Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Lelaki Dayus Menurut Islam — MyIbrah.com

Bukan mudah menjadi suami kerana tanggungjawab yang digalas oleh suami adalah sangat besar terutama dalam bab tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka. Bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada isu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w tidak akan masuk syurga.

Nabi s.a.w bersabda:

ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي

Ertinya: Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus. (H.R. Ahmad dan An-Nasaie; Albani mengesahkannya Sahih : Ghayatul Maram, no. 278)

Dalam sebuah hadith lain pula:

ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ – تَبَارَكَ وَتَعَالَى – عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .

Ertinya: Tiga yang telah Allah haramkan baginya syurga: Orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya. (H.R. Ahmad)

Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?

Erti Dayus

Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu:

1. Sabda Nabi s.a.w:

وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله

Ertinya: Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak. Lalu sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus? Bersabda Nabi s.a.w: Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya). (H.R. At-Thabrani; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)

Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

2. Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-

قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله

Ertinya: Apakah dayus itu wahai Rasulullah? Jawab Nabi: Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, buka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya)

Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus

Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah dayus, ia adalah seperti berikut:

هو الذي لا يغار على أهله

Ertinya: Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)

Imam Al-‘Aini pula berkata: Cemburu lawannya dayus. (Umdatul Qari, 18/228)

Berkata pula An-Nuhas:

قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم

Ertinya: Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram. (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)

Disebut dalam kitab Faidhul Qadir:

فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره

Ertinya: Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya. (Faidhul Qadir, 3/327)

Imam Az-Zahabi pula berkata:

فمن كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا غيرة فيه

Ertinya: Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana cintanya kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya. (Al-Kabair, 1/62)

Imam Ibn Qayyim pula berkata:

قال ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة

Ertinya: Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.

Dayus Adalah Dosa Besar

Ulama’ Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar:

لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)

Ertinya: Allah telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320)

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini. Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :

والقواد عند العامة السمسار في الزنى

Ertinya: Al-Qawwad (salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina. (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186)

Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya:

الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة

Ertinya: Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat. (Al-kabair, 1/45)

Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan’ kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi s.a.w bersabda:

من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة

Ertinya: Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah (isteri dan anak). (H.R. Ahmad, no. 1445, 1/168)

Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda menyebut tentang keterlanjuran mereka secara ‘ringan’ dan ‘berat’, mereka ingin mengetahui cara bertaubat.

‘Ringan-ringan’ Sebelum Kahwin

Jika seorang bapa mengetahui ‘ringan-ringan’ anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin ditegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau ‘terlanjur’ sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa taubat yang sangat serius, rumahtangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumahtangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan ‘ringan-ringan’ dengan orang lain pula.

Hanya dengan taubat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumahtangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih ‘ringan-ringan’ dan ‘terlanjur’ ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas!!

Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda. Suami juga patut sekali sekala menyemak handphone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua.

Pasti akan ada wanita yang kata, “Habis, kami ini tak payah check suami kami ke ustaz?” Jawabnya, perlu juga, cuma topic sekarang ni sedang menceritakan tanggungjawab suami. Maka perlulah fokus kepada tugas suami dulu.

Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi:

قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.

Ertinya: Berkata Ubadah bin Somit r.a: Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi, lalu Nabi s.a.w bersabda : Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad? Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi. (H.R. Bukhari dan Muslim)

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.

Bila Lelaki menjadi Dayus?

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila:

1. Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2. Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3. Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4. Membiarkan anak perempuannya ber’dating’ dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa ‘sporting’ yang memahami.

6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7. Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8. Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan? Tidak sama sekali.

9. Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10. Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11. Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12. Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13. Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14. Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Terlalu banyak lagi jika ingin coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit ‘dayus’ kepada dirinya.

Mungkin kita akan berkata dalam hati: “Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku.”

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi. Awas wahai lelaki beriman, jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini. Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori dayus yang tiada ruang untuk ke syurga Allah s.w.t. Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi s.a.w bersabda:

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya: Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid. (H.R. Ahmad; sahih menurut Syeikh Syuaib Arnout)

Sumber: http://www.zaharuddin.net/

Anda mungkin juga meminati:
Mendidik Isteri Cara Rasulullah S.A.W
Jelaskan Mana Halal dan Haram Kepada Anak
6 Sikap Isteri
Linkwithin

24/10/2015 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

~ TERAPI IMAN ~

Allah panjangkan umur kita sehingga sekarang…
Allah kekalkan iman kita sehingga sekarang…
Allah berikan petunjuk, hidayah dan taufiq-Nya hingga sekarang..
Allah lanjutkan pemberian rezeki-Nya hingga sekarang…
Allah anugerahkan kesihatan kepada kita sehingga sekarang…
Dan banyak lagi nikmat-nikmat Allah yang telah diberikan-Nya kepada kita selama ini.

Kemudian Allah tanya kita berkali-kali dalam surah al-Rahman..
فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan. (Surah al-Rahman: 13)

*Semoga kita tak termasuk dalam golongan hamba Allah yang kufur nikmat.

Bahagian Dakwah, JAKIM

24/10/2015 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

HATI-HATI PENIPUAN WAHHABI KONONNYA IMAM SHAFIE WAHHABI

Oleh Ustaz Dr Zamihan Al-Ghari

HATI-HATI PENIPUAN WAHHABI

image

Tersebar artikel kononnya Imam Asy Syafie mengikut sebagaimana ajaran Wahhabi tulisan Hairi Nonchi

1. Apabila kita lihat isi artikel ternyata bukan semuanya adalah dari ijtihad Imam asy Syafie. Ini namanya PENIPU ATAS NAMA IMAM ASY SYAFIE. Ingat tanda-tanda munafiq ?

2. Antara ciri-ciri wahhabi yang utama adalah 3 T iaitu Tasyrik (mengkafirkan), Tabdi’ (membid’ah sesatkan) dan Takfir (mengkafirkan) ulamak dan umat Islam tanpa hak serta membawa aqidah mengimaginasikan Allah.

3. DOA QUNUT SUBUH – Imam Taqiyuddin as-Subki asy-Syafie dan Syeikh Abu Hasan al-Karajji asy-Syafie tidak pernah menyatakan doa qunut subuh adalah bid’ah sesat. Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Ibnu Abbas, Barra’ bin Azib Imam As Syafie, Ibnu Abi Laila, Hasan bin Soleh, Abu Ishaq Al Ghazali, Abu Bakar bin Muhammad, Hakam bin Utaibah, Hammad, Ahli HIjjaz, Al Auza’ie kebanyakan Ahli Syam malah menurut Imam An Nawawi dalam Majmu’. Ia adalah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan ulama salaf dan generasi selepas daripada mereka bahawa doa qunut disunatkan pada solat Subuh setiap hari. Rujuk Al-Majmu’ syarah Muhazzab jilid 3 hlm.50. Imam Asy Syafie sendiri menyatakan :

“Tak ada qunut dlm sembahyang lima waktu kecuali sembahyang subuh. Kecuali jika terjadi bencana maka boleh qunut pada semua sembahyang jika imam menyukai”

Al-Um jilid 1 hlm.205.

4. SOLAT SUNAT QOBLIYAH SEBELUM SOLAT JUMAAH – Melemahkan pandangan bukan bermakna membid’ahkan, mengkafirkan atau mensyirikkan Solat Sunat Qabliyah 2 Rakaat Sebelum Solat Jumaat seperti Wahhabi,

5. AZAN DUA KALI SEBELUM SOLAT JUMAAT – Imam Asy Syafie tidak pernah membid’ahkan dua kali azan sebelum Solat Jumaat. Beliau menerangkan.Dan yang mana di antara yang kedua itu yang terjadi pada masa RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam lebih saya sukai

(Umm Juz I, halaman 195).

Lihat bagaimana Imam Syafie mengggunakan af’al tafdhil. Lebih mengutamakan, melebihkan. Tiada pun sebut larangan. TETAPI al albani membid’ahkan lihat kitabnya al-Ajwibah al-Nafi’ah.

6. KENDURI ARWAH – Makruh dalam mazhab asy Syafie bukan bermakna berdosa. Ertinya tuntutan supaya meninggalkan dengan tidak pasti, apabila dibuat tidak berdosa dan apabila ditinggalkan pula mendapat pahala. Di dalam kenduri arwah terdapat sunnah yang dihidupkan seperti memberi makan jiran tetangga, membaca al Quran, berselawat, bertahlil dan sebagainya. Dan ini bukanlah bentuk ratapan. Imam Asy Syafie serta ulamak yang disebutkan tidak menyatakan ia sebagai bid’ah sesat. Maka hujjah wahhabi tertolak sama sekali.

7. Imam Asy Syafie adalah mujtahid mutlaq. Tiada satupun ulamak wahhabi yang bertaraf mujtahid mutlak. Bahkan pengikut wahhabi bertaqlid buta dengan Muhammad bin Abdul Wahhab, Al Albani, Sheikh Bin Baz, Sholeh Uthaimin, Soleh Fauzan dan sebagainya. Bukankah dalam artikel tersebut ramai nama ulamak muktabar seperti Imam An Nawawi, Imam Ibnu Hajar al Asqolani, Imam Izzuddin Abdis Salam adalah pengikut Imam Asy Syafie ? Ulamak hebat pun bertaqlid inikan pula orang awam yang jahil. Tetapi wahhabi selalu perasan diri mereka seperti mujtahid mutlaq.

8. ZAKAT FITRAH GUNA WANG – Imam Asy Syafie tidak membid’ahkan bayar zakat fitrah guna wang. Dalam mazhab Asy Syafie ia diharuskan kerana darurat atau perintah raja. Lihat kitab al-Itharah, bahwa keterangan mazhab Syafie tersebut ada dinyatakan dalam kitab Majmu’ Syarah al-Muhazzab 5/431, kitab al-Majmu’ (5:429)

9. LAFAZ SAYYIDINA – Imam Asy Syafie tidak membid’ahkan. Imam Ar Ramli iaitu antara Mufti Muqallid dalam Mazhab Asy Syafie mengatakan lafaz sayyidina dalam solat diutamakan. Rujuk – Ar Ramli, Tuhfat al Muhtaj, vol 2, hlm 86. Ibnu Qasim al ‘Ubbadi menyatakan ia diutamakan – Hasyiyah Tuhfah 1 hlm 368. Syeikh Syihabuddin al Qaliyubi – pengarang dan pensyarah kitab Minhaj Imam An Nawawi menyatakan ia memuliakan dan menghormati nabi (Qaliyubi 1, hlm 167). Imam Abu Bakar Syatta menyatakan ia diutamakan – I’anatut Tholibin 1, hlm 169.Turut dibolehkan oleh Imam Izzuddin Abdissalam dan Asy Syarqowy.

10. Imam Asy Syafie tidak membid’ahkan bacaan Surah Yaasin malam Jumaat.

11. BERDOA DAN BERZIKIR BERJEMAAH LEPAS SOLAT- Imam Asy Syafie tidak menyatakan berdoa dan berzikir beramai-ramai lepas solat berjemaah adalah bid’ah sesat sebagaimana wahhabi. Bahkan Imam Asy Syafie menyatakan berdoa dan zikir secara senyap atau keras adalah hasan/baik. Beliau memilih untuk zikir secara senyap. Lihat Kitab al-‘Umm: Jilid 1, Hal. 241, 242. Imam An Nawawi dan Imam Ibnu Hajar al Asqolani menyatakan doa dan zikir keras beramai-ramai lepas solat jemaah adalah mazhab jumhur ulama sama ada ulama hadith, fuqaha` atau ulama usul fiqh. Rujuk kitab Syarh Sahih Muslim: Jilid 4-6, hal. 237 dan Fath al-Bari (Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, hal. 260

12. LAFAZ NIAT SEBELUM SOLAT – Imam asy Syafie dan ulamak yang disebutkan tidak membid’ahkan. Ulamak dalam mazhab Asy Syafie seperti al-‘Allamah al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami mensunnahkan lafaz niat sebelum solat didalam Kitab Tuhfatul Muhtaj (II/12), Syekh Zainuddin bin Abdul Aziz didalam Fathul Mu’in Hal. 1, Imam An Nawawi dalam Minhaj At tholibin, Imam Ramli dalam Nihayatul Muhtaj, kerana Imam Asy Syafie membenarkan penggunaan qiyas dalam mengeluarkan hukum rujuk kitab beliau Ar-Risalah. Wahhabi pula jahil dalam mazhab Asy Syafie memandai-mandai berbicara tentang mazhab Asy Syafie.

13. SAMPAI PAHALA BACAAN PADA SIMATI – Wahhabi membid’ah sesat bacaan al Quran kepada simati dan menuduh umat Islam ke kubur sebagai penyembah kubur ! . Dalam mazhab Asy Syafie ia adalah khilaf. Imam An Nawawi di dalam kitabnya Al-Adzkar – doa untuk orang yang sudah mati dan pahala kepada mereka adalah sampai. Imam An Nawawi adalah mujtahid fatwa dalam Mazhab Asy Syafie menganjurkan supaya berdoa supaya pahala bacaan al Quran sampai kepada simati. Imam al Qurtubi menyatakan harus – Tazkirah al Qurtubi. Pendapat muktamad dalam mazhab Asy Syafie menyatakan sampai – lihat kitab Al-Bujairimi Minhaj

14. MENGAPUR DAN MEMBANGUNKAN KUBUR – Ulamak Mazhab Asy Syafie yang lebih mengetahui pandangan Imam Asy Syafie mensyarahkan pandangan beliau. Ia dilihat pada pemilikan tanah kubur oleh mayat berkenaan samada milik sendiri, disabilkan. Ibnu Hajar al Haitami menyatakan sesetengah ulamak asy syafie mengharuskan binaan kubur orang soleh di tanah yang bukan disabilkan ( Tuhfahnya, bab jenazah (jilid 3, m/s 226) Beliau menyatakan tiada makruh jika takut dibongkari (oleh pencuri kain kapan atau dibongkari untuk ditanam jenazah lain sebelum hancur jasadnya), digali binatang buas atau diruntuhi air banjir yang deras.” (kitab Tuhfah bagi Ibnu Hajar Haitami ketika mensyarahkan matan Minhaj Imam Nawawi (bab jenazah). Sila rujuk perincian permasalah ini di – http://khairuummah77.wordpress.com/2009/05/30/penjelasan-kekeliruan/

15. AQIDAH IMAM ASY SYAFIE – Imam Asy Syafie rahimahuLlah (204) berkata :

Allah wujud tidak bertempat, Dia menciptakan tempat dan Dia tetap dengan sifat-sifat keabadianNya seperti mana sebelum Dia menciptakan makhluk. Tidak layak bagi Allah berubah sifatNya atau zatNya (Ittihaf Saadah Al Muttaqin : 2/24), (al-Fiqh al-Akbar, h. 13).

Imam Asy Syafie rahimahuLlah berkata : Aku beriman (dengan nusus mutasyabihat) tanpa tasybih. Aku percaya tanpa tamsil. Aku menegah diriku dari cuba memahaminya. Aku menahan diriku dari mendalaminya dengan seboleh-bolehnya. (Daf’u Syubhah man Syabbaha oleh Imam Taqiyuddin ad Dimasyqi al Hisni (829 H) m/s 147)

Imam Asy Syafie misalnya pernah mentakwil ‘wajah Allah’ yang terdapat dalam ayat, “Ke mana pun kamu menghadap, maka di situlah wajah Allah. (Surah al Baqarah ayat 115). Beliau berkata, maksudnya, wallahua’lam, maka di situlah arah, iaitu kiblat, yang telah Allah arahkan agar kamu menghadap kepadaNya. (Al Asma’ wa As Sifat, jilid ke 2, hal-35)

16. Imam Asy Syafie pun tidak membahagikan dan belajar tauhid 3 (Uluhiyyah, Rububiyyah, Asma’ wa As Sifat) yang dicanangkan Wahhabi. Sifat 20 disusun oleh ulamak dalam asya’iroh memudahkan umat Islam mempelajarinya untuk tahu, memahami, mengamalkan dan menghayati dalam kehidupan. Ia tidak bertentangan dengan aqidah Imam Asy Syafie serta salafussoleh. Bahkan Sifat Mukholafatuhu Ta’ala Lil Hawadith, Qiyamuhu Ta’ala bi nafsihi amat bertepatan dengan aqidah Imam Asy Syafie yang menolak mujassimah dan musyabbihah.

17. MENYAPU MUKA LEPAS SOLAT – Mujtahid Fatwa dalam Mazhab Asy Syafie iaitu Imam An Nawawi menyatakan di dalam Kitab al-Azkar:

وروينا في كتاب ابن السني ، عن أنس رضي الله عنه ، قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا قضى صلاته مسح جبهته بيده اليمنى ، ثم قال : أشهد أن لا إله إلا الله الرحمن الرحيم ، اللهم أذهب عني الهم والحزن
Dan aku meriwayatkan di dalam kitab Ibn al-Sinni dari Anas RA. berkata: Adanya Rasulullah SAW ketika selesai solatnya, beliau mengusap dahinya dengan tangannya yang kanan lalu berdoa: “Aku bersaksi bahawasanya tidak ada tuhan kecuali Dia Zat Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, YA Allah, hilangkanlah dariku kesusahan dan kesedihan” (al-Azkar, 69).

Wallahua’lam bissowab.

Kredit – Kami Tidak Mahu Fahaman Wahhabi Di Malaysia

24/10/2015 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

BAGAIMANA NABI MAKAN?

[Sedikit perkongsian pengajian Syamail Muhammadi, Maulana Hussin, Masjid UKM]

1. Sahabat pada mulanya tak makan ayam, sebab mereka lihat ayam makan najis. Tapi, apabila mereka lihat Nabi makan ayam, mereka pun makan.

2. Nabi suka memulakan santapannya dengan buah labu.

3. Nabi tak pernah makan atas meja, kata Sayidina Anas.

4. Nabi makan roti yang dibuat daripada barli (roti tu kasar dan keras berbanding roti daripada tepung halus)… Kuahnya pula ada buah labu.

[Maulana Hussin bergurau, “Nabi tak makan roti yang halus. Siapa makan roti halus, bidaah. ;-)]

5. Para Sahabat, seperti Anas bin Malik mula menyukai makan buah labu setelah mengetahui Nabi suka makan labu.

6. Ummu Salamah r.ha hidangkan kepada Nabi rusuk kambing yang dipanggang. Kemudian Nabi tidak memperbaharui wuduknya walaupun sebelum itu, apabila baginda makan makanan yang disentuh api, Baginda selalu berwuduk. Tapi akhir-akhir hayat baginda, jika makan makanan sebegitu, baginda tidak lagi berwuduk. Ulama suruh kita pegang amalan yang terkemudian kerana dikira amalan yang terdahulu dikira mansukh.

[Lihat nota selit]

7. Sahabat-sahabat pernah makan di dalam masjid. Ini menunjukkan boleh makan di dalam masjid asalkan tidak mengotorkan dan niat iktikaf.

8. Nabi suka makan kambing terutama di bahagian lengan kerana bahagian itu cepat masak dan memandangkan ia cepat boleh dimakan.

9. “Daging yang paling baik ialah di bahagian belakang.” Hadis.

[Ulama rumus, kedua-duanya digemari oleh Nabi]

10. Nabi suka makanan lebihan yang dimakan oleh orang lain. Kebiasaannya, Baginda akan beri sahabat makan dulu. Yang lebih daripada tu baru Baginda makan.

[Nota selit bagi point no 6, 8 dan 9]

Cara Ahli Fekah Mengeluarkan Hukum Dari Hadis.

[Jika terjumpa hadis yang bercanggah, mula-mula himpun kedua-dua hadis. Jika dua-dua tak boleh himpun, baru tarjih. Ulama kata ada Jika tarjih pun tak boleh, baru ‘nasikh’ dan ‘mansukh’.]

Contohnya, Nabi balik rumah tapi tiada makanan. Lalu, Baginda berpuasa pada hari itu.

[Nabi pun hidup dalam kesusahan tapi Baginda tidak pernah merungut dengan kehidupannya. Isteri Baginda pula tidak berleter mengenai kesusahan mereka]

Imam Abu Hanifah melarang orang yang berpuasa sunat membatalkan puasanya, sama seperti sengaja membatalkan solat sunat yang sedang didirikan. Namun, di sisi Imam Syafii, orang yangberpuasa sunat, boleh berbuka jika tidak mampu meneruskan puasa atau terdapat apa-apa kekangan.

Masing-masing ada dalil.

(Tulisan Khairy Tajudin Novelis)

24/10/2015 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

Solat Duduk Atas Kerusi

Soalan:

Ustaz, untuk makluman saya solat menggunakan kerusi oleh kerana saya tidak boleh duduk antara sujud. Bolehkah saya solat duduk di atas kerusi sepanjang waktu solat. Bagaimana dengan solat terawih dan solat sunat yang lain. Sekiranya kita berhenti solat seperti di tempat minyak petronas tidak disediakan kerusi, bagaimanakah cara saya hendak solat. Terima kasih.

Jawapan:

Bismillah.

1. Seorang yang dalam keuzuran diberi kelonggaran oleh Syarak (yakni Allah dan Rasul) untuk melakukan ibadat mengikut kemampuannya. Firman Allah (bermaksud);

“Bertakwalah kamu kepada Allah sedaya mampu kamu” (surah at-Taghabun, ayat 16).

Nabi saw bersabda;

“Bila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, lakukannya mengikut yang mampu kamu lakukan” (ٍٍSoheh al-Bukhari; 7288).

Khusus tentang solat Nabi saw bersabda;

“Solatlah dengan berdiri. Jika tidak mampu berdiri, solatlah sambil duduk. Jika tidak mampu duduk, solatlah dengan mengiring di atas rusuk kamu” (Soheh al-Bukhari; 1117).

2. Jika setengah rukun solat mampu dilakukan seperti biasa dan setengah lagi tidak mampu dilakukan seperti biasa, maka yang mampu wajib dilakukan seperti biasa dan yang tidak mampu barulah dilakukan mengikut yang terdaya. Ini kerana para ulamak menegaskan dalam kaedah mereka; “Yang mudah dilakukan tidak akan gugur dengan kerana ada yang susah dilakukan”(1). Oleh itu, jika saudara mampu berdiri dan rukuk seperti biasa, wajiblah saudara memulaikan solat dengan berdiri dan ketika hendak sujud barulah saudara duduk di atas kursi dan melakukan sujud dan duduk antara dua sujud di atas kursi mengikut kemampuan saudara. Jika perpindahan dari berdiri kepada duduk itu menyulitkan saudara atau menyakitkan, gugurlah kewajipan berdiri itu dan saudara boleh terus duduk. Begitu juga, jika tidak menemui kerusi untuk duduk, saudara boleh solat dengan duduk di atas lantai sama ada dengan terus duduk (jika tidak mampu berdiri dari awal) atau duduk ketika hendak sujud dan duduk antara dua sujud sahaja, yakni; lakukan apa yangmampu dilakukan.

3. Itu adalah bagi solat fardhu. Adapun solat sunat, harus dilakukan sambil duduk dari awal sekalipun mampu berdiri, namun pahalanya separuh dari solat sambil berdiri jika ia sengaja duduk. Adapun orang yang duduk kerana keuzuran, pahalanya sama seperti orang yang solat berdiri. Sabda Nabi saw;

“Apabila seorang itu sakit atau bermusafir, akan ditulis pahala untuknya sebagaimana amalannya ketika sihat dan ketika dalam negeri” (Soheh al-Bukhari; 2996. Musnad Ahmad; 19679).

Wallahu a’lam.

Nota;

(1) Lihat; al-Asybah wa an-Nazair, Imam as-Suyuti, halaman 159. Mengulas kaedah ini, Imam as-Suyuti berkata; di antara cabang kaedah ini ialah; jika seseorang itu ketika solat dia tidak mampu rukuk dan asujud (seperti biasa), namun masih mampu berdiri, wajiblah dia (memulai solat dengan) berdiri. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Syafiie).

Sumber: http://ilmudanulamak.blogspot.com/

24/10/2015 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Membeli Matawang Asing Ketika Nilai Ringgit Jatuh

image

Membeli Matawang Asing Ketika Nilai Ringgit Jatuh

Q&A BERSAMA PAKAR MUAMALAT PROF MADYA DR AZMAN (UIA)

Membeli Matawang Asing Ketika Nilai Ringgit Jatuh

Salam. Tuan, saya mohon penjelasan. Halal or haram jika ada seorang ni dia pergi ke money changer dan tukar duit malaysia ke duit singapura. Lepas berlalu tempoh masa nilai wang malaysia ni jatuh. Dia pun tukar balik duit singapura ke duit Malaysia sebab nilai dia dah meningkat. Boleh ker? Adakah ini trglng dln forex jugak? Jika haram, apakah faktor pengharamannya?

Jawapan

Menukar duit atau membeli matawang asing adalah harus. Ia dipanggil al-sarf. Dahulunya dinar ditukar dengan dirham. Pada zaman Rasulullah harga 1 dinar sama dengan 8 atau 10 atau 12 dirham. Bahkan ada banyak riwayat berkenaan pertukaran dirham dan dinar beserta pembayaran dalam dirham bagi jualan tangguh bayaran yang mana harganya dipersetujui dalam dinar. Begitulah disebaliknya, sesuatu dijual dengan dirham secara tangguh, dilunaskan dengan dinar sebagaiman yang disebut dengan jelas oleh Abdullah bin Omar.”Daku menjual unta dengan dirham (perak) dan menerima bayaran (credit/ansuran) di dalam dinar dan adakalanya daku menjual unta dengan harga dinar (emas), dan menerima bayaran dengan dirham. Aku bertanya Rasulullah SAW berkenaan dengan transaksi tersebut. Baginda menjawab, tidak mengapa asalkan ia dilunaskan berdasarkan harga matawang pada hari bayaran tersebut.”

Berbalik kepada persoalan di atas, sekiranya seseorang membeli USD kerana takut RM jatuh atau kerana apa apa tujuan, maka ia adalah harus dengan syarat pertukaran berlaku secara tunai dan pertukaran dibuat dalam majlis aqad tanpa sebarang penagguhan serahan mana mana matawang yang ditukarkan/dibeli. Tetapi dia juga perlu sedar tidak semestinya USD sentiasa naik, dengan itu ia bukannya menjamin keuntungan. Harga matawang sentiasa berubah rubah. Peniaga matawang juga sentiasa berdepan dengan risiko naik turun matawang yang diniagakan.

Wallahua’lam

Oleh Pakar Muamalat Prof Madya Dr Azman UIA Rujukan http://drazman.net/2015/10/tukar-duit/

24/10/2015 Posted by | Bicara Ulama, Muamalat (Harta), Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: