Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

BOLEH MAKAN SELAGI AZAN SUBUH BELUM HABIS?

“Alamak dah azan…”

“Eh tak pe… Kan ada hadith kata boleh abiskan apa yang ada kat tangan…”

Perkara ni saya dah bahas dulu lagi (dlm FB lama / FB zaman bujang). Tapi sedihnya, masih ada lagi yang beranggapan macam tu. Kenapa ye? Sedih la kalau macam ni…

Golongan yang beranggapan bahawa: kalau seseorang sedang makan sahur, kemudian terdengar suara azan, maka masih boleh selesaikan makan atau minum buat kali terakhir (seolah-olah macam ada masa kecederaan) – golongan ini berhujah dengan hadith yg dikeluarkan oleh Imam Abi Daud:

إذا سمع أحدكم النداء والإناء على يده فلا يضعه حتى يقضي حاجته منه

"Apabila seseorang di antara kamu mendengar azan sedangkan di tangannya ada bekas (gelas dan sebagainya), maka janganlah dia meletakkannya sehinggalah dia menunaikan hajatnya daripada bekas tersebut"

Berhujah dengan hadith ini untuk mengatakan bahawa: "kalau seseorang sedang makan sahur, kemudian terdengar suara azan, maka masih boleh selesaikan makan atau minum buat kali terakhir" – adalah tidak tepat, disebabkan beberapa perkara:

1) MASALAH PADA SANAD

1.1:

Imam Ibnu Abi Hatim (pakar hadith) dalam kitab ‘Ilal-nya (Rujuk Kitab Al-‘Ilal, Jilid 1, halaman 123) menyebutkan:

وَسألت أبي عَنْ حديث رَوَاهُ رَوْحُ بْنُ عُبَادَةَ ، عَنْ حَمَّادٍ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرٍو ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ ، وَالإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ " . قُلْتُ لأَبِي : وَرَوَى رَوْحٌ أَيْضًا عَنْ حَمَّادٍ ، عَنْ عَمَّارِ بْنِ أَبِي عَمَّارٍ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَهُ ، وَزَادَ فِيهِ : وَكَانَ الْمُؤَذِّنُ يُؤَذِّنُ إِذَا بَزَغَ الْفَجْرُ . قَالَ أَبِي : هَذَانِ الْحَدِيثَانِ لَيْسَا بِصَحِيحَيْنِ

"Dan aku telah bertanya kepada bapaku (Imam Abu Hatim Ar-Razi – pakar hadith) tentang hadith yang diriwayatkan oleh Rouh Bin Ubadah, daripada Hammad, daripada Muhammad bin ‘Amr, daripada Abi Salamah, daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda:

"Apabila seseorang di antara kamu mendengar azan sedangkan di tangannya ada bekas (makanan / minuman), maka janganlah dia meletakkannya sehinggalah dia menunaikan hajatnya daripada bekas tersebut"

Aku berkata lagi kepada bapaku bahawa Rouh juga meriwayatkan daripada Hammad, daripada ‘Ammar Ibn Abi ‘Ammar, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW sama seperti hadith di atas tetapi ada penambahan lafaz: "dan adalah muazzin melaungkan azan apabila telah terbit fajar".

Kata bapaku: "kedua-dua hadith (yang kamu sebutkan tadi) TIDAK SAHIH"

1.2:

Dalam kitab Ikmal Tahzib Al-Kamal (halaman 1325, Terbitan Al-Faruoq Al-Hadithiyyah), dinukilkan bahawa Imam Nasaie berkata berkenaan hadith di atas:

حمقاء أصحاب الحديث ذكروا من حديثه حديثا منكرا عن محمد بن عمرو عن أبي سلمة عن أبي هريرة : إذا سمع أحدكم الأذان والإناء على يده

"Orang-orang yang bodoh daripada kalangan Ahli Hadith menyebutkan salah satu daripada hadithnya (hadith Hammad) ialah HADITH MUNKAR daripada Muhammad Ibn ‘Amr daripada Abi Salamah, daripada Abu Hurairah: "Apabila seseorang di antara kamu mendengar azan sedangkan di tangannya ada bekas…"

2) MASALAH PADA MATAN

2.1: Bercanggah dengan ayat Al-Quran

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

"Dan makanlah dan minumlah SEHINGGA jelas bagi kamu benang putih dari benang hitam, iaitu FAJAR" (Al-Baqarah: 187)

Apabila azan subuh dilaungkan, maknanya waktu fajar sudah masuk. Maka tidaklah dibolehkan makan atau minum sebaik sahaja muazzin memulakan azan subuh.

2.2: Bercanggah dengan hadith yang LEBIH SAHIH

إن بلالا يؤذن بليل فكلوا واشربوا حتى يؤذن ابن أم مكتوم

"Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam (sebelum masuk waktu subuh). Maka makanlah dan minumlah SEHINGGA Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan (iaitu azan kedua atau azan subuh)" (Bukhari dan Muslim)

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa apabila azan subuh sudah berkumandang, maka tidak dibenarkan lagi makan dan minum. Kecualilah jika sekiranya kita menyangka muazzin itu tersalah lalu melaungkan azan sebelum masuk waktunya.

2.3: Bercanggah dengan akal yang sihat

Katakanlah ada dua surau yang berhampiran yang jarak di antara keduanya tidak sampai 1km (dalam zon waktu solat yang sama). Surau A, muazzinnya azan agak laju. Dalam masa seminit, dia sudah selesai melaungkan azan. Surau B, azannya agak perlahan. Slow and steady je. Siap bawa taranum dalam azan. Muazzin Surau B habis azan dalam masa 2 minit (sebagai contoh). Maka, ahli kariah Surau B dapat ‘masa kecederaan’ lebihlah kalau macam tu? Adilkah? Bukankah kedua-dua surau terletak dalam ZON YANG SAMA? Jarak tak jauh kan? Macam mana boleh berbeza pula masa kecederaannya?

Andaikata Surau A tukar muazzin (sebab jeles dengan Surau B). Kali ini masa kecederaannya 2 minit setengah pula. Bolehkah macam tu? Bagai mana mungkin ibadat puasa yang agung ini ‘diikat’ dengan sesuatu yang tidak tetap macam ni?

3) ANDAIKATA HADITH DI ATAS SAHIH?

Andaikata hadith tersebut sahih sekalipun, kita perlu faham bahawa hadith Abu Daud di atas menceritakan tentang azan pertama, iaitu azan Saidina Bilal. Bukannya azan subuh. Hadith Bukhari dan Muslim pada point 2.2 di atas sangat jelas menunjukkan beza antara kedua-dua azan tersebut. Manakala hadith Abu Daud tidak sebut pun azan yang mana. Maka hadith Abu Daud itu perlu ditafsirkan dengan hadith Bukhari Muslim itu yang LEBIH SOHIH DAN SORIH. Inilah yang difahami oleh para ulama yang mensyarahkan Sunan Abi Daud sebenarnya.

3.1:

Pengarang Kitab Al-Manhal Al-‘Azb Al-Maurud Syarah Sunan Abi Daud berkata:

قوله إذا سمع أحدكم النداء الخ … أي الأذان الأول للصبح وهو أذان بلال فإنه كان يؤذن قبل طلوع الفجر ليرجع القائم ويتنبّهُ النائم كما تقدم .

"(Kata-kata) : ‘apabila salah seorang di antara kamu mendengar azan…’ : iaitu AZAN PERTAMA untuk subuh, iaitu azan Bilal, kerana Bilal melaungkan azan SEBELUM terbit fajar, agar orang yang berqiamullail balik ke rumah dan orang yang tidur pula berjaga, seperti mana yang (telah dijelaskan) sebelum ini"

3.2:

Maulana Khalil Ahmad As-Saharanpuri berkata dalam Bazlul Majhud (syarah Sunan Abi Daud):

هذا يحمل على قوله " إن بلالا يؤذن بليل فكلوا واشربوا حتى يؤذن ابن أم مكتوم " وقال البيهقي : هذا أرجح ، فإنه محمول عند عوام أهل العلم على أنه صلى الله عليه وسلم علم أن المنادِي كان ينادي قبل طلوع الفجر

“Hadith ini (hadith yang mengatakan boleh makan semasa azan) ditakwilkan mengikut hadith: "Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam (sebelum masuk waktu subuh). Maka makanlah dan minumlah SEHINGGA Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan (iaitu azan kedua atau azan subuh)" (Bukhari dan Muslim). Dan berkata Imam Al-Baihaqi: INILAH YANG LEBIH TEPAT. Kerana kebanyakan ahli ilmu mentakwilkannya dengan mengatakan bahawa Nabi SAW (membenarkan makan kerana Baginda SAW) mengetahui bahawa muazzin (pada ketika peristiwa itu) melaungkan azan sebelum terbit fajar”.

3.3

Dalam Syarah Sunan Abi Daud yang lebih ‘senior’, iaitu Kitab Ma’alim As-Sunan, pengarangnya, Imam Khattabi mensyarahkan hadith Abu Daud di atas dengan mengatakan:

هذا على قوله أن بلالاً يؤذن بليل فكلوا واشربوا حتى يؤذن ابن أم مكتوم ، أو يكون معناه إن سمع الأذان وهو يشك في الصبح

“Hadith ini (difahami) mengikut hadith: "Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam (sebelum masuk waktu subuh). Maka makanlah dan minumlah SEHINGGA Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan (iaitu azan kedua atau azan subuh)" (Bukhari dan Muslim). Atau makna hadith ini (hadith yang kata boleh makan) ialah: jika seseorang itu mendengar azan dalam keadaan dia syak benarkah telah masuk waktu subuh”

4) KEEMPAT-EMPAT MAZHAB TIDAK BERKATA : BOLEH MAKAN SELAGI AZAN BELUM TAMAT

Imam Nawawi menyebutkan dalam kitabnya, Al-Majmu’ (Jilid 6, halaman 324, Cetakan Al-Muniriyyah):

هذا الذي ذكرناه من الدخول في الصوم بطلوع الفجر وتحريم الطعام والشراب والجماع به هو مذهبنا ومذهب أبي حنيفة ومالك وأحمد

“Apa yang kami sebutkan ini, iaitu masuknya (bermulanya) waktu puasa DENGAN TERBITNYA FAJAR dan diharamkan makan, minum dan jima’ ini adalah mazhab kami dan mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad rahimahumullah”

KHATIMAH

Sudah jelas bahawa apabila kedengaran suara azan subuh, maka tidak dibolehkan lagi makan, minum dan jima’ pada waktu tersebut kerana azan itu menandakan masuknya waktu subuh, kecualilah jika kita menyangka muazzin tersalah lalu melaungkan azan sebelum waktunya. Manakala hadith yang dijadikan hujah tersebut perlu difahami dengan betul, selari dengan ayat Al-Quran, hadith Bukhari Muslim dan kefahaman para ulama zaman-berzaman. Sebagai penutup, marilah kita merenung kata-kata Imam Abdullah Ibnu Wahb:

كل صاحب حديث ليس له إمام في الفقه فهو ضال

“Setiap ahli hadith yang tidak mempunyai imam dalam ilmu fiqh adalah sesat”

Wallahu a’lam.

Akhukum fi As-sunnah,

Abu Raihanah Abdur Rahman Harman Shah Raniri

23/06/2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Sheikh Nuruddin memberikan sebuah kata hikmah yang sangat diperlukan kita pada hari ini.

“Mungkin saja, satu kemaksiatan yang dilakukan seseorang, yang menjadikan hatinya bersedih dan kembali kepada Allah, maka itu lebih baik dari berbuat ketaatan tetapi ada takabbur. Maksiat yang membuatkan kita jadi malu, merasa hina, segan dengan Orang lain, itu jauh lebih baik dari banyak berbuat ketaatan, yang membuatkan kita jadi ujub dan sombong .”

Daripada kata hikmah ini banyak pengajaran boleh kita ambil :

1. Jangan hina pendosa

2. Jangan rasa hebat bila berbuat ketaatan

3. Jangan rasa selamat bila lihat diri dalam ketaatan

4. Jangan putus asa dari mohon keampunan

5. Sentiasa bersangka baik

6. Sentiasa melihat aib diri sendiri

7. Sentiasa tanam sifat malu kepada Allah

8. Sentiasa memohon taufiq & hidayah kepada Allah supaya diberikan cinta kepada Ketaatan.

Pesan Sheikh lagi, kalau kita berbuat ketaatan lihat permulaannya siapa yang beri kita taufiq dan hidayah untuk berbuat ketaatan (Yakni Allah), kalau melakukan maksiat, lihat penghujungnya, apakah nasib kita di alam akhirat, azab yang kita bakal hadapi jika melakukan maksiat, dosa dan kesalahan tersebut.

 

23/06/2015 Posted by | Bicara Ulama, Tasauf, Tazkirah | | Leave a comment

KEJATUHAN TOTAL EMAPAYAR OTHMANIAH & KAITANNYA DENGAN BANK DAN HUTANG

KEJATUHAN TOTAL EMAPAYAR OTHMANIAH & KAITANNYA DENGAN BANK DAN HUTANG

Sejarah jatuh bangunnya Islam ada agenda tersembunyi yang perlu kita fahami, samada untuk mengelakkan kejatuhan atau mahu membangunkannya semula.

Bedah sejarah kali ini menyorot kembali kronologi kejatuhan Empayar Othmaniah dan kaitannya dengan bank dan hutang. Bagus dibaca oleh para pegawai negara dan ibubapa. Jika tidak faham sekali, silalah diulang baca semula.

Sepanjang kurun ke 19 berlaku proses perindustrian dan elektonik di Eropah. Ianya bukan satu proses semulajadi, tetapi satu perancangan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan. Apa yang terjadi ? Kemajuan teknologi membawa saudara kembar yang menjadi ‘protokol atau prosedur’ bersama-samanya, iaitu bon-bon, sekuriti, wang kertas dan lain-lain instrumen kewangan.

Bermula dari projek pembinaan keretapi yang memerlukan modal yang besar, cara pembayaran Islam tidak lagi boleh dipakai. Mereka mensasarkan Turki sebagai pusat pemerintahan dan Mesir sebagai pusat intelektual Islam. Cara perniagaan atau muamalat Islam mesti diketepikan. Keputusan para Ulamak dalam hal-hal perniagaan tidak diperlukan lagi.

Sebelum itu umat Islam menguasai bidang perniagaan dan perdagangan. Masyarakat Yahudi dan Nasrani membayar jizyah bagi keselamatan mereka dan dibenarkan tidak ikut serta dalam urusan ketenteraan dan keselamatan negara.

Pekara yang sebaliknya berlaku selepas tugasan penyusunan semula masyarakat diserahkan kepada Bankers Yahudi, kononnya untuk memodenkan Khilafah Othmaniah. Orang Yahudi dan Kristian menjadi TUAN (Masters) yang kaya raya sedangkan rakyat Khilafah pula menjadi miskin.

Seterusnya Sultan Mahmud II pula buat silap. Beliau membentuk Tentera Diraja bermodelkan tentera British. Tentera jihad yang bermodalkan tauhid diganti dengan tentera ‘bergaji’. Sistem demokrasi diperkenalkan. Jawatan Wazir Besar diganti dengan Perdana Menteri. Cukai dinaikkan.

Kemudian Tanzimat (reformasi) diperkenalkan pada tahun 1839 oleh Sultan Abdul Mecit. Sistem Kerajaan Tempatan digantikan dengan model Perancis. Ini menyebabkan sistem perniagaan Bazaar juga khidmat masyarakat melalui waqaf yang dipanggil ‘imaret’ dan ‘millet’ (majlis perlindungan bagi golongan minoriti) tidak lagi berfungsi .

Pendidikan dua aliran diperkenalkan, iaitu tradisional dan sekular yang bertulang belakangkan stok, bon dan lain-lain institusi kewangan moden. Penjajahan ini berlaku secara tidak sedar atas nama ‘memodenkan’ empayar Othmaniah.

Undang-undang Islam ke atas status ahlu Zhimmah dihapuskan. Reformasi Tanzimat memfokuskan kepada pemusatan pentadbiran (administrative centralization) menggantikan sistem Autonomi Amiriah tempatan.

Tiga wazir yang menjayakan tanzimat ialah Rechid, Ali dan Fuad Pasha. Mereka bersahabat baik dengan banker Yahudi bernama Camondo. Mereka menghabiskan banyak masa mereka di Paris mempelajari teknik permodenan barat. NASIHAT DARI FINANCIAL PLANNER YAHUDI diperlukan bagi memodenkan empayar.

Kebanyakan orang Yahudi di Istanbul tinggal di Galata. Isaac Camondo menubuhkan Bank Camondo pada tahun 1802. Saudaranya Abraham-Salomon Camondo menggantikannya pada tahun 1832. Kerana sumbangannya yang besar kepada agenda reformasi tanzimat beliau dianugerahkan “Nishan-I Iftihar” dan menjadi Komander Mejidiye pada tahun 1849.

Pada tahun 1842 wang kertas KAIMA diperkenalkan menggantikan Dinar dan Dirham. Ini membawa kepada penguasan banker YAHUDI ke atas kedaulatan khilafah. Secara tidak sedar, para banker ini dijemput untuk mencipta system kewangan moden berunsur riba melalui bon, kredit, saham dan pengeluaran wang kertas yang dikuasai banker Yahudi. Reformasi kewangan ini memberi mereka peluang untuk membuka bank-bank baru.

Pada tahun 1845 Kerajaan Othmaniah bersama Mm. Alleon dan Theodore Baltazzi menubuhkan Bank of Constantinople bagi tujuan memberi pinjaman kepada kerajaan.

Perang Krimea memberi peluang kepada banker Yahudi berkembang dalam empayar Othmaniah. Ini kerana kerajaan memerlukan dana untuk peperangan. Bank memberi pinjaman dengan interest.

Ottoman Bank ditubuhkan pada tahun 1856. Ia menjadi satu langkah kepada penubuhan bank pusat dengan dana dari luar dengan jumlah 500,000 Pound Sterling. Transformasi modal persendirian kepada Bank Pusat membawa kepada system kuasa berada di tangan para pemilik banker Yahudi Antarabangsa.

Keluarga Rothschilds yang terlibat dalam penubuhan Federal Reserve USA juga turut terlibat atas nama pelaburan melalui ‘Alphonse de Rothchilds’. Bapanya James Rothschilds membuka cawangan French Rothchilds Bank di Istanbul.

Kerja-kerja untuk penubuhan bank pusat akhirnya berjaya dengan tertubuhnya ‘La Bank Imperiale Ottomane’ pada tahun 1863 dengan bantuan Yahudi bernama Emil dan Isaac Pereire. Ini model yang menjadi superbank seterusnya dari Bank pusat kepada Bank Dunia dan International Monetary Fund.

Bank ini menjadi bankers bank dengan deposit, pengumpul dan pengedaran kredit. Ia akan menentukan kadar antara Bank, memberi pinjaman, mengurus jual beli, membincang pembelian komoditi, memberi dana, melibatkan diri dalam projek pelaburan dan mengeluarkan serta mencetak wang baru.

Bank Camondo hanyalah bank biasa. Ottoman bank pula ialah bank dengan dana tempatan. Seterusnya bank baru Imperial Ottoman bank menjadi Bank Pusat dengan dana antarabangsa. Satu system ‘penguasaan kewangan’ telah diletakkan batu asasnya di situ.

Bank ini akan menyerap masuk dalam setiap aktiviti masyarakat bermula dari kedai runcit lagi. Tiada aktiviti masyarakat yang terlepas dari sistem Bank. Dari aktiviti jual beli, simpanan, seterusnya dana kewangan dan pelaburan, semuanya melibatkan bank.

MEREKA BERJAYA MENJADI TUAN KEPADA DUNIA (Masters of the Worlds). Pada tahun 1858 bankers Yahudi telah meletakkan syarat pinjaman dengan ‘jaminan tranformasi sosial’ kepada Kerajaan Othmaniah. Ini menunjukkan sistem ekonomi hutang berkait rapat dengan ‘kejuruteraan sosial’.

PADA WAKTU ITU JIZYAH SUDAH BERKUBUR. Bank Yahudi bertapak, sistem politik Nasrani Kristian sudah jadi penggerak Empayar Othmaniah ! Hak menandatangani kerajaan tergadai kepada peminjam wang. Tahun itu juga, ‘undang-undang tanah baru’ menafikan hak Sultan. Seterusnya tahun 1867, ORANG ASING DIBENARKAN MEMBELI TANAH.

STRATEGI DI SEBALIK PROJEK KERETAPI

Projek keretapi menghubungkan Istanbul ke Vienna. Austria dikatakan akan menghubungkan dunia Islam dan Eropah. Oleh kerana projek ini begitu besar, begitu jugalah besarnya peranan penipuan oleh bank-bank Yahud di London, Paris dan Brussel dalam membiayai projek ini dengan bon-bon kerajaan Othmaniah.

Pada tahun 1873 berlaku ‘Crash 1873 ‘ yang membawa kepada kejatuhan nilai bon-bon tersebut. Projek ini bukan sahaja pembangunan fizikal dalam bentuk ‘konkrit bangunan’ semata-mata. Ia suatu gerakan yang mengatasi ruang lingkup sempadan nasional dan bangsa, tetapi didalangi dengan angka-angka pada dokumen kewangan yang dipanggil saham dan bon.

Pada tahun 1875 Kerajaan Othmaniah DIISTIHARKAN MUFLIS kerana tidak mampu membayar hutang. Suruhanjaya Asing dilantik mewakil pemegang saham asing. Kerajaan terpaksa mengenakan CUKAI TERHADAP RAKYAT.

Serbia memberotak. Bosnia diserahkan kepada Austria di bawah bendera Othmani. Jalan keretapi tidak siap tetapi separuh dari perniagaan laut telah jatuh ke tangan British.

Kesan mengurangkan perjalanan dari Vienna ke Istanbul dari seminggu ke 40 jam ialah KEJATUHAN KHILAFAH OTHMANIAH itu sendiri.

Sultan Abdul Hamid menjadi Khalifah pada tahun 1876. Beliau mahu kembali kepada pemerintahan asal Othmaniah sebelum reformasi tanzimat. Beliau menolak sistem hiraki barat dan mahukan sistem topkapi dan imaret diperintah oleh keluarga diraja Othmaniah semula. Beliau tidak percaya kepada pegawai-pegawai yang berkhidmat sebelumnya. Secara beransur-ansur beliau mengurangkan peranan mereka dalam kerajaan dan akhirnya beliau BERJAYA MENGURANGKAN HUTANG KERAJAAN.

Pada tahun 1896, perwakilan Zionis telah menemui beliau. Demi mendapatkan Palestin, mereka tawarkan untuk memperbaiki keadaan krisis kewangan yang dihadapi oleh kerajaan Othmaniah.

Bagaimana golongan yang tidak mempunyai tanahair sendiri boleh membuat tawaran kepada pewaris salah satu empayar terbesar dunia? Jawapannya ialah satu bentuk KUASA BARU TELAH MUNCUL. Kuasa bank telah mengatasi kuasa kerajaan atau kuasa politik. Kuasa tidak lagi dalam bentuk ketenteraan tetapi dalam bentuk jumlah nombor wang dalam bank. Politik dijadikan alat untuk mengawal masyarakat sahaja. Kuasa politik pula dijadikan alat bank untuk menjayakan projeknya.

Sultan Abdul Hamid bertegas. Beliau telah mengungkapkan kata-kata bersejarah yang ditujukan kepada Herzl melalui utusan yang dihantar untuk perundingan tersebut :

“Saya cadangkan supaya dia (Hezrl) tidak meneruskan usaha mendapatkan tanah Palestin. Saya tidak akan menjualnya walau sejengkal kerana ianya bukan milik saya, tetapi milik rakyat saya. Mereka telah membentuk dan mengekalkan Empayar ini dengan pengorbanan dan darah. Kami akan pertahankannya dengan darah kami sebelum menyerahkannya kepada sesiapapun. Puak yahudi boleh simpan sahaja wang mereka yang banyak itu. Bila Empayar ini berpecah nanti, maka mereka bolehlah ambil Palestin secara percuma. Tetapi mesti langkah mayat kami dahulu, dan saya tidak akan membenarkan ianya berlaku atas sebab apapun..”

Akhirnya Sultan Abdul Hamid digulingkan pada tahun 1908. Pada tahun itu juga, pejabat pertama zionis di buka di Palestin di bawah firma Rohschilds. Maka berakhirlah empayar Othmaniah walaupun ia masih belum secara rasmi sehingga tahun 1924. (Bersambung)

KESIMPULAN

Perhatikan bagaimana sejarah kembali berulang. Bagaimana dirancang pembangunan, berjual beli dengan hutang dalam agenda memufliskan dan menawan sebuah negara.

Bila sudah dicekik sampai lemas, Zionis akan masuk dengan skrip membebaskan hutang melalui sistem kewangan ciptaan mereka. Mangsanya adalah rakyat yang menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pemimpin untuk membela nasib mereka.

Pattern sejarahnya sama sahaja kerana mereka menggunakan ilmu keruruteraan sosial yang sama. Kita digula-gulakan dengan pembangunan projek mega, ditawarkan hutang dan hujungnya menggadai negara melalui bon, sukuk, emas dan hasil negara.

Semuanya terjadi kerana wang. Sistem ekonomi dan pengurusan hazanah negara melalui konsep baitulmal ciptaan Islam ditinggalkan dan diganti dengan sistem beracun ciptaan musuh Islam yang sengaja direka untuk melemahkan dan membunuh kita.

Ini bukan rekayasa seperti amalan biasa keyboard warrior. Kita sedang berhadapan dengan satu agenda besar tanpa kebanyakan dari kita sedar dan percaya. Cendiakawan kewangan kita yang sedang menasihati pemimpin negara juga tidak ‘merasa sesuatu yang pelik’ kerana ekosistem ilmu mereka juga sudah diadun dari sumber yang sama.

Kita perlukan evolusi dan revolusi yang mantap, bukan sekadar reformasi dan transformasi yang flip flop dan bersifat wal hasil balik asal.

Oleh itu, kami yakin khilaf ini akibat liciknya musuh negara, juga kerana kejahilan serta kelalaian pemimpin dan para penasihatnya. Daripada marah dan kecewa, kita sudah mula kasihan dan simpati pada kejahilan mereka. Tidak dapat kami bayangkan betapa setiap malam adalah mimpi ngeri bagi para pemimpin negara yang memikirkannya (kecuali yang jenis ‘happy go lucky’).

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk saling ingat mengingati dan nasihat menasihati, dengan sabar dan penuh kasih sayang. Khilaf yang telah berlaku harus kita sama-sama bantu mencari penyelesaiannya, bukan sekadar mengutuk dan menyumpah semata-mata. Jika gagal, kita semua bakal menanggung akibatnya samada suka mahupun terpaksa. Sekali terjajah, berabad kita bakal menderita.

Kisah seterusnya akan menyentuh kronologi sampingan yang menyebabkan kejatuhan empayar Othmaniah dan kejatuhan Palestine.

Bedah sejarah
WARGA PRIHATIN

Dari Whatsapp Ust Abdul Halim Abdullah.

23/06/2015 Posted by | Politik dan Dakwah, Renungan & Teladan, Tazkirah | Leave a comment

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADAN | Laman Web Rasmi JAIS

KEWAJIPAN BERPUASA

Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 )

“Wahai orang-orang beriman!! Kamu diwajibkan berpuasa sebagimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.

Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh setiap ummat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manfaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang tahu dan menghayatinya.

KEUTAMAAN RAMADHAN

Terdapat puluhan hadis Rasulullah saw yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan pusa di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat ummat Islam di akhirat kelak, malah ianya memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini.

ANTARA FADHILAT DAN KELEBIHAN BERPUASA DI BULAN RAMADHAN.

1. Pintu langit dibuka

2. Pintu-pintu syurga di buka

FADHILAT YANG LAIN

1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga

2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaanya oleh Allah SWT

3. Orang yang berpuasa mendapat 2 kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak

4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah Swt

5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga

6. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan 1700 kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

AMAL IBADAH DI BULAN RAMADHAN

Dalam khutbah terakhir bulan Sya’ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada ummat Islam supaya menyempurnakan amal ibadah sepanjang bulan ramadhan, antaranya ialah:

Solat sunat Tarawih
Solat-solat sunat yang lain
Bantu membantu sesama umat islam seperti bersedekah dan seumpamanya
Memberikan hidangan berbuka puasa
Banyakkan membaca tahlil
Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah swt
Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka
Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.

Oleh itu marilah sama-sama kita berpuasa dengan seikhlas-ikhlasnya. Jangan kita hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga kena puasa. Hayatilah kelebihan-kelebihan berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan di akhirat.

Sumber:
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),
Bangunan Sultan Idris Shah,
Tingkat 1 Menara Selatan
No 2 Persiaran Masjid,
40676 Shah Alam Selangor
Tel: 03-55143400 Fax: 03-55103368
Email: info@jais.gov.my

23/06/2015 Posted by | Ibadah, Tazkirah | Leave a comment

Bulan Ramadhan berhenti bercerita hal orang….

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, berusahalah untuk BERHENTI bercerita peribadi atau urusan individu ORANG LAIN. Termasuklah dari komen-komen di media sosial ini. Komen di berita-berita akhbar yang menyentuh urusan orang lain yang tiada kena mengena dengan kita.

JANGAN sampai puasa itu hanya lapar dahaga tetapi Allah swt tidak mengendahkannya.

Nabi bersabda Ertinya :
Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata buruk, dan perbuatan buruk, maka tiadalah bagi Allah hajat kepada penahanan makanan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu)”
( Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Al-`Arabi dan al-Qaradawi masing-masing mengulas bahawa pahala puasa akan hancur dengar kesalahan-kesalahan ini, puasa tidak batal tapi pahalanya batal, hingga jadilah puasanya kosong, lagi gagal menghasilkan taqwa yang menjadi sasaran.

Umar ibn Al-Khattab berkata :
“Puasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga dari bercakap bohong, tipu dan cakap kosong”

Ust Zaharuddin.

23/06/2015 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

   

%d bloggers like this: