Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Isteri tidak boleh dibebankan dengan kerja rumah?

Akhir-akhir ini sering kedengaran ustaz-ustaz popular yang mengatakan bahawa isteri tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab di rumah melainkan bersolek dan mengandungkan anak, tugas kerja rumah ditanggung oleh suami dan bukan isteri, alasannya tiada dalil yang menyatakan bahawa isteri bertanggungjawab untuk membuat kerja-kerja rumah.

Tiadanya dalil (nas) secara spesifik atas sesuatu perkara tidak bermakna sesuatu perkara itu boleh ditolak, kerana para ulama’ juga menggunakan dalil akal, uruf, selain daripada nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidaklah munasabah, bertentangan dengan common sense, isteri duduk diam tanpa apa-apa kerja di rumah sedang suami bertungkus lumus mencari nafkah di luar dan bila balik pula suami juga perlu menyiapkan makanan, menyuci pakaian, jika tidak mampu maka suami perlu menyediakan khadam bagi isterinya. Pandangan ini adalah pandangan yang ekstrim, melampau, kerana terlalu literal dan tidak menggunakan akal fikiran dalam memahami ajaran Islam. Uruf juga menuntut agar isteri melakukan kerja-kerja rumah sebagai usaha meringankan beban suami di luar, jika isteri tidak melaksanakan tanggungjawabnya maka ia akan menggundang kemarahan suami, dan mentaati suami adalah suatu kewajipan dalam Islam.

Sememangnya Rasulullah saw membasuh pakaiannya sendiri, menguli roti yang dimakannya, tetapi itu adalah untuk meringankan beban isterinya, dan kemuliaan peribadinya yang tidak suka menyusahkan orang lain. Ia tidak sama sekali bermakna isteri tidak memiliki apa-apa tugas di rumah. Mengapa tidak diambil kisah Siti Fatimah puteri Rasulullah yang mengadu sakit-sakit badan kerana banyak kerja rumah yang dilakukannya seraya meminta kepada Rasulullah agar diberikan seorang khadam, namun jawapan Rasulullah malah menyuruh Fatimah ra agar bersabar dan membanyakkan berzikir agar semua kepenatan itu diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Sememangnya pandangan bahawa isteri tidak bertanggungjawab terhadap kerja-kerja di rumah akan diminati oleh ramai orang, khususnya apabila terdapat sebahagian kaum wanita yang diperhambakan di rumah oleh sebahagian suami, namun kedua-dua pandangan sama ada yang memperhambakan mahupun yang mentuankan isteri adalah pandangan yang ekstrim, kerana kedua-duanya akan menyebabkan ketidakharmonian dan keruntuhan institusi keluarga. Keharmonian institusi keluarga bergantung kepada keadilan, di mana setiap individu mengetahui dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Perlu adanya kesalingan, jika suami bekerja di luar maka isteri bekerja di rumah, jika dua-dua di luar maka perlu ada mekanisme agar kerja di rumah diringankan.

Islam adalah agama yang adil, ia tidak mendiskriminasikan dan menzalimi mana-mana pihak, tetapi meletakkan setiap orang di tempatnya masing-masing demi kebaikan bersama.

Ustaz Dr Khalif Muammar

23/04/2016 Posted by | Muamalat (Keluarga), Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | Leave a comment

Ingat Mati

Jam yang kita miliki, jika kehabisan bateri, maka jam tersebut sudahpun mati namun masih boleh kita hidupkannya dengan menukar kepada bateri yang baru tetapi apabila sudah berhenti denyutan jantung ataupun nadi kita, tidak ada lagi yang boleh menghidupkan kita setelah kita mati kecuali Allah.

Hadis riwayat Hitsami dan at Thabrani disebut bahawa sesseorang sahabat bertanya kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah, apakah di akhirat nanti ada seseorang yang dikumpulkan bersama-sama para syuhada ?. Rasulullah menjawab, “Ada… iaitu orang yang selalu mengingati kematian sebanyak 20 kali sehari semalam”.

Mengingati mati akan membuatkan kita bertambah semangat untuk melakukan ketaatan kepada Allah.Ini berbeza dengan mereka yang lari dari mengingati kematian.., dia akan bermalas-malas melakukan ketaatan, seringkali menangguhkan ibadat solat dan senantiasa memasang angan-angan yang panjang untuk masa depan dunianya tanpa memikirkan masa depan akhiratnya yang lebih utama untuk difikirkan.

Allah SWT berfirman:

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلاَقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. -Al Jumu’ah:8.

Maksud “lari” dalam ayat ini ialah, seseorang itu melarikan dirinya daripada mengingati kematian kerana cita-citanya untuk memburu kemewahan dunia akan terhalang jika terlalu memikirkan tentang kamatian.Sungguh banyak taburan ayat-ayat di dalam Al-Quran tentang kematian tetapi seringkali dilupakan oleh manusia.Di antaranya:

وَجَآءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ذَلِكَ مَا كُنتَ مِنْهُ تَحِيدُ

Dan datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari dari padanya. -Qaaf:19.

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:

نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ

Kami telah menentukan kematian di antara kamu dan Kami sekali-kali tidak dapat dikalahkan -Al Waqi’ah:60.

فَلَوْ لآ إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ وَأَنتُمْ حِينَئِذٍ تَنظُرُونَ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنكُمْ وَلَكِن لاَّ تُبْصِرُونَ فَلَوْ لآ إِن كُنتُمْ غَيْرَ مَدِينِينَ تَرْجِعُونَهَا إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkongan. Padahal kamu ketika itu melihat, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu.Tapi kamu tidak melihat, maka mengapa jika kamu tidak dikuasai (oleh Allah). Kamu tidak mengembalikan nyawa itu (kepada tempatnya) jika kamu adalah orang-orang yang benar.-Al Waqi’ah:83-87.

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ

Dimana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh. -An Nisa’:78

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ }

Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusiapun sebelum kamu (Muhammad), maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal? Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.-Al Anbiya:34-35

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتُونَ

Sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam) akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula).-Az Zumar:30.

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. -Ali Imran:185.

Cukuplah dengan beberapa ayat ini sebagai peringatan kepada kita semua agar tidak menongkat langit seolah-olah kematian masih lambat lagi.Malah Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam sudah menyampaikan pesannya kepada kita

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ (جة 4236,ت 3550, الصحيحة 757, وهو حديث حسن)

Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Umur umatku antara 60 sampai 70 tahun. Dan sangat sedikit di antara mereka yang melewati itu.”-HR Ibnu Majah, Tirmidzi,

Baginda Nabi Shallallahu alaihi wassalam juga bersabda:

أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ : الْمَوْتَ ……

Perbanyaklah mengingat pemutus kenikmatan, iaitu kematian……..

Ustaz Mohd Hanif Mohd Saleh

23/04/2016 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

Kisah Saidina Uthman menangis di kubur

Suatu hari, Sayidina Usman Ibn Affan radhiyallahu anhu. berjalan melintasi sebuah kawasan kubur. Tiba-tiba Sayidina Usman berhenti melangkah dan terdiam, Kemudian, air matanya mengalir setitis demi setitis, hingga mambasahi janggutnya.

Melihat Sayidina Usman menangis teresak-esak di tepi kuburan itu, datang seorang sahabat lalu bertanya : “Wahai Amirul Mukminin, engkau selalu menyebut Syurga dan Neraka serta segala penderitaan di hari akhirat, tetapi aku tidak pernah melihat engkau menangis semasa engkau memperkatakannya. Tapi hari ini apabila engkau berjalan di tepi kuburan, engkau menangis pula. Apa sebabnya wahai Amirul Mukminin?”

Jawab Sayidna Usman : “Kerana Nabi Shallallahu alaihi wassalam telah bersabda, ‘Kubur ini tempat pertama dari tempat-tempat akhirat dan tempat terakhir dari tempat-tempat dunia. Sesiapa yang selamat dari kubur itu, maka apa yang sudahnya adalah lebih ringan. Dan sesiapa yang tidak selamat darinya, maka apa yang berlaku sesudahnya akan lebih berat lagi.’”

Kita semua akan ditempatkan di dalam kubur..persoalannya, apakah kita akan selamat ataupun tidak ketika berada di dalamnya.Jika ditakdirkan oleh Allah, kita dapat mengetahui keadaan mereka di alam barzakh dengan menemuduga pengalaman mereka setelah dikuburkan, sudah pasti kita akan merasa takut untuk berada di dalamnya, namun bagi mereka yang tidak beriman ataupun ragu-ragu dengan adanya azab kubur, akan menganggap itu semua kisah dongeng yang dibuat-buat untuk menakutkannya dan ianya adalah untuk menghalang dirinya enjoy sepuas-puasnya di atas dunia yang dirasakan adalah Syurga kemewahan hidup baginya….,apatah lagi dengan takhta, jawatan, pangkat, kedudukan, wang yang banyak, kediaman yang besar, isteri yang cantik, aset harta merata-rata sehinggakan mereka merasa begitu sayang sekali untuk diwariskan kepada orang lain setelah penat mereka memburunya jika mereka mati.

Ust Mohd Hanif Mohd Saleh

23/04/2016 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: