Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum jual beli ketika solat Jumaat

Oleh: Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

Pertanyaan:

Assalamualaikum ustazah,

Saya ingin tahu apakah hukum lelaki dan wanita berjualbeli ketika solat jumaat?

Jawapan:

Waalaikumussalam.

Sudah dimaklumi bahawa solat Jumaat adalah fardhu ke atas lelaki baligh, berakal, mastautin, tidak wajib ke atas wanita, kanak-kanak dan yang tidak berakal. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumuah ayat 9 yang maksud-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya :”Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”.

Walaupun telah ijma’ di kalangan ulama’ akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah.

Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).
Maka, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Khalifah Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Berikut adalah pendapat2 para ulama’:

1.Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.
Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-
المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)

2.Ulama’ Mazhab Hanafi mempunyai berbagai pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah pasti haram, manakala sebahagian mereka ada yang berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut. Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini.

Jelas disini bahawa telah disepakati oleh keempat-empat mazhab, hukum berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir menyebut :
اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني

Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

PERSOALAN, ADAKAH BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain.

Jika aqad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, bererti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :

1. Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

2.Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahan itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.

Apapun, amat perlu umat Islam dimana sahaja diseluruh pelusuk dunia untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, mesti ada segolongan manusia yang dapat memberi nasihat kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.Maka rezeki yang diperoleh itu adalah haram, lalu diberi makan dan belanja pula kepada anak isterinya, lantaran rezeki itu haram maka ia memberi kesan buruk kepada jiwanya, membentuk generasi yang buruk akhlak.

Difahami dari sini, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat hendaklah bersegera pergi ke masjid dan janganlah melengah-lengahkannya seperti melakukan jual beli terutama apabila azan kedua sembahyang fardhu Jumaat.

Sungguhpun jual beli itu sah namun perbuatan sedemikian adalah dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat pun seperti wanita atau lelaki yang musafir, berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat dan haram jualbelinya juga kerana bersubahat dengan mereka.

Takutlah kepada laknat Allah SWT dalam setiap muamalah kita.

KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram apabila:

a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.

Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.

WALLAHU A’LAM

Ust.Shahidah Sheikh Ahmad

20 May 2016 - Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: