Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Apakah Imam Ibnu Hajar al-Haitami Mengharamkan Berdiri ketika baca Maulid?

Terdapat beberapa orang memahami ucapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Haditiyyah (hal. 58), fasal berdiri ketika dibacakan kisah lahirnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawa yang demikian adalah amalan bid’ah sehingga harus dijauhi atau ditinggalkan. Padahal disisi lain, amalan berdiri menghormat tersebut telah dilakukan oleh MAJORITI umat Islam ahlussunnah wal jama’ah ketika membaca kisah maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Membaca fatwa ulama secara langsung dari kitab-kitab mereka bukanlah semudah membaca novel-novel atau komik di kedai buku. Oleh kerana itu walaupun seseorang itu boleh membaca Bahasa arab, ia bukanlah tiket seseorang itu boleh memahami fatwa ulama yang dibaca secara langsung dari kitab mereka. Tetapi pembaca memerlukan kemahiran tinggi untuk mengenalpasti istilah-istilah yang digunakan, kerana setiap ulama mempunyai istilahnya tersendiri yang kadang ditulis dalam kitabnya yang lain, ini tidak dapat melainkan dengan membaca secara meluas karya-karya ulama tersebut dengan bimbingan berguru. Juga perlu dilihat secara terperinci tentang kaedah yang sedang digunakan ulama sama ada saaduz zaraie atau mempunyai ilah ketika memberi fatwa. Juga perlu melihat apa pandangan ulama lain terhadap fatwa ulama tersebut. Banyak proses yang perlu dilakukan. Mari kita analisis secara ilmiah dakwaan yang mengatakan Ibn Hajar al Haitami membidaahkan berdiri ketika maulid.

Benarkah demikian? Berikut ini adalah teks lengkap ucapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami:

وسئل نفع الله به عما صورته : رُوي في التفسير أنه لما نزل : ) أَتَى أَمْرُ اللَّهِ ( [ النحل : 1 ] وثب النبي ( صلى الله عليه وسلم ) وسمعنا من أفواه بعض الناس قام النبي ( صلى الله عليه وسلم ) ؛ فهل يسنّ لنا إذا قرأناه أن نقوم أو لا ؟ فإن قلتم نعم فهل يختص بالقارىء ، أو يشمل المستمع ، وإن قلتم لا فهل يمنع من ذلك أو لا ؟ فأجاب فسح الله في مدته بقوله :… وإذا تأملته علمت أنه ( صلى الله عليه وسلم ) لم يثب إلا فزعاً من سماع قوله تعالى : ( أَتَى أَمْرُ اللَّهِ ) [ النحل : 1 ] وأنه لم يثب تشريعاً لأمته ليفعلوا مثل فعله . وإذا تقرر أن ذلك الوثوب إنما كان لذلك الفزع ، ولذلك رفع الصحابة رضي الله عنهم رؤوسهم فزعاً ؛ وإن ذلك السبب الذي هو الفزع زال بنزول ( فَلاَ تَسْتَعْجِلُوهُ ) [ النحل : 1 ] ظهر لك أن الوقوف بعد قراءة الآية غير سنة ، ولأجل ذلك لم ينقل عنه ( صلى الله عليه وسلم ) ولا عن أصحابه وقوف عند قراءة الآية بعد ذلك فدل على أن فعله ( صلى الله عليه وسلم ) وأفعالهم إنما كان لسبب وقد زال ، وحينئذٍ ففعل ذلك الآن بدعة لا ينبغي ارتكابها لإبهام العامة ندبها . ونظير ذلك فعل كثير عند ذكر مولده ( صلى الله عليه وسلم ) ووضع أمه له من القيام وهو أيضاً بدعة لم يرد فيه شيء على أن الناس إنما يفعلون ذلك تعظيماً له ( صلى الله عليه وسلم ) فالعوام معذورون لذلك بخلاف الخواص والله سبحانه وتعالى أعلم بالصواب

Fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami tersebut bermula dari soalan tentang hukum berdiri ketika mendengar ayat pertama dari surat an-Nahl; apakah yang demikian adalah sunat atau tidak? Mengingat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdiri meloncat saat diturunkan ayat tersebut.

Beliau menjawab, bahawa melihat dari alur cerita kejadian tersebut, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam meloncat (berdiri) karena terkejut mendengar ayat tersebut. Begitu juga dengan para shahabat. Mereka melakukan hal itu kerana terkejut, dan sebab tersebut telah hilang. Dengan demikian, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri selepas membaca ayat tersebut bukan dalam rangka mengajarkan syariat untuk supaya diikuti oleh umatnya. Hukumnya pun juga tidak sunat, bahkan termasuk bid’ah yang tiada asas yang menyertainya. Dan kerana bukan sunat, maka seyogyanya tidak diamalkan kerana boleh menjadikan salah prasangka dari kalangan orang awam bahawa yang demikian itu adalah sunat.

Selepas Imam Ibnu Hajar al-Haitami menjawab hukum berdiri di atas yang dihukumi bid’ah serta tidak terdapat asasnya, beliau membuat tanzhir (persamaan) dengan hukum orang-orang yang berdiri ketika disebutkan cerita maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika dilahirkan oleh ibundanya.

Ertinya, kedua contoh berdiri tersebut sama-sama tidak ada asas dalilnya secara khusus, sehingga patut dihukumi bid’ah. Tetapi ingat, Imam Ibnu Hajar al-Haitami adalah salah satu ulama yang tidak mengertikan semua bid’ah adalah sesat atau haram sebagaimana kaum Wahabi. Dan isyarat jelas beliau, bahawa bid’ah yang dimaksudkan tidak sampai had haram.

Jelasnya, apakah berdiri ketika mendengar ayat pertama surat an-Nahl dan berdiri kerana disebutkan kisah lahirnya Rasulullah shallallhu ‘alaihi wasallam adalah sama dalam segala hal?

Untuk perbahasan yang lebih fokus dan terperinci, kita akan syarahkan ucapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami pada bahagian terakhir dari ucapan di atas:

Fasal Pertama:

Ucapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami:

ونظير ذلك فعل كثير عند ذكر مولده ( صلى الله عليه وسلم ) ووضع أمه له من القيام وهو أيضاً بدعة لم يرد فيه شيء على أن الناس إنما يفعلون ذلك تعظيماً له ( صلى الله عليه وسلم )

“Sama seperti masalah itu adalah apa yang diamalkan oleh ramai orang yang berdiri ketika disebutkan maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan saat ibundanya melahirkan beliau. Itu juga bid’ah yang tidak terdapat dalilnya (khususnya). Akan tetapi orang-orang melakukan hal itu hanyalah kerana ta’zhim (mengagungkan) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam”.

Dari ucapan di atas kita boleh memahami:

1. Berdiri menyambut kelahiran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah bid’ah.

2. Tidak ada dalil yang menganjurkan berdiri saat disebutkan maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Penghukuman bid’ah tersebut tidak hanya datang dari Imam Ibnu Hajar al-Haitami sahaja, tetapi juga datang dari ulama lain seperti Syaikh Muhammad asy-Syami dalam kitabnya, Sabil al-Huda wa ar-Rasyad, Imam asy-Syibramallisi sebagaimana dalam naqalan Madarij as-Shu’ud karya Syaikh Nawawi al-Bantani dan lain-lain. Tetapi ulama-ulama yang menaqal pendapat-pendapat tersebut hampir SEMUANYA menganjurkan berdiri ketika kisah maulid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dibacakan.

Untuk dua hal di atas kita harus sepakat, bahawa memang betul amalan berdiri tersebut tidak ada dalilnya secara khusus. Dan itulah mengapa Imam Ibnu Hajar menghukuminya bid’ah. Tetapi hendaknya jangan difahami bagian yang ini sahaja.

Orang-orang yang berdiri ketika mendengar kisah maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bukan kerana binaan dalil secara khusus, kerana memang tiada dalilnya secara khusus, tetapi kerana sesuatu yang lain, iaitu ta’zhimnya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Masalah ini hampir sama seperti ketika al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqallani menyebut bid’ah perayaan maulid Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.

أصل عمل المولد بدعة لم تنقل عن أحد من السلف الصالح من القرون الثلاثة ولكنها مع ذلك قد اشتملت على محاسن وضدها فمن تحرى في عملها المحاسن وتجنب ضدها كان بدعة حسنة وإلا فلا

“Asal perayaan maulid adalah bid’ah yang tidak dinaqal dari satupun salaf shalih dari tiga generasi, tetapi walaupun demikian perayaan maulid mengandung kebaikan-kebaikan dan juga sebaliknya. Maka barang siapa yang berusaha melakukan yang baik-baik dan menjauhi keburukannya, maka itu adalah bid’ah hasanah. Jika tidak demikian maka tidak boleh disebut bid’ah hasanah”.

Lihatlah! Pada awalnya al-Hafizh Ibnu Hajar menyebut bid’ah yang tidak ada asalnya. Apakah dengan ucapan ini sudah menunjukkan sebarang larangan? Ternyata belum! Al-Hafizh Ibnu Hajar melanjutkan, jika seseorang melakukan kebaikan-kebaikan didalamnya maka hal itu adalah bid’ah hasanah. Ternyata bid’ah yang tidak ada asalnya boleh berubah menjadi bid’ah hasanah disebabkan perkara-perkara baik di dalamnya.

Fasal Kedua:

Kemudian marilah kita lihat isi penting yang kedua dari ucapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami berikut:

على أن الناس إنما يفعلون ذلك تعظيماً له

“Akan tetapi orang-orang melakukan hal itu hanyalah kerana ta’zhim (mengagungkan) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam”

Ucapan ini seakan-akan adalah penjelasan atau penegasan beliau agar tidak ada menghukum bid’ah sesat atau makruh bahawa ta’zhim inilah maksud sebenar para ulama berdiri ketika kisah maulid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dibacakan.

Dalam ucapan di atas juga terdapat jawaban, bahawa perbezaan antara berdiri setelah mendengar ayat pertama surat an-Nakhl dengan berdiri saat maulid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah terletak pada alasan ta’zhim.

Faedah dari ucapan diatas adalah:

Huruf jair “ala” adalah berfaedah istidrak. Istidrak adalah mengakhiri perkataan sebagai susulan perkataan sebelumnya agar tidak menimbulkan persepsi salah yang muncul dari perkataan awal. Dengan demikian maksud dari ucapan di atas adalah, berdiri ketika disebutkan kisah lahirnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah bid’ah tanpa asas, akan tetapi orang-orang melakukannya semata-mata kerana mengagungkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

2. Imam Ibnu Hajar al-Haitami menggunakan adat hashr (pembatasan) “innama” yang bererti ada maksud lain didalamnya. Dan menurut beliau dalam al-Fath al-Mubin (hal. 115), faedah dari hashr dengan “innama” adalah untuk menetapkan hukum setelah ‘innama” dan menafikan dari selainnya. Dengan demikian, amalan berdiri tersebut dibatasi pada niatan ta’zhim dan bukan kerana yang lain. Atau dapat disyarah seperti kaedah itsbat-nafi dalam kaedah hashr dalam ilmu Ma’ani (cabang ilmu balaghah), iaitu: “Orang-orang tidak berdiri kecuali kerana ta’zhimnya kepada Rasulullah”.

Walhasil, berdiri kerana mendengar kisah lahirnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak ada dalilnya secara khusus, bahkan termasuk bid’ah jika dengan niat kerana itu. Tetapi jika berdiri tersebut kerana ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka hukumnya menjadi berbeza. Iaitu berubah dari bid’ah sahaja menjadi bid’ah hasanah sebagaimana pernyataan oleh ulama.

Melihat dari alur ucapan di atas, jelas sekali Imam Ibnu Hajar al-Haitami sudah menyedari, bahawa bukan dalil khusus yang menjadi asas amalan berdiri tersebut kerana memang tidak ada dalilnya dari sisi ini. Bahkan dari sisi ini pula disebut bid’ah. Akan tetapi amalan berdiri tersebut tiada lain didasarkan kerana ta’zhim. Jadi apakah ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah salah dan bid’ah sesat?! Tentu sahaja tidak.

Ketika orang disoal: “Mengapa Anda berdiri ketika mendengar maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam?”, kemudian dia menjawab, kerana adanya dalil, maka jawaban tersebut salah dan melakukannya adalah bid’ah. Tetapi jika ia menjawab, kerana rasa hormatnya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana orang berdiri ketika datang orang mulia dihadapannya, maka ia tidak salah dan amalan dia disebut dengan bid’ah hasanah atau minimum baik atau terpuji.

Dan inilah faedah mengapa Imam Ibnu Hajar al-Haitami menggunakan huruf jair ‘ala” yang berfaedah istidrak dan menggunakan adat “innama” sebagai hashr.

Nampaknya inilah yang tidak difahami oleh beberapa orang sehingga muncul fahaman bahawa Imam Ibnu Hajar al-Haitami menganggap bid’ah sesat amalan berdiri saat kisah kelahiran Nabi disebutkan. Mereka berhenti pada fahaman ini sahaja dan lupa bahawa Ibnu Hajar dengan sangat jelas memberikan alasan lain mengapa ulama berdiri iaitu tiada lain kerana menghormat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Ertinya, dari sisi ketiadaan dalil secara khusus memang betul bahawa itu adalah bid’ah. Tetapi dari sisi ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka itu adalah diperbolehkan, kerana hukum ta’zhim adalah terpuji menurut agama.

Fasal Ketiga:

Untuk menyokong dan menguatkan pemahaman di atas, berikut saya senaraikan nama-nama ulama yang selaras dengan pemahaman saya.

Imam Burhanuddin al-Halabi dalam as-Sirah al-Halabiyyah (I/136) berkata:

جرت عادة كثير من الناس إذا سمعوا بذكر وضعه صلى الله عليه وسلم أن يقوموا تعظيما له صلى الله عليه وسلم وهذا القيام بدعة لا أصل لها أي لكن هي بدعة حسنة لأنه ليس كل بدعة مذمومة وقد قال سيدنا عمر رضي الله تعالى عنه في إجتماع الناس لصلاة التراويح نعمت البدعة وقد قال العز ابن عبد السلام إن البدعة تعتريها الأحكام الخمسة

“Telah berlaku kebiasaan ramai orang tatkala mendengar kisah lahirnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri menghormat beliau shallallahu ‘alaihi wasallam. Berdiri ini adalah bid’ah yang tiada asasnya. Tetapi ia adalah bid’ah hasanah, kerana tidak setiap bid’ah adalah tercela. Sayyidina Umar radhiyallahu ‘anhu dalam perhimpunan orang-orang yang shalat tarawih berkata: “Ini adalah bid’ah yang paling nikmat”. Imam al-Izz bin Abdissalam berkata: “Sesungguhnya bid’ah terdapat lima macam hukumnya”.

Syaikh Muhammad Ali al-Maliki dalam ash-Sharim al-Mubid (hal. 37) berkata:

والقيام وان كانت بدعة لم يرد به شيئ الا ان الناس انما يفعلون تعظيما له صلى الله عليه وسلم كما في فتاوى ابن حجر الحديثية

“Berdiri (misal ketika membaca maulid Nabi), walaupun bid’ah yang tiada dalilnya sama sekali tetapi orang-orang melakukannya kerana ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana dalam Fatawa Haditsiyyah-nya Imam Ibnu Hajar”.

Syaikh Yusuf an-Nabhani dalam Jawahir al-Bihar (III/383) berkata:

جرت العادة بأنه اذا ساق الوعاظ مولده صلى الله عليه وسلم وذكروا وضع امه له قام الناس عند ذلك تعظيما له صلى الله عليه وسلم وهذا القيام بدعة حسنة لما فيه من اظهار السرور والتعظيم له صلى الله عليه وسلم

“Berlaku kebiasaan, saat penceramah (pemberi mauizhah hasanah) menyampaikan kisah maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan kisah melahirkannya ibunda beliau, orang-orang berdiri ketika itu, kerana ta’zhimnya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan berdiri ini adalah bid’ah hasanah kerana didalamnya terdapat ungkapan rasa suka cita dan ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam”

Syaikh Zaini Dahlan sebagaimana dinaqal dalam I’anah ath-Thalibin (III/414) berkata:

جرت العادة أن الناس إذا سمعوا ذكر وضعه صلى الله عليه وسلم يقومون تعظيما له صلى الله عليه وسلم وهذا القيام مستحسن لما فيه من تعظيم النبي صلى الله عليه وسلم وقد فعل ذلك كثير من علماء الأمة الذين يقتدى بهم

“Berlaku kebiasaan orang-orang ketika mendengar kisah lahirnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri kerana ta’zhim kepada beliau shallallahu ‘alaihi wasallam. Berdiri ini dinilai baik kerana didalamnya terdapat ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan telah ramai ulamanya umat yang boleh diikuti yang melakukannya”.

Kemudian beliau bercerita tentang Imam Mujtahid Taqiyuddin as-Subki yang berdiri ketika mendengar syair maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam karya Imam ash-Sharshari yang juga menganjurkan berdiri.

Imam al-Barzanji dalam maulidnya berkata:

هذا وقد استحسن القيام عند ذكر مولده الشريف أئمة ذوو رواية وروية

“Fahamilah ini, sungguh para imam yang mempunyai naqalan (dari para ulama dan orang shalih) dan yang selalu berfikir telah menganggap baik berdiri saat disebutkan maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia”.

Imam al-Qarafi al-Maliki dalam Anwar al-Buruq fi Anwar al-Furuq (VIII/420) berkata:

وَمِنْ هَذَا الْقِيَامُ عِنْدَ ذِكْرِ مَوْلِدِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي تِلَاوَةِ الْقِصَّةِ فَقَدْ قَالَ الْمَوْلَى أَبُو السُّعُودِ أَنَّهُ قَدْ اُشْتُهِرَ الْيَوْمَ فِي تَعْظِيمِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاعْتِيدَ فِي ذَلِكَ فَعَدَمُ فِعْلِهِ يُوجِبُ عَدَمَ الِاكْتِرَاثِ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَامْتِهَانَهُ فَيَكُونُ كُفْرًا مُخَالِفًا لِوُجُودِ تَعْظِيمِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ا هـ . أَيْ إنْ لَاحَظَ مَنْ لَمْ يَفْعَلْهُ تَحْقِيرَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذَلِكَ ، وَإِلَّا فَهُوَ مَعْصِيَةٌ

“Dari ini, berdiri ketika disebutkan maulidnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam pembacaan kisah, maka al-Maula Abu Su’ud berkata, bahawa telah masyhur sampai hari ini dalam menta’zhimkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan pula telah dijadikan kebiasaan. Maka tidak melakukannya adalah menyebabkan ketiadaan perhatian kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam serta meremehkannya. Maka yang demikian adalah kufur menyelisihi adanya ta’zhim Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Maksudnya adalah jika orang yang tidak melakukan tersebut ada perasaan merendahkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika tidak demikian maka hanya berdosa”.

Ini adalah pendapat ulama yang mewajibkan berdiri saat maulid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dan kaitan dengan ta’zhim yang berpahala di atas adalah mirip dengan perkataan Ibnu Taimiyyah dalam Iqtidha’ ash-Shirath al-Mustaqim (hal. 294) berikut:

فتعظيم المولد واتخاذه موسما قد يفعله بعض الناس ويكون له فيه أجر عظيم لحسن قصده وتعيظمه لرسول الله صلى الله عليه وآله وسلم

“Maka, mengagungkan maulid dan menjadikannya sebagai musim telah diamalkan oleh sebahagian orang. Mereka mendapatkan pahala besar kerana niat yang bagus dan ta’zhimnya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam”

Walaupun Ibnu Taimiyyah tidak sepenuhnya bersetuju dengan maulid Nabi, tetapi beliau menganggap baik dan bahkan menyatakan yang demikian akan mendapatkan pahala besar kerana tujuan yang baik dan ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Ertinya, menurut beliau, maulid memang tidak berasas dalil secara khusus, tetapi melaksanakan maulid dengan niat yang baik dan perasaan hormat kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka pengamalnya mendapatkan pahala besar atas hal itu.

Jika penganut Wahabi bersetuju tentang seseorang yang mendapatkan pahala kerana ta’zhimnya, maka mengapa hal itu tidak berlaku pula dalam amalan berdiri di atas? Jika menurut Imam Ibnu Taimiyyah maulid adalah bid’ah yang haram dan berdoa maka bagaimana bisa perkara haram masih mendapatkan pahala? Banyak kaum Wahabi yang tidak menyadari hal ini.

Fasal Keempat:

Lalu apakah bid’ah pada amalan selepas membaca ayat di atas sampai had haram? Mari kita tengok secara saksama ucapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami berikut:

لا ينبغي ارتكابها لإبهام العامة ندبها

“Sebaiknya tidak dilakukan kerana boleh menjadikan salah sangka kaum awam bahawa yang demikian adalah sunat”

Bukankah jelas bahawa maksud larangan utamanya adalah supaya tidak menjadikan salah sangka dari orang awam. Dengan demikian, larangan tersebut hadir dari perkara lain yang bersifat (kaedah) “saddan li adz-dzara’i” atau “hasman lil bab” (menutup semua jalan yang menuju kepada hal yang haram atau mafsadah), bukan kerana (dzatiyah) amalan berdiri tersebut yang dihukumi bid’ah yang terlarang.

Dengan demikian, jika kita telah menjelaskan kepada orang awam bahawa berdiri tersebut bukanlah sunat maka tidak lagi ada larangan berdiri kerana illatnya telah hilang.

Fasal Kelima:

Ini adalah fasal yang sangat penting dan seakan-akan adalah akhir dari kesimpulan perkataan sebelumnya.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami berkata:

فالعوام معذورون لذلك بخلاف الخواص

“Maka orang awam dianggap udzur kerana itu (ketidakbolehan membezakan berdiri kerana ta’zhim). Berbeza dengan orang-orang khusus (ahli ilmu/ulama)”.

Dari ucapan ini, mereka memahami bahawa berdiri kerana pembacaan maulid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah bid’ah tercela. Bagi orang awam dianggap udzur dan tidak bagi orang yang berilmu atau terkena hukum haram.

Jika demikian fahamannya, maka ini adalah senarai kemusykilannya:

1. Standard udzur adalah berpengetahuan (ilmu) atau tidaknya. Jika standardnya adalah ilmu, maka orang awam atau khas tiada perbezan antara keduanya, kerana orang awam yang sudah tahu bahawa perkara itu adalah bid’ah, maka ia tidak lagi udzur. Lalu mengapa Imam Ibnu Hajar menganggap yang awam udzur? Tentu bukan ini maksudnya.

2. Jika difahami sekilas, maka Imam Ibnu Hajar seakan-akan memperbolehkan bid’ah bagi orang awam sedangkan orang yang khas tidak boleh. Tentu bukan ini juga yang dikehendaki.

3. Jika dikatakan, sebab orang awam dianggap udzur kerana kejahilannya, maka mengapa orang awam tidak bertanya terlebih dahulu? Bukankah yang demikian bercanggah dengan ijma’ ulama bahawa orang tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan sebelum ia mengetahui hukumnya. Dengan demikian, jahil bukan alasan tepat untuk memperbolehkan melakukan bid’ah sesat.

4. Jika perbezaan keduanya adalah kerana kejahilan orang awam sehingga dianggap udzur, maka bukankah jahil ada dua; jahil ma’dzur dan jahil ghairu ma’dzur. Jahil ma’dzur dimaafkan dan jahil ghairu ma’dzur tidak dimaafkan. Jadi jahil yang ghairu ma’dzur tetap berdosa.

5. Jika diberikan alasan bahawa orang awam dianggap samar terhadap hukum tersebut sehingga dianggap udzur, maka bukankah ulama fikih telah menjelaskan bahawa perkara yang samar yang orang awam boleh dimaafkan di sana adalah jika dalam masalah daqaiq umur atau masalah-masalaf fikih yang detail dan mendalam. Dan amalan berdiri di atas bukan kategori daqaiq umur.

Yang benar menurut saya, sesuai pula dengan kefahaman Syaikh Abdul Qadir bin Muhammad Salim al-Kilani al-Iskandari (wafat tahun 1362 H.) dalam kitabnya, Majallah al-Haqaiq saat menjelaskan makna ucapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami di atas adalah sebagai berikut:

“Berdiri tersebut adalah bid’ah. Tetapi jika kerana ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka hukumnya adalah baik (bahkan ada yang mengatakan wajib). Jika orang awam yang melakukan amalan berdiri tersebut tidak tahu bahawa alasannya adalah ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka ia dianggap udzur kerana ia awam. Tetapi bagi ahli ilmu sepatutnya hal demikian tidak samar”.

Atau ucapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami di atas adalah tafri’ (cabangan) dari hukum berdiri selepas membaca ayat surat an-Nakhl, dan bukan tafri’ dari berdiri menghormat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan yang terakhir ini murni pemahaman dari saya secara peribadi.

Mengapa bukan tafri’ dari berdiri saat dibacakan maulidnya Nabi? Kerana amalan berdiri dihadirkan Imam Ibnu Hajar al-Haitami hanya sebagai tanzhir dan bukan objek (maudhu’) fatwanya.

Lalu apa bezanya? Bezanya adalah berdiri selepas membaca ayat tidak ada hujjah lain yang menganggap baik, sementara berdiri ketika disebutkan kisah lahirnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terdapat hujjah lain yang menunjukkan baik dan terpuji, iaitu niat ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Fasal Keenam:

Untuk menguatkan pemahaman mereka adalah judul bab dalam al-Fatawa al-Haditsiyyah berikut:

مطلب في ان القيام في اثناء مولده الشريف بدعة لا ينبغي فعلها

“Bab dalam masalah berdiri di tengah-tengah maulid Nabi yang mulia adalah bid’ah yang tidak seyogyanya dikerjakan”.

Jawaban saya:

1. Memahami masalah adalah dari isi fatwa dan bukan judul. Apalagi belum boleh dipastikan, apakah judul tersebut dibuat oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami atau tidak kerana ini adalah kumpulan fatwa beliau yang ditulis oleh muridnya.

2. Judul menunjukkan ketidak haramannya berdiri. Sementara mereka menganggap ucapan Imam Ibnu Hajar adalah mengharamkan.

Kesimpulan

1. Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan bahkan ulama-ulama yang lain memang benar menganggap bid’ah berdiri saat disebutkan kisah lahirnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi penting diketahui, Imam Ibnu Hajar tidak menyebutnya sebagai bid’ah yang haram ataupun sesat. Terbukti beliau sebelumnya menggunakan kata-kata “yanbaghi” yang mengisyaratkan bukan sebarang larangan. Jika sahaja berdiri tersebut adalah haram maka mengapa beliau memperbolehkan maulid Nabi? Padahal sama-sama tidak ada dalilnya secara khusus.

2. Hukum bid’ah Imam Ibnu Hajar al-Haitami tersebut adalah melihat dari sisi ketiadaan dalil secara khusus tidak dari sisi yang lain.

3. Imam Ibnu Hajar al-Haitami menganggap amalan berdiri tersebut adalah kerana ungkapan rasa ta’zhim. Lepas dari ada dalilnya secara khusus atau tidak. Oleh kerana itu Imam Ibnu Hajar al-Haitami menggunakan adat hashr “innama”. Dan niatan ta’zhim kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah boleh bahkan terpuji. Dan alasan inilah yang kemudian amalan berdiri tersebut dianggap sebagai hal yang baik dan terpuji.

4. Perbezaan antara berdiri mendengar ayat di atas dengan berdiri saat maulid Nabi adalah terletak pada niatan ta’zhim. Dengan demikian ada perbezaan hukum antara keduanya.

5. Imam Ibnu Hajar al-Haitami tidak menghukumi bid’ah sesat amalan berdiri kerana menghurmat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Sikap Peribadi:

Jika pemahaman saya di atas keliru, yang ertinya ucapan Imam Ibnu Hajar al-Haitami tetap difahami sebagai bid’ah atau larangan berdiri dalam maulid Nabi, maka bukankan ini adalah masalah khilafiyyah yang ringan. Sangat ramai ulama yang menganjurkan berdiri bahkan ada yang mewajibkannya. Dengan demikian, bid’ah yang paling besar adalah membuat perpecahan ditubuh muslimin dengan menuduh amalan sesat dan menyebarkannya ditengah-tengah masyarakat sedangkan dalam masalah yang ijtihad masih ditoleransi di sana.

Wallahu A’lam

Solo, 11 Januari 2016

Oleh Nur Hidayat bin Muhammad

Penyelidik

Pertubuhan Penyelidkan Ahlussunnah Wal Jamaah Johor

12 January 2016 - Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: