Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

PEMAHAMAN BID’AH PADA SYARA’

Bid’ah pada bahasa daripada perkataan بدع iaitu الاختراع على غير مثال سابق “mencipta tanpa contoh sebelumnya”

Ini berdasarkan firman Allah ;
بديع السموات والأرض
“(Dialah) Allah pencipta langit dan bumi”

Nama Allah بديع berasal dari kalimah yang sama dengan perkataan bid’ah. Ayat quran tadi menjadi dalil bahawa bid’ah ialah sesuatu yang tidak ada contoh sebelumnya kerana Allah menciptakan langit dan bumi tanpa contoh sebelumnya. Jika ada contoh sebelumnya maka bukan lagi termasuk di dalam makna bid’ah.

Pada istilah ada beberapa makna ;

Berkata Imam Syatibi : Bid’ah ialah suatu jalan pada agama yang dicipta menyerupai syariat bermaksud untuk beramal dengannya seperti maksud jalan syariat.

Dinaqalkan daripada Ibnul Qayyim di dalam kitab إعلام الموقعين daripada Imam Syafie dan diriwayatkan juga daripada Rabie’ : Sesungguhnya Imam Syafie menjadikan bid’ah iaitu apa yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah atau athar sebahagian sahabat. Kitab Haasyiah Al-Muwaafaqat bagi Imam As-Syatibi juz 4 m/s 78.

Imam Baihaqi menyatakan di dalam kitab manaqib As-Syafie dengan katanya : Perkara yang baru itu terbahagi kepada dua :

1) Daripada apa yang menyalahi Al-Quran atau As-Sunnah atau ijmak maka ini bid’ah yang sesat.
2) Apa yang direka-reka daripada kebaikan tidak ada percanggahan bagi satu daripada ini (Al-Quran atau As-Sunnah atau athar atau ijmak) ini dikira perkara baru yang tidak tercela.

Sesungguhnya telah berkata Umar Bin Al-Khottob رضي الله عنه pada qiam Ramadhan نعمت البدعة هذه “Sebaik-baik bid’ah adalah ini” iaitu mendirikan solat terawih berjemaah dengan satu Imam yang mana tidak pernah ada di zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم – Kitab Al-Haawi bagi Imam As-Suyuthi juzuk 1 m/s 192-193.

Berkata Ibnu ‘Athir : Bid’ah iaitu jika bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul maka ia pada kedudukan tercela dan ingkar dan jika menepati di bawah umum apa yang disunatkan dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul maka ia adalah pada kedudukan terpuji walaupun tidak ada contoh seperti mulia dan pemurah dan perbuatan yang baik maka ini daripada perbuatan terpuji yang tidak ada orang melakukan sebelumnya dengan syarat yang demikian itu tidak bertentangan dengan syara’ kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menjadikan pahala bagi yang demikian tadi dengan sabdanya : من سن سنة حسنة كان له أجرها وأجر من عمل بها “Sesiapa yang mencipta satu sunnah yang baik adalah baginya pahalanya dan pahala orang yang melakukannya”. – Jami’ Al-Usul Juzuk 1 m/s 280-281.

Menaqalkan oleh Imam As-Suyuthi di dalam kitabnya Al-Haawi daripada Imam Nawawi berkata pada kitab beliau tahzib al-asma’ wal lughat seperti berikut : Bid’ah pada syara’ iaitu mengadakan sesuatu yang tidak ada pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم terbahagi kepada baik dan buruk.

Dinaqalkan daripada Imam ‘Izuddin bin Abdissalam berkata di dalam kitab al-Qawaa’id : Bid’ah terbahagi kepada wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Kemudian beliau berkata cara untuk menentukan ialah dengan membentangkan bida’ah di atas kaedah-kaedah syara’ maka jika masuk pada kaedah wajib maka wajib atau pada kaedah haram maka haram atau pada kaedah sunat maka sunat atau kaedah makruh maka makruh atau kaedah harus maka harus. Kemudian beliau menyatakan contoh bagi setiap bahagian. – Al-Haawi bagi Imam As-Suyuthi juzuk 1 m/s 192-193.

Menaqalkan oleh Imam As-Syaukaani daripada Ibnu Hajar katanya di dalam kitab Al-Fathi : Bid’ah asalnya apa yang direka-reka tanpa contoh sebelumnya dan disebut pada syara’ di atas perkara yang bercanggah dengan sunnah maka ia tercela. Sebenarnya sekiranya ia terbit daripada jalan orang yang memperelokkan syariat maka ia baik dan jika ia terbit daripada jalan orang yang memperburukkan pada syara’ maka ia buruk kecuali pada hukum mubah (harus) maka ini terbahagi kepada 5 hukum seperti yang dinyatakan oleh Imam ‘Izuddin bin Abdissalam. – Nailul Author juzuk 3 m/s 60.

Maka dengan pandangan-pandangan para ulama di atas, dapat difahami bid’ah pada syara’ seperti berikut ;

1. Bid’ah terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk.
2. Bid’ah baik yang tidak bercanggah dengan Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias.
3. Penentuan bid’ah hendaklah dilakukan berdasarkan kaedah hukum syara’ iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus.
4. Perbuatan Saidina Umar Al-Khottob di dalam masalah qiam Ramadhan adalah bukti para sahabat memahami bidaah terbahagi kepada dua sesuai dengan perkataan beliau “Sebaik-baik bid’ah adalah ini”.
5. Hadith “Setiap bid’ah adalah sesat” bersifat umum yang tidak boleh difahami secara zahir tanpa mengkhusukan dengan dalil-dalil yang lain daripada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias.

Oleh Al-Haqir ila Rabbi,
Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari

16 November 2015 - Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: