Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

PEMAHAMAN BID’AH PADA SYARA’

Bid’ah pada bahasa daripada perkataan بدع iaitu الاختراع على غير مثال سابق “mencipta tanpa contoh sebelumnya”

Ini berdasarkan firman Allah ;
بديع السموات والأرض
“(Dialah) Allah pencipta langit dan bumi”

Nama Allah بديع berasal dari kalimah yang sama dengan perkataan bid’ah. Ayat quran tadi menjadi dalil bahawa bid’ah ialah sesuatu yang tidak ada contoh sebelumnya kerana Allah menciptakan langit dan bumi tanpa contoh sebelumnya. Jika ada contoh sebelumnya maka bukan lagi termasuk di dalam makna bid’ah.

Pada istilah ada beberapa makna ;

Berkata Imam Syatibi : Bid’ah ialah suatu jalan pada agama yang dicipta menyerupai syariat bermaksud untuk beramal dengannya seperti maksud jalan syariat.

Dinaqalkan daripada Ibnul Qayyim di dalam kitab إعلام الموقعين daripada Imam Syafie dan diriwayatkan juga daripada Rabie’ : Sesungguhnya Imam Syafie menjadikan bid’ah iaitu apa yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah atau athar sebahagian sahabat. Kitab Haasyiah Al-Muwaafaqat bagi Imam As-Syatibi juz 4 m/s 78.

Imam Baihaqi menyatakan di dalam kitab manaqib As-Syafie dengan katanya : Perkara yang baru itu terbahagi kepada dua :

1) Daripada apa yang menyalahi Al-Quran atau As-Sunnah atau ijmak maka ini bid’ah yang sesat.
2) Apa yang direka-reka daripada kebaikan tidak ada percanggahan bagi satu daripada ini (Al-Quran atau As-Sunnah atau athar atau ijmak) ini dikira perkara baru yang tidak tercela.

Sesungguhnya telah berkata Umar Bin Al-Khottob رضي الله عنه pada qiam Ramadhan نعمت البدعة هذه “Sebaik-baik bid’ah adalah ini” iaitu mendirikan solat terawih berjemaah dengan satu Imam yang mana tidak pernah ada di zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم – Kitab Al-Haawi bagi Imam As-Suyuthi juzuk 1 m/s 192-193.

Berkata Ibnu ‘Athir : Bid’ah iaitu jika bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul maka ia pada kedudukan tercela dan ingkar dan jika menepati di bawah umum apa yang disunatkan dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul maka ia adalah pada kedudukan terpuji walaupun tidak ada contoh seperti mulia dan pemurah dan perbuatan yang baik maka ini daripada perbuatan terpuji yang tidak ada orang melakukan sebelumnya dengan syarat yang demikian itu tidak bertentangan dengan syara’ kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menjadikan pahala bagi yang demikian tadi dengan sabdanya : من سن سنة حسنة كان له أجرها وأجر من عمل بها “Sesiapa yang mencipta satu sunnah yang baik adalah baginya pahalanya dan pahala orang yang melakukannya”. – Jami’ Al-Usul Juzuk 1 m/s 280-281.

Menaqalkan oleh Imam As-Suyuthi di dalam kitabnya Al-Haawi daripada Imam Nawawi berkata pada kitab beliau tahzib al-asma’ wal lughat seperti berikut : Bid’ah pada syara’ iaitu mengadakan sesuatu yang tidak ada pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم terbahagi kepada baik dan buruk.

Dinaqalkan daripada Imam ‘Izuddin bin Abdissalam berkata di dalam kitab al-Qawaa’id : Bid’ah terbahagi kepada wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Kemudian beliau berkata cara untuk menentukan ialah dengan membentangkan bida’ah di atas kaedah-kaedah syara’ maka jika masuk pada kaedah wajib maka wajib atau pada kaedah haram maka haram atau pada kaedah sunat maka sunat atau kaedah makruh maka makruh atau kaedah harus maka harus. Kemudian beliau menyatakan contoh bagi setiap bahagian. – Al-Haawi bagi Imam As-Suyuthi juzuk 1 m/s 192-193.

Menaqalkan oleh Imam As-Syaukaani daripada Ibnu Hajar katanya di dalam kitab Al-Fathi : Bid’ah asalnya apa yang direka-reka tanpa contoh sebelumnya dan disebut pada syara’ di atas perkara yang bercanggah dengan sunnah maka ia tercela. Sebenarnya sekiranya ia terbit daripada jalan orang yang memperelokkan syariat maka ia baik dan jika ia terbit daripada jalan orang yang memperburukkan pada syara’ maka ia buruk kecuali pada hukum mubah (harus) maka ini terbahagi kepada 5 hukum seperti yang dinyatakan oleh Imam ‘Izuddin bin Abdissalam. – Nailul Author juzuk 3 m/s 60.

Maka dengan pandangan-pandangan para ulama di atas, dapat difahami bid’ah pada syara’ seperti berikut ;

1. Bid’ah terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk.
2. Bid’ah baik yang tidak bercanggah dengan Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias.
3. Penentuan bid’ah hendaklah dilakukan berdasarkan kaedah hukum syara’ iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus.
4. Perbuatan Saidina Umar Al-Khottob di dalam masalah qiam Ramadhan adalah bukti para sahabat memahami bidaah terbahagi kepada dua sesuai dengan perkataan beliau “Sebaik-baik bid’ah adalah ini”.
5. Hadith “Setiap bid’ah adalah sesat” bersifat umum yang tidak boleh difahami secara zahir tanpa mengkhusukan dengan dalil-dalil yang lain daripada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias.

Oleh Al-Haqir ila Rabbi,
Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari

16/11/2015 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Fitnah – Selidik Dulu Sebelum Tuduh

Cari-salah-orang-aje.jpg

Aspek komunikasi dan penyebaran maklumat bukan saja dilihat berlaku secara lisan, malah boleh disebarkan dengan cepat dan pantas secara maya (virtual) melalui internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Penciptaan alat komunikasi secara maya ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan betul dan baik. Namun, ia menuntut suatu disiplin, tatacara dan tanggungjawab pengguna supaya kemajuan tidak disalahgunakan untuk menyebar perkara tidak benar atau palsu.

Tidak dinafikan peralatan canggih itu hari ini turut disalah guna bagi menyebar pelbagai maklumat palsu, sesat dan fitnah secara bebas tanpa ada rasa tanggungjawab. Tambahan pula, sukar sekali untuk mengesan pihak melakukannya.

Dilihat kesannya terhadap masyarakat, sama ada melalui perhubungan secara lisan atau saluran teknologi maklumat (IT), kedua-duanya sama tahapnya. Jika secara lisan maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitulah juga melalui IT.

Untuk menilai kesahihan berita yang disebarkan, al-Quran sudah meletakkan garis panduan. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah SWT sudah memberi peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti dan menyelidik terlebih dulu berita yang disampaikan oleh orang fasik kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan atau melalui internet.

Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita disebarkan atau jangan terlalu cepat pula menafikannya sebelum membuat penelitian serta penyelidikan terhadap kebenaran berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.

Sebab penurunan ayat itu ada hubung kait dengan berita dibawa oleh al-Walid bin ‘Uqbah bin Abu Mu’it. Ahmad bin Hanbal, meriwayatkan bersumberkan daripada al-Harith bin Dirar al-Khuza’iy, yang berkata, “Aku bertemu Rasulullah SAW, Baginda mengajakku supaya memeluk agama Islam. Aku menerima ajakan (dakwah) Rasulullah SAW itu dengan memeluk agama Islam. Kemudian Rasulullah SAW mengajakku supaya mengeluarkan zakat, dan aku menerima ajakan itu. Aku berkata lagi: Aku perlu pulang kepada kaumku terlebih dulu, untuk mengajak mereka supaya sama-sama memeluk Islam dan mengeluarkan zakat. Sesiapa yang menerima ajakanku itu, aku akan memungut zakat daripadanya. Wahai Rasulullah SAW apabila sudah cukup tempoh, maka hantarlah utusan untuk mengambil zakat yang telah dipungut itu.”

Apabila al-Harith selesai memungut zakat dan tempoh ditetapkan sudah tiba, maka Rasulullah SAW mengutuskan al-Walid bin ‘Uqbah bin Abu Mu’it kepada kaum Bani Mustaliq untuk memungut zakat daripada mereka.

Dalam perjalanan menuju perkampungan Bani Mustaliq itu, al-Walid merasa takut dan gentar. Lalu al-Walid bergegas pulang sebelum sempat sampai ke perkampungan Bani Mustaliq dan membawa berita palsu kepada Rasulullah SAW bahawa al-Harith enggan menyerahkan hasil kutipan zakat itu, malah mengambil tindakan untuk membunuhnya.

Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan utusannya kepada al-Harith untuk memastikan kebenaran berita yang disampaikan oleh al-Walid. Dalam perjalanan, utusan Rasulullah SAW itu bertemu dengan al-Harith dan rombongannya yang sedang menuju kepada Rasulullah SAW Dalam pertemuan itu, al-Harith bertanya kepada utusan itu, “Kepada siapakah kamu semua diutuskan. Mereka menjawab: Kepadamu. Al-Harith bertanya lagi: Mengapa kamu diutuskan kepadaku? Mereka menjawab: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengutuskan al-Walid bin `Uqbah kepadamu untuk mengambil hasil kutipan zakat. Dia berkata bahawa kamu enggan menyerahkan zakat, bahkan bertindak akan membunuhnya. Lantas al-Harith berkata: Tidak! demi Allah yang mengutus Muhammad dengan kebenaran, aku tidak melihat al-Walid pun dan dia tidak datang kepadaku.”

Apabila al-Harith dan rombongannya tiba di hadapan Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu enggan menyerahkan hasil kutipan zakat dan cuba membunuh utusanku. Maka al-Harith berkata: Tidak! Demi Allah yang mengutus engkau dengan kebenaran, aku tidak berbuat demikian. Maka turunlah ayat 6, surah al-Hujurat).” (Ibn Kathir)

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah (itu) adalah daripada syaitan.” (Al-Tabariy).

Oleh: Mohd Shukri Hanapi

Sumber: Bahagian Dakwah JAKIM

16/11/2015 Posted by | Uncategorized | 1 Comment

Hukum Makan Masakan Orang Yang Tidak Solat

image

Soalan:
Bolehkah kita makan masakan orang Islam yang tak solat?

Jawapan:
Rasulullah pernah terima undangan Yahudi di Madinah dan pernah makan masakan mereka , jika di kira Yahudi itu adalah orang kafir tetapi baginda tetap memakannya kerana baginda sudah pasti makanan tersebut halal. Jika nak di kira orang kafir lebih teruk daripada orang Islam yang tak solat. Maka cuba semak balik hadis atau kisah makanan orang yang tak solat itu lebih teruk daripada anjing hitam samada ianya sahih atau palsu.

Secara umumnya memakan makanan yang diberikan oleh orang bukan Islam adalah dibolehkan (halal) jika makanan tersebut tidak terdiri daripada makanan yang diharamkan, seperti mengandungi khinzir, arak atau bangkai (binatang yang haram dimakan atau binatang yang boleh dimakan tetapi tidak disembelih secara syarie) dan sebagainya. Oleh itu, kita boleh menerima bahkan memakan makanan tersebut jika pada zahirnya ia adalah makanan yang bukan dibuat daripada atau kandungannya mengandungi elemen yang haram sebagaimana disebutkan, walaupun makanan itu dibuat atau dimasak atau disediakan oleh mereka sendiri.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah dijemput oleh seorang Yahudi ke suatu jamuan yang disediakannya, iaitu makanan yang terdiri daripada roti yang diperbuat daripada bijirin barli dan bubur yang sudah berubah baunya, dan baginda SAW menerima undangan tersebut.

TIDAK ada larangan kepada orang Islam memakan makanan yang dimasak oleh orang kafir, dan orang fasik (kerana tak solat), selama-mana ia tidak melibatkan makanan yang HARAM di makan (seperti khinzir (babi)) atau minuman yang diharamkan (seperti arak, wine, dsb), dan juga binatang yang disembelih bukan dari kalangan orang Islam atau Ahli Kitab.

Begitu jugalah menggunakan pinggan, gelas dsb, yang di basuh oleh orang-orang kafir, melainkan mereka menggunakan bahan-bahan pencuci yang mengandungi benda yang haram.

Orang Kafir Najis

Firman Allah S.W.T.

“Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang Musyrikun itu adalah najis…..” [Surah al-Taubah ayat 28]

Kenajisan kaum Musyrikin bukanlah najis hissiyah, dan apa yang dijelaskan di dalam al-Quran didalam ayat di atas bermaksud ketidaksucian kaum musyrikin terhadap AQIDAH mereka yang mensyirikkan Allah SWT.

Berkata Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi :

“Kenajisan orang musyrikin adalah Najis Ma’nawiyah, Al-Qaradhawi memetik kata Imam Shaukani rh bahawa apa yang dimaksudkan adalah najis tersebut bukanlah najis hissiyah, bahkan ia adalah najis hukum. Ini bermaksud bahawa aqidah orang-orang kafir ini yang najis, dan bukanlah fizikal badan mereka.

Malah kata al-Qaradhawi di dalam riwayat Sahih bahawa Nabi SAW dan para sahabat pernah minum dan mengambil wuduk dari bijana orang Musyrikin. Baginda juga makan makanan hidangan orang kafir.

Kesimpulannya, anda boleh makan makanan yang dimasak oleh orang kafir selagimana kandungan makanan tersebut halal dimakan. Sentuhan orang kafir BUKAN najis. Yang berbeza dengan kita hanyalah aqidah mereka sahaja. Jika makanan dan masakkan orang kafir di bolehkan maka masakan orang islam yang fasik kerana tak solat adalah di bolehkan.

Boleh makan tetapi jika ada kedai makan yang penjualnya muslim yang menutup aurat dan suaminya nampak warak kita utamakanlah kedai makan seperti ini kerana kita mengutamakan orang yang lebih bertakwa.

Artikel Berkaitan

Anda Teruja Nak Letupkan Jualan Anda Melalui Facebook? Stay Tune Bersama Kami Di Sini!
RM300 Sebulan Dengan Facebook 300
Pakej Lengkap Video Bun, Pau Dan Pizza Style Hotel

16/11/2015 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: