Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

HUKUM MENGAMBIL WUDHUK KETIKA AZAN

IRSYAD AL-FATWA KE- 119:
HUKUM MENGAMBIL WUDHUK KETIKA AZAN

Written by Muhammad Fahmi Rusli.

Soalan:

Assalamualaikum S.S Datuk, apakah hukum mengambil wudhuk ketika azan sedang dikumandangkan ?

Jawapan:

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan kepada Rasulullah S.A.W, para sahabat, ahli keluarga, serta golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat. Amma Ba’du.

Dalam menjawab persoalan ini, kami bahagikannya terlebih dahulu kepada beberapa bahagian:

Hukum Mengambil Wudhuk Sebelum Dan Selepas Azan.

Para Ulama apabila menyebutkan berkenaan beberapa keadaan yang mana perbuatan sunat itu lebih afdhal berbanding perbuatan wajib mereka menyebutkan berkenaan hukum wudhuk sebelum dan selepas azan. Mereka mengatakan bahawa hukum mengambil wudhuk sebelum azan adalah Sunat. Manakala hukum mengambil wudhuk selepas azan adalah Wajib.

Kata al-Imam Ibn al-Subki Rahimahullah:

Berwudhuk sebelum masuk waktu itu adalah sunat dan ia lebih afdhal berbanding (berwudhuk) setelah masuknya waktu. Inilah pendapat yang dijelaskan oleh al-Qammuli dalam al-Jawahir dan sesungguhnya berwudhuk itu wajib setelah masuknya waktu solat. Lihat Al-Asybaah wal-Nazhair, al-Suyuthi (1/272).

Hukum Menjawab Seruan Azan

Perintah menjawab azan yang dikumandangkan dengan cara mengulangi apa yang telah disebutkan oleh muazzin adalah berdasarkan sebuah hadis yang mana Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.

Riwayat Muslim (383).

Berdasarkan hadis di atas, sebahagian para fuqaha mengatakan bahawa hukum menjawab azan adalah wajib. Ini kerana, di sana terdapat kata perintah dari Rasulullah S.A.W iaitu: “Maka ucapkanlah”. Ayat perintah ini kata mereka menunjukkan kepada wajib.

Manakala majoriti fuqaha berpendapat, hukum menjawab azan adalah sunnah mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ وَكَانَ يَسْتَمِعُ الأَذَانَ فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلاَّ أَغَارَ فَسَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ عَلَى الْفِطْرَةِ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ خَرَجْتَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W pernah menyerang musuh apabila terbitnya fajar dan baginda meneliti untuk mendengar seruan azan. Sekiranya baginda mendengar azan baginda berhenti sebentar dan jika tidak baginda teruskan menyerang. Maka baginda mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Allahu Akbar Allahu Akbar”. Maka Rasulullah S.A.W mengatakan: “(Dia) berada di atas fitrah”. Kemudian lelaki itu mengatakan: “Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang selain Allah”. Maka baginda mengatakan: “Kau telah keluar daripada neraka”.

Riwayat Muslim (382)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah S.A.W apabila mendengar azan baginda tidak mengikut atau mengulangi ucapan azan sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. Ini menunjukkan bahawasanya hukum menjawab atau mengulangi azan adalah sunat sahaja di sisi majoriti fuqaha.

Hukum Mengambil Wudhuk Ketika Azan

Wudhu’ semasa azan dikumandangkan adalah harus hukumnya dan tidak terdapat larangan dari sudut syarak. Akan tetapi, dikehendaki bagi orang yang berwudhuk untuk berusaha menjawab azan selepas diucapkan oleh muazzin berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.

Riwayat Muslim (383).

Khatimah

Akhir kalam, kami berpendapat bahawasanya hukum mengambil wudhuk ketika azan sedang berkumandang adalah dibolehkan. Walaupun begitu, adalah lebih baik untuk kita bersiap sedia mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum azan dikumandangkan kerana itu lebih afdhal. Mengambil wudhuk sebelum azan juga memberikan ruang kepada kita menjawab laungan azan sebaik sahaja ia dikumandangkan. Maka dengan ini, kita akan mendapat ganjaran dan fadhilat yang lebih banyak di sisi Allah S.W.T. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua. Ameen.

Akhukum Fillah

S.S. DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

1 JUN 2016

01/06/2016 Posted by | Bicara Ulama, Fatwa, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Rawatan pergigian semasa Ramadan

Oleh DR. SITI SURIANI OTHMAN dan DR. ASPALILAH ALIAS

UMAT Islam mana yang tidak gembira menyambut Ramadan. Tidak lama lagi, Ramadan muncul lagi, bulan yang menjanjikan pahala yang berlipat-ganda bagi kebaikan yang dilakukan.

Seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim; “Semua amal (soleh yang dikerjakan) manusia dilipatgandakan pahalanya, satu kebaikan diberi ganjaran 10 sampai 700 kali lipat. Allah SWT berfirman: “Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas) kerana sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran (kebaikan) baginya.”

Namun, dalam keghairahan ini, kita juga dibelenggu persoalan-persoalan berkaitan kesihatan terutamanya berkaitan pergigian. Bolehkah kita membuat rawatan gigi ketika berpuasa? Batalkah puasa jika kita melakukan rawatan pergigian? Rawatan pergigian apakah yang dibolehkan semasa berpuasa? Apakah hukumnya bersugi semasa berpuasa?

Hal ini sebenarnya telah dijelaskan dalam Islam. Namun, kekeliruan ini acap kali muncul setiap kali Ramadan, mungkin kerana kedudukan bulan yang istimewa di hati umat Islam dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik sepanjang bulan itu, serta praktis berpuasa selama sebulan yang hanya berlaku dalam bulan yang mulia ini.
Tambahan pula, ada perkara yang para ulama berselisih pendapat sama ada ia membatalkan puasa atau sebaliknya.

Dalam rawatan pergigian, umumnya bentuk-bentuk rawatan yang dinyatakan di sini tidak membatalkan puasa:

1. Membuat rawatan pergigian (dental check-up)
2. Membuat rawatan gigi (tampal, cuci, cabut, rawatan akar, membuat gigi palsu)
3. Suntikan ubat kebas dalam mulut untuk cabut gigi
4. Dengan tidak sengaja menelan air liur semasa membuat rawatan gigi
5. Memberus gigi
6. Menggunakan flos untuk membersihkan gigi
7. Berkumuh dengan ubat kumuh selagi tidak ditelan.

Dalam buku Kaedah Perawatan Moden Berhubung Perkara yang Membatalkan Puasa tulisan Dr. Harmy Mohd. Yusoff, Ustaz Syamsul Kamal Abdullah, Dr. Rosediani Muhammad dan Wan Nor Ainon Wan Abdullah turut menjelaskan rawatan perubatan moden lain dan hukum berpuasa.

Fikah perubatan khususnya ketika berpuasa dibincangkan dalam Bab 28 buku ini.

Penerbitan buku ilmiah yang membincangkan soal ini menggambarkan betapa masyarakat kita amat berhati-hati dengan tindakan yang dilakukan ketika Ramadan, yang jelasnya tidak mahu sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak mendapat pahala berpuasa.

Ramai yang faham apa yang boleh dan apa yang tidak dalam mengharungi bulan mulia ini, namun, tidak kira di mana jua, masyarakat Islam sangat berhati-hati.

Dalam hal ini, ramai juga yang mengambil keputusan untuk mendapat rawatan gigi sebelum atau selepas Ramadan.

(PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dan Pensyarah Pergigian, Fakulti Pergigian USIM).

Di petik dari Utusan  Online

01/06/2016 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Isteri tidak mempunyai tanggungjawab dalam rumahtangga?

download-1

Isteri adalah Tuan?

Dr Khalif Muammar

Akhir-akhir ini sering kedengaran sebahagian ustaz-ustaz popular yang mengatakan bahawa isteri tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab di rumah melainkan bersolek dan mengandungkan anak, tugas kerja rumah ditanggung oleh suami dan bukan isteri, alasannya tiada dalil yang menyatakan bahawa isteri bertanggungjawab untuk membuat kerja-kerja rumah.

Tiadanya dalil (nas) secara spesifik atas sesuatu perkara tidak bermakna sesuatu perkara itu boleh ditolak, kerana para ulama’ juga menggunakan dalil akal, uruf, selain daripada nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidaklah munasabah, bertentangan dengan common sense, isteri duduk diam tanpa apa-apa kerja di rumah sedang suami bertungkus lumus mencari nafkah di luar dan bila balik pula suami juga perlu menyiapkan makanan, menyuci pakaian, jika tidak mampu maka suami perlu menyediakan khadam bagi isterinya. Pandangan ini adalah pandangan yang ekstrim, melampau, kerana terlalu literal dan tidak menggunakan akal fikiran dalam memahami ajaran Islam. Uruf juga menuntut agar isteri melakukan kerja-kerja rumah sebagai usaha meringankan beban suami di luar, jika isteri tidak melaksanakan tanggungjawabnya maka ia akan menggundang kemarahan suami, dan mentaati suami adalah suatu kewajipan dalam Islam.

Sememangnya Rasulullah saw membasuh pakaiannya sendiri, menguli roti yang dimakannya, tetapi itu adalah untuk meringankan beban isterinya, dan kemuliaan peribadinya yang tidak suka menyusahkan orang lain. Ia tidak sama sekali bermakna isteri tidak memiliki apa-apa tugas di rumah.

Mengapa tidak diambil kisah Siti Fatimah puteri Rasulullah yang mengadu sakit-sakit badan kerana banyak kerja rumah yang dilakukannya seraya meminta kepada Rasulullah agar diberikan seorang khadam, namun jawapan Rasulullah malah menyuruh Fatimah ra agar bersabar dan membanyakkan berzikir agar semua kepenatan itu diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Sememangnya pandangan bahawa isteri tidak bertanggungjawab terhadap kerja-kerja di rumah akan diminati oleh ramai orang, khususnya apabila terdapat sebahagian kaum wanita yang diperhambakan di rumah oleh sebahagian suami, namun kedua-dua pandangan sama ada yang memperhambakan mahupun yang mentuankan isteri adalah pandangan yang ekstrim, kerana kedua-duanya akan menyebabkan ketidakharmonian dan keruntuhan institusi keluarga.

Keharmonian institusi keluarga bergantung kepada keadilan, di mana setiap individu mengetahui dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Perlu adanya kesalingan, jika suami bekerja di luar maka isteri bekerja di rumah, jika dua-dua di luar maka perlu ada mekanisme agar kerja di rumah diringankan.

Islam adalah agama yang adil, ia tidak mendiskriminasikan dan menzalimi mana-mana pihak, tetapi meletakkan setiap orang di tempatnya masing-masing demi kebaikan bersama.

01/06/2016 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

Asha’irah dan Maturidi Merupakan Aliran Majoriti Umat Islam

(Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan)

Kajian The Royal Islamic Strategic Studies Centre menunjukkan bahawa Asha’irah dan Maturidi merupakan aliran majoriti umat Islam dengan 90 peratus keseluruhan umat Islam didunia adalah pengikut aliran Ahl al-Kalam ini.

Hasil kajian ini turut dipersetujui oleh al-Qaradawi iaitu ketika mana beliau mempertahankan Universiti al-Azhar yang berpegang dengan akidah Asha’irah daripada tohmahan golongan Salafiyyah Wahabiyyah, beliau menyatakan bahawa Asha’irah merupakan pegangan majoriti umat Islam di seluruh dunia pada hari ini (www.islamonline.net)

Oleh itu, jika kajian dan kenyataan ini dijadikan ukuran,maka benarlah kenyataan al-Zabidi yang berpendapat bahawa secara umumnya Ahl al-Sunnah wa al-Jamaa’h terdiri daripada kalangan Asha’irah dan Maturidi. Manakala al-Subki pula menyatakan bahawa pengikut-pengikut Imam Abu Hanifah,Imam Malik, Imam al-Shafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal semuanya adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan mereka ini berada bersama Asha’irah

http://madrasahsunnionline.blogspot.com/2016/05/ashairah-dan-maturidi-merupakan-aliran.html

01/06/2016 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: