Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Timeline Photos

image

Dari meja Mufti Wilayah Persekutuan

KEMAS KINI :
ROKOK ELEKTRONIK BOLEH MENYEBAB KANSER.

Pautan ke laman web PMWP : http://goo.gl/cspkgi

Rokok elektronik, yang menjadi kegilaan ramai, didapati mengandungi bahan pengawet yang boleh membawa kepada kanser, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Beliau berkata antara bahan pengawet itu ialah nikotin dan propylene glycol, dan apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet.

“Ramai pengguna menghisap lebih daripada lima volt untuk mendapatkan asap yang banyak.

“Bahan pengawet itu boleh meningkatkan kemungkinan kepada kanser,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Sumber :
BERNAMA : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1181415

21/10/2015 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Sebab-sebab Malaikat Rahmat Tak Masuk Rumah

Soalan:
Bolehkan ustaz jelaskan apakah perkara-perkara yang menyebabkan malaikat rahmat tak masuk rumah kita?

Jawapan:
Antara Sebab KENAPA Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah anda

Rumah orang yang memutuskan hubungan Silatul Rahim.

Rumah orang yang memakan harta anak yatim secara haram.

Rumah yang memelihara anjing.

Rumah yang banyak menyimpan gambar yang mencerca Para Sahabat Nabi, orang yang telah mati dan sebagainya.

Rumah yang mengumandangkan nyanyian yang memuja selain daripada Allah SWT.

Rumah yang sering meninggikan suara.

Rumah yang didiami mereka yang syirik kepada Allah SWT seperti tukang tilik, ahli sihir dan nujum.

Rumah yang menggunakan perhiasan daripada emas seperti pinggan dan mangkuk daripada emas.

Rumah yang makan makanan yang berbau seperti bauan rokok, perokok, penagih dadah .

Rumah yang didiami mereka yang sentiasa bergelombang dengan maksiat.

Rumah yang didiami mereka yang melakukan dosa-dosa besar.

Rumah yang didiami mereka yang derhaka kepada kedua ibu bapa.

Rumah pemakan riba, interest.
Rumah yang mengamalkan budaya syaitan seperti kumpulan rock black metal.

Rumah yang memiliki patung-patung.

Rumah yang memiliki loceng seperti loceng gereja.

Rumah yang didiami peminum arak.

Rumah yang mempercayai tukang tilik.

Rumah yang didiami mereka yang mendapat laknat Allah SWT, pemakan rasuah, pemberi rasuah dan mereka yang mengubah kejadian Allah SWT seperti wanita yang mencukur bulu kening, wanita yang memakai gelang atau rantai di kaki.

Rumah yang didiami mereka yang berhadas besar tanpa mandi Janabah/Junub.

Rumah yang melakukan pembaziran ( berhias dengan berlebihan ).

Rumah yang melakukan maksiat di dalamnya.

Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Blog Tanyalah Ustaz.

21/10/2015 Posted by | Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | Leave a comment

Penawar bagi Hati – Jauhi 3 Perkara | Nasbun Nurain

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Hujurat:12)

Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,“Berhati-hatilah kamu dengan berprasangka kerana sesungguhnya berprasangka itu adalah sebohong-bohong ucapan. dan janganlah kamu mengintip dan janganlah kamu saling dengki mendengki, dan janganlah kamu saling benci membenci, dan janganlah kamu saling jerumus menjerumuskan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Jangan Berprasangka atau Sangka Buruk

Al-Hujurat [12] Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa

Walaupun luaran (perbuatan) itu asalnya daripada dalaman (hati), bersangka baiklah dengan orang lain. Ada juga manusia yang terpaksa melakukan kejahatan kerana terpaksa dan dia sendiri tidak menyukainya. Ada juga manusia yang menyembunyikan kebaikannya daripada pandangan mata manusia.

Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya seseorang yang melakukan amalan ahli neraka pada pandangan mata manusia, padahal sebenarnya dia adalah ahli syurga. Dan sesungguhnya seseorang yang melakukan amalan ahli syurga pada pandangan mata manusia, padahal dia sebenarnya adalah ahli neraka” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Janganlah Mengintip Untuk Mencari Kesalahan

Al-Hujurat [12] dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…

Bahkan Islam melarang seseorang melihat atau memandang ke dalam rumah orang lain sebelum diizinkan. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w bersabda:Sesiapa yang mengintip ke dalam rumah sebelum diberi izin untuk masuk ke dalam, maka sesungguhnya dia tidak meminta izin (Hadith Riwayat Abu Daud).

Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah kamu bersalah jika seseorang mengintip ka dalam rumahmu tanpa izin dan kamu memukulnya mengunakan batu dan mencederai matanya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Intipan yang dibenarkan hanyalah intipan oleh pihak yang menjaga keselamatan negeri atau negara.

Jauhi Daripada Mengumpat

Jauhilah kamu daripada mengumpat kerana dosa mengumpat itu lebih besar bahayanya daripada zina. Sesungguhnya seseorang lelaki itu terkadang dia berzina lalu bertaubat maka Allah menerima akan taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang mengumpat itu tidak diampuni baginya sehingga dimaafkan oleh orang yang diumpatnya. (Diriwayatkan oleh Abu Asy-Syeikh dari Jabir r.a.)

Zina adalah dosa seorang manusia itu dengan Allah SWT dan terampun dengan bertaubat (melainkan zina yang dilakukan dengan isteri orang, maka perlu dimaafkan oleh si-suami). Mengumpat juga adalah satu dosa besar tetapi hanya orang yang diumpat sahaja boleh memaafkan dosa mengumpat itu. Kesan daripada perbuatan mengumpat adalah sangat buruk. Diantara contohnya ialah; boleh memusnahkan sesebuah rumah tangga atau merosakkan imej seseorang.

Mengumpat ialah menceritakan keburukan seseorang di belakangnya, walaupun perkara itu benar.

Salah seorang sahabat Nabi (saw) bertanya: “Apakah itu mengumpat?” Rasulullah (saw) menjawab: “Menyebut sesuatu mengenai saudaramu di belakangnya yang dia tidak suka.” Selanjutnya Sahabat itu bertanya: “Dan masihkah dikatakan mengumpat sekiranya apa yang disebutkan mengenainya itu benar terdapat padanya?” Rasulullah (saw) menjawab: “Dalam hal demikian (iaitu jika yang disebutkan itu memang benar) maka sebenarnya itulah mengumpat; tetapi jika apa yang disebutkan itu palsu, maka kamu telah memfitnahnya.

Mengumpat hanya dibenarkan sekiranya perlu untuk menyelamatkan seseorang daripada sesuatu penipuan atau kejahatan, namun kejahatan itu tidak boleh diceritakan secara terus-terang.

An-Nisaa [148]….Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Hukum mengumpat itu haram melainkan pada 6 tempat yang diharuskan mengumpat padanya iaitu :

1. Orang yang mengadu pada penguasa tentang kezaliman seseorang dengan menyebut nama orang zalim itu dan perbuatannya bertujuan untuk menghentikan kezalimannya

2. Orang meminta tolong bagi menghilang maksiat pada sesuatu tempat kepada yang berkemampuan dengan menyebut nama pelaku maksiat dan kesalahannya bertujuan untuk menghentikan maksiat itu

3.Orang yang meminta fatwa daripada yang berkelayakan tentang sesuatu masalah yang terpaksa menyebut nama dan kelakuan seperti seorang isteri bertanya tentang hal suaminya dan sikapnya yang buruk

4. Orang yang menakutkan orang Islam lain tentang kejahatan seseorang supaya terselamat daripada keburukan orang itu seperti menyebut kelakuan jahat seseorang perempuan yang diingini untuk dikahwini bila ditanya agar bakal suaminya tidak tertipu dan selamat

5. Menyebut nama seseorang yang masyhur dengan nama buruk seperti Amin Tempang dan sebagainya

6.Menyebut nama orang yang menzahirkan kejahatannya bertujuan supaya orang lain berhati-hati dengannya dan juga agar dia menghentikan kesalahannya itu.

Sumber: Tuan Guru Maulana

21/10/2015 Posted by | Tasauf, Tazkirah | Leave a comment

Persoalan hukum tepuk tangan | Tinta IM Asyraf Mobile

Haram ketika solat, diharus bagi meriahkan majlis

KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program.

Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya.

Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah
Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)

Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.

Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.

Oleh: Imam Muda Asyraf

21/10/2015 Posted by | Bersama Tokoh, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: