Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

BEZA ULAMAK DAN ORANG YANG KURANG PENGETAHUAN DALAM MEMAHAMI AL QURAN

Oleh : Ustaz Muhammad Noorazam bin Bahador

Sehari dua ini,terdapat pihak yang berkongsi …melalui aplikasi whatsapp tulisan yang seakan mengutuk Fadhilatus Syaikh Usamah As-Sayyid Mahmud Al-Azhari Hafizahullah.

Saya ingin berkongsi sedikit perbincangan yang wujud dalam kelas selepas Subuh bersama Fadhilatus Syaikh Hafizahullah agar kita dapat menilai pihak yang mengutuk dan pihak yang dikutuk.

Seorang pelajar bertanya kepada Fadhilatus Syaikh ; "Apakah cara yang benar untuk memahami agama ini dan memahami Al-Qur’an dan Hadith?"

 

Fadhilatus Syaikh menjawab :

"Baik,sebutkan kepadaku apa yang engkau faham dari ayat
[وَلَمَّا رَجَعَ مُوسَى إِلَى قَوْمِهِ غَضْبَانَ أَسِفًا قَالَ بِئْسَمَا خَلَفْتُمُونِي مِنْ بَعْدِي أَعَجِلْتُمْ أَمْرَ رَبِّكُمْ وَأَلْقَى الأَلْوَاحَ]
pada perkataan "wa alqa al-alwah"?
(Ayat yang menceritakan tentang Nabi Musa Alaihis Salam pulang dari bermunajat lalu melihat kaum Baginda menyembah berhala)

Pelajar itu menjawab : "Ayat ini bermakna Nabi Musa AlaihisSalam telah melempar lembaran wahyu yang dipegangnya akibat terlalu marah dengan perlakuan kaum Baginda"

Mendengar jawapan dari pelajar tersebut,Fadhilatus Syaikh menerangkan secara panjang lebar :

"Apabila engkau mentafsirkan perkataan أَلْقَى dengan makna melempar atau menghempas,ketika itu engkau telah melakukan kesalahan yang amat besar dalam memahami kalaamullah.

Lembaran wahyu itu mengandungi kandungan Taurat.
Taurat adalah kitab suci.
Kefahaman engkau bahawa Saidina Musa melempar dan mencampakkan kitab suci akibat terlalu marah mengandungi kesalahan yang amat besar.

Pertamanya ia bercanggah dengan perkara pokok dalam agama iaitu Para Nabi adalah Maksum.

Maksum bererti terpelihara dari melakukan sebarang perkara terlarang dalam syariat,walaupun hanya sekadar khilaf aula.

Perbuatan melemparkan lembaran suci adalah haram hukumnya.
Bagaimana engkau boleh faham bahawa Saidina Musa melemparkan lembaran wahyu yang suci itu?

Kemudiannya,engkau cuba pula untuk merasionalkan kefahaman engkau itu dengan berkata perbuatan itu dilakukan kerana Saidina Musa terlampau marah ketika itu.

Kefahaman ini lebih berat kerana engkau mengatakan bahawa Saidina Musa dapat ditewaskan oleh perasaan marah,sehingga melakukan perkara yang dilarang syarak,sedangkan kita dapat lihat orang-orang soleh biasa mampu mengawal marah mereka. Kefahaman sebegini amat-amat bercanggah dengan persoalan maksumnya para Nabi.

Oleh itu,cara yang benar untuk memahami ayat ini dengan betul adalah dengan kita mestilah menghimpunkan terlebih dahulu kesemua ayat dan hadith yang menyebut lafaz أَلْقَى lalu kita teliti penggunaannya.

Kita perlu lihat apakah makna lafaz ini dalam penggunaan bahasa Arab yang fasih.

Apabila kita melihat kamus-kamus utama bahasa arab,kita akan mendapati perkataan أَلْقَى membawa makna "meletakkan sesuatu dalam keadaan tenang".

Apabila kita menghimpunkan ayat Al-Qur’an yang menyebut perkataan أَلْقَى sebagai contoh ayat yang menyebutkan tentang Ibu Saidina Musa ingin menyelamatkan anaknya yang baru dilahirkan dari buruan Firaun :
وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ .

Adakah lafaz "فَأَلْقِيهِ" di sini bermaksud "lempar dan campaklah anakmu itu ke sungai"?
Tentu sekali tidak dapat digambarkan bahawa seorang ibu yang penyayang yang ingin memastikan keselamatan anaknya akan melempar dan mencampakkan anaknya ke dalam sungai itu.
Pastinya makna yang tepat bagi lafaz itu adalah "letakkanlah anakmu itu dengan baik di sungai.."

Kemudian Fadhilatus Syaikh menghimpun dan menyebutkan ayat-ayat lain satu persatu (sekitar 10 ayat dan hadith) yang mengandungi perkataan الإلقاء untuk menjelaskan maksud sebenar dari perkataan tersebut yang mana akhirnya membuatkan kami semua yang hadir dapat faham makna sebenar bagi lafaz أَلْقَى yang disebut dalam kisah Nabi Musa setelah pulang dari bermunajat dengan Allah tersebut.

Fadhilatus Syaikh menegaskan lagi bahawa adalah menjadi satu kesalahan yang besar apabila kita cuba mentafsir dan memahami ayat Al-Qur’an dengan berpandukan penggunaan semasa di zaman kita bagi lafaz tertentu dengan mengabaikan makna asal dalam penggunaan bahasa arab.

Sebagai contoh perkataan أَلْقَى tersebut yang biasanya diguna pada zaman kita dengan makna يرمي yakni melempar dan menghempas,sedangkan makna asalnya berlainan dengan penggunaan hari ini.

Akhirnya,Fadhilatus Syaikh menekankan 4 syarat utama dalam memahami sebarang Ayat Al-Qur’an,Hadith atau sebarang perbahasan dalam persoalan agama:

1. Mestilah menghimpunkan segala ayat dan hadith yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.
2. Mestilah berkemampuan untuk menyusun atur dan menggabungjalinkan segala dalil yang telah dihimpunkan tadi.
3. Mestilah memastikan ketepatan dalam mengeluarkan makna dari lafaz-lafaz ayat dan hadith tersebut dengan mengikuti disiplin istinbat yang betul (lughah arabiah dan usul fiqh)
4. Kefahaman yang telah dikeluarkan tadi ditimbang dan disemak pula dengan perkara teras dan pokok dalam agama juga maqasid syariah.

HafizaAllahu Syaikhana As-Syaikh Usamah As-Sayyid Mahmud Al-Azhari yang telah mendidik dan menunjukkan buat kami akan jalan dan cara faham untuk mendalami agama dengan benar.

Bukan sekadar dakwaan dan semangat yang jauh dari panduan Ilmu.

29 July 2015 - Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: