Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Orang Yang Tidak Berselawat Atas Nabi ﷺ Dianggap Kasar

Abdur Razzaq di dalam kitab Musannifnya daripada Muammar, daripada Qatadah, telah berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مِنَ الْجَفَاءِ أَنْ أُذْكَرَ عِنْدَ رَجُلٍ فَلاَ يُصَلِّي عَلَيَّ.

Maksudnya:
“Termasuk perilaku kasar apabila namaku disebut di sisi seorang lelaki, namun ia tidak berselawat atasku.”

Al-Hafiz as-Sakhawi berkata bahawa sabda Nabi ﷺ: “Minal jafa`” bermaksud meninggalkan kebaikan dan hubungan baik. Dengan kata lain, ia menunujukkan tabiat yang kasar. Sifat seperti ini jauh daripada Nabi ﷺ.

Ancaman dan pengingkaran yang tegas terhadap orang yang tidak berselawat atas Nabi ﷺ ketika nama Baginda ﷺ disebut merupakan dalil yang sangat jelas bagi wajibnya selawat atas Nabi ﷺ. Malah, ada perintah yang jelas mengenainya dan perintah itu membawa maksud wajib selagi tidak ada yang memalingkan maknanya.

At-Tirmidzi telah meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلْيُصَلِّ عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ مَرَّةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ عَشْرًا.

Maksudnya:
“Sesiapa yang disebut namaku di sisinya, hendaklah berselawat atasku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat atasku satu kali, Allah akan berselawat atasnya sepuluh kali.”

Ia diriwayatkan oleh ath-Thabrani dan Ibnu Sinni juga. Al-Hafiz as-Suyuthi mengisyaratkan bahawa ia sahih. Dalam kitab al-Adzkar, Imam an-Nawawi berkata: Sanadnya baik. Al-Haithami berkata: Para perawinya thiqah.

Para ulama’ telah mengambil hadis-hadis di atas dan yang seumpamanya sebagai dalil wajib berselawat atas Nabi ﷺ ketika nama Baginda ﷺ disebut. Yang demikian itu, dapat dilihat daripada beberapa sisi:

Sisi pertama: Sesungguhnya Nabi ﷺ mengaminkan doa Jibril a.s. yang mendoakan kehinaan bagi orang yang tidak berselawat atas Baginda ﷺ iaitu hidungnya melekat ke tanah sebagai bentuk kehinaan. Hal ini disebabkan ia tidak mengagungkan Rasulullah ﷺ iaitu dengan berselawat atas Baginda ﷺ ketika nama Baginda ﷺ disebut. Ini adalah bukti bahawa wajib berselawat atas Nabi ﷺ apabila namanya disebut. Apabila seseorang meninggalkan sesuatu yang hukumnya hanya mustahab (sunnah), tentu ia tidak patut didoakan dengan kehinaan dan kerendahan.

Sisi kedua: Dalam riwayat Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Nabi ﷺ naik ke atas mimbar lalu mengucapkan “Amin” tiga kali. Lalu Baginda ﷺ bersabda:

مَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ، قُلْ: آمِيْن، فَقُلْتُ: آمِيْن .

Maksudnya:
“Sesiapa yang disebut namamu di sisinya namun ia tidak berselawat atasmu, maka ia masuk neraka dan Allah menjauhkannya, katakan amin! Maka aku mengucapkan:
Amin.”

Seperti yang telah disebutkan di atas, terdapat dalil wajibnya berselawat atas Nabi ﷺ apabila nama Baginda ﷺ disebut. Mereka yang meninggalkan selawat atas Baginda ﷺ layak masuk ke neraka dan dijauhkan daripada rahmat Allah.

Sisi ketiga: Terdapat banyak hadis yang menerangkan bahawa orang yang tidak berselawat atas Nabi ﷺ ketika disebutkan namanya merupakan orang yang bakhil, bahkan dipandang sebagai manusia yang paling bakhil, seperti disebutkan di atas. Bahkan, cukup dengan tindakan sedemikian, ia dicap sebagai orang bakhil. Tidak ada yang lebih bakhil dan lebih kedekut daripadanya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur dengan sanadnya daripada al-Hasan r.a..

Rasulullah ﷺ bersabda:

كَفَى بِهِ شُحًّا أَنْ أُذْكَرَ عِنْدَهُ فَلاَ يُصَلِّي عَلَيَّ

Maksudnya:
“Cukuplah dengannya disebut sebagai kedekut apabila aku disebutkan di sisinya lalu ia tidak berselawat atasku.”

Qasim bin Ashbaq meriwayatkan dengan sanad yang bersambung kepada al-Hasan juga. Katanya bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

بِحَسْبِ الْمُؤْمِنِ مِنَ الْبُخْلِ أَنْ أُذْكَرَ عِنْدَهُ فَلاَ يُصَلِّي عَلَيَّ
Maksudnya:
“Cukuplah seorang Mukmin disebut bakhil apabila aku disebutkan di sisinya lalu ia tidak berselawat atasku.”

Orang yang meninggalkan selawat atas Nabi ﷺ disifatkan sebagai bakhil kerana ia merupakan dalil wajibnya selawat atas Nabi ﷺ. Ini adalah kerana sifat bakhil adalah sifat yang sangat tercela. Ia juga adalah di antara penyakit jiwa yang besar, seperti yang disabdakan oleh Nabi ﷺ:

وَأَيُّ دَاءٍ أَدْوَأُ مِنَ الْبُخْلِ.
Maksudnya:
“Apakah penyakit yang lebih berat daripada penyakit bakhil?.”

Allah SWT telah mengaitkan penyebutan sifat bakhil dengan sifat takbur (sombong). Allah SWT berfirman:

Maksudnya:
“Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. (Iaitu) orang-orang yang bakhil dan menyuruh orang lain berbuat bakhil…
(Surah an-Nisa`, 4:36-37).

Di samping itu, sifat bakhil menahan hak orang lain yang diwajibkan atasnya. Sesungguhnya orang yang menunaikan apa-apa yang diwajibkan atasnya dengan sempurna, tidak disebut bakhil. Maka bagaimana pandangan anda tentang orang yang tidak menunaikan hak manusia yang baginya hak terbesar dan teragung daripada seluruh hak makhluk?

Ketahuilah bahawa Sayyiduna Muhammad ﷺ menjadi sebab kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Baginda ﷺ datang sebagai petunjuk bagi seluruh alam dan rahmat bagi orang-orang beriman, penyelamat manusia daripada kejahatan dunia serta keburukan dan mudaratnya. Malah, penjaga daripada perkara-perkara yang dibenci dan menakutkan di akhirat serta azabnya, serta penyelamat umat manusia daripada kebodohan, kegelapan, kezaliman, dan kederhakaannya.

Bukankah rasul yang agung ini, yang baik, mulia dan penyayang, layak untuk diagungkan dan dipuji? Bahkan dikeluarkan seluruh kemampuan untuk mensyukuri dan memujinya apabila nama Baginda ﷺ disebut. Maka jangan sampai kurang daripada berselawat atas Baginda ﷺ setiap kali namanya disebut dan sifatnya disebarkan.

Sumber: FB Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab Al-Linggi
Rabu 11 Mei 2016
4 Sya’aban 1437H
9.48 mlm
Kota Damansara

20 May 2016 - Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Ibadah

1 Comment »

  1. setiap Muslim yang Mukallaf WAJIB berSelawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad S.A.W sekurang-kurang 5 kali sehari semalam.. Tak BerSelawat sekurang-kurang 5 kali sehai semalam setiap hari hukumnya BerDOSA hukumnya..Maknanya TAK sembahyanglah tu..kerana kita bersalawat dalam Solat Fardhu..

    Comment by JD | 7 August 2016 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: