Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kajian hadith di dalam kitab ihya’ ulumuddin

image

(Kajian hadith di dalam kitab ihya’ ulumuddin oleh Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni)

1) Ada seorang ustaz al-fadhil menghubungi saya bertanyakan tentang kedudukan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Ini barangkali kerana ingin menjawab persoalan mereka yang memandang rendah tentang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis.Maka saya katakan, ada sebuahkitab yang bagus dalam membincangkan masalah ini, iaitu kitab al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil bin ‘Ali al-Mahdali.

2) Pertamanya, amat perlu difahami apakah maksud ilmu hadis itu. Ilmu hadis yang bagaimana? Kerana ilmu hadis itumempunyai banyak pecahan di bawahnya. Walhal, maksud kurang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis itu sebenarnya merujuk kepada ilmu hadis tertentu, terutama berkaitan kajian sanad seperti al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, bukannya keseluruhan cabang dalam ilmu hadis. Ini kerana beliau berkeupayaan dalam ilmu mustalah al-hadith, atau riwayah al-hadith yang objektif utamanya adalah untuk membezakan mana hadith yang sahih dan mana hadith yang dhaif, sepertimana yang dapat dilihat dalam kitab-kitab usul al-fiqhnya, iaitu al-Mankhul dan al-Mustasfa.

3) Beliau juga berkeupayaan dalam mengetahui pelbagai hadis di mana telah memuatkan sebanyak lebih 4,800 buah hadis di dalam kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Iaitu suatu bilangan yang jarang ada di dalam sesebuah kitab seperti itu. Justeru, bukan kesemuanya atau sebahagian besarnya hadis daif dan munkar seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.

4) Bahkan, sebahagian besar hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din adalah masih hadis-hadis sahih dan hasan, serta daif yang dapat diterima dalam bab fada’il acmal (kelebihan-kelebihan amalan). Imam al-Ghazali sewajarnya lebih diberi keuzuran kerana konsep kitab Ihya’ `Ulum al-Din yang disusunnya itu ialah fada’il acmal, bukannya ahkam atau akidah. Berbanding setengah ulama yang menyusun kitab dalam bab ahkam atau akidah, tetapi memuatkannya dengan hadis-hadis daif dan munkar.Demikian antara jawapan saya menurut apa yang terlintas didalam kepala pada masa itu.

5) Hadis-Hadis Ihya’ `Ulum Al-DinPandangan yang mendakwa kelemahan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis bukanlah suatu yang baru. Zahirnya, mereka hanya mengikut pendapat yang mengatakannya demikian, terutama disebabkan hadis-hadis kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din.

Antaranya:Kata al-Hafiz Ibn al-Jawzi (w. 597H): “Beliau memenuhi kitabnya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya” (Talbis Iblis, hlm. 190).

Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) menyatakan: “Adapun apa yang dianggap aib pada al-Ihya’ disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya,ini kerana al-Ghazali diketahui bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis” (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/249).

Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Di dalamnya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214).

6) Sebanyak mana bilangannya? Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali dalam al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith, bilangan hadis-hadis dalam Ihya’ `Ulum al-Din ialah 4,848 buah hadis. Ini berpandukan kepada kitab Is‘af al-Mulihhin bi-Tartib Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din susunan Syeikhuna al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa‘id Mamduh. Bagaimanapun, kitab tersebut hanya menyusun semula hadis-hadis yang ditakhrij oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (w. 806H) dalam al-Mughni `an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar, sedangkan masih ada sebilangan kecil hadis yang tidak ditakhrijkan olehnya.

7) Jika Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) mengira sebanyak 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/287- 389). Maka bakinya jika begitu, ialah sebanyak 3,905 hadis yang masih mempunyai sanad antara sahih, hasan dan daif. Jumlah ini masih dianggap jumlah yang besar. Malah sebahagian daripada bilangan 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya oleh Taj al-Din al-Subki itu sebenarnya masih mempunyai sanad, dan sebahagiannya pula ada yang diperselisihkan darjatnya antara sahih, hasan, daif atau mawdu‘. Ini dapat dilihat dalam takhrij al-Hafiz al-‘Iraqi dan takhrij al-Hafiz Murtadha al-Zabidi yang lebih luas dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. (Lihat: al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali)

8) Boleh dikatakan, tidak ada kitab tasawuf yang mengandungi jumlah hadis sebanyak itu. Maka dakwaan bahawa Imam al-Ghazali hanya menceduk hadis-hadis kitabnya daripada kitab-kitab fiqh dan tasawuf barangkali dapat dipertikaikan.

Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa beliau juga telah memetik hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din daripada kitab-kitab hadis itu sendiri (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 74 & 118).

9) Bagaimanapun, sewajarnya setiap pembaca kitab Ihya’ `Ulum al-Din berhati-hati dalam memetik hadis-hadisnya dan menelitinya menerusi takhrij al-Hafiz al-`Iraqi yang biasanya dicetak bersama-sama dengan kitab Ihya’. Meskipun adakalanya, hukum beliau berbeza dengan hukum al-Hafiz Murtadha al-Zabidi. Sekurang-kurangnya hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fada’il a’mal.

Sumber: Bicara Hadith Bersama Ustaz Mohd Khafidz Soroni

9 March 2016 - Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab), Tasauf

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: