Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Rugi besar siapa yang tidak dapat melihat Nabi SAW di hari Akhirat

Tazkirah Jumaat yang Mulia:

Sayidatina Aisyah ra meriwayatkan: “Aku pernah menjahit baju di bilikku, tiba-tiba lampu padam, bilik menjadi gelap dan jarum terjatuh…

Ketika aku cuba meraba-raba mencari jarum itu, tiba-tiba Nabi SAW datang kepadaku dari pintu bilik. Baginda mengangkat lampu dan wajahnya.

Demi Allah yang tiada Tuhan selainnya, sesungguhnya telah terang setiap penjuru bilik dengan cahaya wajah Baginda sehinggalah aku dapat menjumpai kembali jarumku, kerana nur yang memancar.

Kemudian aku menghadap kepadanya, lalu aku berkata: “Engkau lebih mulia daripada ayah dan ibuku wahai Rasulullah. Sungguh terang cahaya wajahmu.”

Nabi SAW berkata: “Wahai Aisyah, rugi besar kepada sesiapa yang tidak dapat melihatku pada hari Kiamat.” Aku bertanya: “Siapakah orang yang tidak boleh melihat engkau pada hari Kiamat wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Rugi besar kepada sesiapa yang tidak dapat melihatku pada hari Kiamat.”

Aku (Aisyah) bertanya lagi: “Siapakah yang tidak boleh melihat engkau pada hari Kiamat wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka yang ketika namaku disebut di sisi mereka, dia tidak berselawat ke atasku”.

(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Marilah kita perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan kaum keluarganya yang mulia.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه اجمعين.

Ustaz Zamihan Al Ghari

22/04/2016 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

AMANAH ILMU vs KHIANAT

Guru yang mulia Syaikhuna Jamal Faruq al-Daqqaq al-Hasani hafizahullah ada menceritakan pada kami sepertimana yang disampaikan oleh guru beliau al-Allamah Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi rahimahullah betapa amanah di dalam ilmu sangat dituntut dan menjadi keaiban bagi seorang ilmuan mengkhianati ilmu yang dipelajarinya.

Ceritanya :

Al-Azhar pada zaman dahulu jika ingin memberikan kepada para pelajarnya Syahadah Alimiyyah ( sijil tertinggi yang membolehkan seseorang itu mengajar di Masjid al-Azhar al-Syariff) maka akan diadakan ujian di dalam 12 bidang ilmu.

Jika pelajar tersebut lulus kesemua 12 ilmu tersebut maka dia mendapat kelulusan untuk mengajar kesemua bidang ilmu tersebut. Ada yang hanya diberikan izin mengajar 3 atau 4 sahaja bidang. Ada yang hanya dibenarkan mengajar 1 bidang sahaja.

Ada juga yang tidak dibenarkan langsung untuk mengajar sebarang bidang ilmu !!

Diantara sekian ramai penuntut ilmu yang akan mengambil ujian tersebut salah seorang daripadanya adalah anak kepada Syaikhul Azhar pada waktu tersebut ( tidak pasti siapakah Syaikhul Azhar tersebut kerana Syaikhuna menukilkan tanpa menyebutkan nama Syaikhul Azhar tersebut).

Selesai hari pertama ujian, sedang Syaikhul Azhar tersebut bersama dengan anaknya melangkah keluar daripada Masjid Agung al-Azhar al-Syariff, datang seorang lelaki bertanya soalan kepada Syaikhul Azhar tersebut .

Soalannya :

” Tuan Syaikh yang mulia, saya ingin bertanya , apakah warna anjing Ashabul Kahfi yang disebutkan di dalam al-Quran?? ”

Syaikhul Azhar terkejut dengan soalan tersebut lalu menjawab :

” Saya tidak pernah pula terfikir tentang perkara tersebut. Nanti saya akan rujuk semula di dalam kitab-kitab para ulama”

Setelah pulang, sepanjang malam Syaikhul Azhar tersebut membelek segala kitab Tafsir dan kitab-kitab karangan ulama bagi mencari jawapan ” warna anjing Ashabul Kahfi”.

Setelah lama membelek kitab-kitab , datang anaknya yang esok akan menduduki ujian Syahadah Alimiyyah  lalu berkata kepada ayahnya :

” Sudahlah ayah, saya kasihan melihat ayah sehingga tidak tidur malam mencari jawapan bagi soalan remeh tersebut. Ayah beri sahaja apa pun jawapan kepada lelaki tersebut, sudah pasti dia akan menerimanya kerana ayah adalah Syaikhul Azhar!”

Terdiam Syaikhul Azhar tersebut.

Keesokannya, anak Syaikhul Azhar tersebut diuji oleh beberapa ulama adakah dia mampu menguasai 12 bidang ilmu tersebut dan diberikan izin mengajar di Masjid Agung al-Azhar al-Syariff.

Setelah ujian selesai, kesemua ulama bersetuju memberikan Syahadah Alimiyyah kepada anak Syaikhul Azhar tersebut.

Tetapi yang mengejutkan, Syaikhul Azhar sendiri tidak bersetuju dengan keputusan para ulama lain. Malah melarang syahadah agung itu diberikan kepada anaknya sendiri. Maka para ulama bertanya kepada beliau, apa yang menyebabkan beliau mengagalkan anak beliau sendiri yang ternyata berkebolehan dan alim.

Maka Syaikhul Azhar itu lalu menjawab :

” Ini adalah kerana sikapnya yang sangat enteng dengan ilmu, malah bersikap khianat dengannya. Semalam, ketika aku mencari jawapan tentang warna anjing Ashabul Kahfi, dia malah memberikan cadangan kepadaku untuk menjawab dengan jawapan yang bohong hanya kerana pangkat dan kedudukanku yang tinggi menyebabkan orang yang bertanya sudah tentu akan mempercayainya.

Maka orang sebegini tidak layak menjadi pendidik dan tidak layak memimpin ummat”

P/S : Perhatikan akhlak solihin terdahulu, berbeza dengan sikap kita sekarang.

Asal punya pangkat dan kedudukan, asal diangkat oleh masyarakat, asal dipandang sebagai alim, asal pandai berceramah maka semua mahu dibahas, semua mahu dijawab walaupun ilmu tidak benar-benar kukuh.

Malah lebih berat, berbohong pula pada masyarakat.

Kasihan masyarakat, terpaksa menerima pembohongan dan pendustaan sedang mereka hauskan kebenaran dan amalan.

Pimpinlah kami Ya Allah.. Berkat NabiMu sallallahu alaihi wasallam.

Ustaz Nazrul Nasir

22/04/2016 Posted by | Bicara Ulama, Tazkirah | Leave a comment

Beberapa displin menerima kandungan ceramah dan tulisan ilmuan

Beberapa displin menerima kandungan ceramah dan tulisan ilmuan itu adalah :-

1)      Semak latar belakang penceramah dan kenali bidang apakah kepakaran beliau. Imam Malik Bin Anas berkata :
إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون
Ertinya : ” Sesungguhnya pengambilan ilmu ini adalah agama, maka telitilah dari mana kamu ambilinya (ilmu) agamamu ”  ( Siyar A’lam An-Nubala, 5/343)

2) Dapatkan komen dari ilmuan lain yang tidak ‘memusuhi’ penceramah yang anda ingin dengarinya.  Ia penting untuk mendapatkan gambaran akan siapakah ia dan sejauh manakah info yang disampaikannya boleh diterima pakai.

3) Mendengar dan membaca dengan faham penerangan sehingga habis dan tidak memotong separuh-separuh kerana ia mungkin sahaja akan menyebabkan perkataan penceramah difahami di luar konteksnya. Petikan-petikan di youtube biasanya kurang dari 10 minit, justeru kemungkinan ia di luar konteks adalah wujud dan pelru berhati-hati mengambilnya. Begitu juga petikan-petikan tulisan seseorang tokoh. Buatlah rujukan dan carilah sumber dan konteks penuh tulisan ilmuan yang berkenaan.

4) Jangan ambil serius sebarang cercaan yang dilontarkan oleh ilmuan kepada mana-mana tokoh dan individu lain. Kebanyakkannya dilontarkan secara tidak adil dan salah faham semata-mata.

5)  Mendengar satu ceramah dari mula sehingga habis dalam satu masa. Membaca satu tulisan juga hingga habis. Jika anda mendengar atau membaca sekerat dan sekerat, ia menjauhkan anda dari mendapat kefahaman bermanfaat dari ceramah dan tulisan tersebut.

6) Sebaiknya, dapatkan penceramah dan penulis yang mampu mengutarakan isi yang disertai dengan ayat dan hadis secara nasnya.  Ia adalah sebaik-baiknya kerana ia akan mendekatkan anda dengan sumber asas. Namun, mempunyai nas tidak semestinya intrepertasinya dan penggunaannya adalah betul dan tepat. Tidak dinafikan terdapat penceramah yang tidak membaca sebarang nas, tetapi semua kandungannya bertepatan dengan al-quran dan hadis. Kesimpulannya, kebijaksanaan anda dalam memilih adalah amat perlu dalam hal ini.

7) Setelah mendapat seusatu ilmu atau kesimpulan dari sesuatu ceramah penulisan, janganlah terlalu taksub atau ikut sehingga mengunci fikiran dan minda dari sebarang pandangan ilmuan lain yang berbeza.

8) Sampaikan ilmu yang diperolehi dengan amanah dan tidak mengubah suainya sesuka hati serta menisbahkannya kepada ilmuan asal. Ia dengan mudah boleh mengakibatkan salah faham dan kesan buruk kepada penceramah asal. Banyak terjadi, sesuatu dakwaan dinisbahkan kepadanya sedangkan ia adalah hasil ubahsuai pendengar atau anak muridnya.

#DrZaharuddinAbdRahman
Presiden MURSHID

22/04/2016 Posted by | Bicara Ulama, Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: