Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

QADA PUASA ATAS BILANGAN YANG TIDAK PASTI

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 166 (27 JANUARI 2016 / BERSAMAAN 17 RABIULAKHIR 1437H)

Soalan:

Assalamualaikum warahmatullah, ,

Saya perlu pencerahan tentang bayar fidyah
Saya tidak pasti tentang bilangan puasa yang ditinggalkan tu. Kalau nak dikira rasanya jumlah bayaran tu mesti agak besar dan saya tak mampu nk lunaskan semua bayaran fidyah tu. Bolehkah saya bayar sekadar yang termampu ustaz? Maafkan atas kejahilan saya tentang pekara ni.

Terima kasih ..

Jawapan:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab-sebab tertentu, maka dia wajib mengqadakan puasanya itu mengikut bilangan hari yang dia tinggalkan. Firman Allah SWT:

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain

Surah al-Baqarah, 2:185

Jika dia merupakan seorang yang memiliki uzur syarie, seperti sakit, lalu dia meninggalkan puasa Ramadhan dalam keadaan dia mampu untuk menggantikannya pada bila-bila waktu selepas Ramadhan, kemudian dia mati. Maka ke atas wali/warisnya untuk menunaikan puasa bagi pihak dia. Daripada Aisyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang mati sedangkan ke atasnya ada puasa (yang perlu diqadakan) maka walinya berpuasa bagi pihaknya.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Daripada Ibn Abbas RA, beliau menceritakan:

جاء رجلٌ إلى النبيِّ صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسولَ اللهِ إن أمي ماتتْ وعليها صومُ شهرٍ، أفأقضِيه عنها ؟ قال: نعم ، قال: فديْنُ اللهِ أحقُّ أن يُقْضَى

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku sudah wafat dan ke atasnya ada sebulan puasa yang perlu diqada, bolehkah aku menunaikannya bagi pihak beliau? Berkata Baginda SAW: Boleh. Adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Wali bererti kaum kerabat dan keluarga. Perlu diperhatikan bahawa fidyah hanya dibayar jika seseorang yang meninggal sebelum sempat mengqadakan puasanya sedangkan dia mampu untuk berbuat sedemikian ketika hidup.

Para ulama membahagikan kaedah penentuan bilangan hari untuk puasa qada kepada dua; tahdidi dan taqribi.

Tahdidi bererti menentukan dengan tepat bilangan hari yang ditinggalkan, manakala taqribi ialah menggunakan anggaran berapa hari yang ditinggalkan kerana seseorang itu lupa berapa hari puasa yang telah dia tinggalkan.

Guru kami, Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti menjelaskan kaedah penentuan secara taqribi ini ialah dengan bertanya kepada seseorang itu seperti ini:

“Adakah telah tinggalkan 50 hari?”
“Terlalu sedikit”
“90 hari?”
“Terlalu banyak”

Maka jumlah taqribinya ialah 75 hari.
Berkenaan dengan fidyah, hendaklah seseorang itu berusaha mengqadakan puasanya setiap hari yang mungkin terlebih dahulu. Ini lebih bersifat ihtiyati (berhati-hati) dalam urusan agama berbanding terus membenarkan membayar fidyah sehingga mengabaikan tuntutan qada’.

Selain daripada itu, boleh juga ditanya kepada mufti negeri masing-masing untuk kepastian lanjut.

Semoga usaha kita untuk mengqada puasa-puasa yang lalu menjadi muhabasah kita untuk meraih kebaikan yang lebih besar daripada Allah SWT pada masa akan datang.

Wallahua`lam.

 

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

27 January 2016 - Posted by | Fatwa, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: