Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Dalil mencium TANGAN dan KAKI

MENCIUM KAKI RASULULLAH :

1. Daripada Buraidah r.a.: “Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada nabi s.a.w lantas mencium tangan dan kaki baginda s.a.w.” – Hadith dikeluarkan oleh imam al-Hakim di dalam kitab al-Mustadrak. Beliau mensahihkan hadith ini.

2. Daripada Safwan r.a (menceritakan) tentang kisah 2 orang Yahudi yang bertanya kepada nabi s.a.w berkenaan 9 ayat keterangan, maka baginda menjawabnya. Lantas kedua-dua orang Yahudi tersebut mencium TANGAN dan KAKI baginda nabi s.a.w. – Dikeluarkan oleh imam An-Nasa’i (no. 4078), ibn Majah (3705) dan Tirmizi, berkata Hadith Hasan Sahih (2733 & 3144) serta disahihkan juga oleh imam al-Hakim.

3. Dikeluarkan oleh imam Ibn Jarir dan ibn Abi Hatim daripada As-Saddi berkenaan firman Allah s.w.t :

يأيها الذين ءامنوا لا تسئلوا عن أشياء إن تبدلكم تسؤكم وإن تسئلوا عنها حين ينزل القران تبدلكم عفا الله عنها والله غفور حليم

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada nabi s.a.w) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu,”

Al-Maidah :101.

Setelah (saidina Umar r.a mendengar) ayat ini, beliau bangun menuju kepada nabi s.a.w dan terus mencium KAKI baginda.

4. Dikeluarkan oleh imam al-Bukhari di dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad, imam Ahmad, Abu Daud, Ibn al-A’rabi di dalam juzunya serta imam al-Baghawi di dalam Mu’jamnya, bahawa sewaktu utusan Abd Qais tiba di Madinah, mereka mencium TANGAN dan KAKI baginda s.a.w.

Dalil ini telah dicantikkan lagi oleh ibn Abdul Bar, dibaikkan (disokong dalil lain) oleh al-Hafiz ibn Hajar dan dikeluarkan juga oleh imam Abu Ya’la, Tabarani serta al-Baihaqi dengan sanad yang bagus (Jayyid).

PARA SAHABAT MENCIUM KAKI ANTARA MEREKA

5. Sesungguhnya saidina Ali r.a mencium TANGAN dan KAKI saidina Abbas r.a.

– Hadith dikeluarkan oleh imam al-Bukhari di dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad dengan sanad yang sahih (no. hadith 976).
Dalil ini menunjukkan bahawa mencium TANGAN dan KAKI bukanlah KHUSUSIAT NABI s.a.w seorang (perkara-perkara khusus yang dilakukan oleh nabi s.a.w sahaja).

MENCIUM KAKI ULAMAK

6. Diriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Imam Muslim mencium tangan Imam Bukhari. Imam Muslim berkata, “Seandainya anda mengizinkan, pasti aku cium kaki anda.” Jelas, dalam riwayat ini, Imam Muslim mengetahui bahawa mencium tangan dan kaki seorang ulama adalah mustahab.

7. Dinukil oleh Syeikh al Ansari bahawa Imam Muslim bin al Hajjaj mencium antara dua mata Imam Bukhari. Beliau juga mencuba untuk mencium kakinya, bertujuan sebagai menghormati ilmu, kemuliaan dan kebaikan gurunya. (Imam Nawawi, dalam Tahzib al Asma [88/1])

8. Soalan:

Apakah hukum mencium tangan/kaki para ulama dan orang soleh? Adakah ia suatu bid’ah atau ia dianjurkan oleh syarak?

Jawapan Dr Malik Abd Rahman As Sa’adi (Bekas Mufti Iraq)

Mencium tangan ulama, orang-orang soleh dan pemimpin yang adil adalah sunat dan bukanlah suatu yang bid’ah selagi mana ia tidak menyebabkan mereka yang dicium tangan itu tertipu (ghurur). Sekiranya keadaan itu terjadi, dosa dibebankan kepada orang yang diciumkan tangannya dan bukannya kepada orang yang mencium, kerana yang mencium itu hanya bermaksud untuk memuliakan dan menghormatinya.

Dalil bagi masalah ini adalah seperti berikut :

1. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At Tirmidzi dan Abu Daud dengan sanad yang hasan sahih daripada Safwan bin ‘Assal radiyaLLahu ‘anhu katanya : “Seorang Yahudi berkata kepada sahabatnya: “Mari kita pergi bertemu dengan nabi ini.” Lalu mereka berdua pergi menemui Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam dan bertanyakan kepadanya sembilan tanda yang nyata. Maka RasuluLlah pun menjawab : “Janganlah kamu mensyirikkan ALLah dengan sesuatu apapun, jangan kamu mencuri, jangan kamu berzina, jangan kamu membunuh jiwa yang diharamkan ALLah melainkan dengan haknya, jangan kamu berjalan dengan bebas kepada seorang yang mempunyai kekuasaan lalu dia membunuh kamu, jangan kamu mengamalkan sihir, jangan kamu memakan riba, jangan kamu menuduh melakukan zina kepada seorang wanita yang suci, jangan kamu berpaling tadah (berundur) dari medan peperangan, jangan kamu bekerja pada hari sabtu.”
Safwan berkata: “Lalu kedua Yahudi itu mencium tangan dan kaki baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam dan berkata : “Kami bersaksi bahawa engkau adalah seorang nabi.” Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apakah yang menghalang kamu daripada mengikutiku?” Salah seorangnya menjawab : “Sesungguhnya Nabi Daud ‘alaihissalam pernah berdoa kepada Tuhannya supaya sentiasa mengutuskan nabi di kalangan zuriatnya, dan kami takut sekiranya kami mengikutimu, kami akan dibunuh oleh orang-orang Yahudi.”

2. Hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Ummu Aban binti Wazei’ bin Zarei’ daripada datuknya Zarei’ radiyaLLahu ‘anhu dan beliau bersama-sama di dalam rombongan qabilah Abdul Qais katanya: “Tatkala kami tiba di Madinah, kami segera meninggalkan kenderaan-kenderaan kami, lalu kami mengucup tangan dan kaki RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam. Tetapi al Munzir al Arsyah menunggu sehingga tibanya Utbah, lalu beliau memakai kedua pakaiannya, kemudian pergi menemui Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam. Nabi bersabda kepadanya :

“Sesungguhnya pada kamu ada dua sifat yang dikasihi oleh ALLah iaitu : sabar dan lemah lembut.” Al Munzir bertanya : “Wahai RasuluLLah adakah aku yang berusaha untuk berakhlak dengan kedua-dua sifat itu atau ianya dikurniakan oleh ALlah? RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam menjawab : Ia dikurniakan oleh ALlah kepada kamu.” Lalu Munzir mengucap: “AlhamduliLlah yang telah mengurniakan kepadaku dua sifat yang dicintai ALlah dan rasul-Nya.”

Jika terdapat dakwaan mengatakan ia hanya dikhususkan kepada Nabi sallaLLahu ‘alaihi wasallam. Maka kami akan menjawab begini : Dakwaan ini perlulah dikemukakan bersama dalil yang menyatakan mengucup tangan dan kaki hanya khusus untuk RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam tetapi tidak ada satupun dalil mengenai perkara tersebut.

Prinsip asalnya ialah setiap sesuatu yang diakui oleh RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam atau dilakukan dan diucapkan oleh baginda menjadi syariat untuk baginda dan umatnya selagimana tiada dalil yang menyatakan ia dikhususkan untuk RasuluLLah sallaLlahu ‘alaihi wasallam.

Manakala pendapat yang mengatakan sekiranya diharuskan mengucup tangan atau kaki, nescaya ia membawa kepada tunduk yang dilarang. Maka jawapannya begini : Bukan semestinya setiap bentuk tunduk itu ditegah syarak, tetapi yang ditegah ialah tunduk untuk tujuan mengagungkan dan rukuk. Bukankah apabila sesuatu barang kamu jatuh ke tanah, maka kamu menundukkan badan untuk mengambilnya? Jadi, begitulah juga menundukkan badan di sini adalah untuk mengucup tangan atau kaki, bukannya untuk menyembah atau mengagungkan.

Sumber : Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi, al Bid’ah fi al mafhum al islami ad daqiq.

Wallahua’lam bissowab.⁠⁠⁠

via: Ustaz Zamihan Al-Ghari

26 May 2016 - Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Hadis, Ibadah, Q & A (Soal Jawab), Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: