Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Sedekah Pahala Untuk si-Mati (Polemik Klasik)

Olih Ahli Hadis Ustaz Khafidz Soroni dari KUIS.

[Fokus Kepada Mazhab al-Syafi’i]

1. Masalah ini merupakan salah satu masalah yang selalu ditimbulkan dan dibahaskan, sedangkan para ulama telah membahaskannya dan selesai lama dahulu.

Maksudnya, mereka yang tak bersetuju dengan sedekah pahala kepada si-mati tetap tidak bersetuju walau apa pun dalil yang diberi.

2. Antara dalil kuatnya, ia tidak dilakukan oleh para sahabat dan tabiin (.. ‘hipotesis’ sebegini biasanya nampak kuat tapi adakalanya goyah kerana tidak detil).

Begitu juga sebaliknya, mereka yang berpendapat boleh sedekah pahala kepada si-mati tetap mengatakannya boleh tanpa halangan selagi masih di dalam ruang lingkup nas-nas syarak.

3. Masalah timbul biasanya dari ‘budak-budak’ yang baru mengaji ABC dalam disiplin pengajian Islam di bawah satu aliran sahaja. Maka muncullah tuduhan bidaah, jahil, sesat dan sebagainya. Padahal perkara tersebut tidak perlu berlaku. Perselisihan dalam fiqh yang diiktiraf tidak termasuk dalam kemungkaran-kemungkaran yang wajib ditegah.

4. Dalam masalah ini, antara hujah mereka yang mengkritik pendapat ulama yang membenarkan sedekah pahala untuk si-mati, secara khususnya cemuhan yang dilontarkan ke atas ulama-ulama Syafi’i sepertimana di Nusantara ini, ialah mereka membelakangi Imam al-Syafi’i dan tidak bertaklid kepadanya dalam masalah ini kerana Imam al-Syafi’i mengatakan tidak sampai pahala kepada si-mati.

5. Adakah ini benar? Cuba perhatikan petikan-petikan ini yang saya kutip dari sini ;

قال النووي في المجموع: يستحب أن يمكث على القبر بعد الدفن ساعة يدعو للميت ويستغفر له نص عليه الشافعي واتفق عليه الأصحاب ، قالوا : ويستحب أن يقرأ عنده شيء من القرآن وإن ختموا القرآن كان أفضل. اهـ – كتاب الجنائز من المجموع باب حمل الجنازة والدفن، المستحب بعد الدفن أن يدعو للميت ويستغفر له: المسألة الثامنة. وهي عبارة محتملة

. وقال في رياض الصالحين آخر باب الدعاء للميت بعد دفنه والقعود عند قبره ساعة للدعاء له والاستغفار والقراءة: قال الشافعي رحمه اللَّه: ويستحب أن يقرأ عنده شيء من القرآن وإن ختموا القرآن كله كان حسناً.اهـ وفي العبارة تجوز كما سيتضح.

وقال في الأذكار: قال الشافعي والأصحاب: يستحب أن يقرؤوا عنده شيئا من القرآن، قالوا فإن ختموا القرآن كله كان حسنا.اهـ ولعل عبارته في الأذكار أدق من غيرها

وعبارة الشافعي في الأم كالتالي: وأحب لو قرئ عند القبر ، ودعي للميت. اهـ ذكر ذلك آخر باب عدد كفن الميت من كتاب الجنائز. وعزاه بعضهم للخلال في جزء القراءة عند القبور المطبوع (رقم 7) عن الشافعي

فظهر لنا أن أصل القراءة صحت عن الشافعي أما استحسان الختم فهي عن أصحابه رضي الله عنهم

قال الحسن الصباح الزعفراني: سألت الشافعي عن القراءة عند القبر فقال: لا بأس بها . – الروح لابن القيم (ص13) طبعة حيدر آباد

6. Secara umumnya, meskipun Imam al-Syafi’i tidak secara jelas mengatakan bahawa sedekah pahala sampai kepada si-mati, namun beliau berpendapat secara jelas bahawa si-mati memperoleh manfaat daripada amalan orang yang masih hidup.

Saya nukilkan pula di sini dari kitab Fatawa al-Imam al-Nawawi (hlm. 83) – lihat gambar :

Terjemahan : “Masalah: Adakah sampai kepada si-mati pahala apa yang disedekahkan untuknya, doa, ataupun bacaan al-Quran? Jawapan: Sampai kepadanya pahala doa dan pahala sedekah dengan ijmak ulama. Dan mereka berselisih pula tentang pahala bacaan al-Quran. Maka kata Ahmad dan sebahagian sahabat al-Syafi’i: Ia sampai. Manakala kata al-Syafi’i dan kebanyakan ulama: Tidak sampai”.

7. Sebelum saya hurai selanjutnya, perlu diingat kalimah-kalimah berikut “doa”, “sedekah” dan “bacaan al-Quran” dalam fatwa di atas. Telah saya nyatakan sebelum ini bahawa Imam al-Syafi’i menyatakan bahawa si-mati memperolehi manfaat daripada bacaan al-Quran orang yang masih hidup. Namun di sini disebut apa yang masyhur daripada beliau iaitu pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si-mati. Perlu diingat, dua pendapat yang zahirnya bertentangan dari sesetengah mujtahid itu memang banyak berlaku. Maka, menjadi kewajipan ulama-ulama mazhabnya untuk menjelaskannya. Justeru apakah penjelasan munasabah bagi isu ini? (Ini kerana ia tidak termasuk dalam perbincangan qawl qadim dan qawl jadid dalam mazhab al-Syafi’i)

8. Ulama Syafii menjelaskan, bahawa maksudnya ialah jika ia membaca al-Quran tetapi tidak berdoa supaya disampaikan pahalanya kepada si mati, maka pahala tersebut tidak akan sampai. Namun jika ia berdoa mohon disampaikan, nescaya si-mati akan memperolehi manfaat daripada bacaan al-Quran tersebut. Ulama-ulama Syafi’i menyatakan, perlu berdoa selepas bacaan al-Quran tersebut agar disampaikan pahalanya kepada si-mati, kerana dengan doa yang dipohonkan itu akan sampai kepada si-mati secara ijmak ulama.

9. Dan inilah yang diamalkan oleh kebanyakan orang yang mengharuskan amalan tersebut, iaitu berdoa mohon disampaikan pahala amalan yang dilakukan kepada si-mati. Selain bacaan al-Quran, termasuk juga bacaan tahlil, zikir dan juga selawat. Ini berdasarkan hadith yang menyebut bahawa kalimah yang baik itu juga merupakan sedekah (الكلمة الطيبة صدقة). Dan sedekah juga sampai kepada si-mati secara ijmak ulama. Apa salahnya ulama-ulama Syafi’i mensistem dan mendetilkan pendapat Imam mereka hingga dicemuh kerana tidak mengikutinya? Mungkin cemuhan tersebut tidak lain hanya bermaksud untuk mencela ulama-ulama bermazhab yang tidak mahu menjadi ‘anti-mazhab’ seperti mereka..

10. Ada juga sesetengah orang yang ‘bakhil’ mempersoalkan, pahala kita sudah cukup banyakkah sehingga mahu menyedekahkannya kepada orang lain? Sebenarnya orang yang membaca al-Quran dengan segala penumpuan (tawajjuh), peluh keringat, waktu yang diluang, bertajwid, berlagu dan juga tadabbur kemudian menyedekahkan pahalanya kepada si-mati, tidak sama pahala yang disedekahkan itu dengan pahala yang dia sendiri perolehi. Misalnya jika dia memperolehi pahala 100% dari hasil usahanya, maka pahala yang disedekahkan kepada si-mati itu tidak mungkin menjadi 100% kerana tidak ada sebarang usaha langsung daripada si-mati. Maka si-mati hanya memperoleh manfaat daripada pahala bacaan tersebut sahaja, tidak termasuk ganjaran susah-payah dan ikhlas orang tadi. Mungkin kita boleh umpamakan misalnya kita memberi sedekah RM100 kepada satu orang miskin, maka orang tersebut memperolehi RM100 juga yang boleh dimanfaatkannya, tetapi tidak memperolehi pahala mencari rezeki halal, pahala sedekah, membantu orang dan pahala ikhlas yang telah kita perolehi.

11. Bukankah dengan sedekah itu (tidak kira sedekah pahala atau harta) akan menambahkan rezeki dan barakah kepada kita? Kita sudah sedia maklum kedudukan hati orang ‘bakhil’ yang enggan langsung membantu orang lain ini…

Sumber :

1. http://sawanih.blogspot.my/2009/07/sedekah-pahala-untuk-si-mati-polemik.html

2. http://sawanih.blogspot.my/2009/07/sedekah-pahala-untuk-si-mati-siri-2.html

27 April 2016 - Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: