya.

Dalil
Hadith :
Dari Abu Hurairah radiyaLLahu ‘anhu bahawasanya Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam ketika kembali dari Peperangan Khaibar, beliau berjalan malam hari, sampai beliau mengantuk dan lalu berhenti untuk tidur.

Nabi memerintahkan kepada sahabat beliau bernama Bilal supaya berjaga-jaga jangan tidur, dihuatirkan jangan tertidur semuanya. Nabi terus tidur dan Bilal terus sembahyang pada malamitu.
Tetapi setelah dekat fajar, Bilal pun mengantuk tidak tahan matanya dan bersandar pada kenderaannya dan lalu tertidur dengan nyenyak.

Maka RasuluLlah dan sahabat-sahabat, begitu juga Bilal yang disuruh berjaga-jaga dibangunkan oleh matahari yang sudah tingg, dan waktu subuh luput. RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam mula-mula terbangun dan beliau sangat susah, lalu bersabda kepada Bilal : Wahai Bilal bagaimana ni?

Bilal menjawab : Saya juga tertidur ya RasuluLLah, saya tidak kuat menahan mata saya. Lalu RasuluLLah memerintahkan supaya seluruh sahabatnya berangkat, naik unta semuanya.

Tidak jauh dari tempat itu, beliau berhenti lagi dan langsung berwudhuk memerintahkan kepada Bilal supaya qamat. Maka Nabi sembahyang subuh bersama-sama mereka, mengqadha’ sembahyang yang luput.

Setelah selesai mengqadha’ sembahyang, Nabi bersabda : Barangsiapa kelupaan sembahyang, maka hendaklah ia bayar (qadha’) sembahyang itu bila dia teringat, kerana ALLah berfirman; “Tegakkanlah sembahyang untuk mengingatiKu.” (Hadith riwayat Muslim dan lain-lain – Lihat syarh Muslim juzu’ V halaman 18-184)

Di dalam Sahih Muslim :
Hadith RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam yang bererti :
Ketahuilah bahawasanya dalam keadaan tertidur tidak ada sia-sia; yang sia-sia (yang akan mendapat hukuman) adalah orang yang tidak mengerjakan solat sehingga sampai waktu solat yang lain. Maka barangsiapa yang memperbuat demikian hendaklah ia bayar ketika ia ingat akan solat itu.”
(Hadith riwayat Muslim)

Hadith Riwayat Muslim
RasuluLlah bersabda yang bererti :
Barangsiapa yang lupa solat atau tertidur, maka ia harus menggantikannya apabila ia teringat.

Tiada kaffarah bagi mereka selain itu.”
(Hadith Riwayat Muslim, Syarah Juzu’ V halaman 193)

Dari Jabir bin ‘AbdiLLah beliau berkata :
Bahawasanya Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu datang kepada RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam pada ketika Peperangan Khandaq, sesudah terbenam matahari. Saidina Umar ketika itu memaki-maki kafir Quraisy dan berkata kepada RasuluLlah: Wahai RasuluLlah, saya hampir tidak solat ‘asar sampai matahari terbenam, maka Nabi menjawab : Demi ALlah, saya juga belum solat ‘Asar.

Berkata Jabir : “Maka kami semuanya berangkat ke Buthan maka berwudhuklah Nabi dan kami berwudhuk pula, lalu Nabi solat ‘Asar sesudah terbenam matahari dan sesudah itu baru Nabi solat Maghrib
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith ini diletakkan oleh Imam Bukhari dalam kitabnya pada 3 tempat dengan judul yang berlainan iaitu :
1. Bab menyatakan solat Jemaah sesudah habis waktu (Fathul Bari, juzu’ II halaman 208)
2. Bab mengqadha’ solat (Fathul Bari juzu’ II halaman 212)
3. Bab Perang Khandaq (Fathul Bari, juzu’ VIII halaman 409).

Sumber diambil dari : K.H Sirajuddin Abbas, 40 Masalah Agama, Cet Kedua 1980, Pustaka Aman Press, Kelantan.

*ikutlah pendapat majoriti para ulama.

09/06/2016 Posted by | Fiqh, Hadis, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Memahami Tabarruk

image

Share image

09/06/2016 Posted by | Informasi, Tasauf | Leave a comment

Hukum Mengkafirkan Golongan Al Asya’irah

Sheikh Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi (Bekas Mufti Iraq)

MENJAWAB BERKAITAN AQIDAH AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH.

Hukum Mengkafirkan Golongan Al Asya’irah

Soalan :
Terdapat golongan yang mendakwa ‘berilmu mengenai Al Quran dan Hadith’, bangun mengkafirkan satu kumpulan daripada umat Islam yang dikenali sebagai : Al Asya’irah. Apakah hukum mereka yang mengkafirkan mereka ini dan apakah peranan yang telah dimainkan oleh kumpulan al Asya’irah ini dalam berkhidmat untuk umat Islam?

Jawapan :
Al-Asya’irah ialah para pengikut Imam Abu Hasan al Asya’ari yang mempunyai jasa besar dalam membersihkan aqidah ahli Sunnah wal jama’ah daripada kekeruhan yang dicetuskan oleh golongan Muktazilah. KEBANYAKAN pendokong dan ulama-ulama ulung umat ini adalah golongan asya’irah ini. Sedangkan golongan yang mempertikaikan mereka ini tidak pun mencapai separas buku lali mereka dari segi ilmu, warak dan takwa.
Di antara ulama Asya’irah ialah :
Imam Al Haramain, Al Ghazali, Ibnu Hajar al Asqalani, Fakhruddin ar Razi dan lain-lain.
Apakah dosa yang telah mereka lakukan? Adakah kerana mereka bertungkus lumus untuk membuat penolakan ke atas kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan Musyabbihah berhubung dengan Zat ALlah? Golongan Musyabbihah ini cuba untuk menetapkan bahawa ALlah Subahanahu wa ta’ala mempunyai jisim melalui ayat mutasyabihat dan hadith-hadith yang menyatakan secara zahirnya bahawa ALlah mempunyai tangan, mata, siku, jari-jari dan sebagainya.
Lalu Ulama Asya’irah bangun membuat penolakan ke atas kekeliruan mereka itu dengan membawa ayat-ayat dan hadith-hadith tadi kepada makna majaz, kerana golongan musyabbihah ini tidak menerima prinsip ‘tafwidh’ (penyerahan maknanya kepada ALlah), maka hujah Musyabbihah ini tidak dapat ditolak melainkan dengan menggunakan kaedah ‘takwil’. Walaupun begitu, mereka (Asya’irah) tetap berpendapat, ‘At tafwidh’ dan tidak mendalami untuk mengetahui maksud sebenarnya adalah lebih selamat bagi aqidah.
Syubhat (kesamaran) yang digunakan oleh golongan yang mengkafirkan ulama’ Asya’irah ini ialah dengan menuduh golongan tadi (Asya’irah) menolak sebahagian sifat ALlah kerana golongan tadi menganggap bahawa tangan, kaki, mata adalah sifat-sifat bagi ALlah sepertimana qudrat, iradat dan ilmu. Menurut mereka, sebagaimana ALlah ta’ala mempunyai qudrat yang bukannya seperti qudrat kita, ilmu yang bukannya seperti ilmu kita, maka begitu juga Dia mempunyai tangan tetapi bukannya tangan kita, mata bukannya seperti kita.
Sedangkan tidak sedikitpun tersembunyi bahawa lafaz tangan, mata dan jari-jari adalah nama-nama zat dan bukannya nama-nama sifat. Sekiranya kita menyebut ‘tangan’, maka akan tergambar di dalam benak fikiran kita tangan yang berjasad (mempunyai bentuk). Tetapi sekiranya kita menyebut ‘qudrah’ (berkuasa), tidaklah tergambar ke fikiran kita qudrah yang berjasad (yang boleh dirupakan dengan bentuk). Jadi qiyas yang digunakan oleh mereka gunakan itu adalah qias yang tidak tepat.
Oleh itu, melemparkan kejian ke atas ulama Asya’irah yang mentakwil ketika berhadapan dengan golongan Musyabbihah, bererti telah mencabul kemuliaan mereka dan melakukan kezaliman ke atas mereka dan menolak jasa yang mereka curahkan untuk menjaga aqidah. Apatah lagi sekiranya mereka ini dikafirkan. Mereka yang mengkafirkan golongan Asya’irah ini akan digolongkan ke dalam mereka yang dimaksudkan oleh hadith RasuluLLah yang bermaksud :
“Sekiranya seorang lelaki memanggil kepada saudaranya seIslam, “wahai kafir”, maka kata-kata itu akan terkena kepada salah seorang daripada keduanya. Sekiranya benar seperti yang dikatakan, maka dia selamat. Jika tidak tepat, maka tuduhan itu akan kembali kepadanya. (Muttafaq ‘Alaih)
Dan hadith :
“Sesiapa yang memanggil seorang lelaki dengan lafaz kekufuran atau memanggil, “Wahai musuh ALLah,” sedangkan yang dituduh itu bukanlah seperti yang dikatakan, maka tuduhan itu kembali kepada penuduh,” (Muttafaq ‘Alaih)
Perumpamaan mereka yang mengkafirkan ulama ‘Asya’irah atau Imam Abu Hasan Al Asy’ari sendiri bagaikan seorang pelatih baru yang ditempatkan di hospital untuk belajar dengan seorang doktor pakar yang mempunyai sijil yang tertinggi, sedangkan pelajar yang baru tadi sekadar membaca atau belajar cara membalut luka. Kemudian selepas belajar cara membalut luka itu, dia bangun mempertikaikan doktor pakar tadi dan melemparkan tuduhan doktor tadi tersilap dan jahil dan meragukan orang ramai pada maklumat yang dimiliki oleh doktor pakar tadi.

Sumber Ambilan : Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi, Salah Faham Terhadap Bid’ah, al Bid’ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu’man, 2002, Kuala Lumpur

09/06/2016 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Kedudukan Kanak-kanak Dalam Saf

image
Soalan:
Sekarang ni di masjid-masjid timbul isu berkaitan kedudukan anak-anak dalam saf ketika solat berjemaah.

Boleh bantu beri pandangan?

Jawapan :

بسم الله وبه نستعين

1. Asalnya masyarakat telah pun sedia mengikut apa yang telah diajarkan oleh para ulama kita mazhab Syafii, mengikut sepertimana yang telah dihuraikan dalam kitab-kitab besar fiqh Syafii. Namun, lama kelamaan apabila setengah kita makin jauh dari mendalami ilmu & mempelajari kitab-kitab besar mazhab Syafii ini, kita mula keliru apabila ada golongan yang datang kemudian gemar mengatakan “ini sunnah”, “ini bidaah”. Sedangkan di dalam kitab2 itu telah pun diterangkan secara terperinci hukum hakamnya, mana yang sah, mana yang batal, mana yang sunnah, mana yang makruh, mana yang harus, mana yang afdhal/terlebih sempurna, mana yang syarat dan bukan syarat dan sebagainya.

2. Perbincangan dalam kitab-kitab fiqh sebenarnya lebih harmoni dan halus, tidak sekadar “ini sunnah”, “ini bidaah”. Golongan tersebut sebenarnya keliru & mengelirukan. Lebih merumitkan apabila mereka mengambil fatwa itu daripada ulama negara lain yang boleh menerima pandangan itu menurut usul mazhab mereka barangkali, lalu dibawa ke negara kita yang sudah sedia ada ulamanya yang mengikut usul mazhab sendiri. Barangkali tidak ada apa-apa jika fatwa yang datang dari luar itu sekadar diamal oleh pembawanya, namun yang meresahkan ialah apabila si pembawa itu kurang ilmu lalu menyalah-nyalahkan pandangan mazhab tempatan yang sudah sedia lama diamalkan. Golongan keliru ini hanya tahu menghukum “ini sunnah”, “ini bidaah”.

3. Dalam mazhab Syafii, sunnah kedudukan saf yang sempurna ketika solat berjemaah ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi (w. 676H) dalam al-Minhaj: “Hendaklah berdiri di belakang imam, kaum lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian perempuan”. Pernyataan ini umum dan jika ada masalah-masalah yang datang kemudian perlulah dihuraikan sesuai mengikut situasinya. (Dalam setengah kitab seperti Asna al-Matalib oleh Syeikhul Islam Zakariya al-Ansari (w. 926H) dinyatakan; yang berdiri di belakang imam, kaum lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian khunsa, kemudian perempuan)

4. Semua ulama yang mensyarahkan kata-kata tersebut tidak pun menafikannya dengan mengatakan “kanak-kanak tidak perlu dipisahkan dengan orang dewasa” dan sebagainya. Boleh rujuk seperti Tuhfah al-Muhtaj oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami (w. 974H), Hasyiah Qalyubi (w. 1069H) & Umairah (w. 957H), Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib as-Syirbini (w. 977H), Nihayah al-Muhtaj oleh Imam ar-Ramli (w. 1004H), dan lain-lain.

.5. Dalil mereka adalah hadis sahih:

لِيَلِيَنِّي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ. (أخرجه مسلم وأبو داود والنسائي في الكبرى وابن ماجه)

“Hendaklah berdiri di belakangku dari kalangan kamu orang-orang yang matang/baligh dan faham/berakal, kemudian orang-orang yang hampir dengan mereka, kemudian orang-orang yang hampir dengan mereka”.

6. Bahkan ada diriwayatkan hadis dengan sanad hasan yang menyebut secara jelas susunan saf tersebut iaitu:

عَن أبي مَالك الْأَشْعَرِيّ قَالَ: أَلَا أُحَدِّثُكُمْ بِصَلَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقَامَ الصَّلَاةَ، وَصَفَّ الرِّجَالَ وَصَفَّ خَلْفَهُمُ الْغِلْمَانَ، ثُمَّ صَلَّى بِهِمْ. (رَوَاهُ أَبُو دَاوُد وَالْبَيْهَقِيّ بِإِسْنَاد حسن، قاله النووي في خلاصة الأحكام)

Daripada Abu Malik al-Asya‘ri RA katanya: “Mahukah aku khabarkan kamu tentang solat Nabi SAW, iaitu baginda mendirikan solat dan menyusun saf kaum lelaki dan menyusun di belakang mereka saf kanak-kanak, kemudian baru baginda mengimami mereka”. Dalam versi lain:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَلِيهِ فِي الصَّلَاةِ الرِّجَالُ، ثُمَّ الصِّبْيَانُ، ثُمَّ النِّسَاءُ. (رَوَاه الْبَيْهَقِيُّ في السنن الكبرى وضَعَّفَهُ)

“Telah berdiri di belakang Rasulullah SAW di dalam solat, kaum lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian perempuan”. Sanad hadis ini daif, namun dikuatkan dengan hadis-hadis di atas.

7. Hadis-hadis ini tidaklah menunjukkan hukum wajib dan hanya menunjukkan kesempurnaan serta yang afdhal. Jika ada kanak-kanak yang berdiri di dalam saf orang dewasa dan tidak bermain-main, tidaklah perlu dihalang dan ditegah.

8. Kata Syeikhul Islam Zakariya al-Ansari dalam Asna al-Matalib: “Kata al-Azra‘i: Dikemudiankan saf kanak-kamak daripada kaum lelaki adalah jika sudah tidak muat saf kaum lelaki. Jika tidak (yakni masih ada ruang), dipenuhkan saf itu dengan kanak-kanak, tiada masalah. Semuanya ini adalah mustahab, bukannya syarat. Sekiranya mereka menyalahi (susunan ini), sah solat mereka itu berserta makruh.” Katanya lagi: “Dan jangan ditukarkan kanak2 yang hadir dahulu untuk kaum lelaki yang hadir kemudian…”. Ini kerana mereka lebih berhak berdiri di situ, walaupun pada saf pertama, sepertimana yang disebut dlm al-Minhaj al-Qawim, Mughni al-Muhtaj dan lain-lain.

9. Disebut dalam I’anah at-Talibin oleh Syekh Abu Bakr Syata (w. 1310H): “Disunatkan jika ada berbagai-bagai peringkat makmum, hendaklah berdiri di belakang imam, kaum lelaki, walaupun hamba sahaya, kemudian sesudahnya – jika telah penuh saf mereka – kanak-kanak, kemudian sesudah mereka– walaupun tidak penuh saf mereka – kaum perempuan”. Kata beliau lagi: “Apabila susunan tersebut disalahi, ianya makruh”. Rujuk juga perinciannya di dalam Tuhfah al-Muhtaj & al-Minhaj al-Qawim oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami (w. 974H), Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib as-Syirbini (w. 977H), Nihayah al-Muhtaj oleh Imam ar-Ramli (w. 1004H), dan laun-lain.

10. Pandangan yang mengatakan kanak-kanak tidak perlu dipisahkan dengan org dewasa dengan erti kata diselang selikan atau setiap kanak-kanak mesti berdiri di sebelah bapanya adalah pandangan yang janggal dan mengelirukan. Lebih parah lagi didakwa itu adalah sunnah dan selainnya adalah bidaah! Kita tidak tahu ada ulama-ulamak muktabar terdahulu yang mengeluarkan fatwa sedemikian.

Wallahu a’lam.

Oleh Ustaz Mohd Khafidz

09/06/2016 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Hadis, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: