Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Garis Panduan Solat Dalam Keadaan Duduk:

Garis Panduan Solat Dalam Keadaan Duduk Seperti Berikut:

1. Solat adalah ibadah asas dalam Islam dan dipertanggungjawabkan kepada setiap mukallaf dalam apa jua keadaan termasuk ketika sakit. Cara perlaksanaannya ketika sakit hendaklah dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.
Hadis Rasulullah s.a.w:
صَلِّ قَا ئِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: Solatlah berdiri, jika kamu tidak mampu hendaklah duduk, dan jika kamu tidak mampu berbaring di sebelah tepi.
H.R al-Bukhari : 1066.

2. Berdiri dalam solat fardhu adalah merupakan rukun solat. Walau bagaimanapun bagi pesakit yang tidak boleh berdiri dibolehkan solat dalam keadaan duduk. Duduk bersila adalah lebih utama. Walau bagaimanapun boleh sahaja solat duduk dalam bentuk-bentuk yang lain. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA, dia berkata:
رَأَيْتُ النَّبِيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مُتَرَبِّعًا
Maksudnya: Saya pernah melihat Nabi s.a.w solat dengan duduk bersila.
(Hadis riwayat imam al-Nasa’I dalam Sunannya, kitab Qiyam al-Lail wa Thathawwu’ al-Nahaar, bab كيف صلاة القاعد no:1661).

3. Kebelakangan ini muncul persoalan berkenaan solat secara duduk di atas kerusi bagi mereka yang uzur. Hal ini amat perlu ditangani dengan baik untuk memelihara kesempurnaan ibadah yang menjadi tiang agama.

A. Kedudukan kerusi adalah seperti berikut:

1. Kedudukan bagi ma’mum yang menggunakan kerusi hendaklah di bahagian paling kiri atau kanan saf solat.

2. Jika keuzurannya adalah untuk duduk di atas lantai, atau ruku’ atau sujud namun masih mampu berdiri, maka hendaklah berdiri selari dengan orang bersebelahannya dalam saf solat.

3. Jika keuzurannya adalah untuk berdiri dan terpaksa menunaikan keseluruhan solat dalam keadaan duduk, maka kaki kerusi belakang hendaklah sama dengan orang kaki orang yang berdiri.

4. Kelurusan saf bagi orang yang terpaksa menunaikan keseluruhan solat dalam keadaan duduk dikira ketika jemaah lain dalam keadaan duduk.

B. Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh orang yang mengerjakan solat dalam keadaan menggunakan rukhsah seperti berikut:

1. Hendaklah bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri sekiranya mampu, kerana qiyam adalah sebahagian dari rukun solat. Ini adalah bagi kes ketidakmampuan untuk ruku’, sujud atau berdiri panjang. Manakala bagi kes ketidakmampuan untuk berdiri maka diharuskan bertakbiratul ihram dalam keadaan duduk.

2. Hendaklah terus berdiri ketika membaca al-Fatihah dan surah sekiranya mampu. Walau bagaimanapun, diharuskan duduk apabila tidak mampu atau terus duduk jika langsung tidak mampu.

3. Hendaklah duduk dalam keadaan kedua-dua belah kaki jika mampu atau salah satu daripadanya jika tidak mampu bertekan (i’timad) dan tidak menyandarkan belakang dengan merehatkan kedua-dua kaki atau salah satu daripadanya.

4. Tidak menggerakkan kerusi ketika melakukan isyarat tunduk untuk ruku’ dan sujud.

5. Tidak menyandarkan belakang kepada kerusi tanpa sebarang hajat atau keuzuran. Hal ini kerana ia menyalahi tatacara solat dan keizinan untuk duduk hanya sekadar untuk menampung keuzuran berdiri.

6. Hendaklah membezakan secara konsisten keadaan tunduk untuk ruku’ dan tunduk untuk sujud. Kedududkan isyarat tunduk untuk sujud hendaklah lebih rendah daripada isyarat tunduk untuk rukuk.

7. Tidak sujud di atas sesuatu yang berada di hadapannya seperti yang dilakukan oleh sesetengah penumpang kapal terbang yang menjadikan meja makan sebagai tempat sujud.

8. Sekiranya keuzuran adalah untuk ruku’ atau sujud, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri dan apabila tiba masa untuk ruku’ atau sujud, barulah diizinkan untuk duduk dan melakukan isyarat tunduk tanda ruku’ dan sujud mengikut kemampuan.

9. Hendaklah meletakkan tangan di atas kedua lututnya ketika tunduk tanda ruku’ dan meletakkannya di tempat lain selain lutut ketika tunduk tanda sujud supaya ada perbezaan antara isyarat ruku’ dan sujud. Sebagai contoh, kedua-dua tangan boleh dilepaskan sahaja di sebelah kiri dan kanan ketika tunduk tanda sujud, atau boleh diletakkan di sebelah kedua belah paha kanan dan kiri, atau boleh juga diletakkan pada hujung pemegang kerusi jika ada.

10. Tidak digalakkan menjadi imam kepada ma’mum yang solat dalam keadaan sempurna tanpa duduk di atas kerusi atau lantai. Walau bagaimanapun, sekiranya semua makmum dari kalangan mereka yang uzur atau solat dalam keadaan duduk, maka diharuskan. Sekiranya beliau merupakan imam bertugas dan keuzurannya adalah sementara dan boleh sembuh maka diharuskan untuk mengimamkan solat. Manakala makmum pula tetap wajib berdiri sekiranya mampu.

11. Jika keuzurannya sementara dan boleh hilang, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri apabila hilang keuzuran tersebut. Sebagai contoh sekiranya sedang beliau solat dalam keadaan duduk, tiba-tiba rasa sakit atau uzur yang menghalangnya berdiri hilang, maka ketika itu wajib ke atasnya berdiri dan begitulah sebaliknya.

Sumber: Bahagian Fatwa – Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

20 November 2015 - Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: