Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Orang Yang Tidak Berselawat Atas Nabi ﷺ Dianggap Kasar

Abdur Razzaq di dalam kitab Musannifnya daripada Muammar, daripada Qatadah, telah berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مِنَ الْجَفَاءِ أَنْ أُذْكَرَ عِنْدَ رَجُلٍ فَلاَ يُصَلِّي عَلَيَّ.

Maksudnya:
“Termasuk perilaku kasar apabila namaku disebut di sisi seorang lelaki, namun ia tidak berselawat atasku.”

Al-Hafiz as-Sakhawi berkata bahawa sabda Nabi ﷺ: “Minal jafa`” bermaksud meninggalkan kebaikan dan hubungan baik. Dengan kata lain, ia menunujukkan tabiat yang kasar. Sifat seperti ini jauh daripada Nabi ﷺ.

Ancaman dan pengingkaran yang tegas terhadap orang yang tidak berselawat atas Nabi ﷺ ketika nama Baginda ﷺ disebut merupakan dalil yang sangat jelas bagi wajibnya selawat atas Nabi ﷺ. Malah, ada perintah yang jelas mengenainya dan perintah itu membawa maksud wajib selagi tidak ada yang memalingkan maknanya.

At-Tirmidzi telah meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلْيُصَلِّ عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ مَرَّةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ عَشْرًا.

Maksudnya:
“Sesiapa yang disebut namaku di sisinya, hendaklah berselawat atasku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat atasku satu kali, Allah akan berselawat atasnya sepuluh kali.”

Ia diriwayatkan oleh ath-Thabrani dan Ibnu Sinni juga. Al-Hafiz as-Suyuthi mengisyaratkan bahawa ia sahih. Dalam kitab al-Adzkar, Imam an-Nawawi berkata: Sanadnya baik. Al-Haithami berkata: Para perawinya thiqah.

Para ulama’ telah mengambil hadis-hadis di atas dan yang seumpamanya sebagai dalil wajib berselawat atas Nabi ﷺ ketika nama Baginda ﷺ disebut. Yang demikian itu, dapat dilihat daripada beberapa sisi:

Sisi pertama: Sesungguhnya Nabi ﷺ mengaminkan doa Jibril a.s. yang mendoakan kehinaan bagi orang yang tidak berselawat atas Baginda ﷺ iaitu hidungnya melekat ke tanah sebagai bentuk kehinaan. Hal ini disebabkan ia tidak mengagungkan Rasulullah ﷺ iaitu dengan berselawat atas Baginda ﷺ ketika nama Baginda ﷺ disebut. Ini adalah bukti bahawa wajib berselawat atas Nabi ﷺ apabila namanya disebut. Apabila seseorang meninggalkan sesuatu yang hukumnya hanya mustahab (sunnah), tentu ia tidak patut didoakan dengan kehinaan dan kerendahan.

Sisi kedua: Dalam riwayat Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Nabi ﷺ naik ke atas mimbar lalu mengucapkan “Amin” tiga kali. Lalu Baginda ﷺ bersabda:

مَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ، قُلْ: آمِيْن، فَقُلْتُ: آمِيْن .

Maksudnya:
“Sesiapa yang disebut namamu di sisinya namun ia tidak berselawat atasmu, maka ia masuk neraka dan Allah menjauhkannya, katakan amin! Maka aku mengucapkan:
Amin.”

Seperti yang telah disebutkan di atas, terdapat dalil wajibnya berselawat atas Nabi ﷺ apabila nama Baginda ﷺ disebut. Mereka yang meninggalkan selawat atas Baginda ﷺ layak masuk ke neraka dan dijauhkan daripada rahmat Allah.

Sisi ketiga: Terdapat banyak hadis yang menerangkan bahawa orang yang tidak berselawat atas Nabi ﷺ ketika disebutkan namanya merupakan orang yang bakhil, bahkan dipandang sebagai manusia yang paling bakhil, seperti disebutkan di atas. Bahkan, cukup dengan tindakan sedemikian, ia dicap sebagai orang bakhil. Tidak ada yang lebih bakhil dan lebih kedekut daripadanya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur dengan sanadnya daripada al-Hasan r.a..

Rasulullah ﷺ bersabda:

كَفَى بِهِ شُحًّا أَنْ أُذْكَرَ عِنْدَهُ فَلاَ يُصَلِّي عَلَيَّ

Maksudnya:
“Cukuplah dengannya disebut sebagai kedekut apabila aku disebutkan di sisinya lalu ia tidak berselawat atasku.”

Qasim bin Ashbaq meriwayatkan dengan sanad yang bersambung kepada al-Hasan juga. Katanya bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

بِحَسْبِ الْمُؤْمِنِ مِنَ الْبُخْلِ أَنْ أُذْكَرَ عِنْدَهُ فَلاَ يُصَلِّي عَلَيَّ
Maksudnya:
“Cukuplah seorang Mukmin disebut bakhil apabila aku disebutkan di sisinya lalu ia tidak berselawat atasku.”

Orang yang meninggalkan selawat atas Nabi ﷺ disifatkan sebagai bakhil kerana ia merupakan dalil wajibnya selawat atas Nabi ﷺ. Ini adalah kerana sifat bakhil adalah sifat yang sangat tercela. Ia juga adalah di antara penyakit jiwa yang besar, seperti yang disabdakan oleh Nabi ﷺ:

وَأَيُّ دَاءٍ أَدْوَأُ مِنَ الْبُخْلِ.
Maksudnya:
“Apakah penyakit yang lebih berat daripada penyakit bakhil?.”

Allah SWT telah mengaitkan penyebutan sifat bakhil dengan sifat takbur (sombong). Allah SWT berfirman:

Maksudnya:
“Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. (Iaitu) orang-orang yang bakhil dan menyuruh orang lain berbuat bakhil…
(Surah an-Nisa`, 4:36-37).

Di samping itu, sifat bakhil menahan hak orang lain yang diwajibkan atasnya. Sesungguhnya orang yang menunaikan apa-apa yang diwajibkan atasnya dengan sempurna, tidak disebut bakhil. Maka bagaimana pandangan anda tentang orang yang tidak menunaikan hak manusia yang baginya hak terbesar dan teragung daripada seluruh hak makhluk?

Ketahuilah bahawa Sayyiduna Muhammad ﷺ menjadi sebab kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Baginda ﷺ datang sebagai petunjuk bagi seluruh alam dan rahmat bagi orang-orang beriman, penyelamat manusia daripada kejahatan dunia serta keburukan dan mudaratnya. Malah, penjaga daripada perkara-perkara yang dibenci dan menakutkan di akhirat serta azabnya, serta penyelamat umat manusia daripada kebodohan, kegelapan, kezaliman, dan kederhakaannya.

Bukankah rasul yang agung ini, yang baik, mulia dan penyayang, layak untuk diagungkan dan dipuji? Bahkan dikeluarkan seluruh kemampuan untuk mensyukuri dan memujinya apabila nama Baginda ﷺ disebut. Maka jangan sampai kurang daripada berselawat atas Baginda ﷺ setiap kali namanya disebut dan sifatnya disebarkan.

Sumber: FB Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab Al-Linggi
Rabu 11 Mei 2016
4 Sya’aban 1437H
9.48 mlm
Kota Damansara

20/05/2016 Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Ibadah | 1 Comment

“Rejab adalah bulan Allah, Syaa’ban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatKu”?

Di manakah sumber hadith “Rejab adalah bulan Allah, Syaa’ban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatKu”?

Oleh Ustaz Khafidz Soroni (Jabatan Hadith KUIS)

Ia direkodkan oleh ad Dailami dalam kitab Musnad al Firdaus daripada Anas r.a. Ia juga diriwayatkan sebahagian daripada sebuah hadith panjang berkenaan solat ragha’ib yang disepakati sebagai palsu oleh ramai pengkritik hadith seperti Ibnul Jawzi dalam al Madu’at, al Hafiz az-Zahabi, al Hafiz Ibn Hajar dalam Tabyin al-’Ajab bima Warad fi Syahr Rajab, al-Iraqi dalam Takhrij Ihya’ Ulumiddin, asy-Syawkani dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah, Abdul Hayy al-Laknawi dalam al-Atsar al-Marfu’ah dan lain-lain.

Ibn ‘Asakir dalam Mu’jamnya (no.210 menyebut, “Hadith ini sangat gharib dan pada sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang tidak dikenali.”

Rangkap tersebut juga ada diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a dalam sebuah hadith panjang dengan sanad yang amat diragukan menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Tabyin al-’Ajab bi-ma Warad fi Syahr Rajab.

Manakala Abu al-Fath Ibn Abi al-Fawaris dalam kitab Amali meriwayatkannya daripada al-Hasan al-Bashri secara mursal.

Kata al-Allamah Abd al-Ra’uf al-Munawi dalam Faydh al-Qadir, “Menurut al-Hafiz al-Zayn al-’Iraqi dalam Syarah at-Tirmizi, hadith yang sangat dhaif. Ia daripada hadith-hadith mursal al-Hasan al-Bashri, kami telah meriwayatkannya dalam kitab at-Taghrib wa at-Tarhib oleh al-Asfahani. Dan hadith-hadith mursal al-Hasan al-Bashri tiada erti apa-apa di sisi ahli hadith, dan tiada satu hadith pun yang sahih tentang kelebihan bulan Rejab.”

– Rumusan hukum para ulama terhadap rangkap hadith ini :

Sebahagian ulama mengatakannya sebagai batil atau terlalu dhaif seperti al-Hafiz Ibn Hajar, al-Hafiz al-’Iraqi dan lain-lain. Sebahagian ulama pula mengatakannya dhaif sahaja seperti al-Hafiz as-Suyuti dalam Jami’ as-Sahir (no.4411), Syeikh Muhammad Darwisy al-Hut dalam Asna al-Matalib (no.702) dan lain-lain. Al-Hafiz as-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah tidak memberi komentar jelas mengenai darjat hadith ini, seolah-olah ia hanya hadith dhaif. Demikian juga al-’Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’.

Apa yang lebih menambah kelemahannya, Rejab sebagai bulan Allah itu bercanggah dengan sebuah hadith sahih riwayat Imam Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i, Ahmad dan lain-lain menyatakan bahawa bulan Allah adalah bulan Muharram, bukan Rejab. Daripada Abu Hurairah r.a : “Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah bulan Allah Muharram….”

Saya berpendapat, kerana rangkap hadith itu tidak menyabitkan sebarang hukum atau akidah, maka tidaklaha terlalu berat mereka yang masih memakainya dalam fadha’il amal dengan peringatan agar tidak menyandarkannya secara yakin kepada Rasulullah s.a.w.

Maksud utamanya adalah sebagai galakan agar kita memperbanyakkan amalan dalam bulan-bulan tersebut bagi memperolehi keberkatannya. Gandingan tiga bulan ini juga terdapat dalam beberapa hadith yang lain. Antaranya, diriwayatkan oleh al-Bazzar dalam Musnadnya (no.6494), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no.3534), ath-Thabarani dalam al-Awsat (no.3939), Ibn Majah, ‘Abdullah bin Ahmad, Ibn ‘Asakir, Ibn an-Najjar daripada Anas r.a katanya, “Bahawa Rasulullah s.a.w apabila masuk bulan Rejab, Baginda akan berdoa :

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ
(Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah kami bulan Ramadan.”

Terdapat pada sanadnya perawi yang dikatakan oleh ramai pengkritik hadith sebagai lemah bernama Za’idah namun sebilangan pengkritik hadith lain masih menerima riwayat beliau seperti ak-Qawariri dan al-Bazzar.

– Benarkah tiada pun dalil yang tsabit tentang amalan bulan Rejab?

Terdapat banyak hadith berkaitan Syaaban dan Ramadan, tetapi amat sedikit hadith yang tsabit mengenai bulan Rejab. Oleh kerana ia termasuk ‘bulan-bulan haram’, maka kelebihannya adalah bersekali dengan bulan-bulan tersebut. Firman Allah Taala, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang haram (dihormati). (At Taubah 9 : 36)

Empat ‘bulan yang haram’ atau juga disebut bulan-bulan haram adalah Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Maka, jelas bahawa bulan Rejab adalah termasuk salah satu daripadanya. Masyarakat Arab dahulu membesarkan bulan-bulan tersebut dan mereka dilarang berperang pada tempoh itu. Selepas kedatangan Islam, amalan ini diteruskan dan dihormati sebagaimana firman Allah di atas.

Malah hadith riwayat Mujibah al-Bahiliyyah r.a di sisi Abu Daud, Ibnu Majah dan lain-lain dengan darjat hasan menunjukkan bahawa sunat berpuasa dalam bulan-bulan haram. Nabi s.a.w bersabda, “Berpuasalah di bulan-bulan haram, dan tinggalkanlah.” Baginda mengulanginya tiga kali sambil mengisyaratkan dengan tiga batang jarinya lalu menggenggamnya kemudian melepaskannya. Maksudnya adalah berpuasa tiga hari dan tidak berpuasa tiga hari secara berselang-seli. Wallahu a’lam.

(dipetik dari Majalah Q&A)

20/05/2016 Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Hukum jual beli ketika solat Jumaat

Oleh: Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

Pertanyaan:

Assalamualaikum ustazah,

Saya ingin tahu apakah hukum lelaki dan wanita berjualbeli ketika solat jumaat?

Jawapan:

Waalaikumussalam.

Sudah dimaklumi bahawa solat Jumaat adalah fardhu ke atas lelaki baligh, berakal, mastautin, tidak wajib ke atas wanita, kanak-kanak dan yang tidak berakal. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumuah ayat 9 yang maksud-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya :”Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”.

Walaupun telah ijma’ di kalangan ulama’ akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah.

Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).
Maka, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Khalifah Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Berikut adalah pendapat2 para ulama’:

1.Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.
Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-
المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)

2.Ulama’ Mazhab Hanafi mempunyai berbagai pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah pasti haram, manakala sebahagian mereka ada yang berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut. Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini.

Jelas disini bahawa telah disepakati oleh keempat-empat mazhab, hukum berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir menyebut :
اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني

Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

PERSOALAN, ADAKAH BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain.

Jika aqad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, bererti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :

1. Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

2.Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahan itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.

Apapun, amat perlu umat Islam dimana sahaja diseluruh pelusuk dunia untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, mesti ada segolongan manusia yang dapat memberi nasihat kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.Maka rezeki yang diperoleh itu adalah haram, lalu diberi makan dan belanja pula kepada anak isterinya, lantaran rezeki itu haram maka ia memberi kesan buruk kepada jiwanya, membentuk generasi yang buruk akhlak.

Difahami dari sini, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat hendaklah bersegera pergi ke masjid dan janganlah melengah-lengahkannya seperti melakukan jual beli terutama apabila azan kedua sembahyang fardhu Jumaat.

Sungguhpun jual beli itu sah namun perbuatan sedemikian adalah dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat pun seperti wanita atau lelaki yang musafir, berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat dan haram jualbelinya juga kerana bersubahat dengan mereka.

Takutlah kepada laknat Allah SWT dalam setiap muamalah kita.

KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram apabila:

a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.

Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.

WALLAHU A’LAM

Ust.Shahidah Sheikh Ahmad

20/05/2016 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: