Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

AYAT AL-QURAN HILANG DARI MUSHAF?

(DITULIS OLEH UMAR MUKHTAR BIN MOHD NOOR PADA 10 MAC 2016. DITERBITKAN DI DALAM BAYAN LINNAS)

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran merupakan panduan bagi umat Islam dan ianya juga adalah sumber utama dalam pensyariatan Islam. Di dalam sebuah hadith menyebutkan Al-Quran dan juga Al-Sunnah merupakan dua khazanah yang mana jika dijaga dan diamalkan maka seseorang itu tidak akan sesat selama-lamanya. Sabda Nabi SAW:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.

Riwayat Al-Imam Malik di lam al-Muwatto’ (3)

 
 

Demikianlah juga kehidupan seharian kita yang sewajibnya berpandukan kepada Al-Quran  dan sunnah Nabi SAW. Menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup bermakna memberikan hak yang selayaknya buat Al-Quran itu sendiri. Antara hak-hak Al-Quran yang perlu kita berikan adalah dengan membaca serta mentadabbur segala isi yang terkandung di dalam Al-Quran.


Baru-baru ini, telah berlaku satu perkara yang boleh kita katakan sebagai perkara yang pelik di mana seorang lelaki di utara tanah air, ketika beliau ingin membaca Al-Quran, lantas terkejut melihat beberapa helaian mashaf yang dipegangnya itu, ayat Al-Quran-nya hilang dan ghaib. Tidak habis di situ, semalam dilaporkan  sekali lagi bahawa ayat Al-Quran yang hilang bertambah lagi enam muka surat.

 
 

Peristiwa ini jelas membingungkan segelintir masyarakat Islam dan atas dasar itu, siri Bayan Linnas pada kali ini tampil untuk memberikan kenyataan umum, penjelasan mengenai peristiwa tersebut.

 
 

Makna Al-Quran

Al-Quran pada bahasa mempunyai beberapa makna iaitu mengumpulkan dan menghimpun, danqiraah bererti menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi. Quran pada mulanya seperti qiraah, iaitu masdar (infiniti) dari kata qara’a,qiraatanquranan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عَلَيۡنَا جَمۡعَهُۥ وَقُرۡءَانَهُۥ ١٧ فَإِذَا قَرَأۡنَٰهُ فَٱتَّبِعۡ قُرۡءَانَهُۥ ١٨

Maksudnya: Sesunggguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka itulah bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

 
 

Kata Quran ah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qiraatuhu (bacaannya atau cara membacanya). Jadi, kata itu adalah masdar menurut wazan (konjunsi) fu’lan dengan vokal useperti ghufran dan syukran. Kita dapat mengatakan qara’tuhuquranqiraatan wa quranan, ertinya sama saja. Di sini maqru’ (apa yang dibaca) diberi nama quran (bacaan), yakni penamaanmaf’ul dengan masdar.

Sedangkan ada istilahnya pula ialah kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah al-Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

 
 

Selain disebut sebagai Al-Quran, mushaf juga antara perkataan yang dirujuk sebagai Al-Quran. Diriwayatkan oleh al-Imam al-Zarkasyi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Burhan fi Ulum al-Quran (1/377) bahawa setelah siap Abu Bakar al-Siddiq RA mengumpulkan al-Quran pada zamannya, maka Abu Bakar RA memohon pendapat para sahabat yang lain untuk menamakan lembaran-lembaran Al-Quran yang telah dikumpulkan itu. Ada yang mencadangkan Injil dan al-Sifr namun ditolak oleh Abu Bakar RA kerana menyerupai nama kitab Nasrani dan Yahudi. Lalu Ibn Mas’ud RA mencadangkan agar dinamakan sebagai al-Mushaf. Kata Ibn Mas’ud RA:

رأيتُ للحَبَشَةِ كِتَاباً يدعونهُ المُصْحَفَ، فسمُّوهُ بهِ

Maksudnya: “Aku telah melihat di Habsyah sebuah kitab yang dipanggil al-Mushaf. Maka dinamakan ia dengannya (iaitu al-Mushaf).”

Jika benar riwayat ini, maka boleh kita katakan bahawa Ibn Mas’ud RA adalah orang pertama yang menamakan al-Mushaf buat al-Quran dan kini ianya telahpun masyhur penggunaannya dan umat Islam kini memahami bahawa jika dikatan al-Mushaf maka ianya juga bermaksud al-Quran. Begitu juga pada zaman Uthman bin ‘Affan RA yang mana sebuah mushaf yang dikenali dengan Mushaf Uthmani telah dihasilkan dan ianya telah disebarkan ke seluruh jajahan Islam pada ketika itu. Dapat difahami di sini bahawa mushaf itu adalah lembaran-lembaran yang tertulis padanya pada setiap bahagian kemudian dikumpulkan menjadi satu.

 
 

Matlamat al-Quran

Secara umumnya al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:

Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.

Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.

Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.

Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.

Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.

Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan bekerjasama.

 
 

 
 

Pendapat Tokoh berkenaan Quran

Dinyatakan di sini beberapa kenyataan ulama dan tokoh berkaitan Quran.

Imam Syafie berkata: “Setiap yang bercakap berdasarkan Kitab dan Sunnah, maka itulah yang sebenarnya. Adapun selain keduanya, dilihat sia-sia.”

 
 

Al-Harith al-Muhasibi berkata: “Saudara-saudaraku apabila orang membaca al-Quran untuk mendapat pahalanya, maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu untuktadabbur dan iktibar darinya.”

 
 

Fudhail bin Iyadh berkata: “Penjaga al-Quran sentiasa mengelak dari menderhakai Tuhannya. Bagaimana mungkin mereka melakukan maksiat sedangkan setiap huruf dari al-Quran menyerunya “Demi Allah, jangan engkau ingkari perkara yang engkau bawa dariku.”

 
 

Abdul Qadir al-Jilani berkata: “Wahai kaumku, berlaku baiklah kepada al-Quran dengan beramal dengannya bukan dengan berdebat.”

 
 

Imam Ibn Taimiyyah berkata: “Al-Quran mampu menghilangkan segala penyakit yang menyebabkan keinginan-keinginan jahat, sehingga sihatlah jiwa dan bersihlah keinginannya dan kembalilah seseorang itu kepada fitrah yang telah ditanam oleh Allah SWT sepertimana badan kembali sihat.”

 
 

Ibn Qayyim berkata: “Al-Quran adalah kalam Allah yang Allah tajalli tajalli  kepadanya untuk hamba-hambanya dengan sifat-sifat-Nya.”

 
 

Imam Muslim berkata: “Al-Quran adalah ubat segala penyakit kecuali maut. Semoga hendaknya Allah mematikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci al-Quran.”

 
 

Dr. Mustafa al-Sibaei menyebut beberapa ungkapan antaranya:

 
 

Kesan al-Quran pada jiwa orang yang beriman pada maknanya dan bukan pada lagunya. Bukan yang membaca dengan beramal dan bukan yang mengelokkan bacaan tetapi tidak beramal.

 
 

Bacaan al-Quran dalam radio dengan hati yang khusyuk yang dapat didengar oleh orang Islam sehingga dibuka hati dan akal mereka satu ketika jauh lebih baik dari seribu rancangan yang lain.

 
 

Orang zaman dahulu belajar al-Quran untuk beramal. Kemudian jadilah mereka belajar beramal dengannya. Justeru, bagaimana tiada perbezaan antara generasi kita dan generasi mereka yang agung.

Al-Quran ditangan-tangan orang Islam ibarat senjata ditangan orang-orang jahil.

 
 

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi mengungkapkan banyak kata-kata antaranya:

– Al-Quran merupakan minhaj atau jalan serta cara bagi kehidupan manusia.

– Al-Quran sebagai dustur kepada sebarang hukum.

– Al-Quran sebagai dustur kepada dakwah.

 
 

Janji Allah Terhadap Al-Quran

Allah SWT telah menurunkan Al-Quran kepada nabi-Nya Muhammad SAW dan bersama penurunan itu, Allah SWT telah berjanji bahawa Dia yang akan menjaganya. Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ٩

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. 

                                    (Al-Hijr: 9)

 
 

Kata al-Imam al-Thabari rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. Lihat Tafsir al-Thabari (17/68).

 
 

Kata al-Hafiz Ibn Kathir rahimahullah pula: Allah menegaskan bahawa Dialah yang menurunkan al-Zikr iaitu al-Quran dan Dialah yang memeliharanya dari sebarang pengubahan dan penyelewengan. Lihat Tafsir al-Quran al-Azhim.

 
 

Manakala di dalam surah yang lain pula, Allah S.W.T berfirman:

وَلَئِن شِئۡنَا لَنَذۡهَبَنَّ بِٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِۦ عَلَيۡنَا وَكِيلًا

Maksudnya: Dan sekiranya Kami kehendaki nescaya Kami akan hilangkan apa-apa yang telah Kami wahyukan kepada kamu kemudian kamu tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya. 

(Surah Al-Isra’: 86)

 
 

Mengulas ayat ini, al-Imam al-Thabari menukilkan kata-kata daripada Abdullah Ibn Mas’ud R.Abahawa beliau mentakwilkan ayat ini dengan katanya: Allah menghilangkan apa-apa yang diwahyukan kepadanya itu adalah dengan cara mengangkatnya dari dada-dada para qurra‘. LihatTafsir al-Thabari (hlm. 290).

Manakala al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata: Sebagaimana Kami mampu untuk menurunkan al-Quran ini begitu juga Kami mampu untuk menghilangkannya iaituia dilupakan di sisi manusia.

 
 

Nas Hadis

Terdapat banyak nas hadis yang menunjukkan pemeliharaan al-Quran dan akhirnya diangkat sehingga tiada sebarang ayatpun yang tinggal, antaranya:

 
 

Pertama: Daripada Abdullah bin Mas’ud RA:

لَيُسْرَيَنَّ عَلَى الْقُرْآنِ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَلا يُتْرَكُ آيَةٌ فِي مُصْحَفٍ وَلا فِي قَلْبِ أَحَدٍ إِلا رُفِعَتْ

Maksudnya“Akan ditinggalkan al-Quran  pada malam tersebut dan tidak akan keka satu ayat di dalam mushaf (al-Quran ) dan uga di dalam hati seseorang melainkan ia(al-Quran ) telah diangkat.”

Riwayat al-Darimi (3209) dengan sanad yang sahih

 
 

Berdasarkan apa yang diriwayatkan berkaitan bab ini apa yang disebut oleh Muhammad bin Nasr pada bangun di waktu malam, daripada hadis Abdullah bin Amr, beliau berkata: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga al-Quran itu kembali sebagaimana ia diturunkan. Padanya bunyi di sekitar arash seperti bunyi lebah.” Lalu berkata: “Kamu baca tetapi tidak beramal denganku”.Daripada Hassan: Allah SWT tidak mengutus seorang rasul melainkan diturunkan bersamanya kitab, samada ia diterima oleh kaumnya atau Kami angkatnya kembali, berdasarkan firman Allah SWT:

أَفَنَضۡرِبُ عَنكُمُ ٱلذِّكۡرَ صَفۡحًا أَن كُنتُمۡ قَوۡمٗا مُّسۡرِفِينَ ٥

Maksudnya: Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Quran daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau buruk keadaannya? (Tidak! Kami tidak akan biarkan, bahkan Kami tetap mengingatkan kamu, sama ada kamu mahu menerimanya atau sebaliknya).

(Surah al-Zukhruf: 5)

 
 

Jika mereka tidak mahu menerimanya maka Kami akan meletakkannya ke dalam hati-hati orang lain. Tetapi mereka menjawab: “Kami terimanya wahai Tuhan kami, jika kamu tidak mahu beramal dengannya akan kami angkat dan tidak akan turun daripadanya lagi di atas muka bumi ini.” Telah berkata al-Laith bin Sa’ad: “Dikatakan al-Quran itu terangkat apabila manusia mula meninggalkan al-Quran.” (Fath al-Mannan10/488)

 
 

Kedua: Daripada Huzaifah bin al-Yaman RA:

يدرُسُ الإسلامُ كما يدرُسُ وَشيُ الثَّوبِ حتَّى لا يُدرَى ما صيامٌ، ولا صلاةٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدَقةٌ، ولَيُسرى على كتابِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ في ليلَةٍ، فلا يبقى في الأرضِ منهُ آيةٌ، وتبقَى طوائفُ منَ النَّاسِ الشَّيخُ الكبيرُ والعجوزُ، يقولونَ: أدرَكْنا آباءَنا على هذِهِ الكلمةِ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، فنحنُ نقولُها فقالَ لَهُ صِلةُ: ما تُغني عنهم: لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وَهُم لا يَدرونَ ما صلاةٌ، ولا صيامٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدقةٌ؟ فأعرضَ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ ردَّها علَيهِ ثلاثًا، كلَّ ذلِكَ يعرضُ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ أقبلَ علَيهِ في الثَّالثةِ، فقالَ: يا صِلةُ، تُنجيهِم منَ النَّار ثلاثًا.

Maksudnya: “Ajaran Islam akan terhakis sebagaimana terhakisnya baju sehingga tidak dketahui apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadat, apa itu sedeqah dan akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun. Golongan yang tersisa itu ialah kelompok manusia yang lanjut usia dan lemah, lalu mereka berkata: Kami menemui bapa-bapa kami di atas kalimat “Tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah”, maka kami pun mengucapkannya. Shilah berkata kepadanya: kalimat “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” tidak cukup mereka. Ini kerana, mereka tidak tahu apa itu solat, apa itu puasa, apa itu ibadah dan apa itu sedekah. Maka Huzaifah berpaling daripadanya, namun dia menolaknya dan hal itu dilakukan sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga, Huzaifah berkata: “Wahai Shilah, kamu telah menyelamatkan mereka dari neraka”. Huzaifah mengucapkannya sebanyak tiga kali.”

Riwayat Ibn Majah, Kitab Fitnah, Bab hilangnya al-quran dan ilmu, (4039] [al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan sanad bagi hadis ini kuat]

 
 

Hadis ini menunjukkan akan keadaan umat Islam di akhir zaman disebabkan kejahilan tetapi dalam masa yang sama masih berpegang dengan kalimah tauhid. Manakala makna matan ini ialah “akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun” akan datang satu hari di mana kitab Allah akan dipadamkan dan dihilangkan daripada dada-dada manusia dan juga kertas sehingga tidak tinggal satu ayat pun, bahkan ia diangkat ke langit. Kesimpulannya al-Quran ini akan diangkat kembali kepada-Nya. (Lum’ah al-I’tikad, 7/9)

 
 

Pendapat Ulama

Kami kemukakan di sini beberapa pandangan ulama, antaranya:

 
 

Pertama: Amru Bin Dinar berkata: “Aku mendapati ramai guru-guru kami sejak 70 tahun berkata: “Al-Quran adalah Qalam Allah datang daripada-Nya dan kepada-Nya akan kembali.”

Kedua: Ibn Rajab berkata: “Perkara pertama yang diangkat daripada ilmu adalah ilmu bermanfaat…..sehingga tiada kekal kecuali al-Quran dalam mushaf, dan kemudian diangkatnya pada akhir zaman.”

Ketiga: Syeikh al-Islam berkata: “Al-Quran akan diangkat pada akhir zaman daripada mushaf dan dada sehingga tiada kekal pada dada manusia walau satu kalimah dan pada mushaf walau satu huruf.” Lihat Majmu’ al-Fatawa (3/198)

 
 

 
 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah meneliti nas-nas Al-Quran dan juga hadith-hadith yang berkaitan, jelas di sini menunjukkan bahawa Al-Quran tetap terpelihara sehingga hari kiamat dan sehingga apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Justeru, apa yang berlaku di utara tanah air dan juga di tempat-tempat yang lain sebelum ini bukanlah bermaksud Al-Quran itu diangkat ke langit, kerana maksud yang sebenarnya ialah diangkat semua iaitu hilang huruf dan ayat dari mushaf begitu jua dengan ketiadaan huffaz.

Kami berpendapat kejadian yang berlaku adalah disebabkan beberapa perkara yang perlu diambil kira. Antaranya:

Berlakunya salah cetak terhadap mushaf itu.

Mutu kualiti kertas yang digunakan adalah dari jenis yang rendah.

Semakan yang tidak rapi terhadap mushaf tersebut.

Terlangkah atau terlangkau ayat ketika proses percetakan berlaku.

Mutu dakwat yang digunakan kurang berkualiti yang mana boleh membawa kepada hakisan.

 
 

Kami berpendapat sedemikian kerana, terdapat banyak lagi syarikat percetakan yang berwibawa seperti Majma’ Malik al-Fahd yang terletak di Madinah, Arab Saudi tidak berlaku masalah seperti ini.

Justeru kami menasihati orang ramai jika terdapatnya ayat-ayat yang terhapus dari mushaf maka hendaklah dibawakan kepada badan agama yang berautoriti untuk diajukan aduan dan semakan.

Seterusnya, kita boleh mengambil manfaat dari apa yang berlaku untuk kita memupuk rasa kasih, cinta dan menjunjung Al-Quran seterusnya belajar, membaca serta mentadabbur maknanya dan dijadikan pedoman.

 
 

Penutup

Sengaja penulis menukilkan pendapat tokoh ulama seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi berkenaan dengan keistimewaan al-Quran berbanding dengan kitab-kitab yang lain.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata: “Ayat al-Quran dihafaz oleh ribuan sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Inilah istimewanya yang tiada pada mana-mana kitab atau buku yang lain.”

Al-Quran kitab zaman semuanya. Ia bermaksud kitab yang kekal yang bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi. Tetapi ia sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.

Al-Quran kitab agama keseluruhannya. Maksudnya ialah ia menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya dan daripadanya diambil roh akidah, ibadat, akhlak dan juga usul tasyriq dan hukum hakam.

Al-Quran merupakan kitab kemanusiaan sejagat. Hal ini dapat difahami berdasarkan kepada sifat al-Quran itu sendiri yang banyak menekankan kehidupan manusia dengan kalimahnya dan untuk alam sejagat. Benarlah firman Allah SWT:

إِنۡ هُوَ إِلَّا ذِكۡرٞ لِّلۡعَٰلَمِينَ ٢٧

Maksudnya: Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam.

(Surah al-Takwir : 27)

 
 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa agar kita semua diberikan kefahaman untuk memahami al-Quran, seterusnya mengamalikannya di dalam kehidupan seharian. Amin.

 
 

 
 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

9 Mac 2016 bersamaan 29 Jamadilawwal 1437H

[Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=687%5D

10/03/2016 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Ulasan Dr.Khafidz Soroni Mengenai Buku 40 Kisah Palsu Tapi Masyhur


Kisah 1: Abdul Rahman bin ‘Auf Merangkak Masuk Syurga Disebabkan Terlalu Kaya

Ulasan Dr.Khafidz Soroni:
“al-Hafiz Ibn Hajar menafikan kepalsuannya dlm al-Qawl al-Musaddad”

Kisah 10: Bahasa Penduduk Syurga adalah Bahasa Arab

Ulasan Dr.Khafidz Soroni:
“Ada tiga hukum ulama terhadap hadis di atas iaitu;

i- Ulama yang menyatakan ia hadis sahih atau hasan. Antara mereka; al-Hakim dalam al-Mustadrak, diikuti oleh al-‘Iraqi dalam Takhrij Ihya’ ‘Ulumiddin, as-Suyuti dalam al-Jami’ as-Saghir dan Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah. As-Silafi dan az-Zurqani dalam Mukhtasar al-Maqasid mengatakan ia hasan (iaitu hasan li-ghairih).

ii- Ulama yang menyatakan ia hadis daif atau seumpamanya. Antara mereka; al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, al-Haithami dalam Majma’ az-Zawa’id, Ibn Hajar al-‘Asqalani, as-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, as-Suyuti dalam an-Nukat ‘ala al-Mawdu’at, Ibn ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih as-Syari’ah, al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ dan lain-lain.

iii- Ulama yang menyatakan ia hadis yang sangat daif atau palsu. Antara mereka; Abu Hatim ar-Razi, al-‘Uqaili dalam ad-Dhu’afa’, Ibn Hibban, Ibn al-Jawzi, az-Zahabi, as-Syawkani dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah dan lain-lain.

Setelah meneliti jalan-jalan riwayat hadis berkenaan, saya melihat pendapat kedua adalah lebih sederhana yang menyatakan ia hadis daif, bukan sahih dan bukan juga palsu.”

Kisah 13: Sa’labah, Sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang Tidak Membayar Zakat

Ulasan Dr.Khafidz Soroni:
Ia merupakan sebuah kisah yang masyhur yang telah diriwayatkan oleh at-Tabari dlm Tafsirnya, at-Tabarani dlm al-Kabir, al-Wahidi dlm Asbab an-Nuzul, Ibn al-Athir dlm Usdu al-Ghabah, al-Baghawi dlm Tafsirnya, Abu Nu’aim dlm Ma’rifah as-Sahabah, Ibn ‘Abdil Barr dlm al-Isti’ab, Ibn Mandah, al-Hasan bin Sufyan, Ibn al-Munzir, Ibn Abi Hatim, Abu as-Syeikh, al-‘Askari dlm al-Amthal, Ibn Marduyah, al-Barudi, Ibn Qani’, Ibn as-Sakan, Ibn Syahin, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dan Ibn ‘Asakir. Kesemuanya meriwayatkan daripada riwayat Abu Umamah RA. Terdapat satu jalur riwayat lain yang menyokong riwayat ini daripada Ibn ‘Abbas RA, sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Marduyah dlm Tafsirnya. (lihat: al-Isabah oleh al-Hafiz Ibn Hajar)

“Ada tiga pendapat ulama mengenai status kisah ini, iaitu:

1. Ulama yang menyatakannya tidak palsu atau daif: al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, al-Hafiz al-‘Iraqi dlm Takhrij al-Ihya’, Al-Hafiz as-Suyuti dlm ad-Durr al-Manthur dll, al-‘Allamah al-Futtani dlm Tazkirah al-Maudhu’at, Imam az-Zabidi dlm Ithaf as-Sadah serta kebanyakan para mufassirin (ulama tafsir), termasuk Imam al-Wahidi dlm al-Wajiz, Imam Ibn al-‘Arabi dlm Ahkam al-Quran, al-Hafiz Ibn Kathir, Imam al-Alusi dan lain-lain yang menyatakannya sebagai sebab turunnya ayat 75 surah at-Taubah. Bahkan, Ibn Kathir menyebutkan ia termasuk pendapat Ibn ‘Abbas RA, sahabat mufassir yang terkenal dan al-Hasan al-Basri RA, tabii masyhur.

2. Antara ulama yang menyatakannya sangat daif: al-Hafiz al-Haithami dlm Majma’ az-Zawa’id, al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah dll, Imam Ibn Hajar al-Makki al-Haitami dlm al-Fatawa al-Hadithiyyah dan al-‘Allamah al-Munawi dlm al-Fath as-Samawi.

3. Antara ulama yang menyatakannya palsu: Imam Ibn Hazm dlm kitab al-Muhalla.

Ulama yang menyatakan kisah ini tidak palsu menyebutkan terdapat dua orang Tha’labah, iaitu Tha’labah bin Hatib, seorang sahabat Badar yang meninggal dunia di Uhud dan seorang lagi Tha’labah bin Hatib/Abi Hatib, seorang munafik yang meninggal dunia di zaman Khalifah ‘Uthman RA. Ibn Ishaq menyebut, dia termasuk orang yang membina Masjid ad-Dhirar (masjid orang munafik). Kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm al-Isabah: “Saya telah pasti kedua-duanya berbeza berdasarkan pendapat Ibn al-Kalbi bahawa sahabat Badar tersebut telah syahid di Uhud”. (lihat: Ithaf as-Sadah oleh az-Zabidi)”

Kisah 19: Al-Qamah yang Derhaka kepada Ibunya

Ulasan Dr.Khafidz Soroni:
“Hadis yg berkaitan tanpa menyebut nama ‘Alqamah adalah hadis yg tidak palsu”

Sumber: https://www.facebook.com/kerongsangfans/photos/a.1660441474241951.1073741826.1660438464242252/1696012144018217/?type=3&theater

10/03/2016 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

SOLAT DI ATAS PEAWAT: HUKUM DAN CARANYA


 

 

MUKADIMAH

Kapal terbang merupakan alat pengangkutan udara moden yang tidak dibincangkan berkenaan hukum-hakam berkaitannya oleh para fuqaha terdahulu. Akan tetapi, ia tetap tidak terkeluar dari sifatnya yang merupakan sebuah alat pengangkutan yang mana telah terdapatnya perbincangan mengenai hukum-hakam berkaitannya yang telah disebut oleh para fuqaha seperti hukum solat di atas unta, sampan atau kapal, dan sebagainya. Dalam edisi kali ini, kami di Bayan Linnas akan cuba memberikan penjelasan berkenaan suatu isu iaitu solat di atas kapal terbang serta hukum-hakam yang berkaitan.

 
 

Dalam menghuraikan isu ini dengan lebih lanjut, kami akan membahagikannya kepada beberapa isi penting.

 
 

PERTAMA: MASA PERLEPASAN

Di antara perkara yang diambil kira dalam isu ini ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.

Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.

Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.

 
 

KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT

Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.

 
 

KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT

Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام

Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.

Surah al-Baqarah (144)

Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).

Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadhasebaik sahaja sampai ke destinasi.

 
 

KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK

Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.

 
 

 
 

KELIMA: TAYAMMUM

Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:

فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا

Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih

Surah al-Maidah (6)

Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)

 
 

KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG

Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:

1- Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.

2- Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:

Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.

Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.

(Surah al-Taghabun: 16)

Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.

Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.

 
 

KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU

Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.

Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.

Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.

Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.

Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.

Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.

 
 

Pendapat ulama:

Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqahamazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.

Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).

Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilanganfuqaha.

Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”

 
 

KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT

Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.

(Riwayat Ibnu Hibban)

Menebus dosa

Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa.

(Riwayat al-Bukhari)

 
 

Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut.

(Riwayat Muslim)

Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.

Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.”

(Riwayat Imam Ahmad)

 
 

 
 

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

 
 

Kami sarankan kepada ketua rombongan atau amir jemaah musafir untuk sentiasa mengingatkan kepada jemaah dan ahli rombongan supaya melaksanakan solat. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T:

وَأمُر أَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan perintahkanlah ahli kamu untuk menunaikan solat dan bersabarlah ke atasnya.

Surah Taha (132)

Kata al-Imam al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini: Iaitu perintahkanlah kaum kamu. RujukTafsir al-Baghawi (5/304).

Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberikan keterangan yang berguna untuk kita sama-sama menjadikan solat sebagai agenda pertama kita dalam kehidupan. Lihatlah selepas laungan ‘marilah menuju ke arah solat’ ketika azan. Sesudahnya ialah laungan ‘marilah menuju ke arah kejayaan’. Bagi orang yang menjaga solatnya, sudah tentulah kebahagian dan kejayaan menjadi miliknya di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka. Ameen.

 
 

(DITULIS OLEH UMAR MUKHTAR BIN MOHD NOOR PADA 09 MAC 2016. DITERBITKAN DI DALAM BAYAN LINNAS)

 

 Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

9 MAC 2016 BERSAMAAN 29 JAMADIL AWAL 1437 H.

10/03/2016 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

   

%d bloggers like this: